Monday, February 23, 2009

Cinta Di Mana?

Tajuk Novel : Cinta Di Mana?
Karya : Annur Puteri
Penerbit : CESB
Terbitan : 2007

Adakala kemiskinan sering meneruja pertimbangan. Membelenggu pendirian. Apa pilihan yang Mokhtar ada? Sememangnya Mokhtar dan Azizah tiada Pilihan. Perjanjian yang dilafazkan cuma bisikan angin lalu lantas membiaskan gugus-gugus rindu yang mengorak kelopak. Ke manakah rindu ini harus diarahkan? Ke mana kasih ini harus diberikan ? Mokhtar tiada jawapan. Azizah juga tiada jawapan. Masing-masing menunggu dan terus menunggu walalu sesekali kewalahan...
...........................................................................................................

Cerita ini adalah cerita cinta dan ikatan kasih sayang antara adik dan kakak yang sangat kukuh. Masing-masing sanggup berkorban demi untuk kebahagiaan satu sama lain. Mokhtar dan Azizah dianugerahkan sepasang anak kembar namun oleh kerana desakan dan kepayahan hidup mereka terpaksa menyerahkan salah seorang kembar kepada anak Mek Kalsom di bandar. Sebelum itu mereka telah mempunyai seorang anak perempuan, Mariah. Tinggallah Mariah dan anak kembar yang kini cuma seorang, Muzammil, dibawah jagaan mereka membesar dengan seribu kepayahan.

Kesusahan hidup membuatkan ikatan kasih antara adik beradik Mariah dan Muzammil sangat erat sekali. Apa yang menyentuh hati saya adalah kasih sayang Mariah terlalu mendalam kepada adiknya sehingga sanggup memberikan kasut sekolah baru untuk dipakai oleh Muzammil setelah kasut Muzammil terbelah dua. Perjalanan pulang dari sekolah ke rumah telah membuatkan kaki Mariah melecet dan dengan tidak sengaja Mariah terpijak tunggul. Namun sedikit pun tidak ditunjukkan rasa sakit itu kepada sesiapa membuatkan Muzammil dicengkam rasa bersalah. Mulai dari situ Muzammil berazam untuk membahagiakan kakaknya.

Bila mana Mariah mendapat keputusan yang cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, Muzammil sanggup berkorban dengan berkerja di tapak projek sebagai buruh kasar pada usia enambelas tahun walaupun pada halnya keputusan peperiksaan Muzammil juga adalah cemerlang. Bagi Muzammil kebahagiaan kakaknya yang telah banyak berkorban untuknya adalah sangat penting. Hampir tumpah airmata saya bila membaca saat-saat ini.

Rupa-rupanya tapak projek tempat Muzammil berkerja itu dimiliki oleh kedua ibubapa angkat adik kembarnya yang lama terpisah dulu. Salinan sijil akademik Muzammil yang cemerlang mengundang rasa hairan dan tanda tanya Mawar. Namun niat Mawar untuk mendekati Muzammil amat tidak disenangi oleh mamanya.

Bak kata pepatah air dicincang takkan putus, akhirnya ketiga-tiga adik beradik ini dipertemukan semula dalam suasana yang amat mengharukan.

Usai membaca cerita ini membuatkan saya teringin benar untuk menatap setiap wajah adik beradik saya.... dan bertanya di dalam diri... sekuat inikah ikatan kasih sayang adik beradik kita selama ini.....

syabas untuk penulis kerana membawa suatu mesej dan kelainan yang berkesan di hati.


Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin