Showing posts with label annur puteri. Show all posts
Showing posts with label annur puteri. Show all posts

Thursday, August 20, 2009

Biarkan Saja










Tajuk Novel : Biarkan Saja
Karya : Annur Puteri
Penerbit : CESB
Terbitan : 2009
Halaman : 608 mukasurat
Harga : rm28.90


Hidup Alunie tidak pernah terlepas daripada menjadi bayang-bayang kepada darah dagingnya sendiri. Darah daging yang sudah terpisah jauh kemesraannya walaupun begitu dekat pertalian roh dan jasadnya. Sejauh mana pun dia berlari, bayang-bayang itu sentiasa mendekatinya.

Namun, demi junjungan kasih yang tidak terhingga, kali ini dia reda. Rela dalam terpaksa. Dalam tangis, dalam sendu dia tersenyum. Mengharungi hari-hari mendatang dengan luka yang terpendam. Siapa menduga, di sebalik duka itu tersimpan seribu kebahagiaan, sungguhpun terpaksa mengharungi sejuta kepayahan.

............................................................................

Novel Annur Puteri kali ini lain dari novelnya yang sudah-sudah. Walaupun masih lagi menyelitkan kisah kasih terhadap kekeluargaan dan persaudaraan tetapi kali ini lebih menitikberatkan hubungan kasih sayang dalam hidup berumahtangga. Di awal cerita, ianya agak slow and steady tetapi di akhir-akhirnya saya jadi lelah sendiri. Terlalu banyak persimpangan dan adegan yang berlaku menceritakan konflik di antara Alunie dan Ayunie. Terasa macam nak sesak nafas pun ada. Namun cepat benar penulis menukar situasi menjadi damai semula seolah-olah semuanya baik-baik belaka.

Ayunie dan Alunie adalah kembar seiras. Sudahlah kembar seiras, nama pun seakan-akan sama. Antara Alunie dan Ayunie. Saya seringkali keliru membaca cerita ini pabila kedua kembar ini begitu dekat persamaan nama mereka. Ternyata bukan saya saja yang terkeliru. Rupanya editor juga agaknya menghadapi situasi yang sama pabila ada sesetengah cerita dinyatakan nama Alunie padahal ketika itu menceritakan tentang Ayunie. Pening juga tu.

Walaupun nama mereka agak sama tetapi ternyata sikap dan perwatakan mereka jauh berbeza antara satu sama lain. Di antara mereka berdua Ayunie lebih menonjol dari segi penampilan juga menyerlah dari segi segala-galanya. Ayunie menjadi tumpuan ramai berbanding Alunie yang serba serbinya kekurangan. Akibat terlalu dimanja Ayunie dibenarkan untuk bertindak sesuka hati hatta membuli Alunie sekalipun. Hidup Ayunie dilepas bebas. Sudahnya Ayunie terjebak dalam kancah yang tidak bermoral.

Kerana malu rahsianya telah diketahui Daniel, Ayunie bertindak memutuskan pertunangan lalu melarikan diri di saat-saat akhir tarikh pernikahan menjelang. Kad undangan sudah pun diedarkan. Kedua orang tua Ayunie mahupun Daniel buntu memikirkan cara untuk mengelak aib menyimbah ke muka. Alunie yang berhati mulia tampil menawarkan diri menggantikan tempat Ayunie bagi menyelamatkan maruah keluarga. Bagi Daniel pula dia tidak keberatan Alunie menggantikan tempat Ayunie sebagai pengantin kerana hatinya sudah tidak menempatkan Ayunie di sudut yang paling dalam setelah mengetahui siapa Ayunie yang sebenarnya. Mana ada lelaki yang mahu memperisterikan seorang wanita yang sudah digauli ramai lelaki dengan rela.

Namun Alunie mengingatkan Daniel bahawa perkahwinan mereka adalah semata-mata untuk keluarga dan bukannya atas dasar cinta. Perkahwinan mereka hanyalah di atas kertas. Dan bukan realiti. Pinta Alunie, di suatu hari nanti Daniel harus bersedia untuk melepaskannya pabila Alunie telah berjumpa dengan Mr. Right! Daniel cuba untuk bersabar. Mengikut rentak sejauh mana Alunie mampu bertahan. Daniel cuba menjadi seorang suami yang baik dalam masa yang sama kawan yang baik. Peliknya Alunie juga melayan Daniel dengan baik. Melayan semua makan pakai Daniel, menyiapkan segala keperluan jejaka itu namun untuk menjalin perhubungan sebagai suami isteri tidak sama sekali. Alunie takut sekiranya di hati Daniel dia masih menyimpan kasih untuk Ayunie. Dia tak sanggup dianggap sebagai pengganti Ayunie.

Pertemuan dengan jejaka yang dulunya dikagumi, Nal Zawawi, membuatkan hati Alunie mekar dengan cinta. Status sebagai seorang isteri dirahsiakan takut nanti Nal Zawawi akan menolak cintanya. Setelah hatinya yakin dengan cinta Nal Zawawi, tibalah masanya untuk Alunie meminta kepada Daniel supaya dirinya dilepaskan. Ternyata bukan sesenang itu untuk meleraikan sebuah ikatan yang direstui. Daniel berdegil lalu menjauhkan diri sehingga memaksa Alunie menjejakinya di pejabat tempat Daniel bekerja. Sekali lagi Alunie meminta supaya dirinya dilepaskan. Daniel buntu lalu membawa diri ke Mekah menunaikan fardhu haji.

Pertemuan dengan Muiz di tempat kerja Daniel menimbulkan salah faham. Muiz yang mengenali Ayunie dan pernah berhubungan intim dengan kakaknya, menyalah anggap Alunie yang baik budi pekerti itu sebagai Ayunie si rama-rama yang terbang bebas. Semasa ketiadaan Daniel Muiz cuba mengambil kesempatan terhadap Alunie. Nasib baik Nal Zawawi cepat tiba dan menyelamatkan Alunie. Namun dengan berlakunya insiden ini rahsia status Alunie akhirnya telah diketahui oleh Nal Zawawi. Perhubungan mereka menjadi renggang. Akhirnya Nal Zawawi mengalah lalu melepaskan Alunie kepada Daniel dengan menggunakan satu muslihat supaya Alunie membencinya. Pada Nal Zawawi, Alunie tetap isteri Daniel walau apa pun situasi mereka dan bukan prinsip Nal Zawawi untuk merosakkan rumahtangga orang demi untuk kebahagiaan dirinya.

Kehidupan Ayunie, si rama-rama yang lepas bebas rupanya tidak selama-lamanya indah. Dari satu lelaki ke satu lelaki dirinya berpindah randah mengecapi nikmat noda dunia. Walaupun ramai lelaki yang hadir namun dirinya semakin parah dilanda kekosongan. Tidak ada satu pun yang dapat mententeramkan jiwanya yang bergelora. Sekiranya bertemu dengan jejaka pilihan dan Ayunie pun mengambil keputusan untuk 'settle down' namun seakan terlalu banyak halangan yang harus ditempuhi. Membuatkan dia putus asa. Melihatkan adiknya Alunie yang sudah berjaya dan memiliki kebahagiaan dalam hidup, hati Ayunie mula dipagut rasa cemburu. Timbul niat jahat untuk merampas kebahagiaan itu dari Alunie, adiknya sendiri!

Ayunie pulang ke kampung dengan tujuan menabur fitnah memburuk-burukkan adiknya Alunie. Gegak gempita jadinya kedua belah keluarga terutama ibu Daniel yang tidak tahu apa-apa. Namun rancangannya untuk merebut Daniel dari tangan Alunie tidak berjaya. Ayunie kecewa yang amat sangat sehingga tergamak menganiaya dirinya sendiri dengan menelan pil tidur dengan berlebihan. Kenapa begitu malang sekali penulis menggarapkan nasib Ayunie.

Selepas itu masih banyak lagi cerita yang penulis lakarkan untuk menarik minat pembaca mengikuti kisah rumahtangga Daniel-Alunie seterusnya. Namun kebosanan menyinggah juga di pembacaan saya. Saya tidak dapat mencari relevan Daniel hilang di tanah suci lalu hampir lupus ingatan kemudian tiba-tiba saja menjadi elok seperti sedia kala sedangkan Alunie pula ditimpa musibah mengidap penyakit kanser. Akhirnya saya setuju dengan tajuk novel ini untuk membiarkan saja. Biarkan saja penulis menggarap dan mengakhiri kisah ini dengan caranya sendiri.

Baca Selanjutnya..

Monday, February 23, 2009

Cinta Di Mana?

Tajuk Novel : Cinta Di Mana?
Karya : Annur Puteri
Penerbit : CESB
Terbitan : 2007

Adakala kemiskinan sering meneruja pertimbangan. Membelenggu pendirian. Apa pilihan yang Mokhtar ada? Sememangnya Mokhtar dan Azizah tiada Pilihan. Perjanjian yang dilafazkan cuma bisikan angin lalu lantas membiaskan gugus-gugus rindu yang mengorak kelopak. Ke manakah rindu ini harus diarahkan? Ke mana kasih ini harus diberikan ? Mokhtar tiada jawapan. Azizah juga tiada jawapan. Masing-masing menunggu dan terus menunggu walalu sesekali kewalahan...
...........................................................................................................

Cerita ini adalah cerita cinta dan ikatan kasih sayang antara adik dan kakak yang sangat kukuh. Masing-masing sanggup berkorban demi untuk kebahagiaan satu sama lain. Mokhtar dan Azizah dianugerahkan sepasang anak kembar namun oleh kerana desakan dan kepayahan hidup mereka terpaksa menyerahkan salah seorang kembar kepada anak Mek Kalsom di bandar. Sebelum itu mereka telah mempunyai seorang anak perempuan, Mariah. Tinggallah Mariah dan anak kembar yang kini cuma seorang, Muzammil, dibawah jagaan mereka membesar dengan seribu kepayahan.

Kesusahan hidup membuatkan ikatan kasih antara adik beradik Mariah dan Muzammil sangat erat sekali. Apa yang menyentuh hati saya adalah kasih sayang Mariah terlalu mendalam kepada adiknya sehingga sanggup memberikan kasut sekolah baru untuk dipakai oleh Muzammil setelah kasut Muzammil terbelah dua. Perjalanan pulang dari sekolah ke rumah telah membuatkan kaki Mariah melecet dan dengan tidak sengaja Mariah terpijak tunggul. Namun sedikit pun tidak ditunjukkan rasa sakit itu kepada sesiapa membuatkan Muzammil dicengkam rasa bersalah. Mulai dari situ Muzammil berazam untuk membahagiakan kakaknya.

Bila mana Mariah mendapat keputusan yang cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, Muzammil sanggup berkorban dengan berkerja di tapak projek sebagai buruh kasar pada usia enambelas tahun walaupun pada halnya keputusan peperiksaan Muzammil juga adalah cemerlang. Bagi Muzammil kebahagiaan kakaknya yang telah banyak berkorban untuknya adalah sangat penting. Hampir tumpah airmata saya bila membaca saat-saat ini.

Rupa-rupanya tapak projek tempat Muzammil berkerja itu dimiliki oleh kedua ibubapa angkat adik kembarnya yang lama terpisah dulu. Salinan sijil akademik Muzammil yang cemerlang mengundang rasa hairan dan tanda tanya Mawar. Namun niat Mawar untuk mendekati Muzammil amat tidak disenangi oleh mamanya.

Bak kata pepatah air dicincang takkan putus, akhirnya ketiga-tiga adik beradik ini dipertemukan semula dalam suasana yang amat mengharukan.

Usai membaca cerita ini membuatkan saya teringin benar untuk menatap setiap wajah adik beradik saya.... dan bertanya di dalam diri... sekuat inikah ikatan kasih sayang adik beradik kita selama ini.....

syabas untuk penulis kerana membawa suatu mesej dan kelainan yang berkesan di hati.


Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin