Saturday, February 28, 2009

Tongkat

Tongkatku patah..
di ketika aku galak meniti lorong berliku
di saat aku lincah meniti ranjau menggunung berduri

kesasaran aku
terketar-ketar aku
menggagahi kaki menghayun kederat
meneruskan perjalanan yang belum terlihat
bayang titik arah tujuan

menangis aku
ditimpa hujan batu di tandus kemarau
tersembam aku
dipelangkung peluru sakti di tengah hutan berduri
tidak berdaya aku
mengharung tsunami merah setinggi awan
berdarah kakiku
tersandung busut berjeriji besi nan tajam menikam
lelah aku
menggapai dedahan pohon semalu yg kuncup untuk berdiri

dimana untuk aku mendapatkan ganti
agar aku dapat berdiri gagah setinggi langit
agar aku dapat berlari merentas duri
agar aku dapat berenang menyeberang lautan tak bertepi

atau aku harus mandiri
menyerahkan segala kepada Ilahi
memohon perlindunganNya dari segala bah dan kemarau
mengharap bimbinganNya untuk aku terus berlari
menuju hakiki

Baca Selanjutnya..

D'Blur








Tajuk Novel : D'Blur
Karya : Ellis Gee
Penerbit : Fajar Pakeer Sdn Bhd
Terbitan : 2009

Namanya Hetty Nur. Sebab my dad minat Hetty Koes Endang.

Nama lainnya Hetty Blur. Sebab sikapnya yang kebodoh-bodohan, jadi Club 5 memberi jolokan itu. Walaupun dia blur ttapi dia mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu untuk belajar ke peringkat diploma dan seterusnya memperoleh pekerjaan yang lumayan pendapatannya agar dapat membantu keluarga yang hidup dalam serba sederhana. Dia bukan blur sembarangan.

Dia mungkin Hetty Blur, selalu dikenakan rakan yang mahu menguji tahap blurnya. Dan, dia memang sering terkena. Tapi dia bukan blur sehingga tidak tahu mengenakan semula. Cuma... kenapa tiap kali dia mahu membalas perbuatan 'rakan' itu, dia yang terkena semula? Adakah dia terlalu blur sehingga tidak mampu mengenakan semula pihak yang cuba menjatuhkan maruahnya?

Dan Robbie, the man of my dream, bolehkah kau menjadi milik aku, Hetty Blur?
..............................................................................................................
Saya kurang tertarik dengan novel-novel keluaran Fajar Pakeer kerana rata-rata kulit novelnya yang agak sama dan kurang menarik semuanya. Bila ke toko buku saya selalu terlepas pandang pada deretan novel keluaran Fajar Pakeer. Setelah sekian kali melintas di deretan novel-novel ini dua hari yang lalu saya terfikir untuk cuba membaca novel keluaran ini pula. Mungkin ada kelainan dari segi editing dan penyampaiannya.

Nah.. untuk percubaan pertama saya memilih novel terbaru dan ditulis oleh penulis baru ini. (mungkin penulis baru sebab saya belum pernah membaca karya dari beliau.) Mengisahkan seorang 'gadis blur' atau dalam bahasa melayu istilah yang kita gunakan ialah lurus bendul.

Orang yang selalu dianggap blur atau lurus bendul ini bukanlah tergolong dari orang-orang yang bodoh. Cumanya mereka ini seakan mengidap satu syndrom iaitu terlalu obses mengikut peraturan. Segala apa yang diberitahu dan diarahkan akan dipatuhi dan diterima bulat-bulat. Mereka tidak dapat mengolah atau menimbang lebih kurang akan peraturan dan kata-kata tersebut untuk kesenangan diri. Orang yang sebegini adakalanya melucukan dan adakalanya menyusahkan sesetengah pihak.

Hetty Nur adalah tergolong dalam kategori ini. Riwayat hidup dan omelan hati Hetty si gadis blurr diluahkan dalam novel ini. Dari awal Hetty dapat memasuki sebuah kolej hinggalah sehingga dia diterima bekerja di dalam satu firma. Sikap Hetty yang dikatakan tolol dalam cerdik amat ketara sekali sehingga mendapat teguran dari kawan-kawanya terutama Minah. Minah cuba merubah sikap Hetty supaya tidak dipandang rendah oleh kebanyakan warga kolej di situ.

Apa yang paling ketara dan mencuit hati saya ialah di suatu insiden di mana Hetty berkeras tidak mahu duduk bersebelahan dengan Mwanjalah seorang penuntut kolej lelaki berkulit hitam di satu majlis jamuan perpisahan. Bila kawannya, Nazri bertanyakan sebab pada Hetty, ini jawapan Hetty pada Nazry,

"My dad cakap kalau duduk sebelah lelaki yang bukan muhrim boleh pregnant tau!"

Apa yang penulis cuba ketengahkan di dalam novel ini ialah supaya kita dapat mengetahui bagaimana seorang yang lurus bendul ini berfikir dan menjalani hidup seharian mereka yang serba lurus. Rupa-rupanya mereka ini mempunyai fikiran yang bersih. Mereka menerima sesuatu perkara dengan ikhlas dan tanpa rasa curiga atau was-was di hati mereka. Kiasan dan makna tersirat yang terselit di sebalik kata-kata sama sekali tidak dapat diduga oleh mereka. Apa yang dikata itulah yang diterima. Apa yang diajar itulah yang diikuti. Tetapi kalau silap ajar akan membawa mudarat dan kesusahan kepada mereka.

Sebuah novel yang menghiburkan dan sama sekali tidak berat untuk dibaca.

Baca Selanjutnya..

Thursday, February 26, 2009

Ada Cinta









Tajuk Novel : Ada Cinta
Karya : Rina Farizq
Penerbit : Kaki Novel
Terbitan : 2009

Bermula dengan sebuah tragedi, sebuah kisah cinta tercipta. Dalam marah dan benci, ikatan yang terjalin menambah sakit di hati. Namun akhirnya hati terpaksa akur, di suatu sudut yang paling dalam, rasa kasih dan sayang tidak dapat dipendamkan lagi.

Namun, bibir tidak mampu mengucapkan kata cinta. Hati tidak tertahan menanggung beban perasaan.

Dia sedar, cinta bukanlah segalanya. Cinta itu terlalu luas pengertiannya. Sebelum menemukan cinta sejati, cintakan Allah adalah kunci utama sebuah kebahagiaan yang hakiki.
..............................................................................................................................
Saya tertarik untuk memiliki novel ini kerana kulitnya yang cantik. Pandai sungguh penerbit memilih gambar kulit novel bagi tujuan promosi. Akhirnya terpaksa juga saya mengeluarkan ongkos untuk membayar harga senaskah novel ini.

Membaca sinopsis di belakang buku saya sudah dapat menjangka yang ianya menceritakan satu episod cinta yang sama seperti novel-novel cinta yang lain. Namun itu cuma jangkaan saya saja. Anda kena baca sendiri novel ini kalau ingin mengetahui apakah jangkaan saya betul atau sebaliknya. :)

Kisah seorang budak sekolah yang juga anak manja,Qasrina, dan paman kawannya Darwina,Danish, dipertemukan di dalam satu insiden langgar kereta (insiden popular yang menjadi pilihan kebanyakan penulis novel cinta untuk mempertemukan hero dan heroin mereka). Dilanjutkan dengan pergaduhan dan saling sindir menyindir antara satu sama lain. Tetapi rupa-rupanya Danish juga adalah anak kenalan Uncle Azahari, kawan baik papa Qasrina. Kecilnya dunia ini!

Papa Qasrina menyenangi Danish lalu dalam suatu majlis makan malam dan tanpa pengetahuan Danish dan Qasrina, mereka berdua pun ditunangkan. Pertunangan ini amat tidak disenangi oleh kedua merpati sejoli dan juga Zalia dan Muzaffar. Hancur harapan sebenar Zalia dan Muzaffar untuk menyatukan Qasrina dengan Mukhriz.

Malang tak berbau, kedua orangtua Qasrina maut di dalam satu kemalangan jalanraya. Hidup Qasrina menjadi kacau bilau bila Zalia dan Muzaffar mengambil kesempatan untuk menjual banglo peninggalan orangtuanya dan melingkupkan syarikat ayahnya.

Cobaan hidup Qasrina telah mengubah dirinya menjadi dewasa. Kini hidupnya sebatang kara. Hanya pada Azahari dan Danish lah tempat dia bergantung harap.

Membaca novel ini seperti saya memandu kereta melalui jalan yang bengkang bengkok dan berliku-liku. Sekejap membelok ke kiri sekejap membelok ke kanan. Dan kemudian ke kiri lagi...
Untuk novel yang hanya setebal 411 mukasurat ianya sarat dengan cerita. Dan terkadang saya merasa penghayatan untuk sesuatu watak itu agak samar dan kurang berkesan.

Saya tertanya-tanya apakah sebenarnya perasaan Danish terhadap Qasrina. Juga perasaan sebenar Qasrina terhadap Danish. Sekejap sayang walaupun tidak jelas dan sekejap benci walaupun samar-samar. Sekejap mengambil berat tetapi dalam sekelip mata nampak tidak peduli.

Dalam sesetengah situasi garapan cerita adalah terlalu ringkas dan agak mendatar. Ianya seringkali menimbulkan tandatanya di hati saya, 'bila masa perkara ini terjadi'.

Walau bagaimanapun ianya suatu percubaan yang baik untuk novel pertama.



Baca Selanjutnya..

Tuesday, February 24, 2009

Alhamdulillah

Setiap kali bangun tidur dan membuka mata, yang terucap adalah kalimat syukur bahawa Allah masih mengizinkan diri ini kembali melihat fajar. Merasai hembusan angin pagi yang menerobos celah jendela dan menjumpai semua yang semalam terlihat sebelum mata terpejam masih seperti sedia kala tidak ada yang berubah.

Kemudian melangkahlah dengan iringan doa menuju arena perjuangan kehidupan. Dengan tuntunanNya lah diri ini tidak melangkah ke jalan yang salah, tidak menjamah yang bukan hak, tidak melihat yang dilarang, tidak memamah yang tidak halal, tidak mendengar yang batil dan tidak banyak melakukan perbuatan yang sia-sia. Kerana setiap waktu yang berlalu pasti akan ditagih tanggungjawabnya. Lantaran semua jalan yang dilalui akan diminta kesaksiannya atas diri ini. Dan sebab seluruh indera ini akan diminta berbicara tentang apa-apa yang pernah tercipta.

Hari ini masih ada lalai terbuat. Masih juga lengah sehingga khilaf tercipta. Meski segunung tausyiah pernah didengar mulut ini masih tersilap berucap dusta, saringan telinga ini tetap tak mampu membendung suara-suara melenakan dan masih saja ada perbuatan yang salah, walau itu dalam bingkai alpa. Padahal di setiap terminal ruhiyah sedikitnya lima kali sehari lidah ini berucap, tangan ini terngadah dan mata menitiskan luahan bening seraya memohon perlindungan dari Allah dijauhkan dari salah dan dosa. Tetapi masih juga langkah ini menuju arah yang sesat.

Setiap hari menangis, setiap hari meminta keampunan, setiap hari berbuat salah. Hari ini mencipta dosa, esok sibuk bersujud, meluluhkan airmata, menyusun kalimah doa, menganyam rintihan semoga Allah menghapuskan semua nista dalam sekelip mata. Detik ini berbuat salah tetapi terlalu lama menghapusnya. Bahkan kadang-kadang lupa. Padahal kemungkinan saja sesaat kemudian diri ini tidak lagi sempat memohon keampunan. Lupakah bahawa waktu sangat cepat berlalu. Lupakah pula bahawa menyesal di akhirat hanyalah kesiaan yang nyata?

Bagaimana jika hari esok tak akan datang padahal baru saja seharian ini berenang di lautan dosa. Padahal belum sempat menghapus noda hari ini, kelmarin, sebulan yang lalu, setahun lalu dan bertahun-tahun yang lalu. Bagaimana jika Allah tidak berkenan untuk membukakan mata kita setelah sepanjang malam terlelap? Bagaimana jika perjumpaan dan canda riang bersama keluarga semalam adalah yang terakhir kalinya? Ketika hari esoknya roh ini melihat seluruh keluarga menangisi jasad diri yang terbujur kaku berkafan putih.

Bagaimana jika matahari esok terbit dari barat, tidak seperti biasanya dari timur? Padahal hari ini lupa menyebut namaNya. Padahal di hari ini belum sempat mengunjungi satu persatu keluarga, kerabat, sahabat, tetangga, dan orang-orang yang pernah disakiti oleh lidah dan tindakan kita. Sudah terlalu lama tidak mencium tangan dan pipi kedua orangtua mencari keredhaannya walau tak terhitung akan salah diri. Belum lagi sempat berderma setelah derma kecil beberapa tahun lalu yang sering kita banggakan.

Dan jika memang esok tak pernah datang. Sungguh celakalah diri ini. Benar-benar celaka bila belum sempat mencuci dosa sepanjang hidup. Bila belum mendengar ungkapan maaf dari orang-orang yang pernah terzalimi, bila belum menyisihkan harta yang menjadi hak orang lain, bila belum sempat meminta ampun atas segala salah dan khilaf yang tercipta.

Maka, saat pagi ini Allah masih memperkenankan diri menikmati fajar, mulaikan hari dengan kalimat, "Alhamdulillah."

Baca Selanjutnya..

Monday, February 23, 2009

Cinta Di Mana?

Tajuk Novel : Cinta Di Mana?
Karya : Annur Puteri
Penerbit : CESB
Terbitan : 2007

Adakala kemiskinan sering meneruja pertimbangan. Membelenggu pendirian. Apa pilihan yang Mokhtar ada? Sememangnya Mokhtar dan Azizah tiada Pilihan. Perjanjian yang dilafazkan cuma bisikan angin lalu lantas membiaskan gugus-gugus rindu yang mengorak kelopak. Ke manakah rindu ini harus diarahkan? Ke mana kasih ini harus diberikan ? Mokhtar tiada jawapan. Azizah juga tiada jawapan. Masing-masing menunggu dan terus menunggu walalu sesekali kewalahan...
...........................................................................................................

Cerita ini adalah cerita cinta dan ikatan kasih sayang antara adik dan kakak yang sangat kukuh. Masing-masing sanggup berkorban demi untuk kebahagiaan satu sama lain. Mokhtar dan Azizah dianugerahkan sepasang anak kembar namun oleh kerana desakan dan kepayahan hidup mereka terpaksa menyerahkan salah seorang kembar kepada anak Mek Kalsom di bandar. Sebelum itu mereka telah mempunyai seorang anak perempuan, Mariah. Tinggallah Mariah dan anak kembar yang kini cuma seorang, Muzammil, dibawah jagaan mereka membesar dengan seribu kepayahan.

Kesusahan hidup membuatkan ikatan kasih antara adik beradik Mariah dan Muzammil sangat erat sekali. Apa yang menyentuh hati saya adalah kasih sayang Mariah terlalu mendalam kepada adiknya sehingga sanggup memberikan kasut sekolah baru untuk dipakai oleh Muzammil setelah kasut Muzammil terbelah dua. Perjalanan pulang dari sekolah ke rumah telah membuatkan kaki Mariah melecet dan dengan tidak sengaja Mariah terpijak tunggul. Namun sedikit pun tidak ditunjukkan rasa sakit itu kepada sesiapa membuatkan Muzammil dicengkam rasa bersalah. Mulai dari situ Muzammil berazam untuk membahagiakan kakaknya.

Bila mana Mariah mendapat keputusan yang cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, Muzammil sanggup berkorban dengan berkerja di tapak projek sebagai buruh kasar pada usia enambelas tahun walaupun pada halnya keputusan peperiksaan Muzammil juga adalah cemerlang. Bagi Muzammil kebahagiaan kakaknya yang telah banyak berkorban untuknya adalah sangat penting. Hampir tumpah airmata saya bila membaca saat-saat ini.

Rupa-rupanya tapak projek tempat Muzammil berkerja itu dimiliki oleh kedua ibubapa angkat adik kembarnya yang lama terpisah dulu. Salinan sijil akademik Muzammil yang cemerlang mengundang rasa hairan dan tanda tanya Mawar. Namun niat Mawar untuk mendekati Muzammil amat tidak disenangi oleh mamanya.

Bak kata pepatah air dicincang takkan putus, akhirnya ketiga-tiga adik beradik ini dipertemukan semula dalam suasana yang amat mengharukan.

Usai membaca cerita ini membuatkan saya teringin benar untuk menatap setiap wajah adik beradik saya.... dan bertanya di dalam diri... sekuat inikah ikatan kasih sayang adik beradik kita selama ini.....

syabas untuk penulis kerana membawa suatu mesej dan kelainan yang berkesan di hati.


Baca Selanjutnya..

Saturday, February 21, 2009

Rengsa











Tajuk Novel : Rengsa
Karya : Zharulnizam Shah Z.A.
Penerbit : Tintarona Publications
Terbitan : 2006

Makhluk itu merenung Kassim. Isi perut katak yang terlekat di mulutnya berjuntaian di antara dua bibirnya yang nipis sambil sesekali menjelirkan lidahnya yang bercabang. Kassim dapat mengecam wajah itu sekalipun dipenuhi bintik-bintik hitam dan kulit tangannya menggerutu seperti ular yang bersalin kulit. Perlahan-lahan dia mengawal emosinya dan cuba mengumpul kekuatan diri. Dia melangkah. Mulutnya tidak henti membaca, "Auzubillah... "

Dalam situasi yang lain, Budin Si Torek merenung pusara kedua-dua orang tuanya. Kemudian dia berteleku sambil mengusap kepala batu nisan arwah ibunya. Dia menyeru memanggil arwah ibunya beberapa kali. Ketika itu juga kedengaran suara burung hantu yang galak bersahut-sahutan. Kepekatan malam yang diiringi rintik-rintik hujan cukup meremangkan bulu roma.

Sesungguhnya misteri alam ini sukar untuk diungkapkan dengan akal yang logik. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil jika Allah SWT mengizinkannya berlaku. Hanya insan terpilih sahaja yang mengalaminya.
................................................................................................................
Novel ini telah berulang-ulang kali saya baca dan setiap kali membacanya terselit perasaan sayu dan kasihan di hati saya. Novel ini adalah sebuah novel mistik yang menarik dan menyayat hati. Kisah Budin yang kematian kedua orang tuanya akibat perbuatan dengki dan khianat orang. Tinggallah dia sebatang kara melalui hidup penuh kepiluan dibuli, dinista dan dicerca oleh penduduk Kampung Lubuk Batu. Bukannya tidak ada saudara mara lain tetapi semuanya (kecuali Pak Long Wahid) tidak mahu mengambil peduli tentang nasib anak malang itu.

Budin digelar Budin Torek kerana telinganya yang penuh nanah.. menumpang kasihan dari Imam Osman, isterinya dan Rubiah tetapi amat dibenci oleh Akob. Akob selalu mengambil kesempatan untuk membuli Budin dengan menyuruh Budin membasuh motosikalnya hingga berkilat.

Namun di dalam tidur Budin seringkali bertemu dengan seorang lelaki berjubah dan berserban putih, wajahnya bersih dan bercahaya. Orang tua ini seakan mahu menceritakan suatu rahsia kepada Budin. Seringkali membawa Budin mengembara ke tempat-tempat di mana semuanya ada kaitan dengan pembunuhan kedua orang tuanya.

Rupa-rupanya kematian ibu bapa Budin ada kaitan dengan Mazlan yang suatu ketika dulu pernah menyintai Fadilah, ibu Budin. Namun Fadilah hanya menyintai Jamil, ayah Budin dan ini begitu menyakitkan hati Mazlan. Mazlan telah menggunakan khidmat seorang dukun Nek Miah untuk membalas dendam ke atas suami isteri itu kerana tidak dapat memiliki Fadilah.

Kini setelah kedua orang tuanya tiada, bapa saudara Budin, Kassim, pula berniat untuk memiliki tanah pusaka yang ditinggalkan untuk Budin. Kassim meminta bantuan Pawang Junos untuk menundukkan Budin supaya dia dapat memiliki geran tanah berdarah itu. Namun Pawang Junos telah dikalahkan oleh orang tua berjubah putih yang selalu ditemui Budin di dalam mimpi.

Di dalam novel ini dibongkarkan tentang pengamalan ilmu teluh yang diambil dari saka milik nenek moyang terdahulu yang masih diamalkan oleh segelintir masyarakat kita. Tidak cuma itu pelbagai amalan syirik yang sanggup dilakukan oleh orang-orang yang rapuh imannya demi untuk mencapai hajat di hati yang bertuankan nafsu nafsi.

Namun kuasa yang paling besar adalah Allah Yang Maha Esa. Tidak akan terjadi sesuatu perkara sekiranya tidak dengan kehendakNya. Sesungguhnya Allah SWT akan melindungi orang-orang yang teraniaya dan memakbulkan doa-doa mereka.

Membaca cerita ini hati saya menjadi sayu dengan nasib Budin, anak yatim piatu yang teraniaya,
hidup melarat tidak dipedulikan orang. Saat-saat Budin menangis di kubur orang tuanya merintih akan nasibnya yang malang amat menyentuh hati sekali.

Pengajaran dari cerita ini adalah menjadi tanggungjawab kita masyarakat untuk menjaga dan membela nasib anak yatim. Bukannya menindas dan mengambil kesempatan. Apa tah lagi bila mereka itu adalah dari golongan kurang upaya pula. Namun kebanyakan realitinya, apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Baca Selanjutnya..

Friday, February 20, 2009

Bertemu Janji Allah











Tajuk Buku : Bertemu Janji Allah
Karya : Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : Anbakri Pablika Sdn Bhd
Terbitan : 2008

"Di sisi Islam, kejayaan manusia tidak diukur dari aspek penguasaan kehidupan dunia. Kejayaan hakiki bergantung kepada sejauh manakah manusia mampu berusaha menyingkap segala rahsia hidup yang abadi.

Hitam putih masa depan kehidupan akhirat seseorang adalah dicorakkan sendiri oleh pegangan hidup seseorang itu semasa di dunia. Allah SWT telah mendatangkan para rasulnya bersama wahyu sebagai panduan untuk umat manusia.

Kegagalan mengikut apa yang telah diperintahkan Allah SWT akan menempa azab dariNya.

Buku ini mengajak pembaca menelusuri jejak-jejak menuju mahsyar. Ia cukup menyentuh dan menyayatkan hati. Dengan mengikuti huraian tentang hari kiamat dan alam akhirat. Tok Guru cuba mendorong kita untuk menjadi mukmin yang lebih mencintai akhirat, justeru di sanalah hidup kita yang sebenar, dunia keabadian dalam pertemuan yang pasti di sisi Allah SWT.
..............................................................................................................
Sebuah lagi buku yang bermutu dari Tok Guru yang memfokuskan persoalan hari akhirat. Dari perbincangan Padang Mahsyar yang menakutkan hinggalah kepada hal-hal yang menyentuh persoalan berkaitan dengan kehidupan seharian di dunia yang mana setiap apa yang dilakukan akan pasti dibawa untuk pengadilan di padang Mahsyar.

Baca Selanjutnya..

Thursday, February 19, 2009

Permata Hatiku

Permata hatiku yang pertama lahir putih bersih, bibirnya merah menyala.Membawa kebahagiaan kedua orang tuanya dan juga atuk neneknya di kedua belah pihak. Tidak sampai setengah hari kegembiraan ini dikecapi aku dikejutkan dengan kenyataan doktor bahawa permata hatiku tidak seperti baby-baby yang lain. Suamiku membantah keras apa yang dikatakan oleh doktor pada mulanya. Mungkin belum dapat menerima kenyataan yang pahit ini. Namun setelah mendapatkan pendapat dari beberapa doktor yang lain selepas itu barulah suamiku tidak melatah lagi. Kami akur dan pasrah dengan ketentuan Ilahi.

Anehnya aku tidak sedikit pun merasa kesal atau malu dengan kehadiran permata hatiku ini. Walaupun tidak sempurna seperti baby-baby yang lain tetapi aku sangat bersyukur dan berterimakasih sekali kepada Allah SWT kerana memberikan aku seorang permata hati yang sampai kini bergemerlapan indah bersinar di tengah-tengah keluarga kami.

Di usianya tiga bulan, tiba-tiba permata hatiku diserang cirit birit yang serius. Segala susu yang diminum terus keluar semula dari mulut dan saluran duburnya. Tubuhnya menjadi lemah dan tak bermaya. Aku terus membawanya ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

Sebulan terlantar di hospital kerajaan permata hatiku bagaikan tengkorak hidup. Sebulan juga aku berkampung di hospital dan tidak menjenguk rumah. Kes permata hatiku ditangani oleh seorang pakar pediatrik yang amat sombong lagaknya. Doktor itu tidak mahu bercakap langsung denganku malah dengan pesakit lain pun begitu juga. Dia akan bercakap dalam bahasa inggeris di depan kami dan selalu menggunakan seorang staff nurse yang bertindak sebagai jurubahasa di antara kami. Bukannya kerana doktor itu seorang mat saleh atau pun berbangsa Cina/India yang tidak fasih bercakap Melayu. Doktor itu memang orang Melayu! Saya fikir memang doktor itu melebihkan egonya untuk tidak boleh tunduk walau sedikit pun kepada pesakit-pesakitnya yang rata-rata tinggal di kampung pendalaman.

Setelah menunggu sebulan lebih akhirnya keputusan ujian yang dibuat ke atas permata hatiku diperolehi juga. Doktor memberitahu supaya aku melakukan sembahyang hajat. Permata hatiku tidak mungkin dapat diselamatkan lagi. Hanya menunggu masa untuk mengakhiri hayatnya.

Begitu senang sekali doktor itu memberi cadangan kepadaku. Setelah sebulan lebih permata hatiku menginap di hospital untuk rakyat ini dengan hanya diberikan suntikan wayar air garam dan tidak ada apa-apa tindakan selain dari itu lalu tergamak doktor itu berkata begitu padaku.

Seperti yang aku beritahu tadi, doktor itu tidak menyampaikan sendiri cadangan itu kepadaku. Doktor itu bercakap dalam bahasa inggeris kepada staff nurse di situ dan staff nurse itu yang menyampaikan kepadaku di dalam bahasa Melayu. Dikiranya aku ini ibu kolot yang tidak berpelajaran yang datang dari kampung hulu pendalaman. Pada hal aku memahami setiap biji butir perkataan yang dikeluarkan kepada staff nurse itu. Perasaan marah dan pasrah bercampur baur di dalam diri. Beginikah etika seorang doktor di sebuah hospital kerajaan yang kononnya ingin berbakti untuk masyarakat? Tidak tercapai akalku...

Ramai jururawat dan nurse yang bersimpati di atas nasibku. Dalam diam-diam mereka menasihatkan aku supaya membawa permata hatiku berubat di hospital swasta pula. Ya, kenapa aku tidak terfikir akan alternatif itu sebelum ini ya... Di dalam kepayahan otakku buntu untuk berfikir dengan baik. Aku menerima cadangan jururawat-jururawat yang baik hati itu.

Cadangan untuk bertukar hospital tidak dipersetujui oleh doktor ego itu. Dia melarang aku dengan alasan pihak hospital tidak mahu bertanggungjawab sekiranya apa-apa terjadi ke atas permata hatiku semasa di dalam perjalanan ke hospital swasta yang jaraknya 20km dari bandar itu.

Aku tidak peduli lagi dengan kata-kata doktor itu. Bagiku nyawa permata hatiku lebih penting dari segala keegoan seorang doktor. Akhirnya aku diminta menandatangani surat pelepasan tanggungjawab pihak hospital terhadap permata hatiku yang sedang nazak. Aku menurunkan tandatangan tanpa bersoal jawab lagi. Dengan bantuan suami dan kawan-kawan, dengan wayar suntikan air masih terbenam di urat daging permata hatiku yang lemah, dengan susah payah, aku memindahkan permata hatiku ke sebuah hospital swasta.

Sampai saja di sana, permata hatiku terus ditempatkan di dalam inkubator di wad ICU. Kes permata hatiku telah dipertanggungjawabkan kepada seorang doktor pakar pediatrik yang agak berusia tetapi penuh dengan senyuman. Doktor Khaidir memberitahu permata hatiku tenat kerana kuman jangkitan telah terlalu lama berada di dalam badannya. Ditambah lagi dengan tindakan di dalam badannya yang sememangnya lemah untuk melawan jangkitan ini menjadikan ianya lebih serius. Namun doktor itu berjanji untuk tetap akan berikhtiar sebaik mungkin. Selebihnya beliau meminta aku berserah dan berdoa kepada Allah SWT.

Ibu mana yang tidak luluh hatinya mendengar keterangan doktor yang bagaikan pisau menyucuk di hati. Doa yang tak putus-putus kupanjatkan kepada Allah SWT agar menyembuhkan segera penyakit yang melanda permata hatiku yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa itu.

Ya Allah, kasihanilah permata hatiku. Jangan biarkan dia menderita lama begitu.
Ya Allah, sesungguh dari Engkau segala dugaan ini datang, dan kepada Engkau juga segala dugaan itu kembali.
Ya Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuasaanMu.. Allah yang Maha Tinggi dan Yang Maha Besar.

Syukur Alhamdulillah, khabar yang gembira kuperolehi setelah dua hari kemudian. Permata hatiku telah dikeluarkan dari wad ICU dan ditempatkan di wad biasa. Jangkitan kuman telah pun dapat diubati. Walaupun keadaan permata hatiku masih nampak kurus dan tersangat cengkung sekurang-kurangnya permata hatiku telah dapat menerima makanan dan susu dengan baik.

Setahun berlalu, aku mengendong permata hatiku yang belum boleh berjalan menuju ke pusat membeli belah berdekatan. Dalam perjalanan dari tempat parking kereta ke pusat membeli belah itu aku terpandang seorang lelaki yang rasanya pernah kukenali. Lelaki itu baru selesai mengeluarkan wang dari mesen ATM. Bila telah rapat dalam jarak sepuluh langkah baru aku ingat bahawa itulah doktor yang meletakkan keputusan 'tidak ada harapan' untuk permata hatiku yang kini telah montel dan sihat walafiat.

Aku menghampiri doktor itu. Dia tiba-tiba berpaling dan seakan mengetahui yang aku ingin berkata sesuatu kepadanya.

"Doktor ni Doktor Arif, kan?" tanyaku sekadar inginkan kepastian walaupun aku sememangnya tahu.

"Ya, saya," jawabnya ramah namun tetap menonjol keegoan seorang doktor.... mungkin itu perasaan jahatku saja.

"Doktor kenal ini siapa?" tanyaku kepada doktor itu sambil menunjukkan ke arah permata hati yang ku kendong di sisiku sedang enak mengulum lollypopnya tanpa mempedulikan kami.

Doktor itu melihat dan mengamati tetapi seakan dia tidak dapat mengecam. Dia menggeleng.

"Inilah pesakit doktor setahun yang lalu. Mungkin doktor sudah lupa tetapi saya takkan lupa pada doktor. Dulu doktor cakap anak saya sudah tiada harapan dan menunggu masa untuk mati. Tetapi sekarang, lihat apa yang terjadi pada anak saya yang doktor kata tiada harapan ini. Sihat walafiat setelah saya ambil keputusan untuk berubat di hospital lain. No thanks to you, doc. "

Mungkin aku beremosi mengatakan begitu kepada doktor ego itu... namun hatiku puas....



Baca Selanjutnya..

Wednesday, February 18, 2009

Aylana - Manaf Hamzah










Tajuk Novel : Aylana
Karya : Manaf Hamzah
Penerbit : Pustaka Nasional
Terbitan : 2005

Aylana... gadis jelita yang tiba-tiba dirundung malang dan cabaran setelah kematian ayah bondanya. Lantaran membuat dunianya kelam dan disulami oleh tipu daya.

Aylana... diburu oleh seorang pemuda yang seliar helang di awan. Seorang banduan yang mahu menuntut haknya sebagai suami. Walau beliau haru ke hujung dunia sekali pun.

Aylana... Kisah pergolakan dua jiwa berhati batu yang cuba menidakkan perasaan masing-masing. Lantaran harus menempuh pancaroba, kecurangan dan muslihat. Melainkan mereka mampu mengatasi semua dugaan itu, hasrat untuk bersatu dan bahagia mungkin hanya tinggal impian sahaja...
..............................................................................................................
Tak tahu lah pendapat orang lain... tapi pendapat saya novel ini agak kelakar sedikit jalan bahasanya. Ada ketikanya terlalu standard tapi ada juga ketikanya terlalu emosi. Saya keliru apakah saya membaca sebuah novel karya dari Singapura atau pun Indonesia. Mungkin memang begini jalan bahasa novel orang Singapura kut. Agak berbeda sedikit dari bahasa yang digunakan oleh penulis novel tempatan. Namun begitu ceritanya memang menarik.

Kisah berlatar belakangkan negara Turki di abad ke 18. Aylana Nadira yang dipaksa berkahwin dengan seorang banduan, Rugzar setelah kematian kedua orang tua akibat perbuatan ibu tirinya yang jahat. Perkahwinan itu sebenarnya hanyalah satu helah supaya ibu tirinya, Katife Sevki, bersama kekasihnya dapat mewarisi semua harta yang diwasiatkan kepada Aylana.

Ibu tiri dan kekasihnya menyangka bahawa dengan mengahwini Rugzar si banduan itu maka hidup Aylana akan terseksa tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Mereka mengatur strategi lain pula dengan memisahkan mereka berdua. Tetapi jodoh dan kasih sayang yang bersemi di hati masing-masing telah menjadi tersangat kuat. Mereka diketemukan semula.

Novel ini memang tebal.......... dan mahal! Pertama kali melihat ketebalan novel ini saya merasa tidak larat untuk menghabiskannya. Tetapi bila dah mula membaca saya merasa tidak sabar-sabar pula untuk menghabiskannya. Novel ini membuatkan kita hanyut di dalam alam penceritaan yang mengasyikkan di antara percintaan dan ikatan kasih sayang antara Aylana dan Rugzar. Selesai membaca pun saya masih terbayang-bayang dan terkenang-kenang tentang cerita ini. Hebat juga penangan penulis ini ye.. tahniah!

Baca Selanjutnya..

Kumiliki Cinta










Tajuk Novel : Kumiliki Cinta
Karya : Radzemah Bolhassan
Penerbit : Cerdik Publications
Terbitan : 2007

"Kau kawin, selesai. Fahamlah Pak Ungku tu."
"Begitu mudah?"
"Jadi, selama ini kau ingat aku ni masih menimbang semuanya? Siapa yang patut aku pilih, Hafsam dan Tengku Shahadan?" marahku.
"Eh, marah?"
"Dah berbuih mulutku. Kau memang tak mahu faham. Hubungan aku dengan Hafsam sesuci hati. Bukan seperti hatiku ini, tapi hubungan aku dengan Tengku Shahadan, memang tidak akan ada karnya. Penangguhan menyahut hasrat Hafsam bukan kerana Tengku Shahadan, tetapi penyakit hatiku sendiri yang aku tak tahu kenapa," bentakku terus dirantai rasa marah.
"Kenapa? Masih ingatkan Badrul?" soal Umairah membangkitkan kemarahan yang hanya sedikit tadinya.
Maka, aku terus menyembunyikan diri di dalam bilik. Benciku apabila Umairah seolah-olah menyindir aku yang pastinya terluka ini. Kenapa harus Umairah terus mendera hati dan perasaanku? Tidak bolehkah Umairah memujuk aku agar terubat sedikit luka ini?
............................................................................................................
Seorang isteri yang menjerut rasa dengan perangai suami yang tidak bertanggungjawab. Walaupun pada awalnya berkahwin dengan ikatan kasih sayang namun sedikit demi sedikit perangai Hafsam berubah. Mungkin kerana selepas dia diberhentikan kerja. Namun terlalu payah untuk menundukkan ego sebagai suami di depan isteri. Payah atau tidak, Myra terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga.

Bila isteri keluar bekerja, hati suami dibelenggu rasa cemburu kerana isteri yang bebas bergaul dengan rakan sepejabat. Apatah lagi bila mengetahui boss menaruh hati kepada isterinya. Sudahnya isteri diberhentikan kerja. Kesulitan hidup terus mencengkam keluarga ini. Namun berkat doa dan usaha si isteri juga, suami diterima bekerja di perusahaan yang sama tempat isteri bekerja dahulu. Entah kenapa ego seorang suami mesti didahulukan daripada sebuah kasih sayang dan tanggungjawab untuk diri dan keluarga tercinta.

Setelah bekerja suami mula memasang umpan pula di luar untuk wanita-wanita yang dahagakan perhatian seperti Suzana. Rumahtangga yang baru memperoleh ketenangan berkocak semula. Kesabaran isteri teruji buat kesekian kali. Namun kali ini hati isteri yang remuk pasrah menuntut hak kebebasan diri. Biarpun payah mengharung hidup untuk menyara dua cahayamata yang ditinggalkan si suami namun Myra cekal.
...........................................................................................................

Permulaan novel ini menghuraikan luahan hati Myra yang kecewa kerana kekasih hati meninggalkan dirinya tanpa sebab. Walaupun telah menjalinkan ikatan yang sah bersama Hafsam namun dirinya masih tidak dapat melupakan Badrul. Dari situ pula rantaian kelukaan hati seorang isteri cuba digarap oleh penulis.

Saya merasa terlalu ramai jejaka yang ingin mendekati hati Myra. Terlalu banyak ruang hati Myra untuk cinta jejaka-jejaka tersebut membuatkan saya merasa untuk siapakah cinta hati Myra yang sebenarnya. Antara Badrul, Hafsam dan Tengku Shahadan?

Penulis menggambarkan Hafsam seorang suami yang tidak tahu diri, ditambah dengan egoisnya menggunung. Dan Tengku Shahadan pula seorang yang bertimbangrasa dan penyayang. Hairan saya kenapa Myra tidak berkahwin saja dengan Tengku Shahadan sejak dari dulu? Mungkin itulah cinta namanya....

Gaya persembahan penulis terlalu fokus kepada kelukaan hati Myra membuatkan saya merasa cerita ini mendatar dan agak kurang menarik. Saya tercari-cari klimaks untuk cerita ini. Untuk pembaca yang menggemari novel berbentuk ala-ala diari dan bicara hati, mungkin ini novel yang sesuai.

Baca Selanjutnya..

Sunday, February 15, 2009

Akan Datangkah Hari Esok

Akan datangkah hari esok
bila mana kita belum lagi melakukan
apa yang sepatutnya kita lakukan hari ini
kita hanya membiarkan masa berlalu begitu sahaja
tanpa apa-apa usaha yang berjaya

akan datangkah hari esok
bila mana kita belum lagi memohon maaf
kepada orang yang kita sakiti hatinya
kita hanya tahu berdiam degil
tanpa doa dipanjatkan kepada Tuhan
supaya mendapat keampunanNya

akan datangkah hari esok
bila mana kita belum lagi mengucapkan terimakasih dan penghargaan
kepada orang-orang yang telah mencurahkan bakti
kita hanya tahu menerima
dan paling teruk lagi meminta semua yang adanya

akan datangkah hari esok
bila mana kita merasa
masa untuk hari ini adalah terlalu pendek
untuk kita menikmati apa yang telah kita miliki pada hari ini

kita tidak akan tahu akan datangkah tidak hari esok
oleh itu jadikanlah hari ini sebaik-baik hari
untuk kita langsaikan segala apa yang harus kita kerjakan
untuk kita memohon keredhaan di atas segala apa yang kita lakukan

semoga bila hari esok tidak akan datang
kita tidak akan merasa terkilan
dan diburu sesalan



Baca Selanjutnya..

Mantera Hitam










Tajuk Novel : Mantera Hitam
Karya : Serunai Faqir
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2009

SPIRIT OF THE COIN... sebuah permainan mistik yang menggunakan duit syiling untuk menyeru roh orang yang sudah mati. Kehadiran roh akan diketahui apabila duit syiling yang digunakan bergerak sendiri.

Pada suatu malam dalam perkhemahan di tepi sungai, Nik mengajak Hizal dan Tunku bermain spirit of the coin. Perasaan takut dan teruja saling berbaur. Walaupun Hizal dan Tunku memperlekehkannya, namun naluri ingin tahu lebih menguasai.

Namun apabila bulu tengkuk meremang, mereka saling berpandangan. Serentak dengan itu, guruh berdentum di langit. Bau kemenyan menyantak ke hidung. Gerimis mula menerjah. Akibatnya, mereka direnggut ke alam yang tidak pernah dialami selama ini. Perbuatan mereka itu mengundang kecelakaan, menjemput malapetaka yang tiada berkesudahan.

MANTERA HITAM... sebuah novel fiksyen fantasi yang akan membawa anda merentasi alam ghaib, sehingga berasa tidak lagi berada di alam realiti!
............................................................................................................
Satu pendekatan yang berlainan dalam menghasilkan sebuah novel alam mistik yang penuh dengan 'advanture' dan aksi. Novel ini digarap oleh penulis dengan cara dan style yang tersendiri. Belum pernah saya membaca novel alam mistik sebegini. Walaupun mistik tetapi ianya tidaklah menyeramkan dan terlalu berat penggunaan tata bahasanya malah pembaca dapat belajar dan menyedari bahawa alam jin seperti juga manusia yang perlukan perubahan selari dengan arus pemodenan. Seolah-olah penulis cuba menulis cerita ini melalui kacamata jin.

Permainan semangat duit yang pada mulanya hanya suka-suka saja rupa-rupanya membawa padah kepada Nik. Selepas permainan itu Nik diserang demam dan meracau-racau. Rakan Nik, Hizal dan Tunku telah menemui Pak Chu Deris untuk meminta pertolongan bagi membantu menyembuhkan Nik.

Rupa-rupanya permainan semangat duit mereka telah membebaskan seekor jin yang bernama Marcel yang hidup di zaman penjajahan Portugis dahulu kala. Jin Marcel ini telah dikurung oleh seorang pahlawan Melayu, Ali Kilat Remang Senja di dalam satu pertarungan yang membawa kekalahan kepada Marcel.

Sebaik saja terlepas Marcel seperti hilang punca dan kebingungan melihat segala-galanya telah bertukar dan menjadi asing. Nasib baik ada seekor jin, Alora yang sanggup membantunya menyesuaikan diri di dalam dunia yang serba berubah itu. Namun Marcel tidak lupa bahawa kehadiran dia di Tanah Melayu itu adalah untuk memburu Marqo yang telah belot kepada tuannya Alfonso. Selain Marcel, masih ada lagi jin lain yang turut memburu Marqo, iaitu Aghuri. Aghuri dan Marcel akhirnya mencapai kata sepakat untuk bersama-sama memburu Marqo. Namun sebelum mereka sempat memburu Marqo, diri mereka sendiri telah diserang oleh Pakku dan rakan-rakannya yang bertujuan untuk membebaskan Nik dari sakit yang dialaminya.

Penulis juga menyelitkan sekali permainan gendang dan serunai (memang sudah menjadi kemahiran penulis) di dalam satu acara silat di dalam cerita ini yang membuatkan saya tersenyum. Namun di pengakhiran cerita ianya agak tergantung. Mungkin akan ada sambungan untuk cerita ini di kemudian hari nanti.

Tahniah untuk penulis. Sama-sama kita tunggu sambungan seterusnya cerita yang amat menarik ini.

Baca Selanjutnya..

Saturday, February 14, 2009

Atas Nama Cinta

Tajuk Novel : Atas Nama Cinta
Karya : Isa Kamari
Penerbit : Al Ameen Serve Holdings
Terbitan : 2007

"Novel sejarah berjudul 'Atas Nama Cinta' karya Isa Kamari akan mendobrak dan membuka minda kita semua erti cinta, pengorbanan dan kemanusian sejati. Novel ini berupaya menjadi novel ikonik genre sejarah dalam dunia sastera Melayu."
Razak Ismail

Singapura, Malaya dan Hindia Timur (Indonesia) 1942-1950. Nusantara Melayu sedang bergolak. Bahang kebangkitan bangsa yang sekian lama dijajah mula dirasai oleh Inggeris dan Belanda.

Atas Nama Cinta Nadra mengecap iman. Atas nama cinta dua ibu berebut kasih. Atas nama cinta ikatan perkahwinan Nadra terjalin. Atas nama cinta, kuasa dan percaturan politik penjajah merampas Nadra. Atas nama cinta, kesucian agama Islam dan maruah bangsa harus dibela... Bangsa yang dijajah sudah tidak takut lagi... ATAS NAMA CINTA
...........................................................................................................................
Saya tertarik dengan judul novel ini. Judul yang sekali imbas membawa makna pengorbanan yang sanggup dilakukan dengan ikhlas hanya kerana cinta yang mendalam. Tapi bila melihat nama penulis yang dicetak lebih besar dari tajuk novel ini saya seperti sudah maklum bahawa mesej yang akan disampaikan dalam novel ini tidaklah ringan.

Novel ini berpandukan kisah sejarah pada tahun 1950 seorang wanita mualaf Maria Hertogh atau nama Islamnya Nadra Ma'rof yang menjadi rebutan antara keluarga angkatnya yang beragama Islam dengan keluarga kandungnya yang beragama lain. Pada ketika itu di zaman peperangan, Ibu Maria, Adelaine Hunter telah menyerahkan Maria kepada Aminah disebabkan oleh tekanan hidup yang melanda. Di sini jelas digambarkan penderitaan Adeline yang sedang sarat mengandung sehingga sukar untuk menjaga kelima-lima anaknya ditambah pula dengan suami, Adrianus telah ditahan oleh pasukan Jepun. Kesudian Aminah untuk menjaga Maria amat mengharukan hati saya. Ditambah lagi Aminah tidak pernah dikurniakan walau seorang anak pun. Akhirnya Aminah membawa pulang Maria bersamanya dari Bandung ke Terengganu dan diberikan Maria ajaran Islam dengan sempurna. Maria juga diberikan nama Islam iaitu Nadra.

Di Terengganu, Nadra dibesarkan oleh Aminah dengan penuh kasih sayang. Jelas digambarkan keceriaan hidup Nadra sebagai seorang gadis muslim sehinggalah pada suatu ketika Nadra telah dilihat oleh seorang berbangsa Inggeris lalu telah melaporkannya kepada pihak atasan dan terus sampai kepada Adeline di Belanda. Suaminya Andrianus telah memarahi Adeline kerana tergamak menyerahkan anak mereka kepada Aminah apa tah lagi hidup di dalam lingkungan ajaran Islam.

Dengan tipu daya Inggeris, Aminah telah membawa Nadra ke Singapura bila mana di sana penjajah mempunyai kuasa penuh untuk membawa kes ini ke mahkamah. Di sinilah berlakunya pergolakan yang besar daripada sesi pengadilan di mahkamah, kisah cinta Nadra dan Mansor sehinggalah kepada berlakunya rusuhan. Ianya telah menjadi besar sehingga membabitkan isu bangsa dan agama yang menarik banyak pihak untuk campur tangan di dalam kes ini.

Novel ini ternyata tidak susah untuk difahami walaupun banyak menyelitkan fakta-fakta sejarah. Satu hal yang saya pelajari di dalam novel ini... dengan nama cinta, kita akan memperolehi bahagia atau pun juga merana.

Artikel ini dipetik dari Bernama Online pada 09hb Julai 2009:

Maria Hertogh Atau Natrah Meninggal Dunia Di Belanda Pada Usia 72 Tahun

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama Khamis.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandung di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr Fauziah berkata Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya, ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

"Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya," kata Dr Fauziah.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan.

-- BERNAMA



Susur galur

* 1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
* Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
* Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
* 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
* 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
* September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
* 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
* 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
* 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
* 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
* 28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
* 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
* 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
* 1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.
* 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
* Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
* 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
* 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
* 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
* Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
* 15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
* Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
* Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
* 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
* 10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
* 17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
* Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.
* 25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
* 20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
* 1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
* 26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
* 20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
* 15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
* 20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
* 3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
* 25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
* 16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
* 26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
* 1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
* Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
* 1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans
* 1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
* 15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
* Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.[perlu petikan]
* Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.


Baca Selanjutnya..

Friday, February 13, 2009

Hari Kekasih Valentine's Day

Wahhh... hari memperingati kekasih atau lebih tepat lagi dikenali sebagai Hari Valentine datang lagi. Pasti ramai remaja-remaja kita yang sibuk mencari ungkapan kata-kata cinta untuk dihadiahkan kepada kekasih tercinta. Bagi peniaga pula, hari ni adalah hari untuk menaikkan harga bunga-bunga ros, kad-kad cinta merah jambu, semua barang berbentuk hati dan berwarna merah jambu yang berlambangkan cinta dan kasih sayang.

Bermacam-macam barang ditawarkan sempena Hari Kekasih ini. Bermula dari kad ucapan, cokelat berbentuk hati keemasan, bunga, bantal, anak patung, pakej makan malam bersama kekasih sehinggalah kepada buku dan cd lagu-lagu cinta. Para pembeli pasti akan berasa ghairah melihat barang-barang yang ditawarkan. Tanpa berfikir panjang akan terus membelinya saja tanpa mengira harga yang telah berlipat kali ganda tingginya. Saranan kerajaan supaya rakyat melakukan perbelanjaan berhemah di musim kegawatan ekonomi yang melanda sekarang ini diketepikan saja semata-mata untuk membuktikan erti cinta sejati di hari kekasih.

Hari Kekasih atau Valentine's Day ini setiap tahun akan jatuh pada 14hb. Februari. Bagi remaja dan muda-mudi (ada juga setengah golongan dewasa..) yang menganggap hari ini adalah hari istimewa yang perlu disambut dengan berpesta, makan malam dan berhabisan masa berdua.

Makin menyeramkan bila melihat keghairahan sambutan Hari Kekasih di kalangan remaja masa kini terutama remaja-remaja yang berada di kota-kota besar yang berlatar belakangkan kehidupan serba mewah dan moden. Kebanyakan remaja-remaja ini tidak tahu apa erti sebenar Hari Kekasih. Hanya mengetahui hari itu adalah hari untuk berpesta kasih sayang semata-mata.

Ditambah pula dengan media cetak dan media elektronik yang galak mempromosikan tanggal 14 Februari ini adalah sebagai hari paling romantis untuk disambut pasangan kekasih. Pada hari ini lagu-lagu romantis diputarkan di corong radio dan diselangseli dengan ucapan pendengar mengucapkan kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Di telivisyen juga dimuatkan cerita-cerita cinta teruna dara yang menyambut dan mengucapkan "Selamat Hari Valentine" kepada pasangannya. Mari kita renung sejenak apakah sebenarnya maksud Hari Valentin itu?

Sekilas Tentang Sejarah Valentine's Day

Ensiklopedia Katholik mengatakan bahawa ada tiga versi tentang Valentine's Day tetapi yang paling terkenal sekali dan diketahui ramai ialah kisah Pendeta Pedro St. Valentino yang hidup di akhir abad ke 3 M di zaman Raja Romawi Claudius II. Raja Rom ini memenjarakan orang Kristian kerana mereka mengamalkan agama yang bertentangan dengan agama kuno Romawi. Oleh kerana St. Valentino salah seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa di dalam penjara.

Namun sepanjang di dalam penjara pun, Valentine tetap sebarkan agama Kristian kepada banduan-banduan. Raja Rom mengetahui kegiatan Valentine dan memerintah Valentine dihukum bunuh pada 14 Februari. Lantaran itu, orang Kristian memandang mulia kepada Valentino kerana kesanggupan mengorbankan nyawa kerana kepercayaan, kecintaannya terhadap syiar agama Nasrani iaitu agama Kristian. Malah sehingga mereka menyamakan Valentino seperti Nabi Isa.




Sumber-sumber menyatakan, ketika St. Valentino dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum itu Raja Claudius II memberi kepadanya pilihan, sama ada meninggalkan agama Kristian yang dianutinya atau menerima hukuman bunuh. Beliau rela dibunuh, tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan From your valentine (Daripada Valentinemu).




Sejak peristiwa itu, orang Kristian mengambil sempena 14 Februari pada setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati hari kematian St. Valentino, paderi kesayangan mereka.



Di dalam versi kedua pula St. Valentine dibunuh kerana mengahwinkan ramai pemuda secara rahsia sedangkan undang-undang Rom pada ketika itu menghalang pemuda-pemudanya berkahwin dan berkeluarga. Mereka dikerahkan untuk menjadi tentera sahaja. Perbuatan ini mendatangkan kemarahan Raja Rom dan ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung pada 14 Februari 269 Masihi.


Versi ketiga pula menyatakan ia dirayakan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol. St. Valentino merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Dengan jasanya itu, St. Valentino dianggap sebagai hero atau kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.


Semoga dengan maklumat tentang sejarah Valentine's Day di atas, kita semua semakin haqul yakin bahawa Valentine's Day adalah budaya bukan Islam. Bukan cuma sekadar amalan biasa.



Mendengar pendapat remaja tentang cinta, sepertinya makna cinta itu semakin menyempit. Sesempit ruang bernafas dalam LRT yang penuh sesak di pagi hari. Makna kasih sayang pada para remaja selalu diertikan sebagai kasih asmara antara lawan jenis. Padahal Allah SWT menciptakan rasa ini dalam diri manusia tidak hanya dalam rangka memadu kasih dua insan yang tengah mabuk asmara. Ia juga merupakan kecintaan seorang ayah kepada anak dan isterinya, cinta kita pada orang tua dan keluarga, atau kepada saudara seakidah.


Seorang ayah, tidak kenal lelah untuk mencari nafkah sebagai tanda cintanya pada keluarga. Sekecil apapun kesempatan yang Allah berikan untuk menghidupkan keluarganya, akan dia kejar meski harus membanting tulang dan bermandi keringat. Baginya, menjadi penjual air di tepi jalan, penjaga parking kereta, atau tukang angkut sampah dengan hasil yang hanya sedikit cuma akan menjadi lebih mulia dan terhormat dibanding seorang penyeluk saku, perompak, atau penjudi.

Cinta kita pada orang tua sudah seharusnya membuat kita belajar untuk mandiri berbakti kepadanya. Melaburkan setiap pemberian mereka dalam ilmu yang bermanfaat dan kedewasaan dalam sikap dan perbuatan. Kerana di suatu hari kelak, kita pun akan menjadi orang tua yang akan mengurus keluarga sendiri.

Cinta kepada saudara seakidah akan menghancurkan tembok sekolah, rumah, suku, atau negara yang menyekat kita. Rela mengorbankan harta, tenaga, waktu, fikiran, atau apapun yang dimiliki sesuai kemampuan untuk saudaranya. (Sayang ini tidak berlaku untuk saudara seIslam kita di Gaza..) Dalam hadis riwayat At-Tirmizi, Rasulullah SAW telah bersabda : "Tidak beriman salah seorang di antara kamu semua hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri."

Dan yang terakhir adalah kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya. Cintanya manusia kepada Allah dan RasulNya adalah mentaati keduanya dan redha terhadap segala perintah Allah dan segala ajaran yang dibawa Rasulullah SAW. "Sehingga seorang hamba akan bersegera memenuhi seruan-Nya. Meski harus ditukar dengan cintanya pada anak-isteri, keluarga, atau harta benda." (lihat QS. at-Taubah [9] : 24).

Sesungguhnya, inilah makna cinta bagi seorang muslim. Begitu universal dan luas. Tersangat luasnya sehingga tidak perlu dibatasi dengan hari khusus seperti Valentine's Day. Atau diungkapkan bersama kekasih dan pergaulan bebas yang malah menempatkan cinta itu sendiri atas nama nafsu syahwat. Kita boleh mencintai sepanjang hari selama hidup kita dan tidak terbatas cuma kepada lawan jenis saja. Kerana itu, cintailah cinta sesungguhnya kepada Yang Maha Pemberi Cinta.

Baca Selanjutnya..

Wednesday, February 11, 2009

Ada Rindu Di Wajahmu - Shamimi Aminolah









Tajuk Novel : Ada Rindu Di Wajahmu
Karya : Syamimi Aminolah
Penerbit : CESB
Terbitan : 2008

Kisah Wardah yang terpaksa menerima padah akibat dari sikap bongkak ibunya Naemah terhadap orang kampung. Naemah pada mulanya ingin menjodohkan Wardah dengan Kamil tetapi apabila Farid hadir di kampung terpencil itu Naemah telah memutuskan pertunangan itu dengan niat untuk memberikan Wardah kepada Farid yang berharta pula. Bukan itu saja, Naemah telah memalukan Kamil di depan orang kampung dengan mengatakan Kamil memang tidak layak untuk Wardah, anak gadisnya yang cantik dan menjadi idaman pemuda-pemuda di kampung itu.

Kamil marah lalu bertekad untuk membalas dendam dengan menyantau pengantin lelaki di malam pertama perkahwinan Wardah. Selepas Farid, ada lagi beberapa orang pemuda yang sudi mengahwini Wardah telah kecundang di pelamin di hari persandingan mereka. Wardah menjadi separuh nanar dek kerana terlalu kecewa dengan kehilangan kekasih hati, Farid. Jiwanya memberontak. Lalu dia menjadi hilang akal, meracau memanggil-manggil Farid yang sudah pergi.

Peristiwa hitam itu telah menyebabkan keluarga Naemah dipulaukan oleh orang-orang kampung. Hilang semua kebongkakan dan keegoan Naemah bila anak gadisnya yang cantik dikatakan gila. Nasib baiklah dia masih mempunyai adik beradik yang tidak menaruh dendam di atas perbuatannya di masa lalu dan sanggup menghulurkan bantuan menjaga Wardah.

Muncul Cikgu Adnan, anak hartawan tetapi berjiwa pendidik di kampung itu dan tinggal menyewa di rumah kosong milik Naemah tidak jauh dari rumahnya. Hari pertama menyewa di situ lagi Cikgu Adnan dikejutkan dengan adegan kejar mengejar antara Wardah dan Long Deraman dan akhirnya Cikgu Adnan ikut membantu mententeramkan Wardah yang kerasukan. Timbul rasa di hati kecil Cikgu Adnan untuk membantu gadis ayu ini untuk pulih menjadi sediakalanya.

Namun.. biasalah... niat yang baik selalunya akan menghadapi banyak rintangan untuk diuji sejauh mana keikhlasannya. Kehadiran Cikgu Emily, bekas kekasih yang masih menagih cinta dari Cikgu Adnan juga menjadi salah satu halangan untuk mendekati Wardah. Cikgu Emily yang mempunyai senjata yang kuat, iaitu dapat memenangi hati orang tua Cikgu Adnan. Kata-kata Cikgu Emily memang akan dipercayai bulat-bulat oleh orang tua Cikgu Adnan. Sudahnya Cikgu Adnan telah diarahkan untuk bertukar mengajar di bandar.

Di kala Wardah sudah mula dapat menerima kenyataan bahawa pemergian Farid adalah untuk selama-lamanya, di saat Wardah mula berpaling sinar kasih untuk Cikgu Adnan, tiba-tiba Cikgu Adnan terpaksa meninggalkannya pula. Akhirnya Cikgu Adnan pergi jua!

"Saya pergi untuk melunaskan sesuatu dan saya akan kembali," tegasnya Adnan berkata-kata hingga dirasanya kagum...
.......................................................................................
Sebuah cerita yang menarik dari Shamimi Aminolah. Sebelum ini saya pernah membaca novel hasil tulisan saudari Shamimi tapi saya rasa novel ini lebih menyerlah. Mungkin kerana jalan ceritanya agak lain dari yang lain. Yang paling menariknya cerita ini menyingkap amalan mistik yang masih tetap diamalkan oleh masyarakat melayu kita walaupun di zaman IT yang serba canggih ini.

Penghayatan watak Wardah memang agak jelas digambarkan sebagai seorang gadis Melayu yang menurut kata ibu, tidak tergamak untuk memberontak tetapi akhirnya memakan dirinya sendiri kerana tekanan hidup yang melanda. Kehilangan kekasih hati juga telah meragut hampir separuh dari jiwa Wardah. Semangat yang sudah lemah ditambah lagi dengan hasutan syaitan yang 'dihantar' oleh Kamil telah memburukkan lagi keadaan jiwa Wardah.

Di samping itu penyesalan Naemah di atas perbuatannya memang membuatkan kita merasa Tuhan itu Maha Adil dan bumi bulat ini akan berputar terus. Sekali kita di atas jangan lupa bahawa kita juga kelak akan berada di bawah.




Baca Selanjutnya..

Tuesday, February 10, 2009

Ilahi

Suara sayu nan syahdu
terdengar mengalun dari seluruh penjuru
pagi yang dingin
kuterbangun dari mati
mencuba untuk hidup
lantas terus mencari air suci kehidupan

Ku basahi mulut, wajah, tangan, dan kaki
menghapus kekotoran dunia yang melekat

Berjalannku menuju rumah Mu
Di dalam gelap subuh dingin
Hayunan kaki yang begitu berat dan menungkas segalanya

Ya Ilahi,
ku datang ke rumah Mu
untuk mengadapMu
dan bersujud pada Mu

Ya Ilahi,
ku datang ke rumah Mu
untuk mengadu padaMu
dan merintih kasih Mu

Walaupun malaikat turun untuk menemani
Tiada yang lebih indah selain bersujud dan memohon keampunan Mu

Baca Selanjutnya..

Sunday, February 8, 2009

Adakah Kau Lupa - Alarm Me



Adakah kau lupa
Kita pernah berjaya
Adakah kau lupa
Kita pernah berkuasa

Memayungi dua pertiga dunia
Menrentas benua melayar samudera
Keimanan juga ketaqwaan
Rahsia mereka capai kejayaan

Bangunlah wahai anak bangsa
Kita bina kekuatan jiwa
Tempuh rintangan perjuangan

Gemilang generasi yang silam
Membawa arus perubahan
Keikhlasan hati dan nurani
Ketulusan jiwa mereka berjuang

Sejarah telah mengajar kita
Budaya Islam di serata dunia
Membina tamadun berjaya
Merubah mengangkat maruah

Baca Selanjutnya..

Saturday, February 7, 2009

Dedaun Hijau Di Angin Lalu - Manaf Hamzah










Taju Novel : Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Karya : Manaf Hamzah
Penerbit : Pustaka Nasional Pte Ltd
Terbitan : 2002

Seolah kancah kehidupan ini terlalu panjang bagi Intan. Bertenggang dengan orang-orang kampung yang menjangkakan dia anak luar nikah justeru semenjak lahirnya tidak tahu siapa dan di mana ayah kandungnya, maka kehidupan yang dilalui itu sudah pasti dirasakan beranjau. Lebih lebih lagi dirinya terjebak dalam perangkap perkahwinan tangkap basah. Intan lalu dibawa ke kota dan suaminya itu meletakkan taraf dirinya sebagai tukang gaji. Meskipun tidak pernah merasa dicinta dan disayangi, Intan sanggup bersabar dan tabah, bahkan dalam diam-diam bercambah pula kasih sayang Intan kepada anak angkatnya dan semakin menjadalam pula cinta Intan kepada suaminya. Tetapi sampai mana gerangan Intan dapat bertahan dengan sikap menyerahnya itu?

Novel ini memaparkan komplikasi watak manusia yang membawa unsur-unsur percanggahan jiwa seorang doktor muda yang berhati batu dengan seorang wanita yang sentiasa menyerah dan akhirnya mengambil sikap tegas, tetapi ketegasan itu hampir-hampir menjerumuskan dirinya ke dalam jurang kegelapan. Di samping keraguan watak yang mengangkat ciri-ciri simpati dan tipu daya manusia. Umpamanya ibu saudara jatuh cinta kepada anak saudaranya, abang makan adik tirinya, kawan menelan kawan, seorang pemuda jatuh cinta kepada isteri orang dan lain-lain yang berunsur suspense demi suspense.
.................................................................................................................

Sebenarnya dulu saya mempunyai novel ini yang keluaran pertama iaitu tahun 1987. Tetapi bila dah dikasi pinjam orang, tak dipulangkan pulak terpaksa lah saya mencari naskah yang lain. Ini keluaran kedua tahun 2002.

Novel ini adalah novel pertama saya membaca cerita yang sepasang teruna dara ditangkap basah lalu heroinnya dijadikan orang gaji kepada heronya yang panas baran tetapi akhirnya kasih sayang telah menyatukan mereka. Kerana itulah novel ini terlalu melekat di hati saya berbanding dengan novel-novel yang lain yang mempunyai jalan cerita yang sama.


Baca Selanjutnya..

Safari Cinta Seorang Ekspatriat - Syed Mahadzir









Tajuk Novel : Safari Cinta Seorang Ekspatriat
Karya : Syed Mahadzir
Penerbit : Pekan Ilmu Publications
Terbitan : 2007

Kisahnya begitu menyayat hati, penuh penderitaan, penuh penyiksaan, penuh pengorbanan. Dia seorang mujahid, dia seorang pejuang, dia seorang manusia yang cintakan saudara seagamanya. Terlalu lama hidup di tanah Islam telah menyerapkan semangat jihad dalam dirinya lalu dia menjadi seorang ekspatriat, bertualang ke seluruh dunia sambil melihat penderitaan hidup manusia seagama. Airmata bukan tanda simpati. Semangat dan kudrat dalam diri bersebati merempuh jalan perjuangan yang penuh dengan onak dan duri.

Melalui Haikal, di tepian bersama sinar ledang mentari petang yang mengapung suasana dari ufuk timur, dia menyingkap tentang segala rahsia yang selama ini melingkar erat dalam lipatan sejarah hidup. Semua ceritanya tidak mudah pamit dari benak, setiap patah perkataan yang tercetus dari bibirnya tidak semata-mata menjadi sebuah llukisan realisme tentang pengetahuan dan pengalaman tetapi juga kamus mujarab sarat istilah suka duka, sedih pilu, rusuh cabuh, terkilan, kelut, kesal, rengsa, resah dan seribu macam gelicau perasaan yang telah menjadi semacam resapan semangat yang menerobos segar ke dalam darah dan tulang temulang.

Untaian kasihnya sungguh unik. Terselit pelbagai maklumat dan ilmu, implisit dan eksplisit, suka dan duka, pengalaman pahit maung dan enak manis yang segala-galanya sungguh mengesan jiwa nubari. Kisahnya ini digabung-gabung, dibebat menjadi sebuah ikatan rakaman cerita yang padat dan terarah semoga dapat dimengertikan dengan mudah. Seglanya dijalin, disirat dan dianyam supaya semuanya tergarap jelas dan teratur serta disatu, dibaru dan diadunkan segala butir bicara dan maklumat penceritaannya untuk kujadikan kenangan abadi dalam hidup.

Percintaan, pengorbanan dan perjuangan tersemat dalam satu perjalanan yang panjang. Cintanya tidak kesampaian, semuanya diragut takdir dengan penuh tragis. Pengorbanannya tidak pernah dihargai dan perjuangannya menjadi sia-sia. Siapalah dia yang mampu merubah warna dunia? Dia hanya seorang manusia kerdil yang hidup sekadar untuk memendam perasaan kecewa dan air mata.

Baca Selanjutnya..

Friday, February 6, 2009

Di Langit Cinta - Lily Haslina Nasir

Tajuk Novel : Di Langit Cinta
Karya : Lily Haslina Nasir
Penerbit : Alaf 21

Cinta tidak bererti memiliki. Tetapi cinta juga bukan bermaksud melukai. Bagi Hani, cintanya bersama Raiz rupanya hanya sebuah mimpi. Dia benar-benar kecewa bila ditinggalkan terkapai-kapai mencari haluan sendiri.

"Cinta pertama dgn kau tapi malam pertama dgn Meriam!" Sindiran itu bagai memetir di telinga Hani. Jiwanya hangus terbakar. Maruahnya terasa dipijak-pijak!

Benarkah cuma dia yg setia sedangkan Raiz hanya bijak bermain kata-kata? Dia berusaha memujuk diri melupakan semuanya tentang Raiz. Tapi batinnya tersiksa menanggung rindu mengejar bayang lelaki itu.

Di langit sana... Raiz pula menangisi setiap mlmnya di sisi Meriam. Dia menikahi sepupunya itu utk melunaskan hutang emaknya. Hanya sekali dia menyentuh Meriam. Itulah yg pertama dan terakhir setelah beratus kali Meriam menyindirnya suami dayus dan serba serbi tak mampu.

Kasih mereka kasih terhalang, tapi rindu mereka tidak pernah terlarang. Hani dan Raiz dipertemukan semula dlm episod kedua. Janji mereka utk hidup sebagai suami isteri akhirnya dimaterai dgn ijab kabul tanpa restu keluarga.


Bagaimana dgn Meriam?
..................................................................................................
Sebuah kisah untuk pembacaan yang santai dari Lily Haslina Nasir memang tidak akan memenatkan. Pada awal penceritaan novel ini penuh dengan humor mencuit hati proses perkenalan antara Hani dan Raiz.

Seperti novel-novelnya sebelum ini Lily memilih untuk menceritakan kisah percintaan seorang gadis kampung biasa dengan seorang jejaka yang tidak glamour dan berkereta besar. Tetapi percintaan mereka terputus di tengah jalan bila Raiz dipaksa menikah dengan sepupunya sendiri, Meriam.

Perasaan saya bercampur baur antara geram dan kasihan bila watak Raiz menggambarkan seorang lelaki yang lemah bila tidak dapat bertahan membela cintanya sendiri malah selalu menabur janji kepada Hani tetapi tidak berdaya untuk dikotakan. Ini ditambah lagi dengan watak Meriam seorang perempuan jahat yang amat sesuai untuk dibenci. Tapi tak lama bila Meriam mengandung secepat kilat Meriam berubah menjadi baik dan sanggup berkorban demi cinta Hani dan Raiz. Setelah melahirkan zuriat Raiz Meriam meninggal dunia. Agak terkesan di hati juga bila membaca saat-saat tragis ini.

Sekali imbas cerita begini memang selalu laku untuk dijadikan tema sinetron Indonesia masa kini.

Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin