Saturday, February 7, 2009

Safari Cinta Seorang Ekspatriat - Syed Mahadzir









Tajuk Novel : Safari Cinta Seorang Ekspatriat
Karya : Syed Mahadzir
Penerbit : Pekan Ilmu Publications
Terbitan : 2007

Kisahnya begitu menyayat hati, penuh penderitaan, penuh penyiksaan, penuh pengorbanan. Dia seorang mujahid, dia seorang pejuang, dia seorang manusia yang cintakan saudara seagamanya. Terlalu lama hidup di tanah Islam telah menyerapkan semangat jihad dalam dirinya lalu dia menjadi seorang ekspatriat, bertualang ke seluruh dunia sambil melihat penderitaan hidup manusia seagama. Airmata bukan tanda simpati. Semangat dan kudrat dalam diri bersebati merempuh jalan perjuangan yang penuh dengan onak dan duri.

Melalui Haikal, di tepian bersama sinar ledang mentari petang yang mengapung suasana dari ufuk timur, dia menyingkap tentang segala rahsia yang selama ini melingkar erat dalam lipatan sejarah hidup. Semua ceritanya tidak mudah pamit dari benak, setiap patah perkataan yang tercetus dari bibirnya tidak semata-mata menjadi sebuah llukisan realisme tentang pengetahuan dan pengalaman tetapi juga kamus mujarab sarat istilah suka duka, sedih pilu, rusuh cabuh, terkilan, kelut, kesal, rengsa, resah dan seribu macam gelicau perasaan yang telah menjadi semacam resapan semangat yang menerobos segar ke dalam darah dan tulang temulang.

Untaian kasihnya sungguh unik. Terselit pelbagai maklumat dan ilmu, implisit dan eksplisit, suka dan duka, pengalaman pahit maung dan enak manis yang segala-galanya sungguh mengesan jiwa nubari. Kisahnya ini digabung-gabung, dibebat menjadi sebuah ikatan rakaman cerita yang padat dan terarah semoga dapat dimengertikan dengan mudah. Seglanya dijalin, disirat dan dianyam supaya semuanya tergarap jelas dan teratur serta disatu, dibaru dan diadunkan segala butir bicara dan maklumat penceritaannya untuk kujadikan kenangan abadi dalam hidup.

Percintaan, pengorbanan dan perjuangan tersemat dalam satu perjalanan yang panjang. Cintanya tidak kesampaian, semuanya diragut takdir dengan penuh tragis. Pengorbanannya tidak pernah dihargai dan perjuangannya menjadi sia-sia. Siapalah dia yang mampu merubah warna dunia? Dia hanya seorang manusia kerdil yang hidup sekadar untuk memendam perasaan kecewa dan air mata.

Related Posts :



1 comment:

  1. Salam

    Terima kasih atas reviu novel ini. Beignilah, saya selalu mengikuti perkembangan blog sdri. Kalau sdri sudi jadi pengulas novel keluaran kami, boleh tak emel saya nama dan alamat penuh sdri ke emel mekmulong@gmai.com

    Saya akan jadikan sdri pengulas tetap kami n senaskhah novel akan dihantar kepada sdri.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin