Thursday, February 19, 2009

Permata Hatiku

Permata hatiku yang pertama lahir putih bersih, bibirnya merah menyala.Membawa kebahagiaan kedua orang tuanya dan juga atuk neneknya di kedua belah pihak. Tidak sampai setengah hari kegembiraan ini dikecapi aku dikejutkan dengan kenyataan doktor bahawa permata hatiku tidak seperti baby-baby yang lain. Suamiku membantah keras apa yang dikatakan oleh doktor pada mulanya. Mungkin belum dapat menerima kenyataan yang pahit ini. Namun setelah mendapatkan pendapat dari beberapa doktor yang lain selepas itu barulah suamiku tidak melatah lagi. Kami akur dan pasrah dengan ketentuan Ilahi.

Anehnya aku tidak sedikit pun merasa kesal atau malu dengan kehadiran permata hatiku ini. Walaupun tidak sempurna seperti baby-baby yang lain tetapi aku sangat bersyukur dan berterimakasih sekali kepada Allah SWT kerana memberikan aku seorang permata hati yang sampai kini bergemerlapan indah bersinar di tengah-tengah keluarga kami.

Di usianya tiga bulan, tiba-tiba permata hatiku diserang cirit birit yang serius. Segala susu yang diminum terus keluar semula dari mulut dan saluran duburnya. Tubuhnya menjadi lemah dan tak bermaya. Aku terus membawanya ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

Sebulan terlantar di hospital kerajaan permata hatiku bagaikan tengkorak hidup. Sebulan juga aku berkampung di hospital dan tidak menjenguk rumah. Kes permata hatiku ditangani oleh seorang pakar pediatrik yang amat sombong lagaknya. Doktor itu tidak mahu bercakap langsung denganku malah dengan pesakit lain pun begitu juga. Dia akan bercakap dalam bahasa inggeris di depan kami dan selalu menggunakan seorang staff nurse yang bertindak sebagai jurubahasa di antara kami. Bukannya kerana doktor itu seorang mat saleh atau pun berbangsa Cina/India yang tidak fasih bercakap Melayu. Doktor itu memang orang Melayu! Saya fikir memang doktor itu melebihkan egonya untuk tidak boleh tunduk walau sedikit pun kepada pesakit-pesakitnya yang rata-rata tinggal di kampung pendalaman.

Setelah menunggu sebulan lebih akhirnya keputusan ujian yang dibuat ke atas permata hatiku diperolehi juga. Doktor memberitahu supaya aku melakukan sembahyang hajat. Permata hatiku tidak mungkin dapat diselamatkan lagi. Hanya menunggu masa untuk mengakhiri hayatnya.

Begitu senang sekali doktor itu memberi cadangan kepadaku. Setelah sebulan lebih permata hatiku menginap di hospital untuk rakyat ini dengan hanya diberikan suntikan wayar air garam dan tidak ada apa-apa tindakan selain dari itu lalu tergamak doktor itu berkata begitu padaku.

Seperti yang aku beritahu tadi, doktor itu tidak menyampaikan sendiri cadangan itu kepadaku. Doktor itu bercakap dalam bahasa inggeris kepada staff nurse di situ dan staff nurse itu yang menyampaikan kepadaku di dalam bahasa Melayu. Dikiranya aku ini ibu kolot yang tidak berpelajaran yang datang dari kampung hulu pendalaman. Pada hal aku memahami setiap biji butir perkataan yang dikeluarkan kepada staff nurse itu. Perasaan marah dan pasrah bercampur baur di dalam diri. Beginikah etika seorang doktor di sebuah hospital kerajaan yang kononnya ingin berbakti untuk masyarakat? Tidak tercapai akalku...

Ramai jururawat dan nurse yang bersimpati di atas nasibku. Dalam diam-diam mereka menasihatkan aku supaya membawa permata hatiku berubat di hospital swasta pula. Ya, kenapa aku tidak terfikir akan alternatif itu sebelum ini ya... Di dalam kepayahan otakku buntu untuk berfikir dengan baik. Aku menerima cadangan jururawat-jururawat yang baik hati itu.

Cadangan untuk bertukar hospital tidak dipersetujui oleh doktor ego itu. Dia melarang aku dengan alasan pihak hospital tidak mahu bertanggungjawab sekiranya apa-apa terjadi ke atas permata hatiku semasa di dalam perjalanan ke hospital swasta yang jaraknya 20km dari bandar itu.

Aku tidak peduli lagi dengan kata-kata doktor itu. Bagiku nyawa permata hatiku lebih penting dari segala keegoan seorang doktor. Akhirnya aku diminta menandatangani surat pelepasan tanggungjawab pihak hospital terhadap permata hatiku yang sedang nazak. Aku menurunkan tandatangan tanpa bersoal jawab lagi. Dengan bantuan suami dan kawan-kawan, dengan wayar suntikan air masih terbenam di urat daging permata hatiku yang lemah, dengan susah payah, aku memindahkan permata hatiku ke sebuah hospital swasta.

Sampai saja di sana, permata hatiku terus ditempatkan di dalam inkubator di wad ICU. Kes permata hatiku telah dipertanggungjawabkan kepada seorang doktor pakar pediatrik yang agak berusia tetapi penuh dengan senyuman. Doktor Khaidir memberitahu permata hatiku tenat kerana kuman jangkitan telah terlalu lama berada di dalam badannya. Ditambah lagi dengan tindakan di dalam badannya yang sememangnya lemah untuk melawan jangkitan ini menjadikan ianya lebih serius. Namun doktor itu berjanji untuk tetap akan berikhtiar sebaik mungkin. Selebihnya beliau meminta aku berserah dan berdoa kepada Allah SWT.

Ibu mana yang tidak luluh hatinya mendengar keterangan doktor yang bagaikan pisau menyucuk di hati. Doa yang tak putus-putus kupanjatkan kepada Allah SWT agar menyembuhkan segera penyakit yang melanda permata hatiku yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa itu.

Ya Allah, kasihanilah permata hatiku. Jangan biarkan dia menderita lama begitu.
Ya Allah, sesungguh dari Engkau segala dugaan ini datang, dan kepada Engkau juga segala dugaan itu kembali.
Ya Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuasaanMu.. Allah yang Maha Tinggi dan Yang Maha Besar.

Syukur Alhamdulillah, khabar yang gembira kuperolehi setelah dua hari kemudian. Permata hatiku telah dikeluarkan dari wad ICU dan ditempatkan di wad biasa. Jangkitan kuman telah pun dapat diubati. Walaupun keadaan permata hatiku masih nampak kurus dan tersangat cengkung sekurang-kurangnya permata hatiku telah dapat menerima makanan dan susu dengan baik.

Setahun berlalu, aku mengendong permata hatiku yang belum boleh berjalan menuju ke pusat membeli belah berdekatan. Dalam perjalanan dari tempat parking kereta ke pusat membeli belah itu aku terpandang seorang lelaki yang rasanya pernah kukenali. Lelaki itu baru selesai mengeluarkan wang dari mesen ATM. Bila telah rapat dalam jarak sepuluh langkah baru aku ingat bahawa itulah doktor yang meletakkan keputusan 'tidak ada harapan' untuk permata hatiku yang kini telah montel dan sihat walafiat.

Aku menghampiri doktor itu. Dia tiba-tiba berpaling dan seakan mengetahui yang aku ingin berkata sesuatu kepadanya.

"Doktor ni Doktor Arif, kan?" tanyaku sekadar inginkan kepastian walaupun aku sememangnya tahu.

"Ya, saya," jawabnya ramah namun tetap menonjol keegoan seorang doktor.... mungkin itu perasaan jahatku saja.

"Doktor kenal ini siapa?" tanyaku kepada doktor itu sambil menunjukkan ke arah permata hati yang ku kendong di sisiku sedang enak mengulum lollypopnya tanpa mempedulikan kami.

Doktor itu melihat dan mengamati tetapi seakan dia tidak dapat mengecam. Dia menggeleng.

"Inilah pesakit doktor setahun yang lalu. Mungkin doktor sudah lupa tetapi saya takkan lupa pada doktor. Dulu doktor cakap anak saya sudah tiada harapan dan menunggu masa untuk mati. Tetapi sekarang, lihat apa yang terjadi pada anak saya yang doktor kata tiada harapan ini. Sihat walafiat setelah saya ambil keputusan untuk berubat di hospital lain. No thanks to you, doc. "

Mungkin aku beremosi mengatakan begitu kepada doktor ego itu... namun hatiku puas....



Related Posts :



2 comments:

  1. tak tahu nak kata ape bila baca catatan nie...
    tak tahu ler mengapa ada doktor macam tu...
    yang peliknye mesti kat hospital kerajaan..
    teringat arwah pak ngah..
    arwah sakit ulser perut jer..
    masih boleh diselamatkan..
    tapi doktor tu ugut anak2..
    kalau buat pembedahan..
    kena gantung takung najis seumur hidup...
    hati bapa mana yang nak menyusahkan anak2...
    akhirnya arwah ambik keputusan balik ke rumah...
    yus ingat lagi gaya doktor tu...
    sungguh tak bertanggungjawab...

    ReplyDelete
  2. ye la, yus... kalau nak difikirkan saya merasa kasihan dengan nasib pesakit-pesakit senasib dengan anak saya dan arwah pak ngah yus. apa lah dosa mereka maka mereka diperlakukan begitu.

    dan doktor-doktor yang berperangai begini... tidak ada perasaan belas kasihankah di hati mereka kepada insan yang amat memerlukan bantuan.
    atau mungkin mereka menganggap ini sebagai perkara remeh kerana pesakit-pesakit ini adalah orang lain dan tidak ada kena mengena dengan mereka.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin