Tuesday, March 31, 2009

Potret Wajah Kekasih












Tajuk Novel : Potret Wajah Kekasih
Karya : Antasya Balkis
Penerbit : Kaki Novel
Terbitan : 2009
Halaman : 547 mukasurat
Harga : rm20.00

FARIS, kau umpama pelangi selepas gerimis, seindah kelopak awan di langit, seharum kasturi...

NAZRIN, aku cinta padamu kerana kau lelaki yang bertakhta di hati, beraja di jiwa. Cintaku padamu hanyalah kesetiaan.

NADIA... cinta dan kasihmu terlalu agung buatnya, seluas langit dan bumi. Kau lambang cinta yang agung!

SAYANGNYA, kisah cintaku yang indah berakhir derita. Dia yang aku puja hanyalah debunga yang ditiup angin. Singgahnya hanya pada bunga yang indah dan harum baunya. Aku kecewa!

DATANG pelangi bawakan aku bahagia. Membuat aku alpa siapa diriku yang sebenarnya. Diri diulit sayang tidak bertepi. Namun ketika sedarku seketika... Dua potret wajah kekasih datang memayungi hati. Dalam diam aku memilih, pelangi itulah cintaku untuk selama-lamanya....
...........................................................................................
Sebuah lagi kisah cinta syahdu untuk pembaca novel cinta tegar dari penulis Antasya Balkis.

Haryani si gadis cantik dan dapat menawan setiap hati lelaki yang melihatnya... begitulah lakaran dari penulis.. menghadapi dilema untuk memilih cinta antara Faris Zakwan dan Nazrin. Haryani yang sudah lama kehilangan kasih sayang dan perhatian ibu bapa menjadi begitu senang untuk rapat dan mesra dengan sesiapa saja yang mendekatinya. Di antara Faris Zakwan dan Nazrin masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan kedua-duanya mendapat tempat di hati Haryani. Bagaimanakah harus Haryani memilih?

Faris Zakwan diperkenalkan oleh Nadia sebagai abangnya. Hari-hari menjalani persahabatan bersama Faris, Haryani dapat membaca Faris adalah seorang yang pendiam, agak pemalu tetapi dalam masa yang sama seorang pendengar yang setia. Haryani berasa selamat dan dilindungi setiap kali bersama Faris tetapi sikap Faris yang terlalu berahsia membuat Haryani keliru. Apakah betul Faris menyintainya ataupun menganggap dirinya sebagai kawan saja.

Nazrin seorang lelaki yang menarik, pandai menggoda dan bermain dengan kata-kata. Walaupun terselit di hati Haryani bahawa lelaki ini sebenarnya bukanlah setia padanya tetapi pujukan Nazrin selalu membuat hatinya cair. Tanpa pengetahuan Haryani Nazrin sebenarnya mempunyai kekasih lain selain dari dirinya. Walaupun Haryani pernah terserempak Nazrin bersama Maya tetapi Nazrin pandai memberi alasan dan pujuk rayu yang membuat Haryani mudah percaya. Kesian Haryani dibohongi Nazrin yang kaki perempuan.

Sebenarnya saya tidak tahu dan tidak dapat menghayati bila masa Haryani-Nazrin bercinta. Penulis hanya menuliskan kisah cinta mereka dengan ringkas saja. Mungkin penulis lebih menumpukan perhatian kepada kisah cinta Faris dan Haryani. Di sini pun saya dah boleh agak dengan siapa akhirnya Haryani akan bahagia bersama.

Setelah menerima lamaran Nazrin barulah Haryani tahu yang Nazrin, Faris dan Nadia adalah adik beradik. Sungguh kecik dunia ni dirasakan. Kekok rasanya pabila dia akan menjadi kakak ipar kepada Faris yang pernah mendapat tempat di hatinya. Faris pula dijeruk rasa kecewa pabila gadis idaman bakal disunting oleh abangnya sendiri. Mujurlah selama ini dia hanya mendiamkan diri tentang rahsia hatinya. Dia belum menyatakan kepada sesiapa pun tentang perasaannya terhadap Haryani walaupun kepada adiknya Nadia. Kalau tidak tentu dia akan merasa bertambah malu lagi. Perasaannya yang hancur itu dipendam sedalam yang boleh. Silap dirinya juga kerana terlalu lambat bertindak memenangi hati Haryani.

Sepanjang persiapan menjelang perkahwinan mereka, Nazrin sering lewat malah gagal untuk hadir di setiap temujanji bersama Haryani. Nazrin selalu menyuruh Faris menggantikan tempatnya menemani Haryani manakala dia pula sibuk menemani Maya. Faris dihimpit rasa bersalah dan geram terhadap Nazrin kerana seringkali membuat Haryani menangis.

Jodoh tetap jodoh. Haryani dan Nazrin kawin juga. Pada mulanya perkahwinan mereka bahagia. Tetapi seperti yang dijangka Nazrin memang tidak dapat membuang tabiat kaki perempuannya. Rumahtangga mereka huru hara. Hancur hati Haryani melihat foto-foto Nazrin bermesra dengan wanita lain. Pergaduhan pun tercetus. Siapa sangka pergaduhan mereka di dalam kereta akhirnya menyebabkan kemalangan. Erm.. saya rasa part ni macam tak logik saja. Nazrin terkorban manakala Haryani pula hilang ingatan. Secepat itu penulis mahu menamatkan riwayat Nazrin.

Nasib yang menimpa Haryani membuatkan Faris Zakwan merasa simpati yang menggunung. Dengan cinta di hati yang masih menyala Faris berusaha membantu Haryani menjalani hidup. Haryani dibawa pulang ke rumah mertuanya. Kali ini berani pula Faris mengakui di depan orang tuanya bahawa dia menyintai Haryani dan memohon pengertian ibu bapanya supaya merestui niatnya walaupun Haryani hilang ingatan dan pernah berkahwin dengan abangnya. Kali ini Faris tidak akan membiarkan Haryani menangis lagi. Haryani akan dilindungi dengan sepenuh cinta dan jiwa raganya.

Baca Selanjutnya..

Friday, March 27, 2009

Riwayat Bidadari Syurga










Tajuk Buku : Riwayat Bidadari Syurga
Karya : Munif Ahmad
Penerbit : Hijjaz Records Publishing
Terbitan : 2009
Halaman : 244 mukasurat
Harga : rm25.90

Alu-aluan Penulis

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Dialah yang Wujud, Kekal, Maha Besar, Maha Berkehendak, Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Berkuasa ke atas setiap hambaNya. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad saw. Nabi yang telah membawa seluruh umatnya ke jalan keredhaan dan keselamatan. Dia juga merupakan sebaik-baik manusia yang diutuskan Allah di muka bumi ini sebagai ikutan seluruh umat, yang membawa rahmat dan cahaya keberkatan kepada seluruh manusia.

Melalui penulisan pertama saya ini, saya ingin mengajak anda semua menghayati dan menelurusi liku-liku kehidupan dan pengorbanan wanita-wanita serikandi dahulu yang sanggup berkorban dan mempertahankan keimanan mereka terhadap Allah swt sehingga tanpa ragu-ragu sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri. Itu semua dilakukan demi meninggikan syiar Islam di muka bumi ini dan mengagungkan agama Allah ini.

Idea penulisan buku ini tercetus dari tugas dan tanggungjawab sebagai composer lagu-lagu nasyid. Bagi yang sering mengikuti perkembangan saya, pasti anda sedar saya banyak menghasilkan lagu-lagu yang bertemakan penceritaan sejarah srikandi Islam, kehebatan wanita-wanita terdahulu memperjuangkan Islam dan kesanggupan mereka untuk mati kerana Islam. Dari inspirasi sebuah lagu, saya terjemahkannya melalui buku ini supaya sedikit sebanyak akan memberi kekuatan dan inspirasi kepada pejuang-pejuang agama dan dorongan untuk kita sentiasa menjadikan wanita-wanita yang hebat ini sebagai ilham dan sumber kekuatan untuk melayari liku-liku kehidupan yang mencabar lewat ini. Betapa tidak? Mereka yang dikatakan kaum yang lemah, mampu berdiri sebaris dengan pahlawan-pahlawan Islam yang jauh lebih gagah tanpa ada rasa gentar walau sedikit pun. Biarpun perjuangan itu menurut kemampuan mereka masing-masing, namun ganjaran yang dijanjikan Allah swt untuk mereka tetap standing dengan apa yang telah dijanjikanNya untuk para syuhada’.

Di samping itu saya sertakan juga lirik-lirik lagu sering berkumandang di radio-radio. Mungkin ada yang tertanya-tanya siapakah Sumayyah? Siapakah Ratu Syahadah? Siapakah Zinirrah? Jadi melalui buku ini, Insyaallah anda akan lebih mengenali para wanita penghuni syurga ini.

Hasil dari bacaan dan rujukan buku-buku, kitab-kitab sejarah lama dan kisah-kisah dari Al-Quran maka mana yang dirasakan sesuai dan menepati kehendak penceritaan maka saya himpunkan. Mudah-mudahan ada kebaikan untuk umat Islam seluruhnya dan untuk diri saya serta keluarga. Untuk mendapatkan keberkatan di atas usaha-usaha ini sama-samalah kita mengirimkan Surah Al-Fatihah buat srikandi-srikandi ini. Moga-moga kita akan mendapat kekuatan dan kehebatan seperti mereka... Al-Fatihah.

Akhir kalam, apa yang benar datangnya dari Allah swt dan yang tidak benar datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Wassalam.

Hamba yang daif
Munif ahmad @ Putra Aiman
Munifhijjaz@yahoo.com

Boleh pesan terus dari Hijjaz Records:
http://lamanpenerbithrp.blogspot.com
...........................................................................................................

Buku ini adalah himpunan kisah hidup para serikandi Islam di awal penyebaran agama Islam. Sangat sesuai untuk dihayati dan dicontohi ketaqwaan dan perjuangan mereka sebagai panduan hidup. Pelbagai tauladan dan iktibar yang dapat kita ambil dari kisah-kisah di dalam buku ini. Kisah-kisah yang bukan sekadar dongeng tetapi benar semuanya dan menjadi catatan sejarah untuk kita renungi. Kisah seorang anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang beriman, ibu yang penyayang juga serikandi yang berbakti kepada agama dan tanah airnya.

Serikandi-serikandi yang diceritakan di dalam buku ini adalah sangat sesuai untuk kita jadikan idola. Berapa ramai wanita-wanita di kalangan kita yang meletakkan para muslimah tersenarai ini sebagai role model mereka. Kebanyakan kita meletakkan pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh berasal dari barat sebagai role model. Bukannya saya mengatakan mereka tidak bagus tetapi kita sudah ada contoh dan tokoh muslimah kita sendiri yang jauh lebih baik dari mereka untuk kita jadikan role model jadi kenapa kita perlu mendongakkan kepala ke arah mereka untuk dijadikan contoh dan teladan dalam hidup kita. Renungkanlah bersama.

Baca Selanjutnya..

Allah Maha Besar



Kalimah Allah tercatat di dalam berbagai bentuk kejadian.

Baca Selanjutnya..

Thursday, March 26, 2009

Renunganku Tentang Kematian

Matahari semakin menyengatkan bahangnya. Embun pagi kelihatannya sudah mulai mati di hamparan dedaun pohon-pohon di situ. Sesudah memanjatkan doa buat arwah tersayang yang sedang diam bersemadi aku dan anak-anak mengatur langkah untuk pulang.

Dalam perjalanan melangkah menuju ke kereta tidak jauh dari situ aku melihat sekumpulan keluarga sedang membaca surah yassin sambil teresak-esak. Kuburan si mati nampak masih basah dengan timbunan tanah berpasir. Belum diletakkan batu nesan lagi. Hanya pelepah daun kelapa yang dicacak menandakan kuburan itu masih baru.

"Baru meninggal semalam. Eksiden motor. Muda lagi tu. Baru dua puluh tahun," Pak Daud, si penggali kubur yang memang sudah lama aku kenali yang kebetulan lalu di situ menceritakan padaku tanpa dipinta. Mungkin dia melihat aku dan anak-anak asyik memandang ke arah keluarga si mati sedang dalam kesedihan.

Aku hanya mengangguk-nganggukkan kepala tanda mengerti. Semestinya keluarga si mati merasa amat terkejut dan sedih dengan takdir yang mereka hadapi tanpa diduga. Anak muda yang masih bersemangat untuk menjalani hidup penuh cita-cita tiba-tiba diambil Allah.

Mati. Mati yang datang tanpa diduga. Siapalah yang dapat mengagak bahawa kematian itu hampir pada dirinya. Sekarang ni terlalu banyak aku dengar berita mengenai kematian. Dua bulan dulu suami kepada seorang kawanku juga meninggal secara tiba-tiba ketika beliau sedang menghadiri mesyuarat. Seminggu lepas jiran sekampungku jatuh dari bilik air semasa ingin mengambil wudhuk lalu meninggal. Subhanallah! Mati itu tidak kira waktu dan ketika. Datang ia bila-bila masa saja dan walau di dalam apa saja yang kita sendang lakukan.

Bilakah pula giliranku? Aku tiba-tiba digamit oleh soalan yang aku sendiri tidak ada jawapannya. Soalan yang membuat aku menangis tak karuan. Demi Allah, mati pasti akan datang kepadaku. Sama seperti raja-raja di istana megah itu, seperti pemimpin-pemimpin bangsa yang lalu. Sama seperti orang-orang kaya yang setiap harinya kelihatan bahagia (jika mereka mati, masihkah mereka merasa bahagia?) atau fakir yang setiap hari bergelumang dengan penderitaan dan tiada siapa yang sudi memandang. Mereka semua yang telah merasakan kematian.

Bila aku mati nanti, maka sudah tidak ada lagi yang harus aku bangga-banggakan. Seorang yang cerdik sekalipun, kecerdikannya tidak akan mampu melarikan dirinya dari peristiwa kematian. Bila mati, semua strategi para ilmuwan dan tokoh -tokoh profesional pasti akan lumpuh. Semua kekuatan akan jadi binasa.

Mati bererti aku harus rela ditinggal sendirian di tanah kuburan. Tiada lagi ibu bapa, anak-anak, saudara mara dan kawan-kawan yang dapat melindungiku. Aku ditinggalkan sendirian dan keseorangan di dalam gelap gelita. Aku tidak tahu bagaimana rasanya bila nanti seolah-olah ada sebuah gunung yang kukuh menjulang tinggi berada di atas dadaku, menahanku, menghilangkan keselesaanku menghirup udara dunia. Kalau pun boleh, aku seakan-akan bernafas melalui ruang yang sebesar lubang jarum. Atau mungkin seumpama aku sedang dipukul dengan sebuah dahan pokok yang penuh dengan duri yang tajam. Kemudian duri-duri itu menancap di semua urat-uratku. Lantas dahan itu ditarik keluar lagi, sehingga setiap urat dalam tubuhku juga ikut tertarik. Pedih dan sakit yang luar biasa sekali. Demi Allah, apakah mati nanti lebih pedih dari apa yang aku bayangkan ini?

Pabila hendak mati ada satu makhluk yang datang mendekatiku. Makhluk itu adalah Malaikatul Maut yang turun dari penjuru langit untuk menjemputku. Apakah nanti dia akan menampakkan rupanya dengan wajah yang penuh keramahan ataupun sebaliknya? Atau adakah dia akan menunjukkan wajah yang garang dan tanpa belas kasihan? Saati dia menunaikan tugasnya memisahkan roh dari jasad apakah aku akan merasa seolah-olah dadaku menjadi sempit, payah untuk menyedut nafas dan tubuhku kejang kaku tidak dapat bergerak.

Setelah aku mati, orang-orang akan membaringkanku, memandikanku, mensolatiku, mengkafan tubuhku yang dingin dan kaku, lalu meletakkan aku di dalam satu ruang yang sempit, gelap senyap dan sunyi. Lalu mereka semua meninggalkan aku sendirian tanpa ditemani sesiapa. Bagaimanakah keadaan aku selepas itu?

Cubalah kita berhenti seketika dalam melakukan apa jua aktiviti yang sedang kita lakukan sekarang. Berhenti sesaat dari sekian banyak pekerjaan kita, dari kepenatan fikiran kita dan dari kesibukan harian kita. Cuba kita renungkan hari-hari yang kita lalui. Imbas kembali apa yang telah kita lakukan selama ini. Apa yang kita cari sebenarnya di dunia ini? Apa yang telah kita dapat? Apa yang kita kejar? Apa yang telah membuat kita merasa puas? Apa yang membuat kita merasa bahagia?

Mungkin ada di antara kita yang telah berjaya menggenggam dunia di tangannya. Kemegahan, kebanggaan, kepuasan dan kenikmatan. Mungkin juga ada di antara kita yang masih harus bersusah payah untuk mendapatkannya. Siapapun kita, apapun yang kita sandang, hakikatnya adalah sama. Segala yang kita miliki, yang kita sandang, tidak lebih dari "atribut kehidupan". Itu semua tidak kekal dan hanyalah sementara sahaja. Seberapa banyak yang kita telah dapat, kita kecapi, kita manafaatkan dan menyalurkan semua nikmat-nikmat yang diberikan. Itu semua tidak akan bertahan selamanya. Demi dunia, kita terlena dengan apa yang kita kejar selama ini, hingga lupa hakikat hidup ini, dari mana asal kita, ke mana kita akan pulang.

Bila mati tiba-tiba datang menjemput, tidak ada gunanya segala usaha mengejar cita-cita kita, tidak ada gunanya semua pangkat dan kebesaran yang disandang, segala harta berjuta yang dikumpul. Semua itu tidak dapat kita bawa bersama ke dunia satu lagi yang bakal kita jalani. Yang dapat kita bawa hanyalah amalan kita selama ini.

Persoalannya sekarang ini, adakah kita sudah siap menghadapi mati? Yang datang secara tiba-tiba dan tanpa diduga. Di kala kita sibuk mengetuk huruf-huruf di papan kunci komputer ini tiba-tiba ia datang menjemput. Di saat kita sedang enak menonton konsert akademi fantasia di telivisyen tiba-tiba ia muncul untuk mencabut nyawa kita. Atau di kala kita sedang seronok berborak dan ketawa ria bersama teman di starbuck cafe atau di mana-mana saja warung tiba-tiba nafas kita sesak dan kesakitan yang luar biasa kita rasai akibat nyawa hendak berpisah dari badan. Pasti akan terlintas di fikiran kita semua... "Oh, tidak. Tak Mungkin. Perkara itu pasti tidak akan berlaku kepada kita di ketika ini." Kita masih ingin menafikannya sedangkan mati itu pasti akan datang.

Sungguh beruntung orang yang hari-harinya selalu diiringi oleh niat yang lurus, hati yang bersih dan fikiran yang jernih. Merekalah orang-orang kaya tetapi tidak pernah merasa kaya, sederhana dalam hidupnya kerana kekayaannya dimanafaatkan ke jalan Allah. Merekalah orang-orang miskin tetapi tidak pernah miskin kerana semangat yang tidak pudar, tetap berusaha dengan niat yang tulus. Merekalah orang-orang yang dalam apa jua situasi tetap meluruskan niatnya, membersihkan hatinya, menjernihkan fikirannya agar tidak mudah luntur oleh gegak gempitanya zaman yang kian tidak tentu hala tujuan.






Baca Selanjutnya..

Wednesday, March 25, 2009

Perempuan Ini Lelaki Itu












Tajuk Novel : Perempuan Ini Lelaki Itu
Karya : Jenna Jehan
Penerbit : Karnadya
Terbitan : 2008
Halaman : 373 mukasurat
Harga : rm17.00

Cinta Samina untuk Haidar merupakan cinta pertama yang tulus ikhlas. Sebelum kehadiran lelaki yang bernama Haidar, Samina tidak pernah mengenali erti cinta.Namun, mungkin benar sebagaimana yang dikatakan kakaknya Sofia, nasib tidak mungkin menyebelahi Samina buat selama-lamanya.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang dialami gadis lurus yang baik hati ini. Pelbagai kejadian aneh yang dilaluinya hinggakan dia terpaksa cuba mengubah sikapnya agar dia tidak terus menjadi mangsa kepada sesiapa jua. Dalam begitu, mengapa payah untuk dia menepiskan perasaan yang masih terpendam di dada? Mengapa bayangan lelaki itu masih lagi menggoyahkan jiwanya? Ke mana pula harus dia tuju dan bolehkah dia mempercayai lelaki yang bernama ‘Jimmy’ itu?

Namun begitu, Samina tiada pilihan dan terpaksa sahaja bergantung kepada pegawai polis yang mengendalikan kes ‘hilang’ yang dilaporkannya. Mulai saat itulah, gadis yang digelar ‘Min’ terpaksa melalui liku-liku kehidupan sarat dengan persoalan yang berteka-teki. Malah, lebih merumitkan lagi hidupnya apabila dia terperangkap sama dalam kes jenayah yang berbelit-belit.

Mampukah Samina menguatkan semangatnya dan berjayakah dia mencari rakan-rakan yang hilang? Dapatkah perempuan itu mengatasi segala dugaan yang datang melanda dalam hidupnya?

Sebuah novel bergenre ‘misteri/siasat’ yang dipenuhi pelbagai peristiwa saspens lagi romantis dan dimantapkan dengan episod-episod humor akan membuat pembaca terus membaca novel ini dari muka surat pertama hingga akhir!
.................................................................................................................
Sentuhan penulis Aina Emir yang menggunakan nama Jenna Jehan untuk novel bergenre misteri pasti tidak mengecewakan peminatnya. Walaupun berlainan nama pena tetapi gaya bahasa yang digunakan tidak jauh berbeza dengan novel-novel cintanya yang lain. Peminat setia penulis ini pasti akan dapat meneka dengan cepat siapakah penulisnya walaupun digunakan nama pena yang berlainan.

Membaca novel ini membuatkan hati saya lelah kerana persoalan demi persoalan muncul menghantui fikiran Samina di atas kehilangan suaminya, Haidar. Semakin disiasat semakin rumit dan berbelit pula jadinya. Semakin dikorek rahsia yang terbelenggu, kejadian pelik dan panggilan tidak dikenali muncul mengancam Samina.

Ditambah lagi dengan konflik keluarga yang dihadapi Samina setelah perkahwinannya. Samina dibenci oleh ibunya sendiri dan dianggap sebagai pembawa sial. Kakaknya Sofia yang telah lama cemburukan Samina semakin mencucuk jarum supaya Samina lebih dibenci. Tambah sakit hati lagi, Samina juga dituduh menghasut arwah datuknya supaya menyerahkan semua harta peninggalan datuk kepada dirinya.

Misteri kehilangan Haidar menjadi bertambah rumit bila polis menjumpai seorang lelaki dijumpai mati dibunuh dan kad pengenalan Haidar ada di sisinya. Timbul juga misteri beberapa orang gadis yang baru berkahwin telah kehilangan suami mereka sama seperti situasi yang Samina alami. Setelah penangkapan Sofia barulah semuanya terbongkar apabila polis dapat mengesan wujudnya geng Rukas yang terdiri daripada Haidar, Shakir, Zainal dan Syahrul.


Baca Selanjutnya..

Tuesday, March 24, 2009

Suatu Penantian












Tajuk Novel : Suatu Penantian
Karya : Antasya Balkish
Penerbit : Kaki Novel
Terbitan : 2008
Halaman : 667 mukasurat
Harga : rm22.00

Zarul... aku umpamakan kau seperti arca yang membalikkan semua kenanganku bersama si dia. Tanpa aku sedari sebenarnya kita telah menciptanya bersama. Lama aku mengenanginya dengan air mata. Sesuatu telah terjadi kerana tohmahan dan juga kerana kumbang lain yang ingin memilikimu...... Namun, di suatu hari yang indah aku tiba-tiba menyedari... suatu penantian yang telah lama menantiku, aku tiba-tiba telah jatuh cinta kepadamu...
.................................................................................................
Dua kembar seiras Zarul dan Zahim berebutkan seorang gadis, Alissa. Satu pertaruhan oo som yang dibuat dan Zahim memenanginya membuatkan Zarul terpaksa mengalah. Zahim seorang yang serius dalam pembelajaran, tidak suka bergurau dan patuh kepada ibu bapa manakala Zarul kontra dengan semua yang ada pada Zahim.

Kerana terpaksa menumpukan perhatian dalam pelajaran dan mengikut kehendak orang tua, Zahim pergi meninggalkan Alissa yang tidak mendapat keputusan yang baik di dalam STPM. Tinggallah Alissa kesepian sendiri menghitung kenangan bersama Zahim. Rupa-rupanya pemergian Zahim adalah untuk selama-lamanya.

Di dalam kerinduan kepada Zahim, Zarul muncul. Cinta mereka berputik kembali. Namun Alissa tidak dapat membezakan bahawa yang hadir itu adalah Zarul. Dan sebenarnya telah banyak kali Zarul muncul menggantikan tempat Zahim, menghiburkan hati lara Alissa. Sedikit pun Alissa tidak dapat menebak bahawa yang hadir itu Zarul bukan Zahim.

Setelah lama berpisah, kini Zarul muncul lagi tetapi kali ini dia nekad untuk memperkenalkan dirinya sebagai Zarul bukan lagi Zahim. Tapi yang hairannya, hanya sebagai Zarul saja. Bukan sebagai kembar Zahim. Dalam kepayahan Alissa cuba menerima Zarul menggantikan tempat Zahim di dalam hatinya. Namun dugaan sering meranjaui hubungan mereka. Fitnah dan cerita-cerita tidak enak didengar tentang Zarul sering ditebarkan oleh Fatimah, Nini dan Khairi (anak angkat ibu Alissa). Di saat cinta berputik, perasaan marah, cemburu dan benci menyelubungi Alissa terhadap Zarul.

Perhubungan yang kejap baik kejap perang, kejap damai kejap bom meletup, membuatkan
Zarul nekad mencari jalan untuk mengikat Alissa. Hahh.. tangkap basah lagi! Tangkap basah yang dirancang sendiri oleh Zarul. Ikatan paksaan membuatkan hati Alissa membatu dengan kedegilan walaupun di hati telah berputik bibit cinta.

Hati seorang wanita ibarat kerak nasi. Direndam dalam air, lembutlah ia. Di saat Alissa ingin membuat pengakuan cinta terhadap Zarul, kemalangan pula yang menimpa Zarul. Zarul tidak sedarkan diri setelah jatuh ketika cuba memanjat pokok rambutan. Banyak sungguh ding dong ding dong dalam cerita ini.

Bebarapa hari Zarul pengsan tidak sedarkan diri membuatkan Alissa dibelenggu sesalan. Selama itu jugalah Alissa banyak dapat menyingkap rahsia demi rahsia tentang si kembar dua beradik ini. Rupa-rupanya selama ini Zarullah yang meniup api cinta di hatinya sejak dulu. Bukannya Zahim. Rupa-rupanya Zarul lah yang dicintainya sejak dulu. Tidak Zahim. Kini Alissa telah memiliki kembali cintanya yang hilang dulu.

Sebuah novel romantik penuh dengan pergolakan cinta, rindu dendam, cemburu, amarah dan pergaduhan. Untuk yang menggemari kisah cinta, novel ini adalah pilihan yang tepat. Sememangnya sentuhan penulis yang juga dikenali sebagai Shamimi Aminollah tidak pernah mengecewakan pembacanya.


Baca Selanjutnya..

Saturday, March 21, 2009

Bulan Dan Mentari














Tajuk Novel : Bulan Dan Matahari
Karya : Zaharah Nawawi
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Terbitan : 2007
Halaman : 462 mukasurat

Bulan dan mentari bagaikan irama dan lagu; sentiasa bersama menyinari bumi. Bulan dan mentari saling memerlukan; ia saling memberi dan menerima sinarnya. Andai dipisahkan, gelap-gelita seluruh alam. Namun, bulan dan mentari tidak akan bersatu kerana ia beredar pada paksinya sendiri yang tidak akan menemui titik pertemuan.

Demikian lumrah alam. Juliana dan Roma, umpama bulan dan mentari. Julianalah si mentari yang datang menyinari kehidupan Roma. Mereka saling mengasihi dan mencintai, tetapi hanya gelora rasa yang menjadi saksi. Juliana dan Roma menjadi lambang kejayaan bangsa Melayu. Mereka adalah segelintir manusia profesional yang berjaya membina empayar pembuatan kereta. Akan tetapi mereka manusia egois yang tidak mahu menyerah pada hakikat cinta, lalu, kejayaan mereka dilukai oleh suatu percintaan yang tidak pernah terucap. Irama dan lagu, bulan dan mentari, Juliana dan Roma; semuanya seiring sejalan tetapi tidak pernah bersatu."
...................................................................................................................................
Sinopsis di belakang amat membuatkan saya teruja untuk memilikinya. Dua orang insan Melayu yang berjaya dalam empayar pembuatan kereta. Detik hati saya mungkin dua orang insan inilah yang dikatakan Bulan dan Mentari. Saling lengkap melengkapi dan akhirnya berjaya mencapai cita-cita dalam hidup mereka.

Cerita bermula sewaktu Juliana yang berumur sepuluh tahun dua bulan selalu mengikut ayahnya menjual ikan di pasar borong selayang. Walaupun dalam usia yang tersangat muda tetapi akal dan kecerdikannya menelaah erti hidup mengalahkan tahap pemikiran pelajar universiti.

Di pasar borong itulah Juliana berjumpa dengan Roma seorang budak yang selalu hadir untuk memungut ikan-ikan yang busuk sebagai santapan ibu dan adik-adiknya saban malam. Juliana jatuh kasihan dengan keperitan hidup yang Roma alami. Pada mulanya Juliana hanya menyediakan sekilogram ikan untuk Roma setiap malam sebagai sedekah. Lama kelamaan ayah Juliana berkenan untuk mengambil Roma sebagai anak angkatnya pula.

Semasa melanjutkan pelajaran ke Universiti Otago, Juliana dan Roma bagaikan belangkas. Ke mana saja mesti berdua. Di antara Roma dan Juliana, Roma lebih mengambil berat tentang Juliana. Sesekali saya merasa seolah-olah Roma adalah budak suruhan kepada Juliana. Sanggup membasuh pakaian Juliana, sanggup menyediakan sarapan untuk Juliana, sanggup memikul buku dan fail untuk Juliana dan macam-macam lagilah yang menggambarkan Roma ni sebagai khaddam. Jangka saya mungkin juga Roma merasa terhutang budi kepada keluarga Juliana kerana sanggup menyara hidupnya hingga sampai ke universiti selama ini dan sanggup pula menjenguk ibu serta adik-adiknya. Maka Roma tidak keberatan untuk melakukan semua itu. Namun di sebalik semua itu rupa-rupanya ada satu insiden yang menimpa Juliana membuatkan Roma dirundung rasa bersalah.

Ketampanan rupa paras dan karisma yang ada pada Roma membuatkan teman sebilik Juliana berlumba-lumba untuk mendekati Roma. Farhana, Kalkauthar dan Kasma berlumba-lumba untuk mendapat perhatian dari Roma membuatkan Roma pening. Sudahnya rakan sebilik Roma yang cuba memasang pancing untuk gadis bertiga itu mula memusuhi Roma. Situasi yang tidak menyenangkan itu memaksa sepasang Roma dan Juli ini berpindah rumah.

Sebenarnya di dalam diri Roma hanya wujud Juliana sebagai lambang cinta suci. Tetapi kenakalan Farhana dan tindak tanduk lembutnya telah memukau hati Roma untuk melayan karenah gadis itu. Tambah pula Farhana bijak melafazkan kata-kata sayang terhadap Roma manakal Juliana hanya membisu tiada kata. Membuatkan hati Roma terkadang keliru.

Novel ini mempunyai jalan cerita yang menarik. Gayanya bersahaja dan tidak terlalu jiwang membuat saya menghayatinya dari awal hingga akhir cerita. Tata bahasa yang kemas dan teratur. Kalau pada sesetengah novel bila tiba babak yang membosankan saya mudah sangat untuk melangkau pembacaan ke mukasurat seterusnya. Tetapi tidak untuk novel ini. Sudah sepatutnyalah novel ini memenangi hadiah Sayembara Pengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.

Baca Selanjutnya..

Wednesday, March 18, 2009

Tautan Hati
















Tajuk Novel : Tautan Hati
Karya : Fatimah Syarha Mohd Noordin
Penerbit : Telaga Biru SB
Terbitan : 2007
Halaman : 785 mukasurat
Harga : rm29.90


~Puasku rayu, puasku seru,
Jawapanmu tetap yang dulu.
Oh, sukarnya mengajakmu!
Namun, kasihku padamu cukup padu,
Lantaran itu,
Aku kan terus menyerumu,
Pada yang satu.
ku genggam kukuh suatu azimat,
"kita hanya penyeru, bukan penghukum."
Ya ALLAH, ku harap bantuan-Mu mengiringiku.
Seru dan terus menyeru,
Itu tugas rasul-Mu,
Akan ku teruskan semampuku,
Hingga ke hujung waktu.~

Asiah Yusra , namanya seindah peribadinya. Dirinya begitu istimewa terutama di kalangan rakan-rakannya yang begitu memerlukan madu dakwah untuk disajikan sebagai manisan kehidupan mereka. Pelbagai langkah dakwah yang diatur pada awalnya sentiasa dilanggar badai yang sengaja dihembus iblis sebagai penghalang usaha murninya.

Namun, halangan-halangan tersebut dipandang Asiah Yusra hanyalah cabaran kecil yang telah ditentukan Allah s.w.t. sebagai bukti betapa Allah s.w.t. mengurniakan cabaran tersebut hanya kepada hamba-Nya yang dikasihi. .Berputus asa seakan-akan tidak wujud dalam kamus hidupnya. Begitulah tingginya tahap keimanan serta kecekalan gadis dari Taman Islam ini. Lagaknya seakanakan pahlawan silam terunggul Solahuddin Al-Ayyubi. Imtisal, Hana, Laiyyinul Harir, Muslimah (Christine), Wildan dan Aisya Bazella ditaklukinya dengan senjata halaqoh beserta keikhlsan yang menggunung dengan harapan sahabat-sahabatnya itu dapat bergerak seiring dengannya ke jalan yang diredhai.

Setiap dari mereka mempunyai masalah yang tersendiri. Imtisal dengan tragedi keluarga yang tak berkesudahan, Hana pula merupakan mangsa keadaan apabila dijodohkan dengan pemuda yang bukan menjadi pilihan hatinya manakala Layyinul Harrir pula hanyut dalam arus percintaan sesama insan yang tidak menjanjikan sebarang kebaikan yang hakiki. Wildan (adik Imtisal) pula merupakan anak gadis yang sering memberontak dek kerana latar belakang keluarganya yang porak peranda manakala Muslimah (Christine) dengan pegangan Kristian yang menebal dan sentiasa menyampaikan ajaran pegangannya dengan cara yang tersendiri.Aisya Bazella pula anak gadis kota yang pengisian hidupnya hanyalah dipenuhi dengan maksiat dan akhirnya terkulai layu di pangkuan haiwan jantan bertopengkan manusia.

Walaupun sahabat-sahabatnya itu hadir dari latar-belakang yang berbeza dan penuh pancaroba, Asiah Yusra tidak pernah menganggap mereka sebagai satu beban yang menyusahkan. Sebaliknya, dia percaya dengan proses tarbiah yang berkesan, mereka bukan sahaja boleh diubah tetapi juga berpotensi untuk menjadi penyambung usahanya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah kepada mereka yang memerlukannya.

Ketika gigih menyebarkan dakwah, Asiah Yusra yang sentiasa mendapat sumber inspirasi dari
sahabat sejatinya Elya Khadeeja, didatangi satu lagi cabaran duniawi apabila dirinya mendapat perhatian Umar al-Mujahid dan al-Banna, dua pemuda soleh yang juga berasal dari Taman Islam. Namun, berkat keimanan yang tinggi serta kepercayaan yang menyeluruh bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang wajar dicintai, Asiah Yusra tetap meneruskan usahanya dalam bidang tarbiah di samping bertawakkal serta menyerahkan sepenuhnya kepada yang Esa agar dianugerahkan pasangan hidup yang boleh membawanya ke jalan Allah SWT.

Adakah usaha tarbiahnya akan berhasil? Bagaimanakah kesudahan hidupnya? Siapakah yang telah ditentukan Illahi untuk menjadi pasangan hidup Asiah Yusra? Al-Banna atau Umar al-Mujahid?

Keistimewaan novel ini bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya yang menarik, tetapi juga kebolehan penulis untuk menerangkan isu-isu yang sering dipandang remeh oleh masyarakat kita seperti isu bertudung labuh, kaedah pergaulan di antara muhrim yang dituntut Islam, soal psikologi dan sebagainya. Segala penerangan tersebut telah berjaya disampaikan dengan penuh hikmah dan anda yang membacanya pasti tersenyum puas setelah selesai membaca novel ini.
...........................................................................................................................
Sungguh, novel ini mengajak saya untuk kembali rindu kepada Yang Maha Pencipta. Mendambakan cinta dari Al-Rahman. Watak seorang Asiah Yusra adalah begitu sempurna sekali sebagai muslimah sebenar yang patut dicontohi. Tertarik hati untuk menjadi seperti beliau. Walaupun tidak sesempurna Asiah tetapi ada sedikit ciri-ciri ke arah muslimah sejati.

Walaupun novel ini berbentuk Islami dan mengajak ke arah dakwah tetapi ianya digarap dengan begitu berlainan. Sangat menarik dan terkesan di hati. Saya seringkali hanyut di dalam gelombang penceritaan yang begitu mengasyikkan. Mengasyikkan yang bukan melalaikan tetapi lebih kepada menanam pohon-pohon insaf di dalam diri dan keazaman untuk menjadi yang lebih baik.

Di sini saya selitkan madah memujuk diri Asiah Yusra sewaktu kawan-kawannya tidak hadir untuk mengadakan Halaqoh. Sungguh indah sekali.

Duhai diri,
Kenapa?
Kau mengeluh kepenatan,
Kau muram kekecewaan,
Kau murung kesedihan,
Kau resah kebimbangan,
Hanya kerana,
Mereka tidak datang,
Bila kau ajak pada kebenaran,

Wahai diriku,
Bukan niatku melontarkan hamunku,
Cuma teguran setulus salju,
Tak seharusnya kau begitu!
Kufahami impianmu,
Supaya kita semua bersatu padu
Kusanjungi ketulusanmu,
Mengajak ke jalan yang Satu,
Namun,
Realiti memang tak seindah yang dimahu,
Lantaran jalan ini terlampau berliku,
Perlukan kesabaran dan keteguhan jitu,
Kau harus hayati itu!

Ingatlah peribadi pejuang sejati,
Baginda tabah meniti hari,
Bermula dari seorang diri,
Menyampaikan dakwah sembunyi-sembunyi,
Bukannya Baginda tidak berani,
namun itu tertib wahyu, strategi Rabbi,
Ucapannya bukan dari nafsu melainkan wahyu suci,
Ucapannya hikmah dari kalbu bak embun pagi,
disambut oleh hati yang bersih dan jiwa yang fitri,
Fikrah dijernihkan, akal didekati,
Ajarannya menyentuh hati sanubari,
Juga dengan hujah dan keterangan hakiki,
dengan hikmah dan pengajaran penuh seni,
Bila mana ada perdebatan dirungkaikan hati-hati,
Bila mana dizalimi dilontarkan doa kasih nan sejati.

Suburkan berbaik sangka,
Agar hatimu tenang,
Barulah makin kuat jadinya,
Bukan dirundung kelemahan,
Perbaharuilah iman,
Saban ketika,
Ingati janji-Nya,
keredaan dan syurga,
Sedari sunnah perjuangan,
Dipenuhi derita,
Dihujani kepayahan,
Untuk kautempuhinya,
Dengan ketabahan,
Jadilah orang yang menang!




Baca Selanjutnya..

Selamat Pengantin Baru Isteriku









Tajuk Novel : Selamat Pengantin Baru Isteriku
Karya : Nass Alina Noah
Penerbit : Kaki Novel
Terbitan : 2008
Halaman : 1161 mukasurat
Harga : rm36.00

Saban malam aku menanti 'malam pertama' kita yang belum bermula...yang entah bila akan bermula dan entah siapa yang akan memulakannya. Hari-hari yang berlalu terus begitu...terus dihimpit kesedihan, pilu dan keliru. Bicara apakah yang menjadi kesalahan, hingga asmara yang baru bermula, tidak ada penamatnya. Lalu kasih sayang ini bertukar benci, menjadi sakit hati...

Abang, mulut ini telah puas berkata benci, namun hati ini sejuta kali membisikkan kata sayang. Bibir ini menyuruh kau pergi, hati di dalam menangis agar jangan ditinggalkan. Suara ini tegar mengaku rela dilepaskan, namun kalbuku dicengkam takut yang amat dalam. Takut kehilangan satu-satunya orang yang palingku sayang.

Abang, walau kau bunuh seluruh rasa cinta itu, ia tetap akan tumbuh subur dalam hatiku, sampai bila-bila...
..................................................................................
Saya mengambil masa yang lama untuk menghabiskan novel yang setebal ini. Ditambah pula penulis menggunakan bahasa inggeris sebagai dialog di kebanyakan senario dalam cerita. Membuatkan saya cuak. Lebih kepada memaksa diri untuk menghabiskan novel ini. Mungkin ianya terlalu sekular dan kurang bertepatan dengan minat pembacaan saya.

Di Bahagian pertama cerita, Addam, Abraham dan Darren pergi bercuti menaiki bot di perairan Thailand. Tiba-tiba mereka didatangi seorang gadis misteri yang diberi nama Maya. Percutian mereka menjadi berantakan gara-gara onar yang dilakukan oleh gadis misteri itu. Rupa-rupanya ada rahsia besar di sebalik parut-parut yang melekat di badan gadis itu.

Di bahagian kedua pula, Maria lebih menyukai Mellyna menjadi menantu mereka. Tetapi Addam lebih memilih Qisty, anak angkat keluarganya, sebagai pasangan hidup. Pertentangan keluarga memaksa Addam melarikan Qisty untuk berkahwin di sempadan Siam. Tetapi sesuatu yang tidak diduga telah dibongkarkan oleh Jeneral Malek tentang Qisti. Qisti adalah anak luar nikah dan juga merupakan adik tiri Addam sendiri.

Suasana kalut menyelubungi hidup Addam dan Qisti. Maria masih lagi memaksa anaknya supaya menerima Mellyna tetapi Addam tetap dengan keteguhan cintanya terhadap Qisti. Dalam keterpaksaan Qisti merelakan Addam menjadi milik Mellyna. Sepanjang perkahwinan Addam dan Mellyna, Qisti dizalimi sesuka hati oleh menantu kesayangan Maria. Namun sabar saja Qisti menerima semuanya demi rasa cinta dan kasihnya kepada Addam.

Selain kekalutan kisah cinta Addam dan Qisti, penulis menyelitkan juga misteri pembunuhan Darren yang mati ditikam oleh seorang perempuan yang tidak dikenali. Juga kematian Damien yang disangkakan membunuh diri kerana kehilangan cinta Qisti. Siapa Tasya yang selalu muncul setiap kali Qisti bersendirian?

Sebuah novel yang cukup dengan semua adunan. Kisah cinta, konflik, psycho dan misteri pembunuhan.


Baca Selanjutnya..

Monday, March 16, 2009

Hujan


Alhamdulillah!
Kalimah asma Allah yang keluar di pagi ini.
Hari ini hujan lebat turun pertama kali di bumi tempat aku jalani hidup sehari-hari
setelah sekian lama penantian.
Dan sekian lama pengharapan untuk merasakan butiran–butiran air kasih sayang yang turun dari langit.

Mendung, kilat dan guruh menyerta,
seperti ingin menumpahkan seluruh rasa rindu dan dendamnya
yang ingin menyentuh bumi sebagai kekasihnya.

Subhanallah.
Puji dan puja hanya kepadaMu atas limpahan segala kurnia, segala rahmat,
dan atas segala limpahan rezki serta kasih sayangMu kepada kami.

Berpeluh keringat setiap hari yang kurasakan seakan sirna.
Taman di depan rumah pun terkena tempiasnya.
Semua bunga dan tanaman seakan bernyanyi,
menari tertiup angin melambaikan tangkainya menyambut sang hujan.
Dan semuanya pun bertasbih atas nikmat hari ini.

Butiran–butiran itu segera menyapa keringnya tanah dan bebatuan,
menyapa kering pepohonan
serta bersilaturahmi dengan padang-padang kontang
yang memang ingin sekali mengajaknya singgah lebih lama.
Memberikan kesuburan,
memberikan keuntungan kepada para petani yang resah dan gelisah
menunggu untuk segera kembali menghayun cangkulnya.

Alhamdulillah...,
Alhamdulillah...,
Alhamdulillah...
Terima kasih ya Allah
atas nikmat Hujanmu hari ini.

Baca Selanjutnya..

Saturday, March 14, 2009

Bidadari Paderi









Tajuk Novel : Bidadari Paderi
Karya : Saiful A. Imam
Penerbit : PTS Litera
Terbitan : 2009


Jauhari, lahir dalam masyarakat Minangkabau yang kuat memegang adat sewaktu berkembangnya gerakan Ulama dalam tempoh masa 1800-1830an.

Sebagai ketua gerakan Ulama yang bermimpi membangun masa depannya, dia bernikah dengan Nilam, seorang guru mengaji yang dikaguminya. Namun, mimpi itu menjadi mimpi ngeri kerana satu kumpulan jahat yang menyebabkannya diusir keluar dari kampung.

Sewaktu merantau di Bukit Tinggi, dia menghadapi masalah besar. Jauhari didapati terlibat dengan pengedaran ganja. Dia tertangkap oleh pasukan Paderi dan dijatuhkan hukuman gantung.
..........................................................................................................

Kisah seorang pemuda bernama Jauhari yang menjalani hidup penuh ujian. Menjadi guru mengaji dan juga ulama Paderi di Nagari Pauah. Jauhar si yatim piatu ini, hidup bersama nenek dan datuknya yang miskin. Mereka menyara hidup dengan mencari kayu bakar dan mengerjakan sebidang sawah yang luasnya hanya sekangkang kera.

Jauhar jatuh hati kepada Nilam yang juga seorang guru mengaji di surau yang sama tempat Jauhar mengajar. Walaupun rasa cinta mereka tumbuh dengan mendalam tetapi mereka masih lagi dibatasi dengan ajaran-ajaran agama yang dipegang teguh. Perbezaan status dan darjat di antara Jauhar dan Nilam adalah ibarat enggang dan pipit. Nilam adalah anak saudara kepada guru tempat dia mengajar sedangkan Jauhar yatim piatu. Namun ianya tidaklah menjadi penghalang bagi cinta mereka.

Suratan nasib Jauhar yang selalu ditimpa malang telah membuatkan cinta mereka terpisah.
Ramai pemuda di kampung itu yang menaruh dengki terhadap Jauhar kerana menjadi anak emas kepada Imam Mudo, bapak saudara Nilam. Ditambah pula Jauhar telah berjaya mendapat persetujuan Imam Mudo agar dia dikahwinkan dengan Nilam.

Dugaan yang paling hebat dialaminya ialah pabila dia dituduh cuba mengedarkan ganja dan ditangkap kerana membawa ganja kering di pelana kudanya ketika menuju ke Payakumbuh. Niatnya yang baik mahu membantu Manjo yang bermasalah dan keluarganya itu daripada ancaman Pendekar Hitam akhirnya memerangkap dirinya sendiri. Hukumannya itu membawa Jauhar ke tali gantung. Imam Mudo yang telah mempercayai sepenuhnya berita ini telah membatalkan perkahwinan mereka.


Namun di saat akhir leher Jauhar disarungkan ke tali gantung, Manjo telah membongkar rahsia yang telah menjadikan Jauhar sebagai pembawa ganja. Jauhar terselamat dari hukuman. Selepas itu Jauhar yang sedari dulunya memang ulama Paderi telah bergabung dengan pasukan Paderi Di Kamang yang diketuai oleh Tuanku Nan Renceh untuk memerangi tentera Belanda. Cinta Jauhar bersemi buat kali kedua terhadap Rafiah, anak imam Sinaro dan akirnya mereka menikah sementara Nilam telah ditunangkan dengan Salim.

Sekali lagi Jauhar ditimpa musibah apabila mertua dan isterinya terkorban di dalam peperangan menentang Belanda di Tanjung Alam. Di waktu yang sama Nilam pula telah kehilangan tunangnya akibat termakan makanan yang telah diracun oleh Johan yang sedari dulu ingin memiliki Nilam. Jauhar akhirnya menikah dengan Nilam.

Dendam Johan menjadi-jadi terhadap Jauhar. Dia bertindak menjadi tali barut Belanda untuk memerangi Jauhar dan Paderi Sungai Tangah dan membuka jalan kepada Belanda. Hasan, anak sulung Jauhar dan Nilam telah terkorban di dalam satu perangkap yang dipasang oleh Johan untuk Jauhar. Nilam yang diamuk rasa marah telah bertindak untuk bertemu dengan Johan untuk mendapatkan penjelasan. Nilam akhirnya terkorban.

Novel ini banyak menghuraikan erti sebuah perjuangan. Keperibadian Jauhar sebagai seorang pahlawan sangat elok dijadikan contoh untuk muda mudi zaman ini supaya menjadi lebih tabah dan kuat serta berpegang kepada ajaran agama. Di samping mempunyai akhlak yang baik dan berpendidikan agama yang tinggi, Jauhar juga dikagumi kerana selalu tenang dalam menghadapi situasi yang genting.

Isu yang diketengahkan dalam novel ini bukan saja tentang keteguhan cinta antara Jauhar dan Nilam tetapi juga tentang perbezaan fahaman di antara penduduk kampung di situ. Kehidupan yang berpuak-puak, saling dengki dan iri hati menjadikan mereka berpecah belah. Tidak habis di situ mereka juga sanggup bertindak di luar batasan demi untuk memastikan bahawa mereka adalah puak yang paling dihormati di kampung itu. Keadaan sebegini sangat memberi keuntungan kepada pihak musuh untuk menyusup masuk menakluki daerah mereka.

Senario sebegini bukan saja wujud pada zaman dahulu. Tetapi sampai sekarang kita masih lagi dapat melihat ianya wujud di kalangan kita sendiri. Sanggup berbalah hanya kerana fahaman politik yang berbeza walaupun hakikatnya kita seagama. Masing-masing mahu menegakkan kebenaran yang mereka bawa walaupun kebenaran sebenarnya telah lama dibawa oleh junjungan besar nabi kita Muhammad SAW.



Baca Selanjutnya..

Friday, March 13, 2009

Bertemu Janji Allah 2











Tajuk Buku : Bertemu Janji Allah 2
Karya : Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : Anbakri Publika
Terbitan : 2009

Membicarakan alam akhirat adalah percubaan untuk menjangkau segala yang misteri di belakang tabir keduniaan. Tiada siapa yang layak untuk membimbing segala apa yang terkandung di alam itu melainkan apa yang di khabarkan oleh Pemilik, Pencipta dan Penguasanya melalui wahyu yang diturunkan kepada NabiNya. Tanpa pergi terlalu jauh, dalam pengertian wahyu yang terkandung di dalam surah al-Fatihah Ayat 4 sahaja, kita sudah dipandu dengan sebuah proklamasi berbunyi, “Dialah (yakni Allah) penguasa hari akhirat.” Mungkin William Shakespeare juga termakan dengan tempias firman Allah ini dengan kata-katanya yang pernah direkodkan di dalam skrip teaternya King Henry V111 3 berbunyi, “heaven is above all yet; there sits a judge that no king can corrupt.”

Buku yang bertungkus lumus menggali pelbagai rahsia akhirat, yang sedang berada di tangan pembaca sekarang ini adalah sebuah catatan. Ia bukan memo sembarangan. Ia memunggah kandungan dan pengertian alam ghaib yang akan sama- sama kita lalui lambat launnya. Bagi mereka yang sudah pergi, mereka sudah dan sedang berada sebahagiannya di alam itu. Sekarang, soalnya masih adakah pilihan kita untuk tidak cuba memahaminya sedangkan kita memang perlu ke sana – sememangnya akan ke situ? Dalam gugur hari yang beralih minggu ke minggu, masih adakah khilaf bahawa kita sedang mendekati satu tarikh kematian yang tidak pernah berganjak? Sebaliknya, kita pula yang semakin mendekat !
......................................................................................................................
Lanjutan dari buku Bertemu Janji Allah 1 menghuraikan semua kebenaran tentang janji Allah terhadap makhluknya iaitu hari kiamat. Di hari itu nanti semua manusia akan diadili seadil-adilnya. Menjelaskan tentang bentuk jenis perbuatan manusia yang dilakukan semasa hidup dan apakah jenis pembalasan di hari sesudah mati. Daripada seorang individu tunggal, terus kepada seorang yang mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, persatuan, syarikat dan terus lagi kepada seorang pemimpin negara. Bahkan para nabi dan rasul pun tidak akan terkecuali dari menjalani pengadilan pada hari yang kalut ini.

Diceritakan di dalam buku ini hari yang penuh huru hara sehingga nabi sendiri menjadi kelu tidak dapat menjawab pertanyaan Allah sehingga mereka memulangkan kembali setiap pertanyaan itu dengan berkata, "Engkaulah yang Maha Mengetahui setiap yang ghaib." Subhanallah! Seandainya nabi sendiri menjadi kelu apatah lagi kita insan yang serba berdosa ini.

Setiap perbuatan yang dikerjakan akan ada saksinya walau sebesar zarah sekalipun. Di dunia akhir zaman ini terlalu banyak wujudnya saksi-saksi bohong dari pelbagai pihak untuk tujuan melepaskan diri dari hukuman manusia sewaktu di dunia. Tetapi di akhirat saksi yang datang bukan hanya berbentuk manusia tetapi segala yang ada dan wujud semasa perbuatan dilakukan termasuklah anggota tubuh badan mereka sendiri sehinggalah ke sebutir pasir sebesar kuman. Orang-orang kafir merasa keluh kesah akan cuba berbohong pada hari ini untuk menarik perhatian Allah agar mereka ditukarkan menjadi tanah supaya terlepas dari segala seksaan yang bakal diterima. Namun tipu daya mereka semua adalah sia-sia. Mereka tetap akan menerima seksaan yang maha dahsyat di atas segala perbuatan mereka.

Setelah selesai disoal siasat, untuk menegakkan lebih keadilan Allah mewujudkan pula proses penimbangan amal iaitu mizan. Alat timbangan mizan ini adalah terlalu sensitif, sehingga dapat mengesan amal kebaikan seseorang walau sehalus debu berterbangan. Amal kebaikan yang membawa timbangan yang berat di akhirat ialah amal yang dilakukan secara ikhlas kerana Allah semata-mata dan tidak menolak ayat-ayat Allah. Sebab itu golongan kafir dan yang tidak percaya kepada Allah, walaupun amal kebaikan yang dilakukan adalah banyak tetapi tidak akan diperhitungkan oleh Allah. Ianya akan menjadi sia-sia sahaja.

Penghuraian tentang hari dahsyat yang tanpa berselindung ini menyelitkan satu perasaan insaf dan gerun di dalam diri. Ianya dapat membasuh hati kita yang selama ini lalai dari mengingati mati dan hari kiamat.

Yakinlah hari itu pasti datang dan kita semua pasti akan melaluinya. Kita semua akan menjalani pengadilannya. Cuma yang membezakan di antara kita semua adalah bentuk amalan yang masing-masing kerjakan. Adakah ianya memberi keuntungan kepada kita ataupun membawa kerugian dan kecelakaan. Allah memberi sepenuh kebebasan kepada kita untuk memilih jalan manakah yang terbaik untuk kita. Kerana janji Allah itu benar belaka.


Baca Selanjutnya..

Thursday, March 12, 2009

Cinta Sejati











Apakah Cinta Sejati?

Cinta sejati adalah ketika malaikat penjaga gunung meminta izin menimpakan gunung kepada penduduk yang melemparkan Rasulullah SAW dengan batu, namun Rasulullah berkata, "Jangan! Sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Cinta sejati adalah ketika Ibrahim menyampaikan mimpinya kepada Ismail dan Ismail berkata, "Jika itu memang dari Tuhan, laksanakanlah. InsyaAllah aku termasuk orang yang sabar."

Cinta sejati adalah ketika Fir'aun mengancam para penyihirnya dengan hukuman yang berat, tapi mereka berkata, "Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan Kami."

Cinta sejati ialah ketika Ibrahim dilemparkan ke dalam api, dan Allah berfirman,"HAI API! DINGINLAH."

Cinta sejati ialah ketika Allah menciptakan manusia dengan sempurna kemudian menganugerahkan bumi dan seisinya kepada manusia, memberikan rezeki dan kenikmatan tiada henti walau manusia tidak mensyukuri.

Itulah cinta sejati, cinta yang sebenar-benarnya......

Baca Selanjutnya..

Takagi Sayang








Tajuk Novel : Tagaki Sayang
Karya : Nor Erny Othman
Penerbit : Ghostwriter
Pengedar : Sykt Fajar
Terbitan : 2002

Mahligai perkahwinan yang dibina penuh indah. Disulam pula kasih dan cinta. Tetapi kehadiran si dia yang pernah menyelamatkan nyawanya mengundang dilemma. Si dia hadir meminta simpati, setelah hamil akibat diperkosa. Si dia perlukan suami… demi menutupi onak diri yang sememang bukan kerelaannya. Mampukah diterimanya sedangkan dia bahagia bersama si isteri. Sanggupkah dihancurkan istana bahagia itu demi membalas jasa seseorang yang yang pernah memberikan nyawa padanya suatu ketika dahulu?

Siapakah yang akan mengerti dan menyebelahinya?
.......................................................................................................................................

Kisah kecintaan seorang isteri terhadap suaminya.

Aznil yang diberikan gelaran sebagai Takagi oleh tunangnya, Diana atau pun Yan, kerana memiliki rupa paras yang seiras dengan artis Jepun yang popular pada masa itu. Diana sebenarnya amat tidak menyukai Aznil yang selalu membulinya di zaman persekolahan dulu dan menolak pernikahan itu. Tetapi akhirnya terpaksa juga diterima atas desakan keluarga. Hari demi hari cinta tumbuh juga di hati Diana bila melihatkan ketulusan hati Aznil walaupun Aznil seringkali suka membulinya walaupun setelah bergelar suami.

Kemelut melanda rumahtangga mereka menguji sejauh manakah cinta yang hadir. Di saat Diana mula menyayangi Aznil, pihak ketiga hadir untuk menagih simpati membuatkan mereka berdua seringkali terpaksa berjauhan. Ditambah pula dengan suasana kejiranan yang bersikap suka mengambil tahu urusan rumahtangga orang lain menyulitkan lagi keadaan.

Walaupun jalan cerita novel ini menyamai kisah-kisah cinta yang lain tetapi style penulis yang tersendiri amat menarik minat saya untuk membacanya. Banyak adegan dan bicara yang mencuit hati saya antaranya di saat Aznil yang suka mengusik isterinya yang degil dengan kata-kata yang selamba. Membuatkan saya tersenyum sendiri. Sebuah cerita yang tidak berat, mengandungi humor di awalnya dan menyentuh hati di akhirannya.


Baca Selanjutnya..

Tuesday, March 10, 2009

Memiliki Dan Mencintai

Di suatu saat
Aku telah memiliki
Yang kutakutkan setelah memiliki adalah mencintai
Setelah mencintai aku takut akan kehilangan

Sungguh berat bila kehilangan
Sesuatu yang ku miliki
Apa lagi yang sudah kucintai

Sebaiknya
Aku tak pernah mencintai
apa pun
Sebab aku takut kehilangan apa pun
yang aku cintai

Sejujurnya
Aku tak ingin memiliki apa pun
Agar aku tidak dirundung luka
Saat aku kehilangan

Tapi
bukankah semua yang hidup takkan kekal?
bukankah semua yang aku miliki akan hilang?
Lalu kenapa aku begitu mencintai
seolah yang kumiliki itu tak akan pernah hilang

Ternyata
Aku telah salah mentafsirkan cinta

Ya Allah,
Maafkan aku..

Baca Selanjutnya..

Thursday, March 5, 2009

Hidayah










Tajuk Buku : Hidayah
Karya : Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : Anbakri Publika
Terbitan : 2009

Buku ini memberi kesempatan untuk kita mengenali wajah-wajah mesra sebuah "hidayah". Dari langit hidayah datang bertamu di tangga kita untuk memimpin. InsyaAllah, Nik Abdul Aziz lah orangnya yang sedang kami usung untuk memberi makna-makna tersirat dari rahsia bawaan rohaninya. Hidayah sesungguhnya sebuah rahsia. Bagaikan hembusan bayu yang halus bertiup, hidayah bisa menguak tirai kegelapan yang berbunga di ghairah nafsu su' yang bejat menipu. Ia biasanya beradai di bingkai jendela kita yang lango.

Tidak syak lagi, buku ini adalah teman. Ia lahir spontan, mungkin berkat lewat kandungan tutur katanya yang jujur berbicara. Ia membawa getar dan gegar debar yang menyentuh rohani. Ia luarbiasa.
.................................................................................................

Hidayah bermaksud petunjuk atau panduan. Umat Islam amat memerlukan petunjuk dan panduan dari Allah SWT dari segenap segi untuk menjalani hidup yang penuh pancaroba supaya berada di atas landasan yang lurus. Setiap saat setiap ketika hidup amat bergantung penuh kepada Allah. Apatah dengan godaan nafsu dan pujuk rayu syaitan, umat Islam tidak upaya untuk menepis semua ini jika tidak dengan pertolongan dan bimbingan dari Allah SWT. Ditambah lagi dengan dunia sekarang yang serba canggih dan serba moden yang sering membuatkan umat Islam berada di dalam dilema untuk memilih cara hidup dan amalan yang betul.

Tugas manusia hidup di muka bumi ini yang sebenar-benarnya adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Melakukan segala perintahNya dan menjauhi semua laranganNya. Setiap apa yang dikerjakan di atas mukabumi semasa hayatnya akan diadili di akhirat kelak. Manusia yang melakukan amalan soleh semasa hayatnya amat beruntunglah ia kerana akan diberi ganjaran syurga. Akan tetapi manusia yang melakukan amalan yang dimurkai Allah semasa hidupnya, nescaya akan diberi balasan neraka. Nauzubillahiminzaalik!

Untuk berada di landasan yang betul, manusia memerlukan petunjuk dan panduan dari Allah.
Manusia ini bersifat lemah dan tidak upaya mengetahui apakah yang ada di masa hadapan yang bakal terjadi untuk mereka. Sedangkan Allah hanya memilih orang-orang tertentu saja untuk diberi petunjuk. Tiada siapa yang mengetahui samada dia tergolong di dalam orang-orang yang terpilih itu. Namun manusia digalakkan untuk berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar ia termasuk di dalam golongan tersebut.

Buku ini memberi garis panduan dan gambaran kepada kita bagaimana untuk mencapai hidayah dan petunjuk dari Allah SWT. Membaca buku ini membuatkan hati berasa insaf dan bersyukur kerana diberi nikmat dilahirkan sebagai umat Islam. Dan tambah bersyukur lagi kerana diberikan nikmat agar terus berada di dalam lingkungan umat Islam. Semoga kita semua diberikan hidayah dari Allah SWT supaya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam yang sempurna.




Baca Selanjutnya..

Wednesday, March 4, 2009

Bukan Yang Pertama













Tajuk Novel : Bukan Yang Pertama
Karya : Salina Ibrahim
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Terbitan : 2009

Yasmin Zulaikha Basri, pulang ke kampungnya setelah gagal mendapat peluang pekerjaan di ibu kota. Dia adalah wanita muda yang menggalas tanggungjawab sebagai usahawan, anak kepada ibu yang telah uzur dan dalam masa yang sama dia perlu menjadi contoh teladan yang baik kepada dua adik angkatnya. Sudah menjadi lumrah kehidupan, antara hal peribadi dengan urusan kerjaya pasti akan ada yang bercanggah.

Kehadiran Anis, remaja perempuan yang memberontak; Jason, tetamu homestay yang tertarik untuk memeluk Islam dan kemelut cinta Ustaz Mustakim telah mencabar kewibawaan Yasmin Zulaikha dengan Umar Khalil pula disalahertikan sehingga mencetuskan fitnah. Namun, dia tetap berani menongkah arus, tidak mahu ketinggalan dalam aspek kepimpinan dan pada masa yang sama berusaha sedaya upaya untuk terus kekal di atas landasan syarak.
.............................................................................................................
Setiap kali saya melawati toko buku, timbunan novel ini selalu diletak di tengah-tengah show desk toko buku tersebut. Nampak menarik sekali dengan warna kulit buku ini yang merah menyala. Pasti membuatkan ramai yang tertarik untuk membelinya. Termasuklah saya.

Seperti sinopsis yang dipaparkan di sini ianya menceritakan kecekalan seorang gadis di dalam mengharungi suasana hidup di kampung. Gadis setabah Yasmin sangat sesuai untuk dijadikan contoh bagi muda mudi di zaman ini supaya lebih cekal di samping tidak lalai menjalankan tanggungjawab sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Mengambilalih tanggungjawab untuk menyara hidup keluarga dan menggiatkan diri di bidang perniagaan adalah dua perkara yang amat berat untuk dilaksanakan oleh Yasmin sebagai seorang perempuan. Apatah lagi, bila terpaksa berdepan dengan onar si adik yang benar-benar mencabar kesabaran.

Saya mengagumi watak Yasmin yang digarap sebagai seorang muslimah yang sempurna dalam serba serbi. Dalam kepahitan dicaci dan difitnah oleh orang-orang kampung kerana dikatakan berhubungan dengan Umar Khalil, Yasmin tetap tenang dan sabar. Hati saya tercuit bila kejujuran Umar Khalil terserlah untuk menyuntuing Yasmin sebagai pasangan hidup dan yang paling membahagiakan ialah bila Yasmin menerimanya dengan sepenuh hati.

Walaupun jalan cerita yang sebenarnya adalah biasa-biasa saja namun garapan yang bebeza dengan meletakkan hadis-hadis dan ayat al Quran membuatkan novel ini ternyata lebih Islami.





Baca Selanjutnya..

Monday, March 2, 2009

Muhammad SAW - Insan Teladan Sepanjang Zaman



Tajuk Buku : Muhammad SAW Insan Teladan Sepanjang Zaman
Karya : Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : Anbakri Publika Sdn Bhd
Terbitan : 2008

Kisah sirah boleh disifatkan sebuah 'manual' bagi setiap mukmin yang berdaya juang. Ia diyakini mampu meningkatkan roh perjuangan. Melalui jalur-jalur kisah kehidupan junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang diperincikan melaluinya, khalayak seakan-akan sedang dihidangkan dengan sebuah 'santapan rohani'. Daripada gerak-geri baginda dalam pelbagai situasi, tenang, terancam, cemas, istiqamah dan berani tanpa disedari pembaca telah dan akan dititip dengan "akhlakul karimah". Ia bisa meresap, menusuk bahkan mampu mengubati jiwa.

Jauh mengatasi kepentingan kisah yang resap dalam perjalanan sirah Rasulullah SAW ini ialah teknik, taktik dan strategi peperangan baginda. Jikapun suasana dan dimensi masa boleh berbeda, namun maudhu' pendekatan dan uslub yang digariskan tetap relevan. Pendekata, musuh dan seteru tetap satu. Tinggal lagi, bagaimana Nabi kita mendepani mereka dengan pelbagai hikmah dan fatonah. Inilah mesej tersirat yang cuba dibawa oleh buku ini untuk direnung dan dikongsi.

Maka, adakah sunnah yang sebenar ini hendak kita sia-siakan?
..................................................................................................................
Buku ini sangat bermutu dan boleh dijadikan sebagai panduan kepada kita dalam membentuk akhlak diri. Menceritakan setiap perlakuan Rasulullah dalam menangani situasi samada genting dan tenang secara terperinci dan berkesan.

Baca Selanjutnya..

Sunday, March 1, 2009

Transgenesis Bisikan Rimba

Tajuk Novel : Transgenesis Bisikan Rimba
Karya : Amir Husaini
Penerbit : PTS Fortuna
Terbitan : 2008

Teknologi memindahkan genetik haiwan dan tumbuhan kepada embrio yang diklonkan daripada manusia sudah ditemui. Kini kita boleh mencipta manusia dengan kelebihan istimewa. Manusia dengan deria hidu sensitif seperti anjing misalnya. Ataupun, manusia yang boleh menghasilkan makanan sendiri melalui fotosintesis. Inilah yang dilakukan oleh pakar genetik di Institu Trans-DNA, secara rahsia.

Sehinggalah segala-galanya terbongkar, apabila subjek eksperimen yang terbebas dari makmal mula membunuh orang awam...

dalam Transgenesis : Bisikan Rimba, Amir Husaini menggabungkan bakat penulisan luar biasa dan pengetahuan saintifik menakjubkan, bagi menghasilkan fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan!
.................................................................................................................................
Novel ini adalah antara novel yang popular di masa ini. Kata kawan-kawan saya ianya sebuah novel yang wajib berada di dalam senarai koleksi. Saya semestinya tidak melepas peluang untuk memiliki dan menghayati cerita di dalam novel ini yang dikatakan memang menarik sekali. Membaca sinopsis di belakang buku pun sudah membuatkan saya tidak sabar-sabar untuk membacanya.

Fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan! Betullah kata sinopsis di belakang buku ini. Satu komen yang tepat sekali.Kisahnya adalah mengenai satu kajian oleh satu badan yang dikenali sebagai Institut Trans-DNA untuk menghasilkan percantuman di antara DNA manusia bersama DNA tumbuhan. Ianya mula terbongkar apabila terjadinya suatu pembunuhan misteri di sebuah tapak projek pembalakan yang mendapat liputan media tabloid dan menjadi topik perbualan hangat di kalangan masyarakat di situ.

Membaca tragedi pembunuhan ini membuatkan saya merasa seriau dan seram apatah lagi bila membacanya di tengah malam yang hujan bersama dentuman guruh. Pandai sungguh penulis mengolah cerita dan plot membuatkan seolah-olah saya juga turut cemas berada di dalam kabin gelap itu bersama-sama dengan taukeh Hwang Chien Ming dan Razilan.

Kemunculan Buraquzzaman, wartawan Semboyan Nasional, yang ingin membongkar misteri ini tidak disenangi oleh Datuk Jay. Datuk Jay adalah pengasas Institut Trans-DNA yang melakukan eksperimen percantuman DNA antara manusia dan tumbuhan secara rahsia. Sebelum ini banyak kegagalan telah berlaku dalam projek ini dan setiap subjek yang gagal itu telah dilupuskan di kaki Gunung Pulai bedekatan dengan lokasi pembunuhan misteri tersebut. Flora, atau diberi kod nama 4791, adalah subjek pertama yang berjaya dihasilkan setelah melalui beberapa kaedah berbeza. Namun Flora telah dapat melarikan diri dari institusi itu. Pelariannya adalah untuk satu tujuan tertentu.

Persoalan dalam cerita ini mengaitkan banyak pihak. Bermula dari Datuk Jay, Prof Joned sehinggalah kepada Datin Kay, Dr Ramsay, Ixora, Buraquzzaman dan Flora semuanya berkaitan di antara satu sama lain. Membaca novel ini harus menahan nafas yang panjang kerana kejutan demi kejutan yang tidak terfikirkan oleh pembaca terhadap misteri yang saling berhubung kait sehingga pembaca diamuk perasaan ingin tahu. Bagi saya penulis sangat pandai menggarap cerita ini dengan kemas dan tersusun mengalir seperti air membuatkan pembacaan menjadi lancar.

Namun di akhir cerita, misteri sebenar pembunuhan taukeh pembalakan itu masih tidak terjawab. Bahkan banyak lagi persoalan-persoalan baru yang timbul setelah terbongkarnya rahsia demi rahsia. Seperti akan ada kesinambungan untuk kisah ini di novel selanjutnya.

Di sebalik fiksyen sains ini mesej yang amat jelas cuba disampaikan penulis ialah setinggi mana pun kita mengejar dan meneroka alam dunia ini kita tidak akan dapat setanding dengan keesaan Tuhan Yang Maha Menjadikan. Apa yang kita lakukan tidak sedikit pun dapat dibandingkan dengan kejadian yang diciptakan Tuhan. Usahlah kita membangga diri dan mencabar kekuasaan Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana dengan cuba mencipta manusia.

Sekalung tahniah untuk saudara Amir Husaini. Sebuah novel fiksyen sains menarik yang penuh mesej dan tidak mengecewakan pembaca.

Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin