Sunday, March 1, 2009

Transgenesis Bisikan Rimba

Tajuk Novel : Transgenesis Bisikan Rimba
Karya : Amir Husaini
Penerbit : PTS Fortuna
Terbitan : 2008

Teknologi memindahkan genetik haiwan dan tumbuhan kepada embrio yang diklonkan daripada manusia sudah ditemui. Kini kita boleh mencipta manusia dengan kelebihan istimewa. Manusia dengan deria hidu sensitif seperti anjing misalnya. Ataupun, manusia yang boleh menghasilkan makanan sendiri melalui fotosintesis. Inilah yang dilakukan oleh pakar genetik di Institu Trans-DNA, secara rahsia.

Sehinggalah segala-galanya terbongkar, apabila subjek eksperimen yang terbebas dari makmal mula membunuh orang awam...

dalam Transgenesis : Bisikan Rimba, Amir Husaini menggabungkan bakat penulisan luar biasa dan pengetahuan saintifik menakjubkan, bagi menghasilkan fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan!
.................................................................................................................................
Novel ini adalah antara novel yang popular di masa ini. Kata kawan-kawan saya ianya sebuah novel yang wajib berada di dalam senarai koleksi. Saya semestinya tidak melepas peluang untuk memiliki dan menghayati cerita di dalam novel ini yang dikatakan memang menarik sekali. Membaca sinopsis di belakang buku pun sudah membuatkan saya tidak sabar-sabar untuk membacanya.

Fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan! Betullah kata sinopsis di belakang buku ini. Satu komen yang tepat sekali.Kisahnya adalah mengenai satu kajian oleh satu badan yang dikenali sebagai Institut Trans-DNA untuk menghasilkan percantuman di antara DNA manusia bersama DNA tumbuhan. Ianya mula terbongkar apabila terjadinya suatu pembunuhan misteri di sebuah tapak projek pembalakan yang mendapat liputan media tabloid dan menjadi topik perbualan hangat di kalangan masyarakat di situ.

Membaca tragedi pembunuhan ini membuatkan saya merasa seriau dan seram apatah lagi bila membacanya di tengah malam yang hujan bersama dentuman guruh. Pandai sungguh penulis mengolah cerita dan plot membuatkan seolah-olah saya juga turut cemas berada di dalam kabin gelap itu bersama-sama dengan taukeh Hwang Chien Ming dan Razilan.

Kemunculan Buraquzzaman, wartawan Semboyan Nasional, yang ingin membongkar misteri ini tidak disenangi oleh Datuk Jay. Datuk Jay adalah pengasas Institut Trans-DNA yang melakukan eksperimen percantuman DNA antara manusia dan tumbuhan secara rahsia. Sebelum ini banyak kegagalan telah berlaku dalam projek ini dan setiap subjek yang gagal itu telah dilupuskan di kaki Gunung Pulai bedekatan dengan lokasi pembunuhan misteri tersebut. Flora, atau diberi kod nama 4791, adalah subjek pertama yang berjaya dihasilkan setelah melalui beberapa kaedah berbeza. Namun Flora telah dapat melarikan diri dari institusi itu. Pelariannya adalah untuk satu tujuan tertentu.

Persoalan dalam cerita ini mengaitkan banyak pihak. Bermula dari Datuk Jay, Prof Joned sehinggalah kepada Datin Kay, Dr Ramsay, Ixora, Buraquzzaman dan Flora semuanya berkaitan di antara satu sama lain. Membaca novel ini harus menahan nafas yang panjang kerana kejutan demi kejutan yang tidak terfikirkan oleh pembaca terhadap misteri yang saling berhubung kait sehingga pembaca diamuk perasaan ingin tahu. Bagi saya penulis sangat pandai menggarap cerita ini dengan kemas dan tersusun mengalir seperti air membuatkan pembacaan menjadi lancar.

Namun di akhir cerita, misteri sebenar pembunuhan taukeh pembalakan itu masih tidak terjawab. Bahkan banyak lagi persoalan-persoalan baru yang timbul setelah terbongkarnya rahsia demi rahsia. Seperti akan ada kesinambungan untuk kisah ini di novel selanjutnya.

Di sebalik fiksyen sains ini mesej yang amat jelas cuba disampaikan penulis ialah setinggi mana pun kita mengejar dan meneroka alam dunia ini kita tidak akan dapat setanding dengan keesaan Tuhan Yang Maha Menjadikan. Apa yang kita lakukan tidak sedikit pun dapat dibandingkan dengan kejadian yang diciptakan Tuhan. Usahlah kita membangga diri dan mencabar kekuasaan Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana dengan cuba mencipta manusia.

Sekalung tahniah untuk saudara Amir Husaini. Sebuah novel fiksyen sains menarik yang penuh mesej dan tidak mengecewakan pembaca.

Related Posts :



2 comments:

  1. Terima kasih atas kesudian membaca dan mengulas novel ini. Insya-Allah sambungan novel ini bakal menemui pembaca.

    ReplyDelete
  2. Salam.. Kalau nak jual novel ni bagitahu.. Ya.. Saya nak beli

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin