Wednesday, March 18, 2009

Selamat Pengantin Baru Isteriku









Tajuk Novel : Selamat Pengantin Baru Isteriku
Karya : Nass Alina Noah
Penerbit : Kaki Novel
Terbitan : 2008
Halaman : 1161 mukasurat
Harga : rm36.00

Saban malam aku menanti 'malam pertama' kita yang belum bermula...yang entah bila akan bermula dan entah siapa yang akan memulakannya. Hari-hari yang berlalu terus begitu...terus dihimpit kesedihan, pilu dan keliru. Bicara apakah yang menjadi kesalahan, hingga asmara yang baru bermula, tidak ada penamatnya. Lalu kasih sayang ini bertukar benci, menjadi sakit hati...

Abang, mulut ini telah puas berkata benci, namun hati ini sejuta kali membisikkan kata sayang. Bibir ini menyuruh kau pergi, hati di dalam menangis agar jangan ditinggalkan. Suara ini tegar mengaku rela dilepaskan, namun kalbuku dicengkam takut yang amat dalam. Takut kehilangan satu-satunya orang yang palingku sayang.

Abang, walau kau bunuh seluruh rasa cinta itu, ia tetap akan tumbuh subur dalam hatiku, sampai bila-bila...
..................................................................................
Saya mengambil masa yang lama untuk menghabiskan novel yang setebal ini. Ditambah pula penulis menggunakan bahasa inggeris sebagai dialog di kebanyakan senario dalam cerita. Membuatkan saya cuak. Lebih kepada memaksa diri untuk menghabiskan novel ini. Mungkin ianya terlalu sekular dan kurang bertepatan dengan minat pembacaan saya.

Di Bahagian pertama cerita, Addam, Abraham dan Darren pergi bercuti menaiki bot di perairan Thailand. Tiba-tiba mereka didatangi seorang gadis misteri yang diberi nama Maya. Percutian mereka menjadi berantakan gara-gara onar yang dilakukan oleh gadis misteri itu. Rupa-rupanya ada rahsia besar di sebalik parut-parut yang melekat di badan gadis itu.

Di bahagian kedua pula, Maria lebih menyukai Mellyna menjadi menantu mereka. Tetapi Addam lebih memilih Qisty, anak angkat keluarganya, sebagai pasangan hidup. Pertentangan keluarga memaksa Addam melarikan Qisty untuk berkahwin di sempadan Siam. Tetapi sesuatu yang tidak diduga telah dibongkarkan oleh Jeneral Malek tentang Qisti. Qisti adalah anak luar nikah dan juga merupakan adik tiri Addam sendiri.

Suasana kalut menyelubungi hidup Addam dan Qisti. Maria masih lagi memaksa anaknya supaya menerima Mellyna tetapi Addam tetap dengan keteguhan cintanya terhadap Qisti. Dalam keterpaksaan Qisti merelakan Addam menjadi milik Mellyna. Sepanjang perkahwinan Addam dan Mellyna, Qisti dizalimi sesuka hati oleh menantu kesayangan Maria. Namun sabar saja Qisti menerima semuanya demi rasa cinta dan kasihnya kepada Addam.

Selain kekalutan kisah cinta Addam dan Qisti, penulis menyelitkan juga misteri pembunuhan Darren yang mati ditikam oleh seorang perempuan yang tidak dikenali. Juga kematian Damien yang disangkakan membunuh diri kerana kehilangan cinta Qisti. Siapa Tasya yang selalu muncul setiap kali Qisti bersendirian?

Sebuah novel yang cukup dengan semua adunan. Kisah cinta, konflik, psycho dan misteri pembunuhan.


Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin