Friday, February 13, 2009

Hari Kekasih Valentine's Day

Wahhh... hari memperingati kekasih atau lebih tepat lagi dikenali sebagai Hari Valentine datang lagi. Pasti ramai remaja-remaja kita yang sibuk mencari ungkapan kata-kata cinta untuk dihadiahkan kepada kekasih tercinta. Bagi peniaga pula, hari ni adalah hari untuk menaikkan harga bunga-bunga ros, kad-kad cinta merah jambu, semua barang berbentuk hati dan berwarna merah jambu yang berlambangkan cinta dan kasih sayang.

Bermacam-macam barang ditawarkan sempena Hari Kekasih ini. Bermula dari kad ucapan, cokelat berbentuk hati keemasan, bunga, bantal, anak patung, pakej makan malam bersama kekasih sehinggalah kepada buku dan cd lagu-lagu cinta. Para pembeli pasti akan berasa ghairah melihat barang-barang yang ditawarkan. Tanpa berfikir panjang akan terus membelinya saja tanpa mengira harga yang telah berlipat kali ganda tingginya. Saranan kerajaan supaya rakyat melakukan perbelanjaan berhemah di musim kegawatan ekonomi yang melanda sekarang ini diketepikan saja semata-mata untuk membuktikan erti cinta sejati di hari kekasih.

Hari Kekasih atau Valentine's Day ini setiap tahun akan jatuh pada 14hb. Februari. Bagi remaja dan muda-mudi (ada juga setengah golongan dewasa..) yang menganggap hari ini adalah hari istimewa yang perlu disambut dengan berpesta, makan malam dan berhabisan masa berdua.

Makin menyeramkan bila melihat keghairahan sambutan Hari Kekasih di kalangan remaja masa kini terutama remaja-remaja yang berada di kota-kota besar yang berlatar belakangkan kehidupan serba mewah dan moden. Kebanyakan remaja-remaja ini tidak tahu apa erti sebenar Hari Kekasih. Hanya mengetahui hari itu adalah hari untuk berpesta kasih sayang semata-mata.

Ditambah pula dengan media cetak dan media elektronik yang galak mempromosikan tanggal 14 Februari ini adalah sebagai hari paling romantis untuk disambut pasangan kekasih. Pada hari ini lagu-lagu romantis diputarkan di corong radio dan diselangseli dengan ucapan pendengar mengucapkan kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Di telivisyen juga dimuatkan cerita-cerita cinta teruna dara yang menyambut dan mengucapkan "Selamat Hari Valentine" kepada pasangannya. Mari kita renung sejenak apakah sebenarnya maksud Hari Valentin itu?

Sekilas Tentang Sejarah Valentine's Day

Ensiklopedia Katholik mengatakan bahawa ada tiga versi tentang Valentine's Day tetapi yang paling terkenal sekali dan diketahui ramai ialah kisah Pendeta Pedro St. Valentino yang hidup di akhir abad ke 3 M di zaman Raja Romawi Claudius II. Raja Rom ini memenjarakan orang Kristian kerana mereka mengamalkan agama yang bertentangan dengan agama kuno Romawi. Oleh kerana St. Valentino salah seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa di dalam penjara.

Namun sepanjang di dalam penjara pun, Valentine tetap sebarkan agama Kristian kepada banduan-banduan. Raja Rom mengetahui kegiatan Valentine dan memerintah Valentine dihukum bunuh pada 14 Februari. Lantaran itu, orang Kristian memandang mulia kepada Valentino kerana kesanggupan mengorbankan nyawa kerana kepercayaan, kecintaannya terhadap syiar agama Nasrani iaitu agama Kristian. Malah sehingga mereka menyamakan Valentino seperti Nabi Isa.




Sumber-sumber menyatakan, ketika St. Valentino dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum itu Raja Claudius II memberi kepadanya pilihan, sama ada meninggalkan agama Kristian yang dianutinya atau menerima hukuman bunuh. Beliau rela dibunuh, tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan From your valentine (Daripada Valentinemu).




Sejak peristiwa itu, orang Kristian mengambil sempena 14 Februari pada setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati hari kematian St. Valentino, paderi kesayangan mereka.



Di dalam versi kedua pula St. Valentine dibunuh kerana mengahwinkan ramai pemuda secara rahsia sedangkan undang-undang Rom pada ketika itu menghalang pemuda-pemudanya berkahwin dan berkeluarga. Mereka dikerahkan untuk menjadi tentera sahaja. Perbuatan ini mendatangkan kemarahan Raja Rom dan ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung pada 14 Februari 269 Masihi.


Versi ketiga pula menyatakan ia dirayakan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol. St. Valentino merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Dengan jasanya itu, St. Valentino dianggap sebagai hero atau kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.


Semoga dengan maklumat tentang sejarah Valentine's Day di atas, kita semua semakin haqul yakin bahawa Valentine's Day adalah budaya bukan Islam. Bukan cuma sekadar amalan biasa.



Mendengar pendapat remaja tentang cinta, sepertinya makna cinta itu semakin menyempit. Sesempit ruang bernafas dalam LRT yang penuh sesak di pagi hari. Makna kasih sayang pada para remaja selalu diertikan sebagai kasih asmara antara lawan jenis. Padahal Allah SWT menciptakan rasa ini dalam diri manusia tidak hanya dalam rangka memadu kasih dua insan yang tengah mabuk asmara. Ia juga merupakan kecintaan seorang ayah kepada anak dan isterinya, cinta kita pada orang tua dan keluarga, atau kepada saudara seakidah.


Seorang ayah, tidak kenal lelah untuk mencari nafkah sebagai tanda cintanya pada keluarga. Sekecil apapun kesempatan yang Allah berikan untuk menghidupkan keluarganya, akan dia kejar meski harus membanting tulang dan bermandi keringat. Baginya, menjadi penjual air di tepi jalan, penjaga parking kereta, atau tukang angkut sampah dengan hasil yang hanya sedikit cuma akan menjadi lebih mulia dan terhormat dibanding seorang penyeluk saku, perompak, atau penjudi.

Cinta kita pada orang tua sudah seharusnya membuat kita belajar untuk mandiri berbakti kepadanya. Melaburkan setiap pemberian mereka dalam ilmu yang bermanfaat dan kedewasaan dalam sikap dan perbuatan. Kerana di suatu hari kelak, kita pun akan menjadi orang tua yang akan mengurus keluarga sendiri.

Cinta kepada saudara seakidah akan menghancurkan tembok sekolah, rumah, suku, atau negara yang menyekat kita. Rela mengorbankan harta, tenaga, waktu, fikiran, atau apapun yang dimiliki sesuai kemampuan untuk saudaranya. (Sayang ini tidak berlaku untuk saudara seIslam kita di Gaza..) Dalam hadis riwayat At-Tirmizi, Rasulullah SAW telah bersabda : "Tidak beriman salah seorang di antara kamu semua hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri."

Dan yang terakhir adalah kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya. Cintanya manusia kepada Allah dan RasulNya adalah mentaati keduanya dan redha terhadap segala perintah Allah dan segala ajaran yang dibawa Rasulullah SAW. "Sehingga seorang hamba akan bersegera memenuhi seruan-Nya. Meski harus ditukar dengan cintanya pada anak-isteri, keluarga, atau harta benda." (lihat QS. at-Taubah [9] : 24).

Sesungguhnya, inilah makna cinta bagi seorang muslim. Begitu universal dan luas. Tersangat luasnya sehingga tidak perlu dibatasi dengan hari khusus seperti Valentine's Day. Atau diungkapkan bersama kekasih dan pergaulan bebas yang malah menempatkan cinta itu sendiri atas nama nafsu syahwat. Kita boleh mencintai sepanjang hari selama hidup kita dan tidak terbatas cuma kepada lawan jenis saja. Kerana itu, cintailah cinta sesungguhnya kepada Yang Maha Pemberi Cinta.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin