Sunday, February 15, 2009

Mantera Hitam










Tajuk Novel : Mantera Hitam
Karya : Serunai Faqir
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2009

SPIRIT OF THE COIN... sebuah permainan mistik yang menggunakan duit syiling untuk menyeru roh orang yang sudah mati. Kehadiran roh akan diketahui apabila duit syiling yang digunakan bergerak sendiri.

Pada suatu malam dalam perkhemahan di tepi sungai, Nik mengajak Hizal dan Tunku bermain spirit of the coin. Perasaan takut dan teruja saling berbaur. Walaupun Hizal dan Tunku memperlekehkannya, namun naluri ingin tahu lebih menguasai.

Namun apabila bulu tengkuk meremang, mereka saling berpandangan. Serentak dengan itu, guruh berdentum di langit. Bau kemenyan menyantak ke hidung. Gerimis mula menerjah. Akibatnya, mereka direnggut ke alam yang tidak pernah dialami selama ini. Perbuatan mereka itu mengundang kecelakaan, menjemput malapetaka yang tiada berkesudahan.

MANTERA HITAM... sebuah novel fiksyen fantasi yang akan membawa anda merentasi alam ghaib, sehingga berasa tidak lagi berada di alam realiti!
............................................................................................................
Satu pendekatan yang berlainan dalam menghasilkan sebuah novel alam mistik yang penuh dengan 'advanture' dan aksi. Novel ini digarap oleh penulis dengan cara dan style yang tersendiri. Belum pernah saya membaca novel alam mistik sebegini. Walaupun mistik tetapi ianya tidaklah menyeramkan dan terlalu berat penggunaan tata bahasanya malah pembaca dapat belajar dan menyedari bahawa alam jin seperti juga manusia yang perlukan perubahan selari dengan arus pemodenan. Seolah-olah penulis cuba menulis cerita ini melalui kacamata jin.

Permainan semangat duit yang pada mulanya hanya suka-suka saja rupa-rupanya membawa padah kepada Nik. Selepas permainan itu Nik diserang demam dan meracau-racau. Rakan Nik, Hizal dan Tunku telah menemui Pak Chu Deris untuk meminta pertolongan bagi membantu menyembuhkan Nik.

Rupa-rupanya permainan semangat duit mereka telah membebaskan seekor jin yang bernama Marcel yang hidup di zaman penjajahan Portugis dahulu kala. Jin Marcel ini telah dikurung oleh seorang pahlawan Melayu, Ali Kilat Remang Senja di dalam satu pertarungan yang membawa kekalahan kepada Marcel.

Sebaik saja terlepas Marcel seperti hilang punca dan kebingungan melihat segala-galanya telah bertukar dan menjadi asing. Nasib baik ada seekor jin, Alora yang sanggup membantunya menyesuaikan diri di dalam dunia yang serba berubah itu. Namun Marcel tidak lupa bahawa kehadiran dia di Tanah Melayu itu adalah untuk memburu Marqo yang telah belot kepada tuannya Alfonso. Selain Marcel, masih ada lagi jin lain yang turut memburu Marqo, iaitu Aghuri. Aghuri dan Marcel akhirnya mencapai kata sepakat untuk bersama-sama memburu Marqo. Namun sebelum mereka sempat memburu Marqo, diri mereka sendiri telah diserang oleh Pakku dan rakan-rakannya yang bertujuan untuk membebaskan Nik dari sakit yang dialaminya.

Penulis juga menyelitkan sekali permainan gendang dan serunai (memang sudah menjadi kemahiran penulis) di dalam satu acara silat di dalam cerita ini yang membuatkan saya tersenyum. Namun di pengakhiran cerita ianya agak tergantung. Mungkin akan ada sambungan untuk cerita ini di kemudian hari nanti.

Tahniah untuk penulis. Sama-sama kita tunggu sambungan seterusnya cerita yang amat menarik ini.

Related Posts :



1 comment:

  1. Terima kasih atas ulasan yang mengujakan. : )

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin