Tuesday, June 30, 2009

Sepi Itu - Khadijah Hashim

Sepi itu sepasang daun pintu
membuka luas ruang fikir
bersama air bersih membasuh mata kelabu
mencari buah jujur di pohon kebenaran

Sepi itu mengasah tajam sepasang telinga
mendengar hikayat si bunga hati
tiada dusta atau apa-apa
wangi atau busuk rela dihidu

Sepi itu penggerak langkah pertama
ke perjalanan yang jauh
menyusuri lorong selamat untuk sampai
memeriksa bekal mengisi tabung hayat

Sepi itu penyuluh di gelap malam
bulan penuh bintang bertabur
jalan berliku nampak lurus jelas
cahaya iman cerah memancar

Sepi itu membuka gedung ilmu
mencanai akal mencabar bijaksana
banyak soalan minta dijawab:
lebar payung langit…
di mana tiangnya?
pasang surut air di laut bersilih ganti..
di mana mesin penggilirnya?
siang malam ombak memukul pantai…
kenapa tidah pernah bercuti?

Sepi itu sekuntum mawar
mengharum taman hati dua kekasih
membina jambatan cinta suci
menyambung rindu dari benua ke benua

Sepi itu sehelai kain sutera
lembut halus pakaian jiwa

Baca Selanjutnya..

Saturday, June 27, 2009

Dalam Kehadiran Sofiah









Tajuk Novel : Dalam Kehadiran Sofiah
Karya : Saripah Bakar
Penerbit : PTS Fortuna
Terbitan : 2007
Halaman : 346 mukasurat
Harga : rm24.90

Jika Kau tiba-tiba menyarung kasutku
Terlantar tanpa daya atau terkurung
Dalam ruang sesempit duniaku...

Setiap insan berpotensi menjadi seperti kami
Hanya dengan cubaan dan anugerahNya jua
Sedang tidak mungkin kami kembali berdiri
Dan hari kami yang jauh tersingkir
Mencari sudut-sudut asing...

Bukankah anda lebih mudah mengerti
Hati kami yang sekecil hama ini?
............................................................................................

Sebenarnya saya pantang kalau berjumpa dengan buku cerita tentang kehidupan anak istimewa pasti menarik minat saya untuk membacanya. Salah satu sebab ialah supaya saya merasa lega dan bersyukur kerana bukan saya seorang saja yang mempunyai anak istimewa. Dan bukan juga hati saya seorang saja yang lara dalam membesarkan anak yang seumpama ini. Masih ada orang lain yang lebih 'bertuah' dan lebih perih mengharungi hidup demi untuk cahaya mata tercinta.

Novel ini adalah sebuah cerita sebenar yang digarap oleh penulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis membesarkan seorang anak istimewa. Suhana adalah salah seorang ibu yang menghadapi kesukaran dalam mengharungi detik-detik melahirkan anak pertama. Oleh kerana masalah kewangan yang mencengkam Suhana hanya mampu melahirkan anak di hospital kerajaan sahaja. Bila sebut saja hospital kerajaan, entah kenapa saya ngilu dan berasa gerun. Sudah banyak cerita yang tidak elok yang saya atau mungkin juga anda pernah dengar tentang layanan yang diberikan terhadap ibu-ibu yang bersalin.

Para ibu yang melahirkan anak sebenarnya diibaratkan sebagai menyabung nyawa mereka sendiri untuk orang lain. Malah hadis riwayat al-Hassan bin Safwan, Tabrani dan Ibnu As-Sahin dan Salamah menjelaskan lagi kelebihan yang diperoleh wanita yang mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anaknya. Allah memberikan pahala kepadanya sebagaimana pahala orang berjihad fisabilillah. Apabila ia berasa sakit untuk melahirkan anaknya, maka ia mendapat pahala yang banyak sekali sehingga manusia tidak mengerti berapa banyaknya pahala itu. Apabila telah lahir lalu disusui anak, bagi ibu itu setiap teguk dari susunya, Allah memberi dia pahala satu kebaikan. Apabila si ibu semalaman tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberi pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

Melahirkan anak pertama sudah semestinya memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari para doktor dan jururawat tetapi sebaliknya Suhana diherdik, disindir dan dibiarkan menanggung kesakitan berseorangan oleh doktor yang bertugas di situ. Disuruh meneran untuk mengeluarkan anak sesuka hati saja lalu akhirnya Suhana keletihan. Mujurlah ada seorang jururawat yang prihatin membantu dan menunjuk ajar Suhana. Akhirnya anak pertama Suhana lahir jua dan diberi nama Sofiah.

Walaupun Sofiah kelihatan seperti bayi normal (sepatutnya Sofiah dilahirkan normal) tetapi disebabkan komplikasi semasa melahirkan menyebabkan Sofiah mengalami masalah yang dipanggil Celebrar Palsy. Ulang alik turun naik ke hospital untuk membuat pemeriksaan ke atas Sofiah selama beberapa bulan masih tidak mendapat jawapan. Penat lelah dan masa yang dihabiskan semasa menunggu nombor giliran di hospital usah dikira. Peluh keringat dalam perjalanan pergi dan balik ke hospital dengan motosikal usah dihitung. Namun Sofiah masih seperti itu juga. Tiada perubahan... dan tiada jawapan.

Mungkin juga Suhana tidak berpengalaman untuk mengesan penyakit yang dihidapi oleh anaknya Sofiah. Sehinggalah di suatu ketika Sofiah mengidap demam panas yang kritikal. Setelah badan Sofiah sudah kejang dan mulut berbuih barulah Suhana membawa Sofiah ke hospital. Hal yang sama dulunya berlaku kepada diri saya. Saya tidak dapat mengagak anak istimewa saya alahan susu formula yang diberikan kepadanya sehinggalah dia mengalami muntah dan cirit birit yang teruk sehingga terpaksa dibawa ke hospital kerana dihedrasi. Betullah kata pepatah. Sesungguhnya pengalaman adalah guru yang paling berkesan.

Menjaga anak istimewa adalah seperti menatang minyak yang penuh. Semasa bayi senang dihinggapi pelbagai penyakit sekiranya tidak dipantau. Bila meningkat usia lain pula halnya. Pandangan dari orang sekeliling juga seringkali menyakitkan hati. Bagi sesetengah orang, insan istimewa begini adalah beban dan dipandang hina. Di pusat penjagaan kanak-kanak Sofiah dipinggirkan kerana tidak mampu berdikari. Dirinya dibiarkan berada di dalam buaian dalam masa yang terlalu lama dengan lampin yang lencun kerana lama tidak ditukar. Bayangkanlah hati ibu mana yang tidak sayu melihat anak yang dikasihi diperlakukan seperti itu. Tidak cukup dengan itu Sofiah juga dizalimi oleh penjaga di situ. Bukti lebam-lebam di celah peha dan lengan yang dibawa balik oleh Sofiah amat menghangatkan hati ibu bapanya.

Apabila dibawa berjalan dan bersiar-siar pula Sofiah diejek oleh mereka yang bergelar manusia normal. Hal sebegini memang berlaku juga ke atas permata hati saya. Semasa bermain-main dengan anak jiran sebelah di suatu hari saya terdengar anak-anak jiran bersorak memanggil anak saya "budak cacat, budak cacat,". Anak saya yang tidak tahu apa-apa hanya tersenyum dan ketawa. Berlinangan airmata tidak dapat saya tahankan.

Saya kira Suhana dan Azman adalah ibu bapa yang mengambil berat tentang masa depan Sofiah pabila mereka menghantar Sofiah ke PDK. Ya, itulah satu langkah yang tepat dalam mengajar Sofiah berdikari. Tapi saya kira nasib Sofiah agak baik berbanding dengan anak saya. Semasa di PDK Jalan Bintang dulu, saya tidak tahu di mana silapnya pabila guru-guru di sana lebih mementingkan akademik berbanding perkembangan sahsiah diri. Bayangkan murid-murid yang istimewa ini dipaksa menghafal a b c dan 1 2 3 secara intensif. Sekiranya tidak dapat menghafal mereka akan dipukul. Saya juga pernah diherdik oleh guru di situ kerana anak saya lambat datang ke sekolah serta tidak mahu membuat kerja sekolah. Sudahnya anak saya tidak mahu langsung ke sekolah. Hampir setahun lamanya anak saya tidak bersekolah. Setelah berpindah ke Semenanjung barulah anak saya seronok semula untuk bersekolah. Ternyata PDK di Semenanjung dan Jalan Bintang amat berbeza sekali pendekatannya. Lega rasanya bila melihat anak saya dapat berkawan dan berinteraksi dengan baik bersama rakan-rakan.

Buku ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan pembaca bahawa wujudnya insan istimewa sebegini di kalangan kita dan tidak seharusnya kita beranggapan serong terhadap mereka. Sebaliknya kita sebagai 'insan sempurna' yang dijadikan Allah untuk membantu mereka menjalani hidup sehari-hari dengan aman dan selesa. Tidak ada manusia yang mahu dirinya dilahirkan cacat. Namun ketahuilah oleh kita semua bahawa insan yang kita anggap cacat ini sebenarnya lebih mulia dari kita. Kerana mereka adalah ahli syurga yang tidak berdosa, tidak pernah akan membuat dosa. Datang mereka dari syurga dan kembali mereka juga pasti akan terbuka kesemua pintu syurga.

Baca Selanjutnya..

Tuesday, June 23, 2009

Bidadari Cinta

Tajuk Novel : Bidadari Cinta
Karya : Samsiah Mohd Nor
Penerbit : S.A. Production Sdn. Bhd.
Terbitan : 2009
Halaman : 508 mukasurat
Harga : rm19.90

Pertama kali melihat Aju di pinggir kafetaria Desa permai, pintu hati Ray berdegup kencang. Kebijaksanaan si gadis mempertahankan diri dari gangguan pelajar senior menarik hati Ray. di dalam feri menuju ke kampus USM, keduanya ditemukan. Dari situ semuanya bermula dgn indah. Namun penyatuan dua hati itu amat sukar sekali.

Aju
Kau seperti rama-rama yg indah berterbangan
kau seperti pelangi yg gemilang
Aku tahu apa mahu hatimu sabarlah sayang.

Ray
sukarnya membaca hatimu seperti sukarnya aku mentafsir warna laut yg kononnya biru.

Aju
Aku tak pernah curiga tentang putihnya warna awan...yg seputih hatimu

Ray
Kebisuanmu melemaskan aku... aku sudah sampai di persimpangan.

Apakah kesudahan perkasihan Ray dan Aju?
Apa salahnya dan di mana silapnya sehingga banyak benar rintangan yg melintang antara mereka?

Bidadari Cinta
mengungkapkan sebuah perkasihan yg tulus, erti persahabatan dan erti pengorbanan.
........................................................................................................

Wah.. sudah lama saya menantikan karya terbaru dari penulis tersohor ini. Bila nampak saja novel terbarunye terpamir di toko buku tempoh hari seperti magnet saja tangan saya terus mencapai senaskah untuk dimiliki. Pulang saja ke rumah malam itu saya berhasrat untuk memulakan pembacaan. Niat di hati hanya untuk mengetahui serba sedikit kisah di dalam novel ini. Namun saya tersilap perhitungan. Pembacaan saya terbawa terus ke pagi.

Kisah yang dibawa kali ini adalah berkisar tentang kehidupan suka-duka yang ditempuhi oleh siswa siswi di USM. Heronya adalah Ray seorang jejaka kacak menjadi perhatian ramai berasal dari Kedah. Ibunya di kampung berhasrat untuk menjodohkan Ray dengan anak Pak Longnya, Suhana, demi untuk menunaikan hajat orang yang telah tiada. Ray yang tidak tergamak untuk membantah merasa rimas dengan kehendak si ibu. Pada si angah lah tempat dia mengadu dan berbicara.

Berlainan pula latar belakang kehidupan si Aju, heroin yang cantik manis, anak bongsu kepada seorang yang berpangkat Tan Sri. Menjalani hidup yang serba mewah tidak menjanjikan kebahagiaan dan kepuasan bagi Aju. Dia sering terkilan pabila setiap kejayaan yang dicapainya pasti akan dikaitkan dengan ayahnya. Walaupun dia berusaha bersungguh-sungguh namun tetap jugak orang mengata kejayaan itu adalah kerana pengaruh si ayah. Sudahnya Aju fobia untuk mendedahkan identiti dirinya. Setelah diterima masuk ke USM dia bertekad untuk menyembunyikan siapa dirinya.

Cinta pandang pertama Aju dan Ray memang banyak dugaannya. Al maklumlah kedua-duanya ada peminat tersendiri. Dan kedua-duanya tak pernah bercinta jadi tak ada pengalaman dalam bercinta. Masing-masing memendam perasaan. Sudahnya masing-masing hampir saja menggigit jari pabila kekasih hati nyaris-nyaris disambar orang lain.

Persahabatan dengan Waheeda, Nana, Erma dan Mashitah juga mengajar Aju siapakah sebenarnya yang layak digelar kawan dan sahabat. Sifat Aju yang selalu ikhlas membuatkan Waheeda selalu mengambil kesempatan atas dasar persahabatan. Watak Waheeda seorang yang psyko dan suka mengongkong Aju juga agak menggerunkan. Dalam diam-diam Waheeda sebenarnya ada menyimpan hasrat untuk merenggangkan hubungan Aju-Ray dan membolot Ray untuk dirinya sendiri. Kira jenis kawan yang tikam belakanglah ni. Ada juga ye perempuan Melayu semacam ini. Erma dan Mashitah pula terang-terangan sanggup bermusuh dengan Aju walaupun dulunya mereka pernah berkawan. Semuanya kerana gara-gara berebutkan Ray. Hanya Nana sajalah yang mengerti tentang diri Aju. Namun masih juga Aju menyayangi kawan-kawannya terutama Waheeda.

Lama perhubungan cinta kampus mereka terjalin, menjelang tamat pengajian Aju menuntut sebuah kepastian dari Ray. Ray serba salah memikirkan antara kemahuan Aju dan hasrat ibunya. Lama masa yang diambil oleh Ray untuk menyelesaikan masalah di kampung sehingga Aju beranggapan Ray sudah tidak perlukan dirinya lagi. Walaupun Ray sudah lama tidak menghubungi Aju namun cinta Aju pada Ray tetap utuh jauh di sudut hati. Hasrat Zahim untuk mengikat tali pertunangan diterima Aju dengan hati yang pasrah.

Dugaan buat Aju datang lagi. Setelah sekian lama membisu tiada khabar berita, akhirnya Ray menghubungi Aju dan menyatakan hasrat untuk mengikat tali pertunangan. Aduhai... Kesian Aju. Yang mana harus dipilih? Antara cinta dan pengorbanan? Yang mana harus dikorbankan? Dan yang paling tidak disangka-sangka kemudiannya Aju dan Zahim terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan Zahim lumpuh sementara. Bagaimanakah kesudahan cerita ini? Akan bersatu semulakah cinta Aju dan Ray setelah sekian lama menempuhi segala ranjau dan onak berduri?

Walaupun ceritanya simple tetapi olahan yang kemas dan menarik membuatkan saya terpaku menatap novel ini. Ada kalanya saya tersenyum sendiri membaca kutukan Angah pada Ray yang agak dungu dan lembap dalam mengambil tindakan. Ada kalanya juga saya geram dengan sikap Waheeda yang seperti ular berbisa. Diberi makan dan sangkar yang elok tapi masih mahu mematuk tuannya juga. Di akhir-akhir cerita saya agak keliru pabila karakter Erma yang dulunya memusuhi Aju tiba-tiba menjadi baik. Garapan karakter Erma di ketika ini seolah-olah sama dengan karakter Nana di awal cerita yang selalu menolong Aju walaupun tutur kata dari mulutnya agak pedas. Namun 'happy ending' tetap memuaskan hati saya. Gambaran untuk setiap babak juga amat jelas. Seolah-olah saya sedang menyaksikan sebuah drama menarik di tv pula. Namun kesilapan dalam pengeditan sesekali mengganggu tumpuan penghayatan. Apa-apa pun syabas untuk penulis Samsiah Mohd. Nor kerana berjaya menghasilkan satu lagi karya menarik untuk peminat novel cinta.


Baca Selanjutnya..

Friday, June 19, 2009

Fiqih Wanita











Tajuk Buku : Fiqih Wanita
Penulis : Muhammad Athiyah Khumais
Penerbit : Thinker's Library
Terbitan : 2009
Halaman : 448 mukasurat
Harga : rm22.00

Para Muslimah hari ini sangat memerlukan ilmu serta pengetahuan yang lengkap berhubungkait dengan hukum fiqih seharian.

Dengan yang demikian, maka setiap muslimah seharusnya memiliki bahan atau penulisan yang khusus dengan identiti muslimah itu sendiri.

Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan rujukan buat sekalian para muslimah dalam mengamalkan ibadah yang sah di sisi Allah SWT.
..............................................................................................................

Lawatan ke toko buku minggu lepas saya lihat anak gadis saya begitu asyik menatap buku ini. Sebuah buku yang merangkumi jawapan kepada persoalan untuk wanita. Bila diteliti buku ini amat sesuai untuk dijadikan rujukan dalam menjalani hidup sehari-hari sebagai muslimah. Mengandungi huraian tentang perintah dan larangan Allah, baik tentang ibadat, muamalat, juga tentang kewajipan dan hak-hak wanita yang sebenarnya. Apa yang menarik tentang buku ini ialah huraian yang diberikan tidaklah terlalu panjang hingga menyulitkan pembaca memahami. Sesiapa pun boleh membaca buku ini tidak terbatas peringkat umur lantaran buku ini sangat straight to the point. Sehinggakan anak gadis saya yang baru meningkat remaja pun juga boleh tertarik dengan buku ini.

Antara isi kandungan yang diberi huraian ialah seperti berikut:

Fiqih Wanita Tentang Bersuci
Islam Agama Kesucian
Kencing Bayi
Darah Haid dan Cara Membersihkannya
Sentuhan Lelaki Terhadap Wanita
Cat Kuku
Rambut Palsu
Menyapu Rambut Palsu
Menyapu Kaus Kaki
Hadas Kecil dan Menyentuh Mushaf
Haid
Nifas
Istihadah
Hadas Besar
Beberapa Larangan Bagi Yang Hadas Besar
Fitrah Manusia
Al Istihdaad
Khitan
Mencabut Bulu Ketiak
Memotong Kuku

Fiqih Wanita Tentang Zakat Dan Puasa
Zakat
Kecaman Bagi yang Tidak Membayar Zakat Perhiasan
Zakat Perhiasan
Zakat Mahar
Kecaman Terhadap Pemakai Emas
Hadis Wa'iid Mengenai Perhiasan Emas Wanita
Menggalakkan Kaum Wanita Bersedekah
Isteri Mendermakan Harta Peribadi
Sedekah Isteri Pada Suami, Anak-anak dan Karib Kerabatnya
Puasa
Wantia Haid Dan Nifas
Puasa Tathawwu' Wanita Bersuami
Wanita Hamil Dan Menyusukan
Bercium
Waktu Fajah Masih Dalam Keadaan Janabah
Berjima' Di Siang Hari Ramadhan
Qadha dan Fidyah
Larangan Mengumpat, Berbuat keji, Berkata Kotor dan Berdusta
I'tikaf

Fiqih Wanita Tentang Solat
Menutup Aurat
Aurat Wanita Dalam Solat
Siapa Yang Disebut Muhrim
Aurat Wanita di Hadapan Muhrim
Auarat Wanita Di Hadapan Bukan Muhrim
Pakaian dan Syaratnya
Gelang Kaki
bau-bauan
Suara Wanita Adalah Aurat
Suara Wanita Dalam Solat
Menyanyi Untuk Lelaki Ajnabi
Wanita Haid Dan Nifas
Istihadah
Menjawab Azan
Solat 'Id
Solat Jenazah


Baca Selanjutnya..

Cinta Tak Berdusta










Tajuk Novel : Cinta Tak Berdusta
Karya : Fateen Najwa
Penerbit : Fajar Pakeer
Terbitan : 2009
Halaman : 777 mukasurat
Harga : rm25.90


Tragedi yang berlaku bukan satu kemalangan, tetapi dirancang. Sepuluh tahun dia kehilangan kenangan masa lalu. Dia terseksa hidup tanpa kenangan, tanpa keluarga tercinta. Kehadiran Amalina bagaikan dewi cinta, mengubah hidup Leo.

Dari sebuah desa terpencil, di kaki Gunung Ais, lelaki ini datang ke kota. Mencari dirinya yang hilang, mencari cinta sejati. Dia kaget dengan kisah yang terbongkar. Dia anak hartawan, namun mengapa dihina dan dicerca ayah kekasihnya sendiri?

Mampukah cinta Amalina terus dalam dakapan apabila ada yang cuba merebut? Bolehkah cintanya menyatakan kebenaran, tanpa dusta?
................................................................................................

Dalam cerita ini penulis masih lagi mengekalkan kisah cinta bercampur suspen dan pembalasan dendam. Percubaan membunuh Zakuan memang dirancang terlebih dahulu. Irfan membiarkan Zakuan jatuh ke dalam gaung semasa ekspedisi Pendakian Gunung Ais . Zakuan yang disangka mati rupa-rupanya telah diselamatkan oleh Mak Upeh, orang asli yang menetap di situ. Kerana hilang daya ingatan Zakuan diberi nama Leo oleh penduduk orang asli tersebut. Tinggallah Leo bersama Mak Upeh.

Setelah sepuluh tahun berlalu Amalina, gadis dari bandar hadir di tengah kampung mereka ingin membuat kajian dan dokumentari tentang kehidupan di hutan. Leo ditugaskan sebagai 'guide' untuk membantu dan menunjukkan arah kepada Amalina semasa mereka berada di hutan. Yang saya mushkilkan mereka hanya berdua saja dalam ekspedisi di hutan itu. Sebagai seorang gadis Melayu agak tidak logik untuk berada di hutan berdua saja dengan jejaka yang tidak dikenalinya. Bukan sehari dua tetapi sampai berbulan. Bagi saya ianya agak kebaratan.

Perkenalan Amalina dengan Leo akhirnya membuahkan suatu kelainan rasa di hati masing-masing. Mungkin kerana hari-hari mengadap muka yang sama dan tidak ada orang untuk bercakap kecuali mereka berdua. Namun Amalina cuba menafikan keanehan rasa itu kerana dia sudahpun mempunyai Ariel sebagai kekasih. Ariel yang mengajak dua orang lagi kawannya berkhemah di hutan tempat Amalina membuat kajian dapat mengesan kelainan hubungan mereka berdua. Cemburu dan marah menguasai diri. Tambahan pula Amalina menolak lamaran Ariel walaupun padahalnya mereka telah lama bercinta.

Hal di kampungnya pula, Mak Upeh telah menetapkan perkahwinan antara Leo dengan Pilar tetapi tidak dipersetujui oleh Leo. Pilar membawa diri ke dalam hutan kerana rasa kecewa cinta yang tidak berbalas lalu telah dibaham oleh sekumpulan serigala. Pilar cedera parah. Setelah Pilar cedera parah Mak Upeh ingin pula menjodohkan Leo dengan Riku. Oleh kerana Riku mempunyai ramai jejaka yang ingin menyuntingnya penduduk kampung mengadakan pertandingan menangkap binatang. Tetapi di sebalik pertandingan itu Perus berniat untuk menghapuskan terus Leo dari muka bumi dan berkahwin dengan Riku.

Sekali lagi... Leo yang disangka mati di gaung curam Gunung Ais rupa-rupanya telah berjaya menyelamatkan diri. Setelah diberitahu tentang cerita sebenar oleh Mak Upeh Leo bertekad untuk mencari dirinya yang sebenar.

Terlalu banyak cerita yang ingin disampaikan di dalam novel ini. Sehinggakan ada sesetengah pengolahan cerita bertukar menjadi ringkasan. Bila sudah menjadi ringkasan penghayatan menjadi kurang. Adegan demi adegan menjadi terlalu pantas. Mungkin penulis terpaksa melakukan demikian untuk mengelak dari novel ini menjadi lebih tebal.



Baca Selanjutnya..

Wednesday, June 10, 2009

Odisi Bulan Biru










Tajuk Novel : Odisi Bulan Biru
Karya : John Norafizan
Penerbit : Jemari Seni
Terbitan : 2009
Halaman : 478 mukasurat
Harga : rm20.00

JOHN NORAFIZAN kembali membawa anda mengembara bersamanya meneroka keindahan bumi Jepun dan Turki.

Kata ibu, zaman dulu hanya perawan-perawan sahaja yang dibenarkan memetik bunga-bunga saf. Sekiranya jari mereka terluka, darah merah sang perawan akan menyerap masuk ke kelopak bunga kuning itu. Kononnya, darah inilah yang membuatkan kelopak-kelopak bunga saf bertukar merah apabila dijemur dan dikeringkan nanti!

Kini ibu tiada lagi untuk bercerita. Ibu dan adiknya yang cacat mati lemas di Sungai Sorachi. Sedih dan sesal membalutinya sepanjang waktu. Mujurlah pertemuan dengan seorang darwis yang bijaksana mengubah seluruh hidupnya. Pertemuan yang memulakan sebuah pengembaraan mencari ayah yang bersedih, sekali gus dirinya sendiri. Dapatkah dia menemui apa yang dicarinya itu?

Katanya....
Jika tidak kerana Qistina, aku tidak tahu apakah maksud kehidupan ini.
Jika tidak kerana Qistina, mungkin aku masih dalam sangsi.
Qistina yang misteri. Qistina yang penuh dengan seribu teka-teki.

Teka teki apakah itu hingga menyebabkan dia sanggup menempuh seribu misteri dan melintasi Selat Bosporus? Dan siapa pula Qistina di hatinya?

Sebuah roman pengembaraan dalam bentur keras hakikat kehidupan disulami iri dan dendam: antara ‘sang pencari’ dan ‘yang mencari’.
...................................................................................................................

Pertama kali saya membaca novel dari penulis ini. Itu pun saya pinjam novel ini dari seorang kawan. Keasyikan dia membaca novel ini membuatkan saya ingin tahu apa yang menarik sangat dengan karya penulis John Norafizan.

Novel ini berbentuk ketuhanan dan mencari diri. Agak berlainan sedikit dari novel-novel Melayu lain. Akira dirundung rasa benci terhadap Umazaki semenjak adiknya mengidap demam panas lalu mengalami kecacatan akal sehingga sanggup memanggil adiknya si patung dungu. Walaupun Akira bersikap kasar terhadap Umazaki tetapi adiknya tetap tersenyum ramah dan menyayangi Akira. Sehinggalah di suatu hari Akira dan Umazaki bergaduh gara-gara Umazaki yang sukakan Nurul Ain. Akira... dengan akalnya yang waras sanggup menolak adiknya yang cacat jatuh ke dalam sungai. Bahkan dia sanggup juga membiarkan Umazaki lemas dihanyut arus sungai tanpa memberi apa-apa bantuan. Melihatkan Umazaki yang kelemasan ibunya terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Umazaki. Namun malangnya ibunya juga turut lemas bersama Umazaki.

Sejak dari peristiwa itu Akira dirundung rasa bersalah seumur hidup. ..... entah kenapa, saya membuat andaian sendiri.. sekiranya Umazaki seorang saja yang lemas di sungai, perasaan bersalah pada diri Akira tidak akan timbul. Oleh kerana ibunya juga turut lemas maka Akira dipagut beban rasa yang mendalam. Akira seperti hilang tujuan sehingga sanggup mengakhiri hayatnya pula dengan terjun dari puncak gunung yang tinggi. Alahaai.. kenapa sampai mahu membunuh diri, Akira? 'Malangnya' umur Akira masih panjang. Dia masih diberi peluang untuk menebus setiap sesalannya. Di dalam pengembaraan mencari diri Akira bertemu dengan Yamata dan Emre yang telah menjadi sahabatnya dan mengajar Akira tentang hakikat hidup yang sebenar.

Di dalam pengembaraan itu juga mempertemukan Akira dengan Doktor Ayumi dan adiknya Kafka. Agak memeranjatkan pabila mendapati Kafka amat mirip kepada Umazaki. Banyak perkara yang dipelajari Akira melalui peristiwa-peristiwa yang dialami termasuklah dalam mencari nama Tuhan yang keseratus!!!

Pengembaraan Akira sehingga ke Turki, kejadian Kafka yang diracuni dan pertemuan dengan Qistina benar-benar memusingkan kepala saya kerana terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab. Gaya bahasa yang simbolik dan penuh kiasan juga memaksa saya membaca ayat demi ayat dengan teliti bimbang takut nanti terlepas isi-isi penting dalam cerita ini. Pendekata tiada can untuk saya melangkau pembacaan. Akibatnya akan membuatkan saya tidak dapat mengagak apa yang telah berlaku.




Baca Selanjutnya..

Monday, June 8, 2009

Bidadari-bidadari Syurga

Tajuk Novel : Bidadari - Bidadari Syurga
Karya : Tere Liye
Penerbit : PTS Litera
Terbitan : 2009
Halaman : 388 mukasurat
Harga : rm25.00

Bidadari-Bidadari Surga bercerita tentang pengorbanan seorang kakak (Laisa) untuk adik-adiknya (Dalimunte, Ikanuri, Wibisana dan Yashinta) di Lembah Lahambay agar adik-adiknya dapat melanjutkan pendidikan mereka, meski ia harus bekerja diterik matahari setiap hari, mengolah gula aren setiap jam 4 pagi serta dimalam hari menganyam rotan, meski pada dasarnya keempat adik-adiknya tersebut berasal dari darah yang berbeza dengan dirinya.
....................................................................................................

Novel airmata ketiga dari Tere Liye ini sememangnya mampu membuatkan hati saya diruntun kesedihan dan kesayuan dari awal sehingga akhir. Dengan alunan bahasa yang indah bagaikan memukau saya untuk terus melekat dan menyudahkan pembacaan novel ini dengan ditemani sekotak tissu. Banyak airmata yang tumpah pabila menatap buku ini. Dahsyat sungguh penangan penulis dari Indonesia ini ye.

Sepertimana novelnya yang sudah-sudah penulis masih mengekalkan tema yang cukup sederhana iaitu kasih sayang dan ikatan persaudaraan. Berlatarbelakangkan sebuah desa terpencil Lembah Lahambay tinggal sebuah keluarga Mak Lainuri bersama anak-anaknya Laisa, Dalimunte, Ikanuri, Widapatna dan Yashinta. Setelah ayah mereka meninggal dibaham harimau, Laisa nekad berhenti sekolah dan mencari pekerjaan untuk menyara persekolahan adik-adiknya. Laisa mempastikan adik-adiknya yang empat orang itu mendapat pendidikan yang sempurna dan menjadi seorang yang berjaya di suatu hari nanti.

Pengorbanan Laisa sebagai seorang kakak... walaupun sebenarnya Laisa bukanlah kakak kandung mereka... memang tiada tandingannya. Bermula dari berhenti sekolah dengan kerelaan sendiri, rela bekerja keras setiap hari demi kebaikan adik-adik bahkan sanggup meredah hutan di tengah malam pekat mencari adik-adiknya yang nakal. Saya memang terpukau pabila membaca saat-saat Laisa berhadapan dengan harimau (bukan seekor tapi tiga ekor!) untuk menyelamatkan Ikanuri dan Widapatna. Berani dan nekad sungguh!

Laisa juga sudah tidak peduli lagi dengan keadaan rupa paras dirinya sendiri yang semakin berubah walaupun telah menjadi umpatan jiran tetangga. Laisa yang lembut hati juga tidak pernah mengambil kisah dengan sikap adik-adiknya (terutama Ikanuri yang degil dan membuat saya geram) yang selalu membuat hatinya terluka dengan hamburan kata-kata berbisa. Sebaliknya Laisa penuh ikhlas menerima semua takdir yang tersurat. Tak pernah lelah dia menghambakan diri demi untuk mereka berempat. Berkat ketekunan Laisa, satu persatu dari mereka telah tumbuh menjadi insan yang berjaya.

Detik yang paling mengharukan ialah saat kematian Laisa. Bila mana pabila adik-adiknya menerima sms dari Mak Lainuri tentang keadaan Kak Laisa yang sudah nazak, masing-masing sanggup membatalkan semua agenda penting di dalam hidup masing-masing semata-mata untuk kembali ke kampung melihat Kak Laisa. Erat sungguh ikatan kasih sayang persaudaraan yang telah disemai oleh seorang Kak Laisa. Yashinta juga sanggup membatalkan perkahwinannya dengan Goughsky semata-mata untuk pulang ke sisi Kak Laisa.

Keharuan terus mencengkam diri saya pabila menatap Epilog yang tertulis:

Dengarlah khabar bahagia ini.

Wahai wanita-wanita yang hingga usia tiga puluh, empat puluh, atau lebih daripada itu, tapi belum juga menikah (mungkin kerana kekurangan fizikal, tidak ada kesempatan, atau tidak pernah 'terpilih' di dunia yang amat keterlaluan mencintai harta dan penampilan wajah). Yakinlah, wanita-wanita solehah yang sendiri, namun tetap mengisi hidupnya dengan indah, bersedekah dan berkongsi, berbuat baik, dan bersyukur. Kelak di hari akhir sungguh akan menjadi bidadari-bidadari syurga. Dan khabar baik itu pastilah benar, bidadari syurga parasnya cantik luar biasa.




Baca Selanjutnya..

Sunday, June 7, 2009

Dalam Kehangatan Dakapan Senja















Tajuk Novel : Dalam Kehangatan Dakapan Senja
Karya : Manaf Hamzah
Penerbit : Pustaka Nasional
Terbitan : 2009
Halaman : 786 mukasurat
Harga : 50.00

Dilema seorang gadis…

Perkahwinannya dengan pemuda pilihan sendiri terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir oleh tunangnya. Bagaimanapun, dapat juga Amelia Harun meneruskan perkahwinannya itu. Tapi dengan pemuda lain. Seorang pemuda yang begitu merahsiakan latarbelakangnya yang sebenar…

Dilema seorang wanita…

Meskipun sudah menjadi isteri kepada Karim Iskandar yang misteri, namun Amelia ingin juga dimiliki oleh pemuda lain. Seorang pemuda yang gagah dan berwibawa. Tapi tidak sebangsa dan seagama. Bahkan bekas tunangnya mahu kembali kepadanya. Lantaran membuat Amelia dilanda perasaan berbelah-bahagi ....

Dilema dalam rahsia…

Kehidupan Amelia menjadi tidak menentu, dek dia berhadapan dengan rahsia dan misteri orang-orang sekelilingnya yang dikenali dan disayangi. Tentang watak sebenar arwah ayahnya? Tentang apa yang terkandung dalam diari yang arwah telah tinggalkan. Justeru membuat keluarganya dalam bahaya. Tentang latar belakang suaminya yang beliau begitu rahsiakan? Sesungguhnya, apabila semua jawapan terhurai, Cukup menggegarkan jiwa raga Amelia...

..................................................................................

Dalam Kehangatan Dakapan Senja adalah novel terbaru dari penulis Manaf Hamzah. Di dalam novel ini penulis masih mengekalkan cerita bercorak cinta dan misteri dendam dan pembunuhan. Tentang gaya bahasa, sepertimana novel penulis yang sudah-sudah ternyata agak berlainan sedikit dari gaya penulisan dari Malaysia. Cuma yang agak tidak menyenangkan saya ialah terdapat lebih banyak adegan intim yang digambarkan di dalam cerita ini. Saya harap di novel yang akan datang penulis dapat mengurangkan adegan sebegitu kerana pendapat saya ianya tidak perlu untuk sebuah novel Melayu. Walaupun begitu, novel ini masih kekal menarik dari segi penyusunan watak, cerita, misteri dan persoalan yang ingin dirungkaikan.

Amelia Harun seorang gadis cantik digilai oleh dua orang lelaki sekali gus pabila dia akan dinikahkan dengan tunangnya Zamri. Seorang lelaki tampan dan gagah berbangsa China, Kenneth Chng dan Karim Iskandar, lelaki misteri yang tempang dan berjambang serta berparut di dahi. Perkenalan dengan Kenneth yang dimulai dengan pertengkaran di dalam kapalterbang membuatkan Amelia rimas. Sikap saling ego dan tidak mahu mengalah berlanjutan apabila Amelia dengan tidak sengaja terpaksa bekerja sementara sebagai amah di rumah Kenneth. Kenneth yang sememangnya seorang yang tampan dan berbadan sasa.. (selalu sangat disebut di dalam novel ini) merasa tercabar pabila Amelia tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda tertawan dengan ketampanannya sepertimana gadis-gadis lain yang pernah ditemuinya.

Selang dua minggu lagi hari pernikahan Amelia-Zamri akan berlangsung Zamri tiba-tiba menarik diri gara-gara terpikat pada perempuan lain. Di saat hati merasa sedih lagi terkejut dengan tindakan Zamri, kehadiran Karim Iskandar menawarkan diri untuk menjadi pengantin lelaki mengharukan Amelia. Walaupun belum berputik cinta untuk bakal suami namun dia berazam agar suatu hari nanti dia akan dapat juga menyintai Karim sepertimana seharusnya.

Belum pun jauh Amelia-Karim melayari hidup berumahtangga, Amelia sudah diduga hati dan cintanya terhadap si suami. Semasa berbulan madu lagi Kenneth datang mengganggu diri dan hati Amelia membuatkan Amelia keliru. Di dalam hati ada sesuatu yang terdetik untuk Kenneth. Seboleh-bolehnya Amelia cuba menafikan pada diri sendiri lantaran dirinya yang sudah pun menjadi isteri orang. Apatah lagi Kenneth adalah berbangsa dan beragama lain. Semakin dinafikan semakin kuat pula runtunan rasa di dalam hatinya untuk Kenneth.

Di dalam kekeliruan menangani masalah hati, Amelia tiba-tiba diculik oleh Lanang yang berhasrat untuk membalas dendam. Dendam Lanang adalah berpunca dari arwah ayah Amelia yang telah belot kepadanya dan Hadi dengan melarikan wang rompakan mereka lima tahun yang lalu. Ayah Amelia, Harun jugalah yang menyebabkan Lanang terpaksa merengkok di dalam penjara. Oleh kerana Harun sudah lama meninggal Lanang berhasrat untuk membalas dendam ke atas warisnya pula. Baginya tidak boleh tidak, dendam harus berbalas.

Bermula di saat inilah semua rahsia demi rahsia dapat dirungkai. Rahsia di sebalik kematian Harun, diari yang ditinggalkannya, status ayah tirinya dan yang paling mengejutkannya ialah siapakah lelaki misteri yang telah dikahwininya selama ini.

Baca Selanjutnya..

Tuesday, June 2, 2009

Takdir Yang Terindah








Tajuk Novel : Takdir Yang Terindah
Karya : Nana Faiz
Penerbit : KarnaDya
Terbitan : 2009
Halaman : 393 mukasurat
Harga : rm18.00

Qistina Diyana, gadis manja ini hidup penuh ceria di samping Lynda dan Juraita, teman baiknya yang bermula di alam persekolahan. Namun, setelah meningkat awal dewasa, Qistina terpaksa melalui satu kehidupan yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Tatkala kasih yang dibajainya sedang berbunga terhadap Izwan Firhan, Qistina dipaksa supaya melupakan jejaka yang telah lama bertakhta di hatinya. Rahsia keluarga yang selama ini tersimpan rapi akhirnya tersingkap dan memaksa dia akur untuk memenuhi satu permintaan saudara kandungnya, apatah lagi apabila ianya berkaitan pengorbanan yang pernah dihulurkan Haikal Hakimi, sahabat baik abangnya itu.

Pertemuan semula di antara Haikal menjadi satu kejutan buat Qistina kerana tidak disangkakan mereka pernah bertemu dalam satu kejadian salah faham.

Perancangan keluarga Qistina untuk menyatukannya dengan Haikal telah memulakan dan menimbulkan konflik dalaman di dalam dirinya. Apakah rahsia dan pengorbanan yang telah dilakukan Haikal Hakimi terhadap keluarga Qistina itu sehinggakan dia dipaksa menerima lelaki itu?

Mampukah dia melalui kehidupan bersama lelaki yang tidak dicintainya itu malah untuk berkongsi kasih dalam satu ikatan di antara suami dan isteri?
........................................................................................................................
Saya kira ini novel pertama dari penulis Nana Faiz. Sebuah karya yang biasa-biasa saja. Sinopsis di belakang buku telah menceritakan segalanya tentang novel ini.

Cerita ini juga berkisar tentang kisah perkahwinan yang bukan atas dasar suka sama suka. Qistina terpaksa menerima kawan Abang Man, Haikal sebagai suaminya atas permintaan orangtua. Susah untuk Qistina menerima cikgunya sendiri sebagai teman hidup lantaran hati masih lagi mengingati Izwan. Tetapi lama kelamaan kasih sayang yang tumbuh bersama pengorbanan ikhlas dari kedua belah pihak telah menyatukan mereka berdua juga akhirnya. Ditambah pula Haikal seorang yang penyabar dan baik.

Pabila keharmonian rumahtangga mula dikecapi dengan kehadiran cahayamata tercinta mereka diuji pula dengan cubaan yang singgah menyapa. Izwan hadir lagi di dalam hidup Qistina. Walaupun hubungan mereka hanyalah sebagai kawan lama tetapi telah menimbulkan salah faham dari tunang Izwan, Fazura. Ditambah pula hubungan Izwan-Fazura tidak berapa baik. Fazura yang diamuk cemburu telah bertindak mengacau rumahtangga Qistina-Haikal pula. Siapa tidak marah pabila melihat gambar pertemuan isteri sendiri bersama lelaki lain. Haikal terpaksa membawa diri jauh dari anak isteri bagi menenangkan jiwanya parah.

Kehilangan Haikal membuatkan jiwa Qistina parah diselimuti rasa bersalah. Bersama Izwan, dia mencari jejak Haikal untuk menyambung kembali kasih yang hampir putus. Namun untuk memohon kemaafan dari suami tercinta Qistina terpaksa membayar dengan harga yang teramat mahal.


Baca Selanjutnya..

Monday, June 1, 2009

Rasuk











Tajuk Novel : Rasuk
Karya : Zira Safiya
Penerbit : Buku Prima
Terbitan : 2009
Halaman : 604 mukasurat
Harga : rm19.90

" Kadang-kadang kita buat pilihan bukan kerana kita tahu sepatutnya siapa tetapi kerana kita memilih yang tiba dahulu. Tak ada sesiapa dapat cakap memang inilah orangnya kerana tidak mungkin kita dapat tahu liku-liku yang terbentang di depan kita. Maka kita memilih di antara mereka yang jua memilih kita. Kerana kita takkan tahu bila yang seterusnya akan datang..."

"Langkah mayat i dulu sebelum dia boleh tinggalkan i," nada Nurlisa semakin bersungguh.

"Parah tu. Ini dah kes angau betul." Shira tertawa.

"Shira, kalau i tak dapat dia, biar semua tak dapat.. " Berdendam nada Nurlisa.

Kemudian Haikal terlihat sesuatu yang aneh. Berderau darahnya. Terkejut. Buat sesaat, matanya telah mempermainkannya lagi. Buat sesaat, dia ternampak seseorang menghampiri ibunya. Ibunya yang kini keseorang di dalam rumah. Dan seseorang itu berdiri di belakang ibunya. Berdiri rapat... Sedikit menyendeng. Seakan tersandar.

"Dia bukan dia," bisik Julia pada dirinya.
"Apa?"
"Dia dah lain.. bukan dia lagi.." Julia termangu memikirkan situasi yang dihadapi Haikal. "Kena rasuk..."
..................................................................................................................
Sebelum novel ini penulis pernah menghasilkan dua buah lagi novel misteri melalui terbitan Buku Prima iaitu Saka Tok Mun dan Dendam Pewaris. Nyatanya penulis ini cenderung untuk menghasilkan novel-novel misteri seram. Rasuk adalah novel ketiga beliau melalui penerbitan Buku Prima tidaklah begitu seram sepertimana novel Saka Tok Mun.

Julia mempunyai kelebihan dapat menjangka apa yang berlaku di masa depan dalam hidupnya dan orang-orang yang rapat dengannya melalui mimpi-mimpi dalam tidurnya. Walaupun pada mulanya tiada siapa yang percaya tetapi Julia yakin setiap mimpi yang dialaminya bakal terjadi selang dua tiga hari atau seminggu dua selepas itu.

Syamsul dan Haikal menyimpan niat untuk menyunting Julia sebagai teman wanita masing-masing. Tetapi di antara mereka berdua, Haikal lebih berani mengatur langkah dan berterus terang kepada Julia. Sementara Syamsul hanya pandai bermain teka teki dan selalu berdolak dalih. Walaupun pada mulanya Julia juga tertarik pada Syamsul tetapi sikap Syamsul yang selalu buat lawak dan tidak serius membuatkan Julia menyangka Syamsul hanyalah menganggapnya sebagai kawan.

Kemudian Haikal terpaksa meninggalkan Julia untuk berangkat ke luar negara bagi menyambung pelajarannya. Perkenalan dengan Nurlisa membawa padah kepada Haikal. Nurlisa yang mempunyai satu sifat pelik yang merosakkan telah cuba menggoda Haikal supaya menjadi miliknya. Haikal menjadi lalai dan alpa. Semakin lupa kepada tujuannya berada di sana, lupa kepada ayah dan ibu, lupa kepada Julia dan lupa juga kepada tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Nurlisa secara perlahan-lahan mengajar Haikal cara hidup bebas yang diamalkannya dan ironinya Haikal tidak menolak walaupun dia tahu perlakuan demikian adalah salah lagi berdosa. Nurlisa ibarat 'syaitan' yang cuba mempengaruhi Haikal berbuat jahat dengan cara halus. Tiada paksaan. Tiada gesaan. Hanya sekadar mencuba. Dan seterusnya melakukan lebih banyak perkara-perkara terkutuk lagi sehingga mereka terlanjur....

Perubahan Haikal nun jauh di sana dapat dikesan oleh Julia melalui mimpi-mimpi pelik yang dialaminya. Julia yakin apa yang tergambar dalam mimpinya itu adalah yang sebenarnya berlaku ke atas Haikal. Sehinggakan di suatu ketika semasa di dalam bermimpi Julia dapat melakarkan nama Nurlisa di atas kertas. Ditambah pula sejak kebelakangan ini Haikal amat jarang menghubunginya walaupun sekarang ini seribu macam kemudahan tersedia untuk mereka berkomunikasi walaupun jauh. Tahulah Julia yang Haikal sudah berubah.

Pulang dari perantauan Haikal masih mencari Julia. Ternyata di dalam hatinya masih ada Julia. Walaupun begitu Julia tidak tahan dengan perubahan diri Haikal yang ternyata lebih social dan tidak menghormatinya sebagai seorang kekasih. Tindakan Haikal yang masih mengasihi Julia membuatkan Nurlisa berang. Segalanya telah dilakukan untuk menakluk Haikal namun Julia juga yang dicarinya untuk mencurahkan kasih sayang. Walaupun sayangkan Julia, Haikal masih tidak boleh lari dari Nurlisa lantaran dengan gadis itulah dia bebas melakukan apa saja mengikut hawa nafsu syaitannya.

Satu tragedi ngeri lagi mengaibkan telah mengorbankan Nurlisa dan Haikal terlantar di hospital. Dari sinilah wujud adegan yang agak menyeramkan pabila jelmaan Nurlisa berkeliaran di sana sini menghantui Haikal dan ibu Nurlisa. Seperti diri Nurlisa yang obses untuk bebas dan menakluk sesiapa saja yang diinginkannya tidak mati bersama jasadnya. Yang nyatanya jelmaan Nurlisa berkeliaran kerana ingin menakluki Haikal. Bagaimanakah ikhtiar Haikal untuk lari dari jelmaan Nurlisa? Dapatkah Julia menolong Haikal bebas dari jelmaan dan rasukan ini?

Cerita ini lebih banyak mengisahkan hubungan percintaan Julia-Haikal-Nurlisa saja. Di akhir-akhir barulah ada adegan seram selepas kematian Nurlisa. Itupun saya rasa tidaklah berapa berkesan sangat. Bagi saya cerita ini adalah sekadar untuk hiburan saja dan kurang unsur pengajaran.



Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin