Friday, October 23, 2009

Bintang-Bintang Ke Syurga











Tajuk Novel : Bintang Bintang Ke Syurga
Karya : Xarine
Penerbit : Jemari Seni
Terbitan : 2009
Halaman : 452 mukasurat
Harga : rm19.00



Ini satu lagi novel bertrendkan kisah cinta Islami karya anak tempatan. Tetapi pengisian di dalamnya bagi saya agak sarat dengan gaya bahasa yang klasik tetapi syahdu dan melankolik. Tak kurang juga ia padat dengan ilmu dan pengisian buat renungan pembaca. Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan novel ini demi untuk menghayati setiap jalan cerita. Selalunya cerita yang berjalan bahasa sebegini pasti akan membuatkan pembaca mudah bosan namun tidak bagi saya. Ianya tetap menarik kerana mesej yang ingin disampaikan penulis begitu ketara dan unik sekali. Mengisahkan pencarian cinta seorang lelaki yang mengharapkan redha Ilahi. Pencarian cinta yang bukan saja cinta antara dua jiwa, tetapi juga cinta pada Ilahi juga cinta antara sesama manusia.

Imran seorang pemuda lepasan USM yang hidup dalam serba kepayahan. Hidup yang penuh dugaan dan cabaran yang memeritkan membuatkan Imran menghargai setiap kesempatan yang datang. Pemuda yang berjiwa murni ini menetapkan setia cintanya hanya pada seorang gadis bernama Aishah. Sebelas tahun bercinta dan mereka merancang untuk mengharungi masa depan bersama kelak. Manusia bisa merancang namun semuanya telah ditetapkan oleh Ilahi. Jodohnya dengan Aishah tidak kesampaian bila Aishah terpaksa menerima pinangan jejaka lain di saat Imran sibuk dengan tugas pembelajarannya. Hancur luluh hati Imran menerima perkhabaran perit ini. Perasaan belas dan sedih menyelinap di dalam hati saya pabila membaca bait-bait sms yang dihantar Imran tidak dibalas Aishah. Nanar juga Imran ditinggal Aishah pada mulanya. Namun Imran redha dan kembali bermunajat kepada Yang Satu. Semangat diri yang hampir hancur kembali dibina untuk mengharungi hidup seterusnya.

Dalam mencari pekerjaan untuk menyara hidup keluarga Imran disapa kepayahan. Banyak sungguh dugaan untuk Imran sehingga saya sendiri dapat merasai keperitannya. Walaupun payah namun sikap semulajadi Imran yang baik hati dan suka membantu memang disenangi oleh semua orang. Nak dijadikan cerita Imran berkawan dengan Suzila anak Dato' Husin, siswi tersohor di kampus pengajian. Walaupun ayahnya inginkan Nazira sebagai pengganti Aisyah, namun entah mengapa di hati Imran tertulis nama Suzila. Sedar akan jurang yang besar terbina di antara mereka berdua apatah lagi pabila Suzila memberi perkhabaran yang hampir sama semasa dia bersama Aisyah dulu, Imran cuba untuk bertenang dan kembali berserah kepada Yang Satu. Namun sikap tenang Imran amat menyeksakan jiwa Suzila. Lalu apa yang harus dilakukan?

..................................................................................

Urusan ini perutusan cinta.
Seperti sabda Rasulullah, Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Islam itu cinta.
Cinta itu fitrah terpateri dalam hati. Hanya cinta dalam hati yang akan menyatukan kita dan semua manusia. Sepertimana alam kehidupan yang satu ini ditampung oleh bongkah-bongkah alam yang sedang bercinta; roh cinta yang mutlak terpateri pada hukum qadar-Nya. Setiap detik pasir-pasir dan burung-burung itu mengucapkan ‘cinta’ ke hadrat Tuhan mereka.

Maka aku berusaha mencintai semua, dan mengikat hati pada simpulan iman kepada qada dan qadar Allah.

Imran lulusan kejuruteraan, anak miskin yang tidak punya apa-apa kecuali kecintaannya pada Allah. Lalu wajarkah dia ada hati kepada si dia yang punya segala-galanya? Atau orang miskin hanya layak untuk dijodohkan dengan orang yang tidak punya apa-apa juga? Kalau begitu, apa pula maknanya sekufu?



Baca Selanjutnya..

Monday, October 19, 2009

Aku Cinta Dia














Tajuk Novel : Aku Cinta Dia
Karya : Sharifah Abu Salem
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2009
Halaman : 499 mukasurat
Harga : rm19.90


Di kala pembaca disogokkan dengan begitu banyak trend novel-novel cinta Islami penulis ini juga tidak ketinggalan menerapkan nilai-nilai yang sama. Namun karya Sharifah Abu Salem memang membawa gaya penceritaan yang berlainan dan tersendiri. Penceritaan yang membuatkan pembaca digamit keinsafan dan kesedaran tentang betapa bahayanya pergaulan bebas terutamanya di kalangan gadis-gadis remaja belasan tahun.

Penulis membawa kita menyusuri kehidupan di Pusat Perlindungan Wadi Saffiyyah di mana penghuninya adalah gadis-gadis yang mengalami masalah sosial yang serius. Di kalangan mereka terdiri dari yang terlibat dengan dadah, pil khayal dan juga kehamilan akibat dari hubungan luar nikah. Di Wadi Saffiyyah gadis-gadis malang ini dididik supaya kembali mengenal Allah, menunjukkan jalan yang sebenar-benarnya yang harus diikuti dan seterusnya bertaubat di atas segala kesalahan yang telah dilakukan. Walaupun pada mulanya mereka terpaksa menghadapi 'pemberontakan' dari gadis-gadis bermasalah ini namun berkat kesabaran dan kasih sayang yang disemaikan oleh Ummi Saffiyyah dan Walid Mukhriz gadis-gadis ini dapat dipulihkan dan dijinakkan juga akhirnya.

Salah seorang di antara gadis-gadis ini adalah Nur Dania anak seorang hartawan. Gaya kehidupan bebas yang diamalkan oleh Dania menyebabkan dirinya mengandung anak luar nikah. Kerana tidak sanggup malu Datuk Sufian bertegas untuk menggugurkan kandungan Dania. Namun Datin Kay tidak sanggup bersubahat dengan si suami lalu melarikan Dania ke Wadi Saffiyyah.

Di Wadi Saffiyyah Dania menjalani hidup yang seratus peratus berbeza dari kehidupannya yang lalu. Pada mulanya saya menyangka Dania pasti akan menunjukkan sikap keras kepala dan memberontak habis-habisan. Rupa-rupanya penulis menggarap karakter Dania sebagai seorang gadis lembut yang keliru di dalam mencari diri. Kesedihan Dania yang sedang berbadan dua ditambah lagi kerana ditinggal sendirian oleh si ibu mendapat perhatian Ummi dan Ustaz Iqbal. Entah kenapa bagi mereka berdua, Nur Dania seperti seorang yang sangat istimewa. Malah bukan mereka berdua saja, Walid Mukhriz juga terasa bahawa kehadiran Nur Dania membuatkan hidup mereka bertambah ceria dan bersemangat. Kenapa agaknya ye?

Niat di hati Walid Mukhriz untuk menjodohkan ustaz Iqbal dengan Ustazah Umairah juga terpadam dengan sendiri dengan kehadiran Nur Dania. Apatah lagi bila melihat Ustaz Iqbal juga menyenangi Nur Dania. Hasrat di hati Ustaz Iqbal, dia ingin menceriakan jiwa Dania yang sedang walang. Namun sebaliknya Dania terkilan dengan perlakuan Ustaz Iqbal. Sangkanya Ustaz Iqbal hanya bersimpati dengan nasibnya yang sedang berbadan dua. Sehinggalah di suatu hari Ustaz Iqbal menghadiahkan mp3 untuk Dania.

Perlakuan Ustaz Iqbal dan Ummi Saffiyyah yang melayan Dania dengan agak istimewa membuahkan api cemburu di dalam diri Shira juga Ustazah Umairah. Di antara mereka berdua, Shira memang lebih berhati busuk. Datang niat jahat di hati Shira untuk mengenakan Dania dengan menyebarkan cerita-cerita liar. Ustaz Iqbal dan Ustazah Umairah sengaja dikatakan sudah bernikah dengan tujuan supaya Dania menjauhi Ustaz Iqbal. Tidak cukup dengan itu bermacam-macam cerita mengadu domba disebarkan oleh Shira yang bisa memanaskan penduduk Wadi Saffiyyah. Tidak berjaya dengan cerita panas, perangkap pula dipasang untuk memalukan Dania dan Ustaz Iqbal. Huhhh.. jahat sungguh! Di sini saya puji penulis kerana telah menunjukkan karakter Ummi dan Walid yang benar-benar mulia (sepertimana yang saya selalu inginkan). Mereka tidak mudah melatah dan cepat percaya terhadap setiap masalah yang timbul. Mereka menyiasat dan mengkaji terlebih dahulu sehingga ke pokok pangkal asalnya. Selalunya kalau kita baca atau menonton di dalam kebanyakan cerita, masalah sebegini akan membuatkan umi dan walid percaya kepada fitnah yang dilemparkan. Sudahnya hero dan heroin akan ditangkap dan dituduh berkhalwat lalu dihukum sewenang-wenangnya. Seronoknya saya bila hal sebegitu tidak terjadi di dalam cerita ini.

Datuk Sufian pula memang berkehendakkan supaya Dania menggugurkan kandungannya. Tindakan Datin Kay melarikan Dania ke Wadi Saffiyyah amat menyemarakkan kemarahannya. Setelah Datin Kay dizalimi sehingga kepalanya hampir parah berdarah Datuk Sufian bergegas mencari Dania pula.

Di saat cinta mula berputik di antara Dania dan Ustaz Iqbal, Qabil pulang ke Wadi Saffiyyah setelah beberapa kali dipaksa oleh Walid. Namun pertemuan dengan Dania membuatkan dirinya diragut perasaan bersalah yang menggunung. Kenapa ye? Dapatkah cinta Dania dan Ustaz Iqbal bersatu? Di akhir cerita seribu harapan dan doa dipanjatkan oleh umi, walid serta penghuni Wadi Saffiyyah mengiringi pemergian Dania kembali ke dunia luar bagi meneruskan penghidupan. Namun pemergian Dania hanya ditemani oleh Qayyum. Tiada wajah Ustaz Iqbal melambai ke arah mereka.

................................................................................


DANIA, gadis kota yang liar, mengandung anak luar nikah. Akibat nya, papanya, Datuk Safuan mendesak agar kandungan itu digugurkan. Namun, kerana tidak mahu menanggung dosa, mamanya, Datin Kay terpaksa melarikannya ke Pusat Perlindungan Wadi Saffiyyah, tempat perlindungan gadis-gadis bermasalah sosial.

Sepanjang tinggal di Wadi Saffiyyah, Dania sentiasa bermunajat kepada ALLAH. Walaupun dosa yang ditanggung selama ini tidak mampu mengembalikan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu, dia pasrah. Baginya dia harus meneruskan kehidupan sehingga anaknya lahir.

Dalam diam, dia terpaut pada sifat-sifat mulia Ustaz Iqbal salah seorang tenaga pengajar di Wadi Saffiyyah. Namun, bila difikirkan, mana mungkin dirinya yang kotor jatuh hati pada insan semulia Iqbal? Sehinggalah suatu hari, dia menerima hadiah pemain MP3 dan al-Quran kecil daripada lelaki itu.

Apakah maknanya ini? Adakah Iqbal juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya? Iqbal pernah menyatakan kepadanya bahawa dia harus mencintai ALLAH dan Rasul-NYA terlebih dahulu sebelum dia mencintai sesama manusia. Dania bimbang dengan kenyataan ini. Takut dia bertepuk sebelah tangan.

Baca Selanjutnya..

Tuesday, October 13, 2009

Kembara Atiq Wazif : Satu Anugerah
















Tajuk Novel : Kembara Atiq Wazif : Satu Anugerah
Karya : Hasan Suyut
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Terbitan : 2008
Halaman : 263 mukasurat
Harga : rm24.50

Ini satu lagi buku tentang suka duka perjalanan hidup seorang kanak-kanak istimewa bersama keluarga tercinta. Adik Atiq Wazif disahkan doktor mengidap cerebral palsy dan autisma. Perjalanan hidup semenjak dari dalam kandungan si ibu, sehinggalah kepada kelahiran lalu terus kepada meniti hidup sehari-hari yang serba mencabar digarap oleh ayah beliau sendiri dengan terperinci dan menyentuh hati.

Si ayah seorang ahli koperat yang berjaya, sentiasa sibuk dengan kerja sehingga kekurangan masa untuk dihabiskan bersama keluarga. Manakala si ibu pula seorang pendidik cemerlang. Berita kelahiran anak istimewa Atiq Wazif tidak membuatkan mereka cepat melatah namun disambut dengan penuh kesyukuran. Mereka menganggap bahawa ianya satu anugerah dari Allah.

Membesarkan Atiq Wazif bukanlah perkara mudah namun dua insan yang bergelar ibu dan ayah ini penuh sabar, pasrah dan redha terhadap apa yang ditakdirkan oleh Ilahi. Mereka melakukan sedaya yang terbaik tanpa mengeluh untuk Atiq Wazif sehingga sanggup merantau ke pelusuk dunia mencari penawar untuk menyembuhkan Atiq Wazif. Kalau tidak pun sekurang-kurangnya untuk menjadikan Atiq Wazif lebih baik.

Bagi saya adik Atiq Wazif lebih beruntung dari adik Sofiah sepertimana di dalam buku Di Dalam Kehadiran Sofiah kerana dilahirkan di dalam lingkungan keluarga yang agak berada juga. Bagi keluarga Atiq Wazif, wang bukanlah menjadi masalah utama mereka. Jauh beza berbanding dengan keluarga Sofiah yang terpaksa bermotosikal sahaja hanya untuk menjalani rawatan di hospital kerajaan sahaja.

Membaca buku ini hati saya menjadi sedikit lapang pabila kanak-kanak istimewa ini dilahirkan di dalam lingkungan keluarga yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap anak mereka. Paling lega lagi bila keluarga mereka adalah orang yang berada sepertimana keluarga Atiq Wazif. Ini kerana kanak-kanak seperti ini memerlukan pembiayaan yang agak besar untuk kos rawatan di samping limpahan perhatian dan kasih sayang yang tidak kunjung padam. Buku ini umpama sebagai harapan dan semangat kepada ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak sepertimana Atiq Wazif supaya terus berusaha dan berjuang demi untuk anak tersayang.

Baca Selanjutnya..

Monday, October 12, 2009

21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh

Tajuk Buku : 21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh
Penulis : Syaikh Muhammad Shalih Al Munajjid
Syaikh Murid Al Kullab
Penerbit : Mustread Sdn Bhd
Terbitan : 2009
Halaman : 119 mukasurat
Harga : rm14.90

Jika anda termasuk orang yang merasa berat untuk bangun solat Subuh, maka buku ini akan membangkitkan anda. Tidak pernah menghadiri solat Subuh berjemaah merupakan sikat tasyabbuh (menyerupai) perilaku kaum munafik pada zaman Nabi. Sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud "Barangsiapa yang menyerupai satu kaum, maka ia termasuk golongan kaum tersebut." (HR Muslim). Cuba anda renungkan.. Munafikkah anda atau dalam hati anda telah bersemi benih-benih kemunafikan.

Jika anda berkata tidak atau bukan, maka buktikan bahawa anda bukan seorang munafik. Dan satu-satunya cara untuk membuktikan adalah tanamkan azam dalam diri anda mulai esok anda akan buangkan rasa mengantuk yang menjerat dan rasa malas yang membelenggu diri anda dan berbarislah bersama jemaah dalam menunaikan solat Subuh.

Buku ini membantu anda dalam memperbaiki diri anda, dengan tip-tips yang mudah difahami akan merubah diri anda menjadi antara insan-insan yang berada di barisan jemaah Subuh.

Baca Selanjutnya..

Sunday, October 11, 2009

Cintai Aku Kekasih












Tajuk Novel : Cintai Aku Kekasih
Karya : Fateen Najwa
Penerbit : Fajar Pakeer
Terbitan : 2009
Halaman : 471 mukasurat
Harga : rm19.90



Membaca novel Fateen Najwa saya kira saya akan dihidangkan dengan kisah percintaan bercampur misteri kenangan silam dan pembalasan dendam tetapi tidak kali ini. Walaupun ada kenangan silam tetapi di dalam novel ini penulis seperti menukar sedikit stail tulisan supaya tidak stereotype dengan karyanya yang sudah-sudah. Elok juga tu. Tetapi entah kenapa saya merasa karya penulis kali ini hanya biasa-biasa saja. Perjalanan cerita juga mendatar dan kurang klimaks.

Kisah hidup Suri seorang gadis lincah ala-ala tomboi yang tinggal dengan ibu dan kakaknya di sebuah desa perkampungan kecil. Suri sering menerima cemuhan dari kawan-kawannya mengatakan dia anak pungut. Walaupun ianya mengguris hati dan menjadi tanda tanya tetapi Suri sering mengabaikannya apatah lagi dengan kehangatan kasih sayang Hendon dan Kak Atilia yang melimpah ruah untuk Suri.

Kisah bermula pabila seorang guru dari bandar tiba untuk mengajar di sekolah perkampungan mereka. Cikgu Naufal yang kacak menjadi buah mulut makcik-makcik dan kegilaan remaja-remaja perempuan. Termasuklah Suri. Namun pabila melihat Naufal rapat dengan Atilia sementelah mereka mengajar di satu sekolah hati Suri terusik. Perasaan kecewa mula terasa bila Naufal mengajak Suri keluar semata-mata untuk membeli rantai untuk wanita yang dicintai Naufal. Hatinya mengesyaki bahawa Naufal menyukai Atilia.

Di dalam diri Naufal pula dia menyenangi Suri yang lincah tetapi di waktu yang sama dia mengagumi Atilia. Kedua-dua beradik ini amat menarik perhatiannya. Lama kelamaan di dalam hati Naufal terbit perasaan yang aneh untuk kedua-duanya. Dia keliru untuk memilih samada Suri atau Atilia. Namun keputusan harus dibuat dengan harapan ianya sebuah keputusan yang betul.

Malang untuk Atilia pabila satu insiden yang tidak ingini telah berlaku di dalam rumahnya sendiri. Insiden itu membuatkan Atilia patah semangat dan menjadi murung. Atilia dibawa berjumpa dengan pakar sakit jiwa. Pada Doktor Haneef diceritakan segala-galanya. Di saat pinangan Naufal tiba Hendon menasihatkan Atilia supaya menerima. Harapan Hendon supaya Atilia melupakan peristiwa pahit itu dan menjalani hidup bahagia dengan Naufal. Namun satu hal yang mereka tidak ketahui ialah bahawa Naufal adalah adik Doktor Haneef.

Kecewa dengan Naufal Suri mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di Kuantan. Jauh dari kampung halaman supaya tidak berjumpa dengan Naufal. Suri sering menghabiskan masa cuti di Green House Aznita. Di Green House Suri kagum dengan abang Aznita, Ameer yang berjaya menanam pokok blueberry dan strawberry. Suri yang gemar mendengar radio selalu mengikuti alunan sajak yang dihantar oleh seseorang yang bernama pena Blueberry. Nakal si Suri dia turut menghantar puisi balas untuk Blueberry dengan menggunakan nama pena Cream. Niat di hati untuk mengenali Blueberry tetapi tidak tahu bagaimana. Walhal Blueberry yang ingin dikenali selama ini selalu berada di depan matanya setiap masa.

........................................................................

Setiap detik yang berlalu, Atilia dan Naufal terseksa, namun penyeksaan itu tidak akan serupa sama sekali. Atilia dengan kemelut yang melanda diri, bagaikan tiada kesudahan dan Naufal jadi bingung, tertanya-tanya dengan kedinginan isterinya.

Atilia, cintailah abang seperti mana abang mencintai Ati. Atau kalau Ati tak boleh cintailah abang seperti Ati inginkan.

Suri tidak pernah sangka akan mencintai lelaki yang akan menjadi abang iparnya. Hatinya sakit, jiwanya merana. Naufal yang dicintai sepenuh hati memilih Atilia berbanding dia. Namun dia ada Blueberry sebagai pengubat.

Namun, mungkinkah cinta Buleberry juga untuknya? Adakah setiap sajak itu punya makna khas buatnya, atau sekali lagi dia mencintai orang yang salah?



Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin