Wednesday, February 11, 2009

Ada Rindu Di Wajahmu - Shamimi Aminolah









Tajuk Novel : Ada Rindu Di Wajahmu
Karya : Syamimi Aminolah
Penerbit : CESB
Terbitan : 2008

Kisah Wardah yang terpaksa menerima padah akibat dari sikap bongkak ibunya Naemah terhadap orang kampung. Naemah pada mulanya ingin menjodohkan Wardah dengan Kamil tetapi apabila Farid hadir di kampung terpencil itu Naemah telah memutuskan pertunangan itu dengan niat untuk memberikan Wardah kepada Farid yang berharta pula. Bukan itu saja, Naemah telah memalukan Kamil di depan orang kampung dengan mengatakan Kamil memang tidak layak untuk Wardah, anak gadisnya yang cantik dan menjadi idaman pemuda-pemuda di kampung itu.

Kamil marah lalu bertekad untuk membalas dendam dengan menyantau pengantin lelaki di malam pertama perkahwinan Wardah. Selepas Farid, ada lagi beberapa orang pemuda yang sudi mengahwini Wardah telah kecundang di pelamin di hari persandingan mereka. Wardah menjadi separuh nanar dek kerana terlalu kecewa dengan kehilangan kekasih hati, Farid. Jiwanya memberontak. Lalu dia menjadi hilang akal, meracau memanggil-manggil Farid yang sudah pergi.

Peristiwa hitam itu telah menyebabkan keluarga Naemah dipulaukan oleh orang-orang kampung. Hilang semua kebongkakan dan keegoan Naemah bila anak gadisnya yang cantik dikatakan gila. Nasib baiklah dia masih mempunyai adik beradik yang tidak menaruh dendam di atas perbuatannya di masa lalu dan sanggup menghulurkan bantuan menjaga Wardah.

Muncul Cikgu Adnan, anak hartawan tetapi berjiwa pendidik di kampung itu dan tinggal menyewa di rumah kosong milik Naemah tidak jauh dari rumahnya. Hari pertama menyewa di situ lagi Cikgu Adnan dikejutkan dengan adegan kejar mengejar antara Wardah dan Long Deraman dan akhirnya Cikgu Adnan ikut membantu mententeramkan Wardah yang kerasukan. Timbul rasa di hati kecil Cikgu Adnan untuk membantu gadis ayu ini untuk pulih menjadi sediakalanya.

Namun.. biasalah... niat yang baik selalunya akan menghadapi banyak rintangan untuk diuji sejauh mana keikhlasannya. Kehadiran Cikgu Emily, bekas kekasih yang masih menagih cinta dari Cikgu Adnan juga menjadi salah satu halangan untuk mendekati Wardah. Cikgu Emily yang mempunyai senjata yang kuat, iaitu dapat memenangi hati orang tua Cikgu Adnan. Kata-kata Cikgu Emily memang akan dipercayai bulat-bulat oleh orang tua Cikgu Adnan. Sudahnya Cikgu Adnan telah diarahkan untuk bertukar mengajar di bandar.

Di kala Wardah sudah mula dapat menerima kenyataan bahawa pemergian Farid adalah untuk selama-lamanya, di saat Wardah mula berpaling sinar kasih untuk Cikgu Adnan, tiba-tiba Cikgu Adnan terpaksa meninggalkannya pula. Akhirnya Cikgu Adnan pergi jua!

"Saya pergi untuk melunaskan sesuatu dan saya akan kembali," tegasnya Adnan berkata-kata hingga dirasanya kagum...
.......................................................................................
Sebuah cerita yang menarik dari Shamimi Aminolah. Sebelum ini saya pernah membaca novel hasil tulisan saudari Shamimi tapi saya rasa novel ini lebih menyerlah. Mungkin kerana jalan ceritanya agak lain dari yang lain. Yang paling menariknya cerita ini menyingkap amalan mistik yang masih tetap diamalkan oleh masyarakat melayu kita walaupun di zaman IT yang serba canggih ini.

Penghayatan watak Wardah memang agak jelas digambarkan sebagai seorang gadis Melayu yang menurut kata ibu, tidak tergamak untuk memberontak tetapi akhirnya memakan dirinya sendiri kerana tekanan hidup yang melanda. Kehilangan kekasih hati juga telah meragut hampir separuh dari jiwa Wardah. Semangat yang sudah lemah ditambah lagi dengan hasutan syaitan yang 'dihantar' oleh Kamil telah memburukkan lagi keadaan jiwa Wardah.

Di samping itu penyesalan Naemah di atas perbuatannya memang membuatkan kita merasa Tuhan itu Maha Adil dan bumi bulat ini akan berputar terus. Sekali kita di atas jangan lupa bahawa kita juga kelak akan berada di bawah.




Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin