Wednesday, April 29, 2009

Indahnya Hidup Bersyariat











Tajuk Buku : Indahnya Hidup Bersyariat
Penulis : Dato' Ismail Kamus
Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid
Penerbit : Telaga Biru Sdn. Bhd
Terbitan : 2009
Halaman : 308 mukasurat
Harga : rm55.00

Isi buku INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT ini merupakan panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat (fardu kifayah). Ia merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekaan pendidikan remaja, hukum-hakam muamalat (jual beli), munahakat (nikah kahwin dan rumah tangga) serta amalan zikir, doa dan adab. Semua ilmu bersumberkan al-Quran dan hadis sahih.

Teknik penyampaian buku ini ringkas dan tepat dalam bentuk carta, jaduah dan rajah. Semua doa, bacaan dan zikir boleh dibaca dan dihafal dengan mudah. Langkah amalan disampaikan mengikut turutan step by step. Media fotografi warna penuh digunakan untuk menunjukkan perkara yang realistik.

Buku ini seharusnya menjadi kewajipan untuk dimiliki oleh setiap rumah, pusat sumber, sekolah dan individu.

Baca Selanjutnya..

Monday, April 27, 2009

Bila Dah Suka - Mimie Afinie










Tajuk Novel : Bila Dah Suka
Karya : Mimie Afinie
Penerbit : KarnaDya
Terbitan : 2009
Halaman : 537 mukasurat
Harga : rm19.90

Kata orang, cinta pertama paling sukar untuk dilupakan. Kata orang lagi, bila kecewa dalam bercinta, kita memerlukan masa yang lama untuk sembuh. Benarkah begitu? Kalau benar, masakan dia senang sangat jatuh cinta dan senang pula melupakan?

Sebelum ini, sudah dua kali. Kini, hatinya terisi dengan nama lain pula. Mudah sungguh. Mungkin betul, dia memang jenis yang tidak boleh dibuat baik. Pantang orang buat baik sikit, senang sangat nak beri hati. Entahlah... Tapi apa sekalipun, dia yakin yang dia cintakan si dia. Cinta sungguh-sungguh.

‘BILA DAH SUKA’ membawa anda menyelami hati seorang gadis genit bernama Nurul Huda. Dia yang kecewa dengan perkahwinan insan yang dicintai membawa diri ke utara tanah air. Tetapi setiba di sana, sesuatu yang tidak diduga telah menimpa dirinya, lalu mengubah perjalanan hidupnya.

MIMIE AFINIE tampil sekali lagi dengan sebuah karya yang mampu ‘meringankan’ kepala anda dengan bahasa mudah dan bersahaja. Seperti biasa, ada unsur-unsur humor, suspens dan juga sedih. Moga terhibur...
..................................................................................................................
Buku pertama yang menjadi bahan bacaan saya setelah bershopping buku sakan di Pesta Buku yang baru berakhir semalam. Memang saya menyukai hasil penulisan Mimie Afinie yang ternyata santai dan menghiburkan. Seperti karyanya yang lepas-lepas, buah tangan penulis kali ini juga diwarnai dengan adegan-adegan lucu mencuit hati dan tak kurang juga saat-saat yang mengharukan jiwa pabila membacanya. Kali ini menceritakan tentang kisah kehidupan seorang gadis bernama Nurul Huda.

Setelah Shazlan mengahwini kakaknya, hati Nurul Huda remuk redam. Niat di hati hendak membawa diri ke Taiping mencari abang yang telah lama menghilang. Tetapi insiden kecurian telah memaksa Huda menumpang di rumah Tarmizi dan Mahani lalu menjadi anak angkat di rumah tersebut. Mahani mempunyai dua orang anak lelaki Anuar dan Alam. Anuar seorang yang lembut manakala Alam seorang yang keras kepala. Kehadiran Huda pada mulanya tidak disenangi oleh Alam. Dituduhnya Huda gadis liar yang sengaja lari dari rumah kerana tidak mahu kebebasannya disekat. Rupa-rupanya di sebalik semua itu Alam juga diamuk emosi kekecewaan kerana kekasih hati berkahwin dengan jejaka lain.

Kehidupan bersama keluarga baru membuat hidup Huda ceria dan sedikit demi sedikit dapat melupakan kisah cinta luka yang lalu. Tanpa disedari Huda diminati oleh kedua anak bujang Mahani. Anuar dengan sikap lembut dan gentlemannya pandai menyembunyikan gelora hati berbeza dengan Alam yang selalu saja mencari peluang menyakat dan mendekati Huda. Gurauan dan sakatan Alam terhadap Huda menyakitkan hati Anuar dan menimbulkan salah faham bahawa Alam dan Huda saling menyimpan perasaan. Ditambah pula Anuar terjumpa foto-foto mesra Huda-Alam. Kerana tidak mahu hatinya terus disakiti oleh adegan percintaan mereka berdua Anuar mengambil keputusan untuk mengahwini Erin.... Suatu tindakan yang tidak masuk akal bagi saya...

Berita Anuar akan berkahwin dengan Erin rupa-rupanya memberi kelukaan di hati Huda untuk kali kedua. Ternyata Huda juga menyimpan perasaan terpendam untuk Anuar. Susahnya bila berada di alam percintaan yang tak terungkap ni.. Patah hati lagi Huda membawa diri pulang ke KL. Namun ketenangan jiwa yang diharapkan tidak ditemui Huda. Malah pelbagai masalah lain pula timbul. Huda berpatah balik semula ke Taiping setelah bertengkar dengan Kak Diba.

Di Taiping sudah ada yang menanti dan menyayangi Huda seadanya. Biarpun ianya bukan tergolong di kalangan keluarga sendiri. Bahagia yang Huda inginkan selama ini ada di sini.


Baca Selanjutnya..

Saturday, April 18, 2009

Hafalan Solat Delisa










Tajuk Novel : Hafalan Solat Delisa
Karya : Tere Liye
Penerbit : PTS Litera
Terbitan : 2009
Halaman : 280 mukasurat
Harga : rm19.00

Delisa anak perempuan bermata hijau, bening, dan umurnya baru mencecah lima tahun. Dia hidup dalam keluarga yang sentiasa membuatnya tersenyum ceria. Dalam suasana keluarganya yang sebegitu, dia cuba menghafal bacaan dalam solat dengan bantuan ibu dan kakaknya.

Namun Tuhan lebih tahu apa yang lebih baik untuk hambaNya. Tsunami datang melumatkan senyuman pada wajah Delisa. Tsunami mengambil segala-galanya, keluarga juga kaki kecilnya. Yang tersisa, hanya dia dan ayahnya, dan dalam keadaan sebegitu, apakah Delisa mampu tersenyum seperti dahulu dan menyudahkan hafalannya?
.......................................................................................................................
Nyatanya novel ini adalah kisah tentang seorang kanak-kanak tetapi ianya mampu membuatkan kita menangis terharu mengenangkan keikhlasan yang tulus hati Delisa. Sebuah novel yang amat berkesan di hati.

Ceritanya ringkas saja. Seorang anak kecil bernama Delisa yang cuba menghafal bacaan-bacaan solat untuk mendirikan solat pertamanya. Di saat dia membaca doa iftitah yang pertama, khusyuknya Delisa mengerjakan solatnya sehingga dia tidak mengambil kira bencana besar tsunami yang berlaku di sekelilingnya. Dia tidak menghiraukan hiruk pikuk orang berteriak "Gempar! Gempar!" Niatnya hanya satu. Mengerjakan solat pertamanya hanya kerana Allah. Saat itu dia hanya mengingati Allah.


Bumi mula bergoyang sedikit dilanda air deras, bumbung bergegar, serpihan runtuh dan hampir mengenai kepala Delisa. Masih Delisa tidak peduli dan tetap mengerjakan solatnya. Di saat air deras menyentap tubuh kecil Delisa, hati kanak-kanak kecil itu masih tetap bertumpu ke arah solat yang dikerjakannya. MasyaAllah!sungguh terharu saya dengan keikhlasan dan kekusyukan Delisa mengerjakan solat. Saya bertanya di dalam diri. Adakah solat yang saya kerjakan selama ini sekhusyuk itu?......Tubuh Delisa dihentam air yang deras semahu-mahunya. Sikunya patah. Sebelah kakinya remuk. Giginya patah dan mukanya penuh garis luka. Cikgu Nur berusaha menyelamatkan Delisa dari kelemasan dengan mengikatnya di sebatang papan supaya ianya dapat terapung di permukaan. Namun papan itu hanya muat untuk Delisa seorang saja. Cikgu Nur terpaksa berpaut di papan itu saja. Lama kelamaan tenaganya hampir hilang untuk bertahan. Masa untuknya pergi sudah tiba. Dengan rela Cikgu Nur melepaskan Delisa bersama papan itu pergi. Sebelum itu Cikgu Nur berbisik kepada Delisa yang pengsan, " Kau harus menyelesaikan hafalan itu, sayang. Kamu harus menyelesaikannya,".... hampir saja berlinangan airmata saya di kala membaca detik-detik ini.

Setelah dua minggu tsunami melanda Abi menemui Delisa dalam keadaan parah. Lebih parah bencana itu telah meragut nyawa Kak Fatimah, Kak Aisyah, Kak Zahra dan ibunya tersayang dari hidup Delisa. Delisa dirawat di sebuah kapal induk bersama-sama dengan korban tsunami yang lain.

Hidup harus diteruskan walau sepayah mana dugaan menimpa. Abi dan Delisa kembali ke kampung halaman dan mendirikan sebuah penghidupan yang sederhana. Delisa kembali menghafal semula bacaan solat yang tertangguh. Memang payah untuk menghafalnya kembali setelah melalui peristiwa yang pahit di dalam hidupnya.

Sehinggalah di suatu hari Abang Ubai telah mengajak Delisa bersama kawan-kawan yang lain ke sebuah padang di lereng bukit untuk solat asar berjemaah bersama. Usai salam terakhir solat dihulurkan Delisa menangis teresak-esak perlahan.... saya kira saya pun terasa ingin menangis bersama Delisa di saat ini.... Delisa merasakan solatnya kali adalah cukup sempurna. Itulah solat pertamanya dengan bacaan yang lengkap tanpa tergagap-gagap dan aturan yang sempurna. Di saat itu Delisa terkenangkan ibu yang telah tiada. Delisa merindui ibunya.



Baca Selanjutnya..

Pewaris Senja - Bahagian 1








Tajuk Novel : Pewaris Senja - Bahagian 1
Karya : Remy Ikmal
Penerbit : Karnadya
Terbitan : 2008
Halaman : 242 mukasurat
Harga : rm15.90


Manusia adalah khalifah di muka bumi ini.Tidak hairanlah jika ada makhluk lain yang menumpang di bumi ini akan menganggu dan seterusnya menyesatkan manusia yang dianggap sebagai permainannya..

“Akan kutuntut sepuluh keturunan warismu..itu janjiku dengan nenek moyangmu..!!”

Fuad terpaksa mengharungi hidupnya.Walaupun berdampingan dengan ‘pewaris’ keluarganya sejak turun temurun, Fuad tetap mencuba untuk menghapuskannya.Perkahwinannya dengan Raihana adalah langkah terbaik untuk menjaga Raihana daripada terus diganggu.

“..sehebat mana pun kuasa makhluk di dunia ini..tiada lagi kuasa yang sehebat dari-Nya..”

Fuad mengharapkan segala-galanya berakhir.Dia ingin hidup tenang dan bahagia bersama Raihana.Biarlah kisah terdahulu luput.Dia tetap laluinya.Sesungguhnya cubaan serta dugaan dapat menguji keimanan seseorang…Hanya keimanan menangkis segala kesesatan..mudah-mudahan…Amin..
..............................................................................................................
Kalau tengok pada kulit novelnya saya tak menyangka ianya sebuah cerita mistik. Bila sudah membaca sinopsis di belakang buku terasa jugak berminat untuk membelinya.

Ceritanya agak menarik dan penuh dengan adegan yang mendebarkan. Fuad baru mengetahui bahawa keluarganya ada menyimpan saka yang memberikan kekayaan kepada keturunannya. Saka itu kini menuntut pewarisnya setelah ayah dan ibu Fuad meninggal dunia di dalam satu kejadian misteri. Rumah tangga Fuad diganggu dengan makhluk halus pabila Fuad tidak mahu menjadi pewaris ke atas saka tersebut. Agak menyeramkan bila ketika Raihana mengandung, dia diganggu oleh makhluk yang berupa Fuad. Makhluk itu selalu mengikuti ke mana saja Fuad pergi walau hingga ke Sarawak untuk menghadiri mesyuarat sekali pun membuatkan temannya, Danial berada di dalam ketakutan.

Kejadian aneh demi kejadian aneh berlaku namun saya rasa penulis tidak cuba menyelesaikan persoalan yang ditimbulkan. Membuatkan saya tertanya-tanya kenapa dan untuk apa ianya berlaku. Lebih kepada bercerita tentang misteri yang tidak berkesudahan.

Bahagian 2 untuk novel ini akan terbit tidak berapa lama lagi dan saya berharap ianya akan dapat menjawab segala persoalan yang ditimbulkan. Kalau tidak saya merasa ianya satu novel misteri yang tidak ada hujung pangkal dan kurang memenuhi kepuasan membaca.

Baca Selanjutnya..

Belajar Dari Para Wali










Tajuk Buku : Belajar Dari Para Wali
Penulis : Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : Anbakri Publika
Terbitan : 2009
Halaman : 249 mukasurat
Harga : rm19.00

Kisah hidup para wali adalah manifestasi sebuah harapan yang diletak di atas hamparan kisah insan-insan gemilang yang pernah dilahirkan oleh tamadun keinsanan. Mengukur prestasi mereka bukanlah melalui ukuran zahir. Buku ini bukan ingin berbicara soal pertumbuhan ekonomi, taraf hidup, insan bertaraf dunia dan hal-hal selapis yang seumpama dengannya.

Ia ditampilkan untuk dijadikan piawaian bagi mengukur maksud hidup dan nilai hidup. Ia membicarakan bagaimana nilai dunia ini dari kaca mata para wali. Sisi yang diambil tentunya cukup menyalahi perspektif orang awam. Nah! Di sinilah sekali lagi letaknya keistimewaan kitab ini. Ia memberi kesempatan kepada khalayak untuk menilai hidup, dunia dan kehidupan dari suntingan sehimpun wali.

Baca Selanjutnya..

Tuesday, April 14, 2009

Episod Cinta Luka - Fateen Najwa










Tajuk Novel : Episod Cinta Luka
Karya : Fateen Najwa
Penerbit : Fajar Pakeer Sdn Bhd
Terbitan : 2008
Halaman : 566 mukasurat
Harga : rm20.90

Kala cinta Zuraidah pada Syed Faiez mekar mewangi, Idora meminta sebuah pengorbanan. Biar berat, pengorbanan ini harus Zuraidah relakan jua demi meraih kasih ibu. Rohaya yang hamil tanpa suami dinikahkan dengan Syed Faiez untuk menutup malu. Lalu bermulalah pelarian Zuraidah membawa rajuk hati, kecewa, hampa... sendiri mencari bahagia yang tak kunjung tiba.

Apakah cinta Syed Faeiz masih milik Zuraidah setelah lelaki itu mengetahui dirinya masih dirindui? Sanggupkah Syed Faeiz meninggalkan anak dan isteri demi cintanya pada Zuraidah yang masih bersisa?
.......................................................................................................
Saya baru mengetahui Fateen Najwa adalah nama pena lain yang digunakan oleh penulis Fatinilam Sari Ahmad. Ada dua buah novel yang diterbitkan di bawah penerbitan Fajar Pakeer. Episod Cinta Luka dan Cinta Tak Berdusta. Khabarnya Megalomania III juga bakal diterbitkan di bawah penerbitan CESB tapi belum diketahui bila. Sekiranya merasa tak sabar untuk menunggu kesinambungan dari novel Megalomania, peminat-peminat semua bolehlah membacanya di website Novel Fatinilam Sari Ahmad.

Seperti novelnya yang sudah-sudah penulis menghidangkan sebuah perjalanan hidup dan kisah suka duka seorang gadis. Kisah cinta dua insan biasa yang tidak terlalu kaya dan juga tidak terlalu miskin melarat disulami dengan penyakit jiwa masyarakat yang dihidapi. Sememangnya saya terlalu lelah pabila membaca kisah cinta yang menggambarkan seorang gadis yang cantik bak bidadari tidak dapat dijentik lagi dengan seorang putera raja yang kaya raya tinggi melangit. Ditambah pula dengan nama yang bombastik dan seakan tidak berpijak di bumi nyata. Aduh.. penat sungguh.

Zuraidah, anak yang malang dibenci oleh semua anggota keluarga kerana dikatakan menjadi punca ayahnya berkahwin lain. Setiap kali memandang Zuraidah hati Idora merasa sakit terkenang nasib dimadukan. Zuraidah dipinggirkan. Sejak berkenalan dengan Syed Faeiz kesunyian hati Zuraidah selama ini terisi. Cinta pertama Zuraidah terhadap Syed Faeiz bersemi utuh di dalam hatinya.

Setiap percintaan semestinya dilanda dugaan. Tetapi dugaan percintaan Zuraidah-Syed Faeiz terlalu hebat. Syed Fairoz meninggal di dalam satu kemalangan jalanraya meninggalkan tunangnya, Rohaya, keseorangan menanggung malu kerana mengandung anak luar nikah. Idora memaksa Zuraidah menyuruh Syed Faeiz menikahi Rohaya supaya keluarganya terselamat dari aib. Dengan berat Syed Faeiz akhirnya bersetuju bertanggungjawab terhadap Rohaya memandangkan semua ini adalah angkara adiknya sendiri. Di sini saya tidak dapat merasa keberatan hati Syed Faeiz untuk setuju berkahwin dengan Rohaya kerana garapannya terlalu singkat.

Zuraidah membawa diri ke kota dengan hati yang kecewa. Hidup keseorangan dan sekepian di dalam suasana kota yang serba mencabar. Datuk Hakim cuba memancing kasih Zuraidah dalam diam. Zuraidah tidak berniat untuk jatuh cinta dengan kekasih Marissa tetapi lebih kepada ingin menumpang kasih untuk merawat hati yang kesepian. Setelah Marissa meninggal perhubungan Zuraidah dan Datuk Hakim menjadi lebih terbuka sehingga akhirnya Datuk Hakim melamar Zuraidah.

Pertemuan singkat selama empat hari dengan Chairel adalah kesilapan besar dalam hidup Zuraidah. Tanpa usul periksa dan demi untuk menjauhkan diri dari Datuk Hakim Zuraidah mengahwini Chairel. Zuraidah tidak mengetahui Chairel hanyalah seorang budak suruhan dan mempunyai agenda lain di sebalik perkahwinan mereka. Hidup Zuraidah ditimpa bencana lagi bila dia dipecat dari kerja dan kereta serta wang simpanannya habis dikikis Chairel.

Kembali keseorangan Zuraidah mengambil jalan singkat dengan menjual maruah diri kepada lelaki-lelaki yang menagih kasih dan dahagakan kemanjaan seorang perempuan. Hidup Zuraidah tersesat sudah. Dalam kesesatan rupanya masih ada insan yang ikhlas untuk bersimpati. Di saat Zuraidah ditimpa kemalangan Doktor Hisham telah menyelamatkannya dan membawanya pulang ke rumah. Bonda Halimah adalah seorang yang berhati bersih. Membantu merawat diri dan jiwa Zuraidah supaya kembali ke jalan yang benar.

Di awal novel ini terlalu banyak kesalahan ejaan yang mengganggu pembacaan saya. Nasib baiklah jalan ceritanya yang lancar tidak membuatkan saya lelah untuk menatapnya hingga ke akhir mukasurat.


Baca Selanjutnya..

Sunday, April 12, 2009

Qasidah Istighfar

Baca Selanjutnya..

Penjual Keropok


"Assalamualaikum."

"Assalamualaikum."
Petang itu aku didatangi seorang budak lelaki penjual keropok. Aku yang baru selesai memanaskan masakan makan tengahari tadi bergegas menjengok ke luar seraya membalas salam yang sudah entah ke berapa kali dihulurkan.

"Kak, saya jual keropok. Beli lah, kak. Hanya ada 3 bungkus lagi ni. Saya nak habiskan keropok ni petang ni jugak. Tolonglah beli, kak," panjang lebar budak itu berkata. Bukan nada mendesak tetapi lebih kepada merayu supaya aku membeli keropok yang dijualnya.

Aku memandang saja budak lelaki itu. Tubuhnya agak tinggi dan kurus. Mungkin umurnya dalam lingkungan tigabelas hingga enam belas tahun. Berbaju dan seluar lusuh. Di wajahnya terpalit kepenatan yang bukan sedikit. Mungkin kerana terpaksa berpanas berjalan menjual keropok dari rumah ke rumah. Dari pelat pertuturannya aku tahu budak itu bukan orang sini.

"Kamu dari mana?" aku bertanya inginkan kepastian.

"Saya dari Nara (Narathiwat), kak. Sekarang ni cuti sekolah jadi saya cari duit sikit jual keropok untuk bayar yuran sekolah."

"Mak kamu?"

"Mak kat rumah jaga adik."

"Berapa orang adik kamu?"

"Lima orang, kak."

"Bapak?" tanya aku lagi macam mata-mata gelap.

"Bapak sakit lumpuh kena langgar motosikal."

Aku tersentak mendengar jawapan budak itu. Terdiam aku seketika sambil mataku tak lepas memerhatikan budak lelaki itu. Umur yang sebegini muda sudah digalas dengan satu tanggungjawab yang berat menyara hidup keluarga. Sepatutnya umur sebegini diulit dengan buku-buku pelajaran dan waktu riadhahnya turun bermain bola di padang. Kasihan sungguh.

"kak, tolonglah beli keropok ni, kak. Saya takut nanti tokeh marah saya jual keropok ni tak habis. Tolonglah, kak." rayu budak itu lagi padaku meminta simpati. Sambil merayu kulihat dia menekan-nekan perutnya. Datang rasa simpati menerjah di hatiku. Aku masuk ke dalam mengambil beg duit untuk membayar harga keropok. Walaupun sebenarnya anak-anakku tidak suka makan keropok tetapi niatku hanyalah ingin menolong budak lelaki itu supaya dia dapat cepat pulang.

Di luar budak itu sudah duduk mencangkung sambil sesekali menekan-nekan perutnya. Aku mendekati budak itu lalu menghulurkan sejumlah wang harga keropok. Dia membalas dengan memberikanku tiga bungkus keropok. Dia mengucapkan terima kasih lalu ingin berlalu dari situ. Tangan kirinya masih lagi memegang perutnya yang sakit.

"Nanti dulu!" aku menahan budak itu dari pergi. Entah kenapa aku merasa sayu dan kasihan melihat keadaannya. Budak itu berpaling kehairanan.

"Kamu sudah makan?" aku tak tahu dari mana keyakinan untuk bertanya itu datang. Budak lelaki itu lambat-lamat menggeleng kepala. Perasaan kehairanan masih lagi terpamir di wajahnya.

"Nanti." setelah memberi isyarat tangan supaya budak itu tunggu maka dengan cepat aku masuk semula ke dalam rumah menuju ke dapur. Aku mengambil sepinggan nasi dengan lauk ikan masak lemak bersama segelas air masak. Cepat-cepat pula aku kembali menuju ke luar rumah mendapatkan budak tadi.

"Mari. Makan dulu sebelum pulang." aku meletakkan nasi dan air di atas meja di anjung rumah sambil menggamit kepada budak itu. Dia kelihatan terkejut dan teragak-agak.

"Marilah," aku meyakinkannya setelah melihat budak itu masih lagi tercegat berdiri tidak bergerak. Perlahan-lahan budak itu mendekatiku lalu duduk mengadap hidangan.

"Makanlah," aku bersuara lagi apabila melihat dia memandangku mencari keyakinan. Setelah membaca sepotong doa dia mengecap rezeki yang berada di hadapannya dengan perlahan. Aku hanya memerhatikan saja budak itu makan dengan perasaan yang bercampur baur. Aku tak tahu kenapa aku lakukan itu semua. Tiba-tiba saja perasaan kasihan itu datang dan dengan tak semena-mena aku merasa ingin membantu meringankan bebannya walaupun hanya sedikit dan bersifat sementara.

Makanan yang dihidang sudah licin di pinggan. Setelah membasuh tangan di pili yang terletak di halaman rumah budak itu mendekatiku. Dengan tersekat-sekat dia mengucapkan terimakasih kepadaku. Kulihat airmatanya bergenang memandangku. Aku hanya sekadar menghulurkan senyuman dan mengiringi budak itu berlalu pergi dengan pandangan mata. Rasa syukur kupanjatkan di dalam hati.

Ya Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, hari ini aku telah dapat memberikan sedikit dari nikmat kesenangan yang telah Engkau berikan kepadaku ini kepada seorang insan yang memerlukan.

Baca Selanjutnya..

Friday, April 10, 2009

Bila Nysrah Kata Tak Mahu









Tajuk Novel : Bila Nysrah Kata Tak Mahu
Karya : Aidil Khalid
Penerbit : Jemari Seni
Terbitan : 2008
Halaman : 427 mukasurat
Harga : rm18.00


Apa yang Nysrah tak mahu?

Cerita ini mengungkap tentang Nysrah, si manis 17 tahun yang berkereta api sendirian, berulang alik dari Tanah Merah ke Bahau pada setiap kali cuti sekolah tiba. Cerita penuh debar, penuh benci, penuh sinis, penuh pengajaran, namun sarat dengan hakikat ini, akan membuat kita berfikir seratus kali, sebelum melepaskan anak gadis berkelana malam-malam seorang diri ke mana-mana!

Kenapa pula Nysrah tak mahu?

Inilah sebuah cerita tentang Nysrah, dan perjalanannya. Tentang masa indah bersama teman-teman, jua tentang rasa indah dalam usia suntinya tatkala hatinya disapa kasih dia. Namun kenapa ada yang tega calarkan citra indahnya?

Cerita Nysrah dengan dia. Cerita Nysrah dengan Dia.

Aidil Khalid menulis secara telus dan lantang. Penulis muda, mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007 – anjuran Dewan Bahasa & Pustaka ini, memaparkan isu yang tidak terduga. Pelajar perundangan ini mempertaruhkan naratif yang jitu untuk membawa Bila Nysrah Kata Tak Mahu ke dunia sastera.
...............................................................................................................

Novel ini dah lame saya peram. Tak tahulah kenapa melihat kepada tajuknya terdetik di dalam hati suatu perasaan yang agak tidak enak untuk membacanya. Tajuknya saja telah sedia menggambarkan berlakunya suatu kejadian malang dalam hidup seorang gadis berusia 17 tahun ini. Kasihan Nysrah. Remaja yang baru saja bersemangat untuk meneroka kemanisan dunia serba indah namun terlebih dahulu diduga dengan seribu macam ujian yang menyakitkan.

Perjalanan pergi dan balik dari rumahnya di Kelantan ke sekolahnya di Serting, Negeri Sembilan dengan berkeretapi merupakan satu igauan ngeri untuk gadis yang bernama Nysrah. Sudah lah cuba dicabul oleh seorang berpangkat sarjan, duit dan barang-barang juga dirompak. Hal ini sudah berkali-kali dibawa ke tengah untuk perhatian pihak yang bertanggungjawab namun, semuanya mengambil sikap membutakan mata dan memekakkan telinga saja. Mentang-mentanglah Nysrah hanya seorang remaja biasa dan bukan tergolong di kalangan anak datuk datin maka suara ketidak puasan hatinya dipandang sepi.

Dugaan yang paling berat ditempuhi Nysrah bila kehormatannya diragut dan dirinya didapati mengandung. Dunia seakan terbalik dirasakan. Apatah lagi pabila satu-satunya insan yang diharapkan untuk membantunya telah menyisihkan diri dan meninggalkannya. Siapa yang tidak merasa putus asa bila semua angkara dan akibat dari orang lain diri sendiri yang terpaksa menanggung seorang diri. Nysrah nekad untuk membunuh diri akibat dari perasaan yang terlalu kecewa. Malang sungguh nasib Nysrah. Nasib baiklah Izati cepat menyedari keadaan Nysrah lalu dengan segera Nysrah dibawa ke hospital. Namun nasib malang Nysrah tidak berakhir di situ. Dua orang anggota polis telah datang untuk mendakwa Nysrah dengan kesalahan membunuh diri dan jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara setahun atau denda.

Baca Selanjutnya..

Wednesday, April 8, 2009

Bintang Hati - Azilawati Mat Angsar










Tajuk Novel : Bintang Hati
Karya : Azilawati Mat Angsar
Penerbit : CESB
Terbitan : 2009
Halaman : 360 mukasurat
Harga : rm17.90

Lebih sedekad Nurul Iman menutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki. Segalanya hanya kerana rasa kasih dan sayang pada sang arjuna hati yang tidak jadi dikahwini. Namun kehadiran Nafis, umpama cahaya yang menerangi malamnya yang suram tidak berbintang. Nafis, lelaki sempurna. Jejaka impian wanita. Namun kesempurnaan Nafis tidak berjaya membawa Nurul Iman ke alam cinta.

Lalu, Ilhan hadir mencuri ruang-ruang kosong yang gagal dipenuhi oleh Nafis. Dan perasaan sayang, diam-diam Ilhan anyam dengan harapan agar kasih mereka akan disatukan. Namun dalam diam-diam juga... Nurul Iman menolah kasih Ilhan. Cinta Nurul Iman hanya pada lelaki itu. Lelaki yang tidak jadi dikahwininya dahulu.

Kemunculan Harith yang tiba-tiba itu, benar-benar menguji kesetiaan Nurul Iman. bintang di hatinya bersinar kembali. Namun kehadiran Laura bagai membawa kasihnya pergi. Inikah dendam yang bertahun tersimpan di hati lelaki itu? Dan inikah masanya untuk Harith melihat dirinya sengsara? Sedang Nurul Iman tidak pernah sedar, hanya dia yang Harith cinta buat selamanya....
......................................................................................................................

Perjalanan cerita yang agak stabil tetapi perlahan. Setiap bab yang dibaca saya seringkali digamit tanda tanya. Penulis seakan mendera pembacanya kerana dalam setiap bab saya memperolehi hanya serpihan dari jawapan untuk setiap persoalan. Saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang penulis cuba sampaikan di dalam novel ini.


Kisah tentang Nurul Iman yang dicap pembawa sial oleh pakcik dan makciknya telah dihalau keluar dari rumah. Perkahwinan dengan insan tersayang sengaja dibatalkan kerana bimbang akan melekat kesialan memaksa Nurul Iman membawa diri walaupun hati masih lagi tetap menyintai Harith seorang.

Sepuluh tahun berlalu Nurul Iman rapat dengan Nafis. Sememangnya Nafis menyimpan perasaan yang luhur untuk Nurul Iman tetapi Nafis sudah memaklumi hati Nurul Iman sudah dimiliki. Timbul pula Ilhan, pekerja baru di Hakimi Public Accounts yang ternyata juga telah jatuh hati kepada Nurul Iman. Ilhan pula telah mengambil pendekatan untuk merapati adik Nurul Iman sebagai taktik untuk merebut hati Nurul Iman. Malangnya Nurul Izzah telah tersalah sangka. Dia menyangka cinta Ilhan untuknya. Berlakulah perselisihan faham antara dua beradik ini. Nurul Izzah tergamak pula menuduh Nurul Iman pembawa sial hanya kerana seorang lelaki sedangkan di bab yang lain penulis menceritakan begitu akrabnya ikatan persaudaraan mereka berdua. Saya dipalu kehairanan. Macam cerita sinetron Indonesia pulak. Sekejap berubah ke kiri sekejap lagi berubah ke kanan.

Kisah cinta Nurul Iman dan Harith terjalin semula apabila mereka bertemu di Hariman Way's. Membongkar kisah-kisah cinta lama yang ternyata masih segar dan tumbuh di dalam diri masing-masing. Namun masing-masing tetap control macho dan menidakkan perasaan sendiri yang bergelora.

Harith cuba menarik perhatian kekasihnya dengan menggunakan Laura sebagai senjata untuk menyakitkan hati Nurul Iman. Berkesan. Sakit hati yang ditanggung membuatkan Nurul Iman sengsara. Nafislah tempat dia mengadu hal. Nafis yang terpaksa mendengar walaupun hatinya juga dicuri oleh Nurul Iman. Namun Nafis terpaksa akur, cinta Nurul Iman hanya untuk Harith sejak dari dulu lagi dan tidak berubah.





Baca Selanjutnya..

Tuesday, April 7, 2009

Kurniaan Allah



Aku minta pada Allah setangkai bunga segar
Dia beri aku kaktus berduri

Aku minta pada Allah binatang peliharaan yang cantik
Dia beri aku ulat berbulu

Aku sedih, kecewa lalu merajuk
Betapa tidak adilnya

Kemudian tanpa disedari
kaktus itu berbunga indah
dan ulat menjadi kupu-kupu yang cantik

Itulah jalan Allah,
selalu indah pada waktunya
Allah tidak memberi apa yang kita harapkan
tetapi Dia memberi yang kita perlukan
Sedih, kecewa, terluka tapi di atas segalanya
Ia sedang mengajar erti kehidupan

Banyak rahsiaNya yang belum terungkap
Semoga kita termasuk orang yang bersyukur dan sabar..

Baca Selanjutnya..

Monday, April 6, 2009

Suzana - Abu Azzaki









Tajuk Novel : Suzanna
Karya : Abu Azzaki
Penerbit : IBook Publications
Terbitan : 2007
Halaman : 670 mukasurat
Harga : rm23.00

Tergaman aku mendengar kata-kata daripadanya. Terasa seperti jantungku berhenti berdenyut. Mukaku pucat lesi seperti orang menghidap penyakit kuning. Sungguh biadap budak kampung ini menyuruh aku meninggalkan agama yang aku anuti serti sanjungi dan mengambil agamanya yang selama ini aku musuhi. Agama yang mengembalikan manusia ke zaman unta. Kata-katanya sungguh tidak sopan dan tidak menghormati perasaan aku. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku sumbat mulutnya yang celupar dengan penumbukku biar bisu. Aku merenung tajam ke arah mukanya sambil menahan perasaan marah. Aku khuatir kalau aku tidak dapat mengawal diri, buruk akibatnya. dia sedar perubahanku. Walau bagaimanapun wajahnya kelihatan tenang bersahaja, tanpa menunjukkan rasa bersalah...
......................................................................................................................................
Pada mulanya saya menyangka novel ini adalah sebuah novel cinta seorang gadis yang bernama Suzana yang biasa-biasa saja. Saya juga tidak membaca sinopsis di belakang buku kerana saya juga yakin ianya sama dengan novel-novel cinta yang lain. Setelah mula membaca baru saya perasan bahawa cerita di dalam novel ini berlainan dari novel yang lain. Mesej yang ingin disampaikan adalah cukup menarik sekali.

Suzana adalah nama Islam kepada Suzan Lee Geik Choo. Cerita ini adalah perjalanan hidup Suzan, gadis china yang hidup di dalam serba kemewahan. Anak bongsu yang manja kepada seorang taukeh balak terkenal, Datuk Lee dan Datin Mary. Melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya bukanlah kerana Suzan kurang berkelulusan untuk diterima masuk ke universiti ternama di luar negara tetapi kerana dia terlalu manja dan tidak boleh berenggang dengan mama dan papanya. Sudahlah dilimpahi kemewahan harta, Suzan juga seorang yang sempurna rupa parasnya dan digilai oleh semua pemuda yang memandang. Di UM, Suzan lebih dikenali sebagai Marylin Monroe kerana rupa parasnya yang jelita bak artis lagenda itu. Mempunyai seorang teman lelaki bernama Liew.

Insiden kecurian duit telah menemukan Suzan dengan seorang jejaka Melayu, Razali Daud yang hanya dipanggil Li saja. Li juga penuntut UM berasal dari keluarga miskin dan tak setanding dengan Suzan. Li juga bekerja part time untuk membantu ibu di kampung menyara adik-adik yang masih bersekolah.

Walaupun berasal dari keluarga miskin tetapi Li adalah seorang yang berjiwa besar, petah berbahas dan seorang yang tidak mudah mengalah dengan dugaan hidup. Semua yang ada pada Li membuatkan hati Suzan tertarik untuk mendekati dan ingin tahu. Ada saja masa terluang mereka akan berdebat dan berbincang bersama di perpustakaan. Tajuk perbincangan mereka adalah selalu mengenai pegangan agama masing-masing. Suzan menghuraikan tentang agama Kristiannya manakala Li menjelaskan tentang agama Islamnya.

Di sini saya dapat melihat penulis begitu kreatif di dalam idea yang disampaikan. Mesej-mesej yang cuba dihuraikan melalui hujah-hujah Li di dalam cerita ini adalah sangat bernas dan berbentuk dakwah Islamiah. Persoalan yang ditimbulkan di dalam novel ini adalah persoalan yang selalu dibahas oleh kebanyakan penganut agama lain tentang Islam. Contohnya, Islam yang kuno, Islam yang menyekat kebebasan wanita berpakaian, Islam yang membenarkan lelaki berkahwin empat dan Islam yang membenarkan hukuman potong tangan kepada pencuri. Persoalan-persoalan yang saya rasa bukan saja dibahas oleh penganut agama lain tetapi juga di kalangan penganut agama Islam sendiri.

Dengan menggunakan bahasa yang mudah dan bersahaja penulis menyerapkan kebenaran supaya pembaca dapat berfikir bahawa Islam adalah suatu agama yang mudah dan cukup sempurna untuk dianuti. Islam itu sendiri adalah suatu agama yang lengkap segala-galanya. Dan mempunyai semua jawapan untuk semua persoalan.

Perbahasan dan perbincangan tentang agama membuatkan hati Suzan berkecamuk. Suzan keliru apakah agama yang dianutinya sekarang ini adalah agama yang sebenar-benarnya. Suzan mula berminat untuk membaca tentang sejarah Nabi Muhammad dan salahsilah asal perjuangan baginda. Semua buku-buku yang menghuraikan tentang tata cara hidup Islam, aqidah Islam, wanita di dalam Islam membuatkan hati Suzan merasa kagum dan teruja. Suzan mula tidak yakin dengan agama Kristian yang dianutinya. Hari-hari perbincangan di antara Suzan dan Li pada mulanya berdasarkan pandangan mencari kebenaran telah berlarutan menjadi perbincangan secara ilmiah yang serius.

Pegangan agama Suzan tergugah akhirnya. Pada mulanya Suzan memilih untuk bebas dari sebarang agama. Tetapi hatinya tidak dapat lari dari membenarkan Islam sebagai agama yang dicintainya kini. Keinginan untuk menganut agama Islam dikhabarkan kepada Li di bilik perbincangan yang menjadi tempat selalu mereka jumpa. Terharu di hati saya membaca saat-saat Suzan yang sanggup patah hati ditinggalkan oleh kekasih semata-mata kerana ingin memeluk Islam. Di bilik perbincangan itu Suzan akhirnya mengucap dua kalimah syahadat yang diajarkan oleh Li dan bersaksikan Li. Syukur Alhamdulillah... Saya yang membaca cerita ini juga turut mengucap syukur dan hampir berlinangan airmata. Ternyata Islam Suzan adalah tulen dan kerana Allah, bukan kerana orang lain.

Bermulalah perjalanan hidup baru bagi Suzan @ Suzana sebagai seorang muslimah yang sudah tentunya bermacam dugaan dan cabaran yang menanti. Dibuang oleh keluarga kerana memeluk agama Islam dan berhasrat pula untuk berkahwin dengan Li. Sebenarnya bibit-bibit cinta yang tumbuh antara Suzana dan Li memang simbolik. Ianya bukan cinta seperti pasangan kekasih yang lain. Bak kata pepatah dari mata jatuh ke hati. Cinta Suzana-Li adalah sepenuhnya berpandukan iman. Setiap rasa yang tumbuh di dalam hati, mereka akan bermunajat dan memohon petunjuk dari Ilahi. Setelah lahir keyakinan di dalam hati bahawa ini semua kehendak Ilahi barulah mereka menyatakan hasrat masing-masing untuk bersama. Sungguh kagum membaca kisah cinta mereka berdua.

Buku ini adalah suatu pendekatan yang menarik untuk mendakwahkan pembaca. Di samping kisah cinta Suzan-Liew dan Suzana-Li secara tak langsung pembaca dapat menghayati pengertian tentang agama dan hidup dalam beragama dengan lebih mendalam. Li adalah contoh terbaik bagi seorang muslim yang sejati. Saya kagum dengan sifatnya yang tidak suka bercakap bohong. Rata-rata di dalam dunia sekarang ini terlalu banyak dihidangkan kebohongan. Sehinggakan kita merasa satu kebohongan itu adalah perkara biasa-biasa saja seolah-olah tidak mendatangkan dosa. Dengan wujudnya karakter Li yang sebegini membuatkan saya lebih merasa pentingnya untuk kita bercakap benar dan tidak sekali-kali berbohong.




Baca Selanjutnya..

Sunday, April 5, 2009

Tinggallah Pujaan...















Tajuk Novel : Tinggallah Pujaan...
Karya : Mimie Afinie
Penerbit : Karnadya
Terbitan : 2007
Halaman : 559 mukasurat
Harga : rm19.90

Hampir setahun Mimie Afinie menyepikan diri. Kini, beliau muncul lagi dengan hasil karya terbarunya. Selepas BISIKAN RINDU, MASIH ADA RINDU dan MAAFKAN KU SAYANG, Tinggalah Pujaan menjanjikan suatu kelainan. Sebuah novel romantik yang turut disulami dengan adegan-adegan lucu dan menyayat hati.

NURAIN seorg kanak2 nakal, lincah & periang. Meskipun tanpa ayah di sisi, dia tidak pernah peduli. Apatah lagi, dia punyai Norman sebagai tempat menumpang kasih dan manja. Normanlah abang dan Normanlah juga sahabat. Malah dia juga ada Haikal, teman akrab yang sentiasa bersedia menjadi pelindung.

Bahagianya tidak berpanjangan apabila Norman terpaksa mengikut keluarganya berpindah ke Selangor. Perpisahan itu bagai meragut seluruh cerianya. Dia rasa amat kehilangan. Saban hari dia menunggu kedatangan warkah & saban hari juga dia menanti kunjungan Norman. Namun, anak muda itu terus menyepi tanpa sebarang khabar berita.

Masa berlalu dan silih berganti. Kini Nurain bukan lagi gadis cilik yg tidak mengerti apa-apa. Kedewasaan mengajarnya erti cinta & rindu. Kpd siapa lagi harus ditumpahkan segenap rasanya itu kalau bukan Haikal? Lelaki yg sentiasa menemani di saat susah dan senang, di kala suka & juga duka.

Tatkala hati sudah melupakan, Norman hadir semula menceriakan hari-harinya dan hari-hari Haikal juga. Namun, kiranya kedatangan itu telah mengubah segalanya...

”Tinggallah Pujaan...” ungkapan yang amat memeritkan Nurain... Namun dia harus merelakan.
.................................................................................................................

Novel ini saya beli di pesta buku antarabangsa dua tahun yang lalu. Siap ada tandatangan dari penulis lagi. Berbaloi membaca novel yang satu ini. Sememangnya saya meminati karya dari Mimie Afinie. Memang menarik dan menghiburkan.


Nurain semasa kanak-kanak adalah seorang yang sangat nakal. Selalu menagih perhatian dan kasih sayang dari Norman anak jiran sekampungnya. Nurain gemar belajar melukis dengan Norman. Berbagai alasan dicipta Nurain supaya dia dapat lepas dari ibunya yang menyuruhnya melayan si adik yang kesunyian semata-mata untuk bermain dengan Norman. Yang paling kelakar dan mencuit hati sekali ialah pabila Nurain sengaja menanam seliparnya supaya dia dapat dibelikan selipar baru. Memang bijak dan kelakar budak Nurain ni.

Sehinggalah di suatu hari Norman terpaksa mengikut keluarganya berpindah ke bandar. Tinggallah Norain keseorangan di kampung. Yang menemani Nurain hanyalah Haikal.

Setelah pemergian Norman, Nurain pada mulanya masih menanti khabar dari Norman tetapi apa yang diharapkan tak kunjung tiba. Nurain berputus asa. Nurain tidak lagi mengharap apa-apa walaupun di dalam hati dia masih lagi mengingati Norman. Jalinan perhubungan Nurain dan Haikal yang pada awalnya sekadar sebuah persahabatan yang akrab bertukar menjadi hubungan cinta yang serius. Mereka berjanji untuk sehidup semati. Akan tetapi perhubungan itu dirahsiakan dari pengetahuan Pak Su.

Pak Su yang inginkan anak buahnya cepat-cepat mendirikan rumahtangga selalu memperkenalkan Nurain dengan kawan-kawan pensyarahnya yang masih bujang. Salah seorang daripadanya ialah Norman. Maka terjalinlah semula persahabatan di antara Norman, Nurain dan Haikal. Percintaan rahsia Nurain-Haikal rupa-rupanya menjadi satu masalah bagi mereka pabila Norman melamar Nurain. Dan tanpa diduga Haikal mengakhiri hubungan cinta mereka tanpa memberi apa-apa alasan. Kasihan Nurain. Untuk mengubat hatinya yang luka dan atas desakan Pak Su akhirnya Nurain menerima Norman walaupun dalam hatinya masih ada Haikal. Rupa-rupanya ada rahsia tersembunyi yang membuatkan Haikal memutuskan perhubungan mereka.

Ini adalah antara novel terbaik yang pernah saya baca. Syabas untuk penulis kerana berjaya mencuit hati pembaca agar bisa tersenyum juga menangis kesedihan menghayati novel ini. Garapan cerita ini bermula dengan perlahan tetapi lancar. Banyak situasi yang membuatkan hati saya merasa turun naik. Apa yang menarik di dalam novel ini ialah ikatan persahabatan yang luhur yang terjalin di antara Nurain-Norman-Haikal sejak berusia kanak-kanak hinggalah meningkat dewasa. Apabila meningkat dewasa barulah persahabatan itu bertukar menjadi ikatan kasih sayang. Novel ini adalah sebuah kisah cinta sedih tetapi pada akhirnya telah bertukar menjadi happy ending. Tahniah untuk Mimie Afinie.






Baca Selanjutnya..

Ku Ingin Bersamamu









Tajuk Novel : Kuingin Bersamamu
Karya : Dyza Ainun
Penerbit : Buku Prima
Terbitan : 2009
Halaman : 556 mukasurat
Harga : rm18.90

Rasa yang mencengkam di kamar hati, siapakah yang mampu mengerti? Bila rindu berladung, segalanya jadi begitu mengasyikkan. Namun, seksanya memugar di hati. Dalam seksa itu, dia menghimpun mimpi untuk melanggari hidup bersama insan tersayang. Namun, cinta terkelar di pertengahan jalan. Hatinya jadi lunyai oleh impi yang hancur. Dia keterpaksaan melepaskan segala impinya melurut di ujung hiba......... Dida Qistina

Rindunya yang sadis tetap dilayaninya penuh perasaan. Dari kejauhan, dia mengumpul kasih yang limpah buat insan bergelar Dida Qistina. Hanya sekadar rasa terhibur dengan seorang gaids yang mampu mengubat lara di hatinya. Kasih hidup dalam diam. Lalu, tiap rasa yang hadir dinikmati penuh syahdu...... Ziqree Hadiff

"Ima bersumpa. Bayi dalam kandungan ini anak abang! Kalau abang tak percaya, minggu depan, kita akan jumpa doktor buat DNA. Doktor yang akan menjawab persoalan itu, bang!"......... Syarifah Ima Arni.

"Kau kena tahu, Dida. Aku ni jenis manusia yang tak pernah tahu nak mengalah. Apa yang aku nak, pasti aku cuba rebut walau macam mana caranya. Apa lagi orang yang handsome dan kaya-raya macam Abang Ziq tu!"........ Syarifah Ima Arni.
.....................................................................................................................

Haji Alias ingin sangat menjodohkan anak perempuannya yang montel dengan Ziqree Hadiff. Ziqree Hadiff yang baru saja putus tunang dengan Nina Harleena masih lagi dalam proses mengubat hati yang luka. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Haji Alias untuk mendesak Ziqree supaya menerima Dida Qistina sebagai pengganti. Ziqree menjadi serba salah.


Sebelum menerima Dida Qistina sebagai teman hidup, Ziqree telah membuat satu kontrak. Kontrak ini perlu dipatuhi oleh Dida selama dua tahun pemergian Ziqree ke New Zealand untuk melanjutkan pelajaran. Pada mulanya Haji Alias tidak bersetuju tetapi Dida Qistina pula menerima kontrak itu dengan senang hati. Bagi Dida Qistina kontrak itu tersangat mudah untuk dipatuhi dan tidak mempunyai peraturan-peraturan yang menyulitkannya.

Dida Qistina ni seorang gadis yang montel, periang dan berperwatakan sederhana. Sangat mementingkan kebahagiaan ayah dan ibunya. Selalu patuh dengan apa jua suruhan orang tua tanpa banyak soal. Walaupun montel tetapi mempunyai seraut wajah yang manis. Sepanjang pemergian Ziqree ke New Zealand Dida selalu bermain chatting dengan dua orang jejaka yang dikenalinya melalui internet. Encik Kacang dan Mat Gendut. Saban hari bermain chatting barulah Dida mengetahui rupa-rupanya Encik Kacang adalah Ziqree.

Setelah membuat pemeriksaan kesihatan, Dida Qistina didapati mempunyai kolesterol dalam darah yang terlalu tinggi. Dida kemungkinan boleh pengsan dan koma secara tiba-tiba. Situasi ini amat menakutkan Dida. Aiman, kawan Ziqree membantu Dida dalam proses melangsingkan badan yang berjalan selama enam hingga lapan bulan. Dida juga ditawarkan menjadi duta kepada program pelangsingan itu sekiranya Dida berjaya menguruskan badannya.

Dalam novel ini banyak menceritakan proses pelangsingan badan, cara menurunkan berat badan, menghilangkan selulit dan mengamalkan cara pemakanan yang betul. Untuk sesiapa yang terasa berat badannya berlebihan dan berniat untuk menurunkannya saya rasa Dida adalah sebagai contoh dan motivasi yang sesuai.

Dengan azam yang tinggi dan kecekalan diri Dida berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 30 kilogram dalam masa 10 bulan. Dida telah berubah menjadi gadis yang dulunya montel kini seorang yang langsing dan menarik. Kolesterol dalam badannya juga telah stabil semula. Dida juga sering dibawa oleh Aiman dalam urusan promosi program pelangsingan badan. Dalam erti kata lain Dida sekarang dah jadi model yang terkenal dan mendapat perhatian ramai.

Bermula lah pula karier Dida Qistina sebagai seorang model. Daripada model program pelangsingan badan sehingga ke model syampu rambut. Diminati oleh semua orang termasuk datuk-datuk yang mencuba nasib memancing niat terselindung. Tetapi Aiman sebagai pengurus Dida sangat bijak menangani masalah ini tanpa pengetahuan Dida. Aiman tidak akan biarkan Dida ditawan oleh mana-mana lelaki kecuali Ziqree. Sementalah amanah besar yang terpaksa dipikulnya sepanjang ketiadaan Ziqree selama dua tahun.

Melihatkan perubahan saiz dan bentuk badan Dida yang amat ketara membuatkan hati Ziqree tertawan. Sememangnya betullah tiada lelaki yang mahukan kekasihnya berbadan gemuk. Tugas Ziqree pula untuk menawan hati Dida supaya jatuh cinta padanya.

Novel ini agak mendatar dan perjalanan cerita di awalnya sangat perlahan. Klimaks untuk cerita ini juga seakan-akan tidak sampai. Ianya seolah-olah membaca perjalanan hidup Dida yang montel ditransformasikan menjadi Dida yang langsing dan menawan. Penampilan Dida yang menarik inilah yang mendapat perhatian dari Ziqree dan orang-orang lain juga yang sebelum ini mencemuh dan mentertawakannya.







Baca Selanjutnya..

Thursday, April 2, 2009

Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun!













Tajuk Buku : Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun!
Tulisan : Haji Ahmad Haris Suhaimi
Penerbit : HRs Consultant
Terbitan : Cetakan Kelima 2008
Halaman : 381 mukasurat
Harga : rm28.90

Buku yang menunjuk ajar kita bagaimana untuk memperolehi keberuntungan di akhirat dengan cara yang mudah tanpa menjejaskan tugas-tugas harian yang perlu dibereskan.

Antara yang dibincangkan di dalam buku ini ialah:

1. Bagaimana cara mendapat pahala yang besar dengan melakukan amalan yang sedikit seolah-olah hidup ribuan tahun di dunia.
2. Cara-cara melipatgandakan pahala sewaktu mengerjakan Haji dan Umrah, terutama semasa berada di tanah suci Mekah dan Madinah.
3. Cara mendapat keampunan dosa-dosa dari Allah SWT dengan amalan yang mudah insyaAllah, berserta niat yang ikhlas.
4. Bagaimana menyusun jadual amalan harian supaya mudah diamalkan bagi mendapatkan kelebihan yang besar.
5. Cara untuk mengelakkan supaya pahala yang banyak tidak terhapus di akhirat.
6. Cara membangkitkan semangat untuk rajin beribadah dan menambahkan kecintaan kepada Allah SWT melebihi kecintaan kepada makhluk sesama manusia.

Ianya sebuah buku yang menerangkan cara mendapatkan pulangan pelaburan yang besar di akhirat dan cara mengelakkan kerugian, di samping menjawab beberapa salah tanggapan terhadap ajaran Islam serta salah tanggapan terhadap pengertian ibadah yang sebenar.

Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin