Monday, August 31, 2009

Menyingkap Mukjizat Surah Al Waqiah











Tajuk Buku : Menyingkap Mukjizat Surah Al Waqiah
Pengarang : Muhammad Mokhtar
Penerbit : PTS Millennia
Terbitan : 2009
Halaman : 113 mukasurat
Harga : rm10.90


Ramai individu mengeluh apabila usaha yang dilakukan tidak memberikan hasil seperti yang diimpikan.

Adakah kita mengkaji sebab terjadi sedemikian?

Adakah kita pernah mendengar 'usaha semata-mata juga tidak menjamin kejayaan'? Adakalanya kita perlu mengamalkan sesuatu selain usaha dalam meraih kejayaan. Surah al-Waqiah menampilkan kisah-kisah yang menjelaskan, sesiapa sahaja mampu memperolehi rezeki yang melimpah-ruah dan terhindar daripada kefakiran dengan membaca surah ini secara istiqamah.

Ayuh kita terokai mukjizat di sebalik surah ini.

......................................................................................






Al-Quran adalah mukjizat yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad SAW kekal hingga ke hari ini menjadi panduan hidup umat Islam sehari-hari. Di dalam al-Quran telah lengkap merangkumi semua yang perlu untuk diketahui tentang apa jua perkara. Tidak ada satu kitab atau buku pun yang lengkap di dalam dunia ini melainkan kitab al-Quran. Umat Islam dituntut supaya membaca al-Quran dan menghayatinya supaya tidak terkeluar dari landasan hidup yang sebenar.

Di dalam al-Quran mengandungi 114 surah semuanya. Terdapat beberapa surah penting yang mempunyai kelebihan untuk diamalkan sebagai bacaan setiap hari. Antara surah tersebut adalah surah al-Waqiah. Surah al-Waqiah adalah surah yang ke 56 di dalam al-Quran yang mengandungi 96 ayat. Surah ini menjelaskan tentang kejadian hari kiamat, syurga dan neraka. Juga diceritakan tentang keberuntungan orang-orang yang masuk syurga dan juga kecelakaan bagi orang-orang yang masuk neraka. Dijelaskan bahawa pada hari kiamat nanti manusia akan terbahagi kepada tiga golongan iaitu:

1. golongan yang segera melakukan kebaikan - golongan ini adalah para Nabi.
2. golongan kanan iaitu orang yang beriman - golongan orang yang soleh, para penjihad dan orang-orang yang sabar dan ikhlas melalui penderitaan dan kesukaran semata-mata untuk melalui jalan Allah.
3. golongan kiri iaitu orang yang mengingkari Tuhan - golongan yang mendustakan ayat al-Quran.

Untuk golongan pertama dan kedua Allah telah menyediakan balasan yang baik kerana telah berjuang ke jalan Allah. Sementara golongan ketiga pula Allah telah menyediakan balasan yang buruk lagi hina. Walaupun golongan ini mempunyai semua isi kekayaan di dunia namun ianya tidak akan dapat menebus dirinya dengan kekayaan itu. Golongan mana yang akan manusia pilih semuanya adalah terserah kepada individu itu sendiri. Seperti huraian penulis, setiap individu mempunyai kunci masing-masing melalui amal perbuatannya. Kunci untuk membuka pintu neraka ataupun pintu syurga.

Surah al-Waqiah begitu jelas sekali menyuruh manusia supaya sedar bahawa manusia perlu meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dengan mempercayai rukun iman yang kelima iaitu mempercayai hari kiamat itu wujud. Pada hari kiamatlah di mana semua manusia seawal Nabi Adam sehinggalah ke akhir-akhir zaman manusia akan dihitung dan diberi ganjaran di atas setiap bentuk perbuatan mereka. Di hari itu nanti tidak akan ada seorang pun yang mampu menyembunyikan apa-apa jua serta mendustakan apa-apa jua melainkan semuanya sudah diketahui. Mereka yang tidak bertaqwa akan diselubungi dengan seribu penyesalan yang sia-sia. Mereka kelak akan dihumban ke dalam api neraka dan diberi minum dari air yang mendidih dan diberi makan dari pohon zaqqun.

Beruntunglah orang-orang yang beriman dan membenarkan hukum Allah. Golongan ini akan mendapat kemenangan, kenikmatan dan kebahagiaan di dalam syurga. Nikmat syurga adalah nikmat yang abadi dan ianya sedikitpun belum pernah menyamai nikmat kebahagiaan di dunia. Sekiranya kita yang mengecapi nikmat kebahagiaan di dunia sudah merasa betapa besar pemberian Allah kepada kita, apatah lagi apabila berada di syurga kelak. Tidak dapat terjangkau oleh pemikiran kita. Subhanallah!

Setelah memahami serba sedikit tentang maksud ayat-ayat di dalam surah al-Waqiah, penulis mengajak pula pembaca supaya mengetahui kelebihan-kelebihan tentang surah ini. Memang kita ketahui semua ayat al-Quran mempunyai kelebihan dan manafaat. Allah tidak membezakan atau melebihkan sesetengah ayat al-Quran berbanding yang lain sepertimana di dalam surah al-Anam ayat 38 yang bermaksud "Tiadalah kami alpakan sesuatu pun dalam al-kitab dan pada Tuhanlah mereka semua dihimpunkan."

Nabi juga tidak menyebut bahawa sesetengah ayat al-Quran itu mempunyai kelebihan dalam menyempurnakan sesuatu perkara. Oleh itu kita perlu beranggapan bahawa semua ayat di dalam al-Quran adalah sama rata kelebihannya. Dengan ini jelaslah bahawa sesiapa yang membaca al-Quran secara istiqamah dan sempurna tidak kira apa surah dan ayat sekalipun, insyaAllah, dia bakal menerima kebaikan di dunia dan akhirat.

Namun demikian Allah berfirman pula di dalam surah al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud "Allah menganugerahkan hikmah iaitu kefahaman mengenai al-Quran dan sunah kepada siapa yang dia kehendaki. Sesiapa yang menerima hikmah itu, dia benar-benar mendapat kurnia yang banyak."

Di dalam mengharungi hidup manusia perlu bekerja untuk menyara hidup sendiri mahupun keluarga. Kestabilan ekonomi sesebuah keluarga perlu untuk menjamin kebahagiaan dan kemakmuran. Kebahagiaan itu akan memberikan kita ketenangan supaya kita dapat beribadat dengan selesa tanpa memikirkan kesusahan mencari rezeki. Untuk itu kita perlu melakukan ataupun mengamalkan perkara-perkara yang membolehkan kita mendapat rezeki.

Ramai yang mengetahui bahawa amalan surah al-Waqiah ini akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah. Sabda Rasulullah s.a.w. : “Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. "(Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.) Kekuatan surah al-Waqiah juga ada dijelaskan di dalam ayat 89 hingga 91. Ia menjelaskan bahawa sesiapa yang dekat kepada Allah, dia akan menemui kebaikan. Dan barang siapa yang mengingkari Allah, dia akan menemui kepedihan. Di dalam ayat 75 hingga 82 juga ada menyebut peringatan Allah bahawa semua yang berlaku adalah dalam ketetapanNya. Termasuklah rezeki. Manusia boleh berdoa dan berusaha tetapi yang menentukan segalanya adalah Allah.

Namun amalan surah ini mestilah disertakan dengan usaha dan kerajinan dalam melakukan kerja. Tidak boleh berpeluk tubuh saja. Tidak ada doa yang akan termakbul dengan sendiri tanpa usaha. Doa dan usaha perlulah seimbang. Malah sesiapa yang berusaha serta mengamalkan pembacaan surah ini lalu disertakan juga amalan-amalan yang lain seperti solat sunat Duha, soleh sunat tahajud dan solat sunat hajat pasti akan memberi lebih keberkesanan lagi. Niat melakukan kerja juga memainkan peranan penting. Niat menambah rezeki mestilah kerana Allah dan untuk disalurkan ke jalan Allah. Jalan untuk melakukan kerja juga mestilah dengan cara yang halal.

Saranan bahawa surah al-Waqiah ini dibaca pada waktu malam dikuatkan dengan pembentangan surah al Muzammil ayat 20, surah al-Thur ayat 48-49, surah al Zumar ayat 9, surah Hud ayat 114-115, surah al Qadr ayat 4-5 dan lain-lain. Di dalam ayat-ayat al Quran itu Allah sering menyeru manusia supaya bangun beribadat di malam hari di ketika manusia-manusia lain diulit mimpi. Di malam hari juga turunnya para malaikat dan Jibril dengan izin Allah bagi mengatur semua urusan.

Mengenai jumlah bacaan yang perlu dibaca, tidak dapat dipastikan. Tidak ada saranan supaya surah ini dibaca beberapa kali. Namun adalah elok sekira ianya dapat dibaca lebih dari sekali mengikut kemampuan. Kerana sekiranya ia dibaca sekali sahaja ianya kurang berkesan di hati lalu akan menjadi kurang mustajab. Membaca surah al-Waqiah, atau apa-apa surah sekali pun adalah ibarat kita mengingati Allah. Semakin banyak kita membacanya, semakin dekat kita dengan Allah. Jadi bacalah ia berkali-kali dengan khusyuk dan tawaddu'.

Setelah segala usaha bersama doa yang dilakukan dengan khusyuk dan istiqamah bagi tujuan untuk mendapatkan rezeki, apa yang perlu dilakukan selepas itu adalah dengan berserah kepada Allah. Hanya Allah lah yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Sekiranya Allah mengurniakan sesuatu yang tidak sesuai kepada hambanya, sesungguhnya Allah lebih mengetahui dan perlu diterima dengan hati yang redha. Perlu diingat bahawa Allah selalu menguji hambanya bukan saja dengan kesulitan tetapi juga dengan kesenangan dan kenikmatan.

Sepertimana dibincangkan terdahulu dinyatakan bahawa semua ayat-ayat al-Quran mempunyai kelebihan. Surah al-Waqiah juga mempunyai kelebihan tersendiri iaitu kelebihan dalam usaha menambahkan rezeki. Oleh itu ianya menjadi sangat popular di kalangan ahli ibadah apatah lagi Nabi Muhammad sendiri turut menyarankan agar surah ini diamalkan di dalam hidup seharian.

Kekuatan tentang surah ini dihuraikan oleh penulis melalui pemahaman beliau mengenai al-kasyf iaitu kewujudan kejolak jiwa atau naluri rasa yang terbuka lalu menyedari dalam hatinya tentang kebesaran Allah. Al-kasyf yang disebut terbahagi dua iaitu al-kasyf illahi dan al-kasyf iman akan mewujudkan zat dan rasa kemanisan beribadah di dalam diri apabila ibadah itu dilakukan secara berulang-ulang. Di samping itu juga harus memahami isi kandungan surah tersebut yang mengandungi perihal doa dan sejarah juga huraian tentang pembalasan yang hakiki. Penulis menjelaskan bahawa ia tidak menemukan konsep mencari rezeki di dalam surah ini namun apa yang ditemukan ialah petunjuk-petunjuk tentang kebahagiaan yang hakiki serta kemuliaan yang diberikan kepada orang-orang yang mahu mengikut petunjuk Allah. Kemuliaan inilah yang menjadi kekuatan bagi surah ini.

Seterusnya penulis membincangkan tentang kaitan surah al-Waqiah dalam aspek jiwa. al-Quran dapat mengubah peribadi seseorang manusia daripada negatif kepada positif sekiranya diamalkan dengan cara istiqamah dan tawaddu'. Surah al-Waqiah yang dibaca mampu merawat jiwa yang gelisah menjadi tenang, fikiran yang kacau menjadi rapi dan tersusun. Namun penulis melarang pembaca mengharapkan sesuatu keajaiban yang luar biasa dari surah ini umpamanya mengharapkan wang turun dari langit.

Melalui pengalaman saya sendiri kalau nak diibaratkan wang turun dari langit pun ya juga. Semasa pengajian di seberang laut sepuluh tahun lalu saya memang kekurangan wang untuk membayar yuran pembelajaran, melengkapkan alat pembelajaran, biaya sara hidup apatah lagi dengan sewa rumah yang mahal. Saya terpaksa bekerja part-time menjadi tukang sapu di sebuah supermarket pada waktu malam. Sementara pada siang hari saya menghadiri kelas. Kesempitan hidup yang semakin meruncing membuatkan pembelajaran saya sedikit terjejas. Apa yang saya lakukan ialah dengan melakukan solat sunat tahajud berserta solat sunat hajat dan selepas itu membaca surah al-Waqiah sebanyak tiga kali sahaja memandangkan tubuh badan yang sudah letih kerana seharian terpaksa mengikuti kelas dan selepas itu bergegas ke tempat kerja pula. Saya melakukannya secara istiqamah selama sebulan. Apa yang memeranjatkan dan membuatkan saya merasa bahawa wang turun dari langit ialah pada suatu hari saya telah menerima satu cek berjumlah yang sangat banyak dari Kementerian Buruh dan Kebajikan di negara tempat saya belajar. Cek tersebut adalah subsidi kos sara hidup yang diberikan kepada pelajar-pelajar muslim seperti saya. Dan mereka akan terus melakukan pembayaran setiap bulan kepada saya sehinggalah saya tamat pembelajaran. Sungguh saya tidak menyangka bahawa sebegini besarnya nikmat yang Allah berikan kepada saya di ketika itu.

Berbalik kepada tajuk perbincangan, penulis menghuraikan bahawa orang-orang yang membaca al-Quran secara khusuk dan istiqamah akan diberikan keberuntungan yang berlipat kali ganda oleh Allah. Tak kiralah samada dari segi kekayaan di dunia mahupun kesenangan di akhirat. Tetapi bagi mereka yang kufur dan menentang ajaran Allah, orang-orang ini akan dijauhkan nikmat-nikmat Allah dan rahmatNya. Pun begitu semuanya terserah bulat-bulat kepada Allah tentang siapa yang akan diberikan rahmat dan hidayatNya. Sepertimana disebutkan di dalam surah az Zumar ayat 52 yang membawa maksud " Tidakkah mereka mengetahui Allah melapangkan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang dikehendakinya. Sesungguhnya itu adalah tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang beriman."




















Baca Selanjutnya..

Saturday, August 29, 2009

Pantun Tok Guru



Kalau berladang kurang tekun
Lesap padi ditelan belukar
Kalau hilang tukang pantun
Senyap sunyi bandar yang besar

Kapal belayar dari arakan
Selit besi jadi kemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati ambo (saya) kerana budi

Tuan Puteri ke Tanjung Keling
Bilah mengkuang dianyam tenang
Biar isteri benci menjeling
Tetaplah abang terkenang-kenang

Naik bertamu di Pulau Tawar
Singgah menjala di Kampung Buntal
Pahit jeling menjadi penawar
Abang simpan di bawah bantal

Hujung rusuk patah tulang
Kena tindih kayu rasak
Kalau sungguh rindukan bulan
Tunggu dulu lepas Isyak

Tebuk kayu dengan pahat
Kelek mangkuk pakai topi
Kata mahu keluar jihad
Nampak tersangkut di kedai kopi?

Anak ayam turun lapan
mati seekor tinggal tujuh
harap berdoa kepada Tuhan
Supaya terang jalan bersuluh

Tiang sehasta dibuat galah
Berpanjang lengan kait melati
Berjuang kita ke jalan Allah
Biar dengan sepenuh hati

Manis sungguh dokong tuan
Malam resah pelita mati
Payah apa sokong bulan
Mungkin susah tapi tak mati

Apa dirisau hantu jembalang
al-Quran dibaca berhari-hari
Tubuh besar janggut panjang
Bunyi wisel kenapa lari?

Dayung sambil pasir kemudi
Air deras di Ulur Tersat
Jangan diambil jalan Yahudi
Itu sah menuju sesat

Ikan belanak ditutup saji
Saji dianyam oleh Pak Mahat
Orang khianat jangan dipuji
Makin dipuji makinlah jahat

Sejak kera masuk negeri
Anak Merbah mati tersepak
Sejak ketua sibuk mencuri
Anak buah jadi perompak

Burung Punai burung Kelicap
Hinggap berkawat di hujung dahan
Tidak guna lawa dan kacak
Jika melawan hukum Tuhan

Tanam halia tumbuh lengkuas
Semak daun si api-api
Apa guna kaya rasuah
Esok dipanggang di atas api

Terbang kunang di tengah malam
Hinggap masuk di tiang seri
Tangan kanan ajak bersalam
Apa maksud pisau di kiri

Hujung kota patik menanti
Orang Kaya Laksamana Bentan
Tuan berkata sesuka hati
Karamlah saya tujuh lautan

Tuanku umpama emas segetus
Segak bertempat indah seorang
Hamba umpama selipar yang putus
Tiba bertempat dilupa orang

Bermamah sirih di tengah pelita
Pahit mulut sampai ke pagi
Beradu susuh taji pendeta
terbit suluh batil pun pergi

Biar bersambung bedilan Feringgi
Takku tinggal ini kota
Islam berbumbung di awan tinggi
Mengatasi segala mainan kata

Gua Bama Sungai Hulu
Kuala Damak berbatu karang
Hamba umpama dagang lalu
Nasi ditanak milik orang

Rata lapang Gunung Tahan
Bukit Rapat Bukit Cekati
Kita menumpang bumi Tuhan
Jangan dibuat sesuka hati

Daun palas ikan kelah
Mari diikat dengan tali
Niat ikhlas kerana Allah
Syirik tidak sekali-kali

Papan tualang mari diukir
Buat tongkat si kayu jati
Sayang malam hidup berzikir
Kuat ibadat sebelum mati

Akar tersesat jambu batu
Ikan kolek bertali kain
Resam ibadah niat tertentu
bukan boleh dibuat main

Jalan bengkok terkial-kial
Sambil mengupas limau lengkap
Tengokkan songkok bagaikan kiayi
Kenapa membaca tergagap-gagap

Apa guna berkain batik
Jika labuh berbayang-bayang
Apa guna beristeri cantik
Jika subuh tidak sembahyang

Teluk Rokan tempat memancing
Angkat raga berisi gelas
Jika ikan umpamanya cacing
Syarat syurga ialah ikhlas

Tunas selasih dibuat rebung
Asah belati diasap damar
Bercerai kasih boleh disambung
Berpisah mati putuslah amal

Putus amal jika mati
Itu muktamad dari Allah
Cuma ada tiga kecuali
Anak soleh, ilmu dan sedekah

Lantang bersahut burung bebarau
Kayu jati dibuat sarang
Adab hidup kita bergurau
Sudah mati terguling seorang

Dari Demak ke Makasar
Bergalah perahu tidak berbaju
Maafkan hamba jika terkasar
Allah jua tempat dituju

Pisang dusun kacip cekati
Sireh dibilas luar rumah
Saya berpantung dari hati
Tuan balas tiba di rumah

Indah sungguh Tanjung Sedeli
Pulau Seratus dilambai nyonya
Sepanjang mana seutas tali
Akan ada terus hujungnya.



Baca Selanjutnya..

Wednesday, August 26, 2009

Aku Bukan Billy Milligan









Tajuk Novel : Aku Bukan Billy Milligan
Karya : Norhayati Berahim
Penerbit : NB Kara
Terbitan : 2009
Halaman : 770 mukasurat
Harga : rm25.90


Penghinaan dan cercaan ketika kecil, membuatkan Adam percaya, harta menggunung dapat membeli maruah diri. Bila usia menginjak dewasa, tekadnya hanya satu, menjadi kaya dan dihormati seperti Warren Buffet!

Namun Adam silap percaturan. Setelah kejayaan dalam genggaman. Dia masih lagi diperlekeh dan rumah tangganya runtuh walaupun dia sudah menjadi kaya raya!

Kehadiran Laura membuka mata Adam. Laura dari mata kasar Adam, hanya biasa-biasa sahaja. Tetapi gadis itu berjiwa tegar, selamba dan tenang. Anak pembuat belacan yang sentiasa menikmati hidup seadanya. Dari Laura, Adam pelajari banyak perkara. Terutama bagaimana mahu menghargai kehidupan dan berkasih sayang!

..................................................................

Pada saya sentuhan penulis kali ini memang menarik. Walaupun penulis masih lagi mengekalkan heroin yang bercirikan wanita sempurna namun untuk kali ini tidaklah keterlaluan stereotypenya. Jalan ceritanya slow and steady saja namun saya jarang dihinggap kebosanan pabila menatap novel ini. Seperti biasa banyak babak yang disulami dengan nasihat dan pengajaran. Namun saya merasa agak kurang puas hati bila penulis meletakkan pembalasan yang saya kira agak kejam kepada watak-watak jahat contohnya ibu mertua Adam yang bongkak menerima padah dengan penyakit kanser lalu meninggal dan Datuk Kamaruddin yang suka mendera isterinya menerima balasan setelah terlibat dalam kemalangan ngeri.

Laura, gadis Melayu anak si pembuat belacan memang ceria dan selalu tersenyum manis. Katanya senyum itu sedekah. Berasal dari keluarga yang susah setelah ditinggalkan oleh ayah Laura berusaha untuk memperbaiki kehidupan keluarganya untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Yang mengagumkan saya tentang Laura ini ialah dia selalu bersedia dan ikhlas untuk menolong sesiapa saja yang datang padanya. Sesiapa saja yang berada di dalam kesusahan pasti akan ditolongnya. Sesekali saya merasa Laura ni bukan peniaga hartanah tetapi lebih kepada seorang pekerja kebajikan pula. Boleh dikatakan hampir setiap pelanggan yang berurusan dengannya akan menjadi rapat dengan Laura kerana sifat keramahan dan kemesraannya. Dalam menguruskan perniagaan sempat juga Laura menyelesaikan masalah peribadi pelanggan-pelanggannya. Bertuah kita kalau dapat berurusan dengan orang seperti Laura. Sudahlah kita dapat memiliki rumah yang kita idamkan kita dapat pula sesi kaunseling dengan percuma. Dan yang paling berharga lagi kita dapat seorang kawan yang ikhlas menolong kita. Memang Laura selalu ikhlas menolong pelanggan-pelanggannya yang bermasalah.

Sehinggalah Laura dipertemukan dengan Adam, seorang perunding saham yang kaya dan berjaya yang berminat untuk membeli Teratak Alam. Watak Adam yang beku, suka berprasangka dan straight to the point agak menyusahkan Laura. Sebenarnya Adam bersifat demikian kerana telah melalui kepahitan hidup semasa kecilnya. Ibunya didera lalu ditinggalkan ayah yang kasanova dan kaki judi. Setelah ibunya meninggal Adam dicampakkan ke rumah anak-anak yatim. Dari situlah dia berazam untuk memperbaiki taraf hidupnya dengan menjadi orang kaya dan berjaya. Prinsip yang dipegang ialah orang kaya akan disanjungi ramai dan boleh berbuat sesuka hati tanpa dicemuh.

Namun kekayaan yang dikecapinya tidak dapat memberi kebahagiaan kepada Adam. Rumahtangga yang dibina dengan Rozita si peguam anak Tan Sri juga tidak dapat mengisi kekosongan hatinya. Akhirnya mereka berpisah jua. Setelah berpisah Adam menghubungi Laura lagi bertujuan untuk menjual Teratak Alam. Mungkin kerana pejabat mereka dalam satu bangunan tapi berlainan tingkat maka agak senang untuk Adam mencari Laura. Sekejap sekejap dia mencari Laura. Sekejap sekejap dia singgah di pejabat Laura. Dengan saranan dan pendapat yang diberikan Laura, Adam tidak jadi menjual Teratak Alam. Namun Laura masih juga dicari untuk mengubah suai rumah agam tersebut. Laura yang tetap bertahan sabar dengan karenah Adam mengikutkan saja walaupun sesekali terasa hati dengan sikap beku dan bongkak Adam.

Hidup keseorangan di Teratak Alam yang besar dan mewah membuatkan Adam kesunyian. Dia tiada sesiapa untuk berkongsi kegembiraan mahupun kedukaan. Laura lah yang menjadi mangsa untuk mengisi kesunyiannya dalam rela atau terpaksa. Dalam sedih Laura juga dicarinya, dalam marah Laura juga yang dimakinya, dalam gembira kepada Laura juga yang diluahkannya. Semakin hari Adam seperti sudah kemaruk Laura. Tanpa diduga Adam menyenangi Laura. Tanpa disedari dalam hati Adam ada Laura! Jeng jeng jeng!

Namun Laura tahu diri dan selalu mengambil sikap berhati-hati pabila berhadapan dengan Adam. Kata-kata kesat dan tuduhan yang dilemparkan Adam semasa insiden gambar dia berpayung dengan Adam telah membuatkan Laura sedikit membenci Adam. Insiden yang membuat Laura membenarkan kata-kata ibunya bahawa orang kaya memang selalu akan menyusahkan.

Panahan cinta terhadap Laura merubah hidup Adam daripada menjadi seorang yang beku dan kasar kepada seorang yang suka merayu dan romantis. Adam benar-benar jatuh hati pada Laura. Perasaan yang membuak-buak di hatinya seperti tidak dapat ditahankan lagi. Membuatkan Laura takut dengan perubahan mendadak Adam. Saya tersenyum sendiri menatap adegan-adegan cinta yang kelakar di antara Adam dan Laura disulami dengan usikan nakal Lily dan Tanti.

Namun nasib malang bagi Adam pabila hajat di hati untuk melamar gadis pujaan tidak kesampaian. Laura telah menolak cinta Adam. Alasan yang diberi ialah kerana emaknya tidak menyetujui sekiranya dia berhubungan dengan orang kaya. Laura selalu ingat akan pesan emaknya bahawa orang kaya selalu menyusahkan. Ditambah lagi emaknya juga mengetahui bahawa dia berkawan dengan Adam yang sudah berkahwin. Aduhai... kesian sungguh pada Adam. Susah betul untuk memenangi hati seorang Laura rupanya. Namun timbul idea di dalam fikirannya. Untuk memenangi hati Laura yang terlalu sayangkan emaknya, dia mestilah memenangi hati Mak Eton dahulu. Dengan nekad dan berani Adam terus ke kampung Laura menyatakan niat untuk menyunting gadis pujaan hati.

Baca Selanjutnya..

Friday, August 21, 2009

Khutbah Rasulullah Menyambut Ramadhan





Insya'Allah esok akan tibalah bulan Ramadhan yang kita rindui. Bulan baraqah ini akan kita mulai dengan berniat untuk berpuasa selama sebulan setelah masuk waktu maghrib dan seterusnya beramai-ramai mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau terdekat untuk menunaikan solat tarawikh yang pertama. Sayu rasanya hati. Syukur dengan rahmat Allah ke atas kita semua kerana masih lagi diberi peluang untuk beribadah di bulan yang mulia ini di dalam suasana yang aman dan tenteram. Di saat saudara-saudara seagama di negara lain ada juga yang kurang bernasib baik, masih dihujani dugaan dan cabaran hidup yang memeritkan.

Tapak-tapak gerai Ramadhan sudah pun mula didirikan untuk peniaga berjualan. Restoran-restoran mewah dan juga hotel-hotel giat mempromosikan acara-acara berbuka puasa yang dihadiri oleh artis-artis terkenal. Gedung-gedung membeli belah pula sudah mula menebarkan iklan jualan murah sempena hari raya. Aduhai, sekarang ini Ramadhan sudah seakan-akan bulan untuk berpesta. Pesta makan, pesta jualan murah dan pesta membeli belah. Seolah-olah fungsi Ramadhan itu sendiri sudah hampir terpesong. Dipesongkan oleh kita sendiri.

Hakikatnya bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk kita mengurangkan aktiviti keduniaan, memperbanyakkan bermuhasabah diri, meningkatkan amalan untuk kesenangan akhirat. Di antara kelebihan di bulan Ramadhan ialah bangun mengerjakan amal di malam hari pahalanya adalah lebih baik dari melakukan amal selama 1000 bulan. Boleh lihat sini untuk membaca fadhilat di bulan Ramadhan. Marilah kita sama-sama menghayati khutbah Rasulullah sempena menyambut bulan yang penuh mulia ini. Semoga kita semua kembali menyedari dan mendapat manafaat.


“Wahai manusia, sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan membawa berkah rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam yg paling utama.

Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu ibadah, amal-amalmu diterima dan doa-doamu diijabah. Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan shiyam dan membaca Kitab-Nya.

Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin. Muliakanlah orang tuamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya. Kasihilah anak-anak yatim, niscaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu.

Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu shalatmu karena itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai karena amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat karena beban (dosa)-mu, maka ringankanlah dengan memperpanjang sujudmu.

Ketahuilah, Allah Ta’ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahwa Dia tidak akan mengadzab orang-orang yang shalat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabbal-alamin.

Wahai manusia, barangsiapa di antaramu memberi buka kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan dia diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.

(Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.” Rasulullah meneruskan khotbahnya, “Jagalah dirimu dari api neraka walau pun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walau pun hanya dengan seteguk air.”)

Wahai manusia, siapa yang membaguskan akhlaknya di bulan ini, ia akan berhasil melewati Sirathal Mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari kiamat. Barangsiapa menahan kejelekannya di bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakanya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahmi) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barangsiapa melakukan shalat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan shalat fardu baginya ganjaran seperti melakukan 70 shalat fardu di bulan lain.

Barangsiapa memperbanyak shalawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa di bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu surga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Setan-setan terbelenggu, maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu.”

(Aku –Ali bin Abi Thalib yang meriwayatkan hadits ini– berdiri dan berkata, “Ya Rasulullah, apa amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi, “Ya Abal Hasan, amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah”.)




Baca Selanjutnya..

Thursday, August 20, 2009

Biarkan Saja










Tajuk Novel : Biarkan Saja
Karya : Annur Puteri
Penerbit : CESB
Terbitan : 2009
Halaman : 608 mukasurat
Harga : rm28.90


Hidup Alunie tidak pernah terlepas daripada menjadi bayang-bayang kepada darah dagingnya sendiri. Darah daging yang sudah terpisah jauh kemesraannya walaupun begitu dekat pertalian roh dan jasadnya. Sejauh mana pun dia berlari, bayang-bayang itu sentiasa mendekatinya.

Namun, demi junjungan kasih yang tidak terhingga, kali ini dia reda. Rela dalam terpaksa. Dalam tangis, dalam sendu dia tersenyum. Mengharungi hari-hari mendatang dengan luka yang terpendam. Siapa menduga, di sebalik duka itu tersimpan seribu kebahagiaan, sungguhpun terpaksa mengharungi sejuta kepayahan.

............................................................................

Novel Annur Puteri kali ini lain dari novelnya yang sudah-sudah. Walaupun masih lagi menyelitkan kisah kasih terhadap kekeluargaan dan persaudaraan tetapi kali ini lebih menitikberatkan hubungan kasih sayang dalam hidup berumahtangga. Di awal cerita, ianya agak slow and steady tetapi di akhir-akhirnya saya jadi lelah sendiri. Terlalu banyak persimpangan dan adegan yang berlaku menceritakan konflik di antara Alunie dan Ayunie. Terasa macam nak sesak nafas pun ada. Namun cepat benar penulis menukar situasi menjadi damai semula seolah-olah semuanya baik-baik belaka.

Ayunie dan Alunie adalah kembar seiras. Sudahlah kembar seiras, nama pun seakan-akan sama. Antara Alunie dan Ayunie. Saya seringkali keliru membaca cerita ini pabila kedua kembar ini begitu dekat persamaan nama mereka. Ternyata bukan saya saja yang terkeliru. Rupanya editor juga agaknya menghadapi situasi yang sama pabila ada sesetengah cerita dinyatakan nama Alunie padahal ketika itu menceritakan tentang Ayunie. Pening juga tu.

Walaupun nama mereka agak sama tetapi ternyata sikap dan perwatakan mereka jauh berbeza antara satu sama lain. Di antara mereka berdua Ayunie lebih menonjol dari segi penampilan juga menyerlah dari segi segala-galanya. Ayunie menjadi tumpuan ramai berbanding Alunie yang serba serbinya kekurangan. Akibat terlalu dimanja Ayunie dibenarkan untuk bertindak sesuka hati hatta membuli Alunie sekalipun. Hidup Ayunie dilepas bebas. Sudahnya Ayunie terjebak dalam kancah yang tidak bermoral.

Kerana malu rahsianya telah diketahui Daniel, Ayunie bertindak memutuskan pertunangan lalu melarikan diri di saat-saat akhir tarikh pernikahan menjelang. Kad undangan sudah pun diedarkan. Kedua orang tua Ayunie mahupun Daniel buntu memikirkan cara untuk mengelak aib menyimbah ke muka. Alunie yang berhati mulia tampil menawarkan diri menggantikan tempat Ayunie bagi menyelamatkan maruah keluarga. Bagi Daniel pula dia tidak keberatan Alunie menggantikan tempat Ayunie sebagai pengantin kerana hatinya sudah tidak menempatkan Ayunie di sudut yang paling dalam setelah mengetahui siapa Ayunie yang sebenarnya. Mana ada lelaki yang mahu memperisterikan seorang wanita yang sudah digauli ramai lelaki dengan rela.

Namun Alunie mengingatkan Daniel bahawa perkahwinan mereka adalah semata-mata untuk keluarga dan bukannya atas dasar cinta. Perkahwinan mereka hanyalah di atas kertas. Dan bukan realiti. Pinta Alunie, di suatu hari nanti Daniel harus bersedia untuk melepaskannya pabila Alunie telah berjumpa dengan Mr. Right! Daniel cuba untuk bersabar. Mengikut rentak sejauh mana Alunie mampu bertahan. Daniel cuba menjadi seorang suami yang baik dalam masa yang sama kawan yang baik. Peliknya Alunie juga melayan Daniel dengan baik. Melayan semua makan pakai Daniel, menyiapkan segala keperluan jejaka itu namun untuk menjalin perhubungan sebagai suami isteri tidak sama sekali. Alunie takut sekiranya di hati Daniel dia masih menyimpan kasih untuk Ayunie. Dia tak sanggup dianggap sebagai pengganti Ayunie.

Pertemuan dengan jejaka yang dulunya dikagumi, Nal Zawawi, membuatkan hati Alunie mekar dengan cinta. Status sebagai seorang isteri dirahsiakan takut nanti Nal Zawawi akan menolak cintanya. Setelah hatinya yakin dengan cinta Nal Zawawi, tibalah masanya untuk Alunie meminta kepada Daniel supaya dirinya dilepaskan. Ternyata bukan sesenang itu untuk meleraikan sebuah ikatan yang direstui. Daniel berdegil lalu menjauhkan diri sehingga memaksa Alunie menjejakinya di pejabat tempat Daniel bekerja. Sekali lagi Alunie meminta supaya dirinya dilepaskan. Daniel buntu lalu membawa diri ke Mekah menunaikan fardhu haji.

Pertemuan dengan Muiz di tempat kerja Daniel menimbulkan salah faham. Muiz yang mengenali Ayunie dan pernah berhubungan intim dengan kakaknya, menyalah anggap Alunie yang baik budi pekerti itu sebagai Ayunie si rama-rama yang terbang bebas. Semasa ketiadaan Daniel Muiz cuba mengambil kesempatan terhadap Alunie. Nasib baik Nal Zawawi cepat tiba dan menyelamatkan Alunie. Namun dengan berlakunya insiden ini rahsia status Alunie akhirnya telah diketahui oleh Nal Zawawi. Perhubungan mereka menjadi renggang. Akhirnya Nal Zawawi mengalah lalu melepaskan Alunie kepada Daniel dengan menggunakan satu muslihat supaya Alunie membencinya. Pada Nal Zawawi, Alunie tetap isteri Daniel walau apa pun situasi mereka dan bukan prinsip Nal Zawawi untuk merosakkan rumahtangga orang demi untuk kebahagiaan dirinya.

Kehidupan Ayunie, si rama-rama yang lepas bebas rupanya tidak selama-lamanya indah. Dari satu lelaki ke satu lelaki dirinya berpindah randah mengecapi nikmat noda dunia. Walaupun ramai lelaki yang hadir namun dirinya semakin parah dilanda kekosongan. Tidak ada satu pun yang dapat mententeramkan jiwanya yang bergelora. Sekiranya bertemu dengan jejaka pilihan dan Ayunie pun mengambil keputusan untuk 'settle down' namun seakan terlalu banyak halangan yang harus ditempuhi. Membuatkan dia putus asa. Melihatkan adiknya Alunie yang sudah berjaya dan memiliki kebahagiaan dalam hidup, hati Ayunie mula dipagut rasa cemburu. Timbul niat jahat untuk merampas kebahagiaan itu dari Alunie, adiknya sendiri!

Ayunie pulang ke kampung dengan tujuan menabur fitnah memburuk-burukkan adiknya Alunie. Gegak gempita jadinya kedua belah keluarga terutama ibu Daniel yang tidak tahu apa-apa. Namun rancangannya untuk merebut Daniel dari tangan Alunie tidak berjaya. Ayunie kecewa yang amat sangat sehingga tergamak menganiaya dirinya sendiri dengan menelan pil tidur dengan berlebihan. Kenapa begitu malang sekali penulis menggarapkan nasib Ayunie.

Selepas itu masih banyak lagi cerita yang penulis lakarkan untuk menarik minat pembaca mengikuti kisah rumahtangga Daniel-Alunie seterusnya. Namun kebosanan menyinggah juga di pembacaan saya. Saya tidak dapat mencari relevan Daniel hilang di tanah suci lalu hampir lupus ingatan kemudian tiba-tiba saja menjadi elok seperti sedia kala sedangkan Alunie pula ditimpa musibah mengidap penyakit kanser. Akhirnya saya setuju dengan tajuk novel ini untuk membiarkan saja. Biarkan saja penulis menggarap dan mengakhiri kisah ini dengan caranya sendiri.

Baca Selanjutnya..

Monday, August 17, 2009

Magnet Rezeki Dengan Solat Duha









Nama Buku : Magnet Rezeki Dengan Solat Duha
Penulis : Muhammad Mokhtar
Penerbit : PTS Millennia
Terbitan : 2009
Halaman : 140 mukasurat
Harga : rm10.90



Semua orang hendak menjadi kaya.

Semua orang hendak hidup senang dan bahagia.

Namun ramai yang tertipu dengan mitos kekayaan dunia. Kaya wang tetapi miskin jiwa. Kaya wang melalui jalan yang salah dan mengundang kemurkaan Allah. Apakah ada cara untuk menjadi kaya dan pada masa yang sama membina kekayaan jiwa demi kebahagiaan di akhirat sana? Apakah ada cara bagi membuka pintu rezeki yang berkat seluas-luasnya?

Magnet Rezeki dengan Solat Duha ada jawapannya. Ia membongkar rahsia memperoleh rezeki yang melimpah-ruah melalui wahana solat duha. Ia membuka perspektif baru mengenai rezeki dan kekayaan bagi seorang muslim. Ia menampilkan bukti-bukti yang menjelaskan bahawasanya melalui solat duha yang istiqamah, sesiapa sahaja mampu memperolehi rezeki yang melimpah-ruah dan diberkati.

Marilah menerokai kedahsyatan mukjizat-mukjizat ajaib yang ada di sebalik ibadat sunat ini kepada kekayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

“Solat duha itu mendatangkan rezeki dan menolak kemiskinan, dan tidak ada yang memelihara solat kecuali hanya orang yang bertaubat.” - Hadis Riwayat Tirmizi.


Prakata

Bab 1
Kisah Kejayaan Orang yang Istiqamah dalam Solat Duha
Hakikat dan Tatacara Solat Duha
Tirai Rahsia Allah

Bab 2
Hakikat dan Pelaksanaan Solat Duha
Pintu dan Kunci Rezeki
Memperbaiki Kualiti Solat
Kesungguhan dan Kekhusyukan Solat
Antara Solat Duha dan Aktiviti Kerja
Keseimbangan Diri
Rezeki Melimpah, Halal dan Berkat

Bab 3
Solat Duha Menjauhkan Kemiskinan dan Mendatangkan Kemudahan
Wasiat Nabi Muhammad tentang Solat Duha
Kebahagiaan Dunia dan Akhirat
Kemiskinan dan Kekufuran
Kesedaran Menuju Perubahan
Mendekatkan Diri pada Allah ataupun Mengingkarinya?
Mengenali Diri dan Meningkatkan Potensi

Bab 4
Bangkit dan Menjemput Rezeki
Arah Datangnya Rezeki
Rezeki Umpama Isyarat Pemancar
Mencari Rezeki dengan Keinginan yang Besar
Mengendalikan Diri dalam Mencari Rezeki

Bab 5
Seni Spiritual Menjemput Rezeki
Ritual yang Sesat
Ibadah adalah Jalan yang Lurus
Spiritual Solat Duha

Bab 6
Solat Duha adalah Roh Rezeki
Perang Lahir dan Batin
Menggantikan Kekuatan Cahaya Ilahi dengan Gerakan Solat
Kekuatan Spiritual Solat Duha dan Hubungannya dengan Rezeki

Bab 7
Penutup
Jadikanlah Hidup Saudara Lebih Hidup


Baca Selanjutnya..

Sunday, August 16, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck










Tajuk Novel : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Karya : Prof. Hamka
Penerbit : Pustaka Dini
Terbitan : 2008 (Edisi Terkini)
Halaman : 286 mukasurat
Harga : rm16.00


HAMKA lahir pada 17 Februari 1908 di Meninjau, Sumatera Barat dan meninggal dunia pada 24 Julai 1981 di Jakarta. Nama sebenar Hamka ialah Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah. Beliau merupakan salah seorang tokoh pendakwah yang disegani di rantau Nusantara, juga seorang yang bijak dan mahir dalam bidang kesusasteraan, penulisan kreatif dan prolifik, seorang pujangga dan ahli falsafah Islam.

"...Di dalam usia 31 tahun (1938), masa darah muda masih cepat alirannya dalam diri, dan khayal serta sentimen masih memenuhi jiwa, pada waktu itulah 'ilham' Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini mula kususun dan dimuat berturut-turut dalam majalah yang kupimpin.

Setelah itu ia diterbitkan menjadi buku... Belum berapa lama tersiar, ia pun habis. Ramai pemuda berkata : "Seakan-akan tuan menceritakan nasibku sendiri." Ada pula yang berkata : " Barangkali tuan sendiri yang tuan ceritakan..."

........................................................................

Suatu ketika dulu agak sukar untuk mendapatkan karya-karya penulis yang disegani ini. Kalau bernasib baik kita boleh mendapatkannya di toko-toko buku lama saja ataupun di perpustakaan. Kini mungkin kerana atas permintaan ramai maka buku-buku karya penulis ini diterbitkan dan diedarkan semula. Saya pun tentu takkan melepaskan peluang untuk mendapatkan karya-karya hebat beliau. Sekiranya anda juga ingin mendapatkan karya-karya beliau anda bolehlah memesannya di laman web Ujana Ilmu atau pun @Kedaibuku.com.

Novel yang sangat indah ini mengisahkan seorang pemuda yatim piatu yang baik budi pekerti, Zainuddin, melalui rintangan kehidupan yang agak sukar. Zainuddin dipulaukan oleh sanak saudaranya sendiri hanya disebabkan kerana ayahnya berketurunan Minangkabau telah berkahwin dengan ibunya yang berketurunan Makassar. Sememangnya orang Minangkabau menitik beratkan asal keturunan sebelah ibu. Oleh sebab itu Zainuddin dipinggirkan.

Cinta Zainuddin terhadap seorang gadis dari dusun Batipuh yang bernama Haryati mekar bersemi. Namun mustahil untuk mereka bersatu kerana perbezaan darjat dan keturunan yang begitu ketara di antara mereka. Dek kerana cemuhan penduduk di situ, Zainuddin terpaksa membawa diri menetap di Padang Panjang. Namun cinta mereka tetap terjalin dengan kiriman-kiriman surat cinta. Sesekali mereka akan berjumpa pabila Haryati berkunjung ke rumah kawannya Katijah di Pasir Panjang.

Tanpa disedari Aziz menyukai Haryati lalu meluahkan perasaan terpendam melalui Katijah dengan harapan agar Haryati sudi menerimanya. Katijah pula telah mengumpan Haryati dengan bercerita yang indah-indah dan kesenangan hidup sekiranya dapat berkahwin dengan orang kaya. Haryati di dalam dilema. Di antara Zainuddin dan Aziz, sangatlah jauh beza baginya. Apalah sangat yang dipandang pada Zainuddin yang diketahuinya tidak berharta dan tidak mempunyai asal keturunan yang jelas. Dek kerana telah termakan umpan pujukan Katijah dan tidak mahu hidup di dalam kesusahan lalu Haryati membuat keputusan untuk memilih Aziz. Walaupun dia menyintai Zainuddin tetapi cinta itu terpaksa dibuangnya jauh-jauh.

Di dalam waktu yang sama Zainuddin telah mewarisi harta kekayaan peninggalan Mak Base yang telah meninggal dunia. Setelah menjadi kaya raya Zainuddin merasa berkeyakinan untuk masuk meminang Haryati. Tetapi tidak disebut barang sedikitpun tentang dirinya yang sudah menjadi kaya raya itu. Hasilnya Haryati telah menolak lamaran Zainuddin. Dengan alasan Aziz telah terlebih dahulu masuk meminangnya. Alangkah kecewanya hati Zainuddin pabila mengetahui bahawa Haryati sebenarnya menolak cintanya hanya disebabkan harta. Maka bersatulah Haryati dan Aziz di atas kekecewaan Zainuddin.

Kerana perasaan kecewa yang teramat sangat, Zainuddin jatuh sakit. Jiwanya hancur dek kerana cinta yang tidak kesampaian. Hanya Muluk seorang saja yang setia menemaninya dan tidak putus-putus memberi semangat supaya Zainuddin bangkit kembali. Setelah berpindah ke Jakarta Zainuddin memulakan hidup baru. Menjadi seorang penulis terkenal dengan menggunakan nama pena "Z".

Sementara itu kehidupan berumahtangga Haryati dan Aziz tidaklah seindah yang diimpikan. Rupa-rupanya Aziz tidak mempunyai pekerjaan dan mereka lama kelamaan hidup melarat. Atas alasan ingin lari dari kemelaratan dan untuk mencari kerja yang bagus, mereka telah berpindah pula ke Surabaya. Namun Aziz tetap juga dengan sifatnya yang suka pulang lewat malam dan tidak mempunyai pekerjaan. Akhirnya mereka juga hidup melarat di Surabaya. Tidak disangka-sangka mereka dipertemukan dengan Zainuddin semasa menyaksikan satu pementasan di Gedung Kelab. Dan yang paling memeranjatkan mereka ialah pengarang cerita pementasan tersebut adalah Zainuddin.

Setelah mengetahui bahawa Zainuddin sudah menjadi orang yang terkenal Aziz dengan tidak segan silu menghulurkan salam persahabatan dan meminta maaf di atas kesalahan yang lalu. Zainuddin yang sejak dulu baik budi pekertinya, menerima salam itu dengan senang hati tambahan pula ini bermakna dia dapat bertemu dengan Haryati semula. Pada Aziz ianya adalah satu peluang keemasan. Orang yang baik seperti Zainuddin harus dipergunakan sepenuhnya peluang yang ada. Bahkan Aziz tergamak meminjam wang dari Zainuddin semata-mata untuk memenuhi keperluan nafsunya. Yang paling teruk lagi setelah diusir dari rumah sewanya, Aziz dengan muka tak malunya datang untuk menumpang di rumah Zainuddin. Zainuddin menerima mereka suami isteri dengan hati terbuka.

Setelah ditimpa sakit, Aziz mula memikirkan tentang kebaikan Zainuddin. Timbul penyesalan di hatinya kerana telah menunjukkan sikap buruk terhadap Zainuddin. Tanpa pengetahuan sesiapa Aziz membawa diri keluar dari rumah itu dengan alasan untuk mencari pekerjaan dan meninggalkan Haryati kepada Zainuddin. Dengan harapan agar Zainuddin sudi menerima Haryati kembali. Namun adalah sukar untuk Zainuddin menerima semula cinta Haryati dek kerana di dalam hatinya masih terselit rasa dendam dan amarah dengan sikap Haryati yang tega menolak dirinya semata-mata kerana harta dan kedudukan.

Haryati merasa kecewa lalu meninggalkan Surabaya untuk bertolak pulang ke kampung halamannya dengan menaiki kapal yang diberi nama Van Der Wijck. Di saat Zainuddin yakin bahawa di dalam hatinya sebenarnya masih ada cinta dan dia ingin menyusul Haryati, dia terbaca berita mengejut di dalam suratkhabar yang mengatakan bahawa sebuah kapal Van Der Wijck telah tenggelam. Zainuddin segera menaiki teksi menuju ke Lamongan untuk menemui Haryati di mana mangsa-mangsa kapal tenggelam dirawat.

Kiranya pertemuan Zainuddin dengan Haryati kali ini adalah pertemuan di antara sepasang kekasih untuk yang terakhir kali. Haryati menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah dapat menatap wajah Zainuddin. Kiranya Zainuddin meratapi pemergian Haryati buat kedua kalinya. Namun kali ini ianya meragut nyawa Zainuddin juga akhirnya. Zainuddin disemadikan di Surabaya di sisi kubur Haryati.

Baca Selanjutnya..

Thursday, August 13, 2009

Wo Ai Ni Allah












Tajuk Novel : Wo Ai Ni Allah
Karya : Vanny Chrisma W.
Penerbit : PTS Litera
Terbitan : 2009
Halaman : 292 mukasurat
Harga : rm16.50


Bagaimana rasanya hidup dalam kehampaan jiwa, rohani dan social? Pada saat kita sedang mencari Tuhan, pada saat itu juga terasa Tuhan meninggalkan kita sendiri, sendiri dalam masyarakat yang memandang sepi.

Itu kisah yang diperjuangkan dalam novel ini, kisah seorang gadis Cina ateis, yang tidak tahu ke mana hala hidupnya. Namun pada saat kecelaruan itu dia mengerti bahawa kecelaruan itu bukan datang begitu sahaja, pasti ada yang menciptanya, dan pasti ada sebabnya. Dalam mencari punca kecelaruan itu, akhirnya dia bertemu apa itu Tuhan.

Wo Ai Ni, Allah…aku cinta Allah…tutur gadis itu pada saat dia mengerti siapa Tuhannya.

...................................................

Melihat tajuknya saja saya sudah merasa betapa beratnya mesej yang ingin disampaikan dalam novel ini. Teragak-agak juga untuk membelinya tempoh hari. Namun tajuk novel ini dan gambar latarbelakang kulitnya yang merah dan cantik menarik-narik naluri untuk membacanya. Novel yang membuatkan kita menginsafi diri kita lantaran masih lagi kurang mengenal Yang Maha Pencipta walaupun kita lahir sebagai hambaNya. Berapa keratlah umat manusia yang mensyukuri bahawa mereka lahir dalam Islam, menghayati ajarannya, menyerah diri sebenar-benarnya kepada Yang Maha Esa dan bermunajat padaNya dengan harapan kita akan selalu dekat denganNya. Rata-rata manusia di akhir zaman sekarang kebanyakannya pada zahir saja bergelar muslim. Namun hakikatnya tidak pernah sedikitpun peduli untuk mengenali Allah apatah lagi bila amalan kehidupan dan batas tata susila adalah lebih condong kepada kekufuran. Na'uzubillah! Saya jadi malu dan takut sendiri sekiranya saya juga tergolong dalam golongan yang malang itu.

Tan Tio dan keluarganya adalah golongan yang tidak percaya tuhan itu wujud. Namun pendiriannya berubah setelah berkali-kali dia bermimpi sesuatu yang aneh. Merata-rata Tan Tio mencari dalil wujudnya tuhan. Bertanyakan pada Ustaz Ibnu, pada seorang sami Buddha dan pada Fransiscus namun semua jawapan tidak memuaskan hatinya.

Setelah Tan Tio mati dibunuh misi pencarian tuhan diteruskan pula oleh Amei Chan, anaknya. Bagi Amei, dia terlalu merindui ayahnya dan percaya bahawa hanya dengan menemui tuhan sajalah dia dapat dipertemukan dengan ayahnya semula. Tingkah laku Amei yang tidak karuan itu telah menimbulkan kemarahan ibunya. Kerana malu dikatakan anaknya gila ibunya telah membuang Amei di tepi jalan sebuah kota besar. Nasib Amei baik. Dia dipertemukan dengan seorang doktor psikiatri bernama Hussain.

Di dalam tidur di dalam jaga Amei tidak pernah putus mempersoalkan wujudnya tuhan dan mendambakan agar dipertemukan dengan tuhan. Sesekali dia akan menyanyikan lagu Maju Tak Gentar. Hanya Hussain sajalah yang sanggup untuk merawat jiwa Amei agar pulih kembali. Berhari-hari Amei dirawat Hussain. Lama kelamaan ianya telah menimbulkan salah faham pula oleh tunang Hussain, Safiyah. Kerana tidak mahu pergaduhan di antara Safiyah dan Hussain berterusan Amei terpaksa mengalah lalu pergi meninggalkan Hussain.

Di jalanan Amei dipertemukan dengan Ustaz Gufron di sebuah masjid. Soalan yang sama ditanyakan kepada ustaz itu lalu ustaz itu menjawab, "Kenalilah dirimu agar dapat kamu mengenal Tuhan."

Mei Hwa merasa tersangat menyesal kerana membuang Amei. Hari demi hari rindu pada anak itu mencengkam diri lalu Mei Hwa berkeputusan untuk mencari anaknya semula. Namun A Liong telah terlebih dahulu menangkap Amei untuk dijadikan pelacur kerana dendam lamanya terhadap Tan Toi yang telah mengahwini kekasihnya, Mei Hwa. Namun setelah mengetahui bahawa Amei sebenarnya adalah anaknya, A Liong semakin berang lalu ingin membunuh saja Amei.

Saat pergelutan dengan kematian Amei saya merasa begitu sebak dan payah sekali. Hati saya diragut kehibaan pabila berkali-kali Amei menyebut Allah, Allah, Allah, di saat A Liong mempersendakan Tuhannya sebelum A Liong menjatuhkan kerusi yang menampung Amei lalu membuatkan lehernya terjerut. Ternyata Amei dengan sebulat hati telah menyerahkan dirinya kepada Allah Yang Maha Esa. Akhirnya Amei sudah dipertemukan dengan Tuhan yang dicari-carinya selama ini.

Baca Selanjutnya..

Saturday, August 8, 2009

Baju Pengantin Mak Andam











Tajuk Novel : Baju Pengantin Mak Andam
Karya : Areila Sahimi
Penerbit : Kaki Novel
Terbitan : 2009
Halaman : 524 mukasurat
Harga : rm18.00


Aleeya dan Zain berjumpa di majlis perkahwinan pelanggan Kak Ana. Mereka asalnya bukannya sebulu. Namun kalau Zain dah menghulurkan salam perkenalan, Aleeya pun tak adalah nak jual mahal sangat. Jalan Ajerlah. Sebab Aleeya bukan jenis orang yang sombong tak bertempat.

Aleeya dan Zain bermula sekadar kawan biasa, kemudian mereka mula masuk fasa teman tapi mesra. Zain kata sayang. Zain kata cinta. Tapi Aleeya blur tak tahu nak kata apa sebab dia tak tahu apa yang dia rasa. Yang dia tahu dia fobia untuk jatuh cinta sebab takut kene tinggal, dia takut kecewa macam pernah dia lalui sebelum ini. Dia jadi sangat keliru.

Tiba-tiba badai datang melanda. Dari teman tapi mesra jadi musuh yang langsung tak boleh tengok muka. Jauh di mata, perlukah jauh di hati juga? Namun ribut taufan itu, rindu tetap bertandang di hati, sayang sudah sedia bertenggek di jiwa. Kenapa dibina tembok ego di antara dua hati ini jika bahagia itu sudah berada di depan mata?

Lalu siapakah yang harus mengambil inisiatif untuk menyelamatkan hubungan ini? Biar simpul dileraikan, biar kusut yang dilembutkan, biar yang serabut dirapikan, Biar jadi wangi macam sediakala. Aleeya? Zain? Kak Ana? Rozy? Azizul?

..................................................................

Novel cinta ni hanyalah kisah cinta biasa saja sepertimana novel-novel cinta yang lain. Bermula dari e-novel, cerita ini telah diangkat menjadi senaskah novel menemui pembaca dengan kelainan gaya bahasa yang sempoi dan bersahaja. Bisa membuat pembaca tersenyum dan tergelak sendiri menatap bait-bait di dalam novel ini. Namun begitu ada kalanya juga perjalanan ceritanya agak slow dan meleret. Walaupun novel ini karya pertama dari penulis baru namun ia tidak mengecewakan pembaca terutama dari golongan remaja mahupun yang sedang asyik bercinta. Semangat kenegerian jelas terserlah bila penulis sering menggunakan dialek Ipoh yang mudah difahami pada awal penceritaan. Novel ini sesuai sangat sebagai pembacaan ringan kepada pembaca yang inginkan hiburan dan melepaskan stress.

Aleeya disuruh menggantikan Kak Ana menjadi mak andam 'terjun' di majlis perkahwinan Harlina. Di dalam kelam kabut menyiapkan pengantin perempuan, Aleeya 'dipinjam' pula oleh pengantin lelaki bagi membetulkan sampin. Setelah membetulkan sampin pengantin lelaki, pengapit pengantin lelaki pula mengada-ngada supaya sampinnya dibetulkan juga. Mahu tak mahu Aleeya terpaksa ikutkan saja karenah mereka walaupun hati menggumam. Di sinilah bermulanya detik perkenalan antara Aleeya dan Zain.

Tingkah laku Aleeya memang kerek, ada ketikanya agak kasar berbahasa kau aku saja pabila berbicara. Namun tetap jua mencuit hati Zain untuk mengenali Aleeya dengan lebih dekat. Niat di hati Zain, perkenalan dengan Aleeya biarlah diteruskan dengan ikatan hati yang lebih serius lagi. Namun Aleeya seakan pura-pura tidak mengerti walaupun hatinya juga sudah terpalit sedikit getaran perasaan terhadap Zain. Mungkin hatinya masih serik dan terasa sakit akibat dipermainkan oleh si bekas kekasih, Cikgu Azizul. Usaha Zain untuk mengajak Aleeya berkongsi hati dipandang sepi oleh Aleeya. Malah Aleeya menganggap yang Zain cuma berlawak. Kalau diikutkan memang antara Aleeya dan Zain ni cakap tak mengandungi unsur-unsur romantik langsung. Kerek, sempoi dan lawak habis bahasanya. Macam mana tu!...

Bila hati dah suka semuanya indah belaka. Zain tekad untuk memenangi hati Aleeya. Dalam selamba berbual Zain menyuakan lawak-lawak romantis dengan harapan agar Aleeya memahami isi hatinya. Lama kelamaan hati seorang Aleeya terpaut jua. Kasih yang disemai dalam diam semakin mekar pabila mereka terpaksa berpisah buat seketika kerana Zain ditugaskan ke Langkawi selama beberapa bulan. Dari situlah badai rindu melanda hati Aleeya.

Nak dijadikan cerita ni lebih mencabar, Azizul yang telah mengecewakan Aleeya suatu ketika dulu muncul kembali menagih kasih yang lalu. Walaupun hakikatnya Azizul telah selamat mendirikan rumahtangga bersama Lily di atas airmata kekecewaan Aleeya, kini Azizul datang kembali. Pada Zain diceritakan semua kegelisahan hati. Dari Zain juga diperolehi semangat untuk menguatkan diri. Ditambah pula Aleeya tidak sanggup untuk mengecewakan hati Lily yang datang merayu padanya supaya melepaskan Azizul. Secara tidak sengaja hubungan Lily dan Aleeya pula menjadi rapat seperti adik dengan kakak. Pada Aleeya pula menjadi tempat Lily mencurahkan isi hati dan segala masalah rumahtangganya dengan Azizul. Aleeya yang tulus bersahabat dengan Lily cuba menyelesaikan masalah mereka.

Pertemuan Aleeya dengan Azizul di Restoran Nasmir bagi menyelesaikan masalah antara Azizul dan Lily telah disalah faham oleh Zain. Beberapa babak drama Aleeya-Azizul yang disaksikan oleh Zain amat menyakitkan hati lalu telah menyalah anggap bahawa Aleeya ingin menyambung semula kasih yang telah putus bersama Azizul. Zain mengambil keputusan untuk menyepikan diri. Namun bila Aleeya dan adiknya bertandang ke Langkawi untuk menghabiskan cuti bersamanya, Zain sudah tidak dapat mengawal api cemburunya lagi. Pergaduhan pun meletus. Namun begitu saya tidak dapat merasai api kemarahan Zain pabila setiap dialog yang dilakarkan selalu saja mengandungi unsur kelakar.

Pergaduhan kerana salah faham itu akhirnya memisahkan mereka. Zain terlalu menurutkan hati yang luka lalu membawa diri. Walaupun Aleeya cuba untuk menjelaskan hal yang sebenarnya namun Zain tidak mahu mendengar. Sekali lagi Aleeya dilanda kecewa. Setelah ketiadaan Zain barulah Aleeya mengetahui dan yakin bahawa hatinya juga telah dibawa pergi oleh Zain. Barulah dia memahami bahawa dia juga menyintai jejaka itu.

Setelah dua tahun barulah hati seorang Zain terdetik untuk mendekati Aleeya semula. Perasaan bersalah kerana salah faham terhadap Aleeya menghantui dirinya. Tetapi dia tidak tahu bagaimanakah cara untuk menyambung kembali hubungan yang telah putus. Pada Kak Ana diharapkan menjadi orang tengah. Namun kemunculan Zain bersama Zahira di butik Seri Pengantin telah membuatkan Aleeya pula diselubungi salah faham. Aduhai... bila kisah cinta ini nak habis ye. Dapatkan novel ini di toko-toko buku berdekatan.

Baca Selanjutnya..

Thursday, August 6, 2009

Hanya Dia Tahu









Tajuk Novel : Hanya Dia Tahu
Karya : Aleya Aneesa
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2009
Halaman : 502 mukasurat
Harga : rm19.900


Ariana melihat Nasuhah sangat sepadan dengan abangnya, Zean Luthfi seorang pengurus muda. Sebagai seorang adik yang nakal, dia asyik mengusik abangnya tentang Nasuhah hingga menimbulkan kemarahan Zaen. Tanpa pengetahuan adiknya, Zean telah menghubungi Nasuhah dan menghamburkan kata-kata yang nista.

Takdir telah mempertemukan mereka di dalam sebuah majlis. Sejak itu, Zaen sudah terkena panahan asmara. Dia cuba untuk mendekati Nasuhah, namun gadis itu sudah tawar hati. Zean nekad akan terus memburu cinta Nasuhah walaupun sejauh mana dia melarikan diri.

Pertemuan semula Nasuhah dan Rezuan rakan sekampus bagaikan jalan pintas baginya untuk menyelesaikan masalah yang melanda. Namun, huluran kasih Rezuan tiba-tiba saja membuatkan hatinya berbolak-balik.

Walau bagaimana payah pun, Nasuhah mesti berani membuat keputusan yang bakal ditanggung sepanjang hayatnya. Menolak cinta orang sukakannya ataupun menerima saja lamaran kawan lama yang tidak pernah wujud di hatinya.

..........................................................................

Kasih Ariana kepada sahabatnya Nasuhah begitu mendalam sehingga dia berhasrat ingin menjodohkan Nasuhah dengan abangnya, Zaen. Nasuhah digambarkan sebagai seorang gadis yang sempurna. Sudahlah cantik, baik budi pekerti berhati tulus lagi. Terlalu payah untuk menemukan gadis yang seperti Nasuhah di zaman serba materialistik ini. Namun Zaen tidak bersetuju dengan hasrat Ariana. Lalu tanpa bertemu dengan Nasuhah terlebih dahulu dia telah membuat panggilan dan memberitahu Nasuhah supaya tidak mengharapkan apa-apa jalinan hubungan di antara mereka. Hati Nasuhah terguris dengan kata-kata Zaen seolah-olah menganggap dirinya sebagai perempuan gatal yang mahukan Zaen.

Buat baik dibalas, baik. Buat jahat, itulah jua balasannya. Setelah melukakan hati Nasuhah, Zaen akhirnya secara tidak sengaja telah dipertemukan juga dengan Nasuhah di dalam satu majlis. Bak kata orang bagai cinta pandang pertama, hati Zaen terus dicuri Nasuhah saat terpandangkan si wajah ayu itu. Mulai saat itu diri Zaen tak keruan. Selalu terbayang-bayangkan Nasuhah, selalu teringat-ingatkan Nasuhah. Penyakit angaukan Nasuhah terus menyerang Zaen bertalu-talu. Namun usahanya untuk mendekati Nasuhah tidak menjadi kerana bagi Nasuhah, dia serik dengan kata-kata hinaan Zaen melalui panggilan telefon tempoh hari yang tak mungkin dilupakannya. Walaupun Nasuhah cuba untuk menjauhi Zaen tetapi Zaen tetap mengatur sepuluh langkah ke depan untuk mendekatinya.

Ikatan persahabatan yang erat antara Ariana dan Nasuhah teruji jua dengan kehadiran Redzuan. Ariana sangat menaruh hati terhadap Redzuan. Namun Redzuan sebenarnya rapat dengan Ariana hanya untuk mendekati Nasuhah. Kehadiran Redzuan sedikit sebanyak menjadi senjata kepada Nasuhah untuk menyakitkan hati Zaen. Entah kenapa saya merasa sedikit keliru dengan watak Nasuhah yang digambarkan pada awalnya seorang gadis yang baik dan berhati mulia tetapi terlalu payah untuk memaafkan Zaen. Benci sungguh Nasuhah kepada Zaen. Pujuk rayu dan kata-kata sayang Zaen dibalas dengan hamburan kata-kata yang menyakitkan. Atau..... mungkin Nasuhah sengaja menolak Zaen kerana dia tidak menyedari bahawa hatinya juga telah diisi oleh cinta Zaen.

Kerana terlalu bencikan Zaen atau mungkin terlalu ingin menepis cinta yang hadir di dalam dirinya terhadap Zaen, Nasuhah nekad untuk menerima lamaran Redzuan. Namun sudah ditakdirkan tiada jodoh antara Redzuan dan Nasuhah. Pabila mengetahui bahawa perkahwinan yang akan dibinanya adalah atas kehancuran hati seorang sahabat yang bernama Ariana, Nasuhah tidak tergamak untuk meneruskannya. Tanpa diketahui oleh Zaen perkahwinan Ariana-Redzuan dibatalkan.

Zaen yang patah hati berkali-kali terhadap Nasuhah masih juga tidak dapat melupakan cinta sejatinya terhadap gadis itu. Enam bulan berlalu, Zaen hadir juga di depan Nasuhah. Akan terjalinkah ikatan cinta mereka akhirnya?

Saya merasa kurang senang membaca jalan cerita cinta Zaen-Nasuhah yang merendahkan maruah seorang wanita. Bagi saya sekiranya Zaen betul-betul cintakan Nasuhah dan bersikap gentleman tidak sepatutnya Zaen mempermainkan maruah Nasuhah di depan ibu-ibunya dengan mengatakan bahawa Nasuhah telah tidur dengannya. Walau bagaimanapun kepada peminat Aleya Aneesa, ianya tetap sebuah novel cinta yang menghiburkan.

Baca Selanjutnya..

Sunday, August 2, 2009

Muhasabah Cinta




Wahai… Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan… Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi….
Muhasabah cintaku…

Tuhan… Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu



Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin