Tajuk Buku : Bertemu Janji Allah 2
Karya : Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : Anbakri Publika
Terbitan : 2009
Membicarakan alam akhirat adalah percubaan untuk menjangkau segala yang misteri di belakang tabir keduniaan. Tiada siapa yang layak untuk membimbing segala apa yang terkandung di alam itu melainkan apa yang di khabarkan oleh Pemilik, Pencipta dan Penguasanya melalui wahyu yang diturunkan kepada NabiNya. Tanpa pergi terlalu jauh, dalam pengertian wahyu yang terkandung di dalam surah al-Fatihah Ayat 4 sahaja, kita sudah dipandu dengan sebuah proklamasi berbunyi, “Dialah (yakni Allah) penguasa hari akhirat.” Mungkin William Shakespeare juga termakan dengan tempias firman Allah ini dengan kata-katanya yang pernah direkodkan di dalam skrip teaternya King Henry V111 3 berbunyi, “heaven is above all yet; there sits a judge that no king can corrupt.”
Buku yang bertungkus lumus menggali pelbagai rahsia akhirat, yang sedang berada di tangan pembaca sekarang ini adalah sebuah catatan. Ia bukan memo sembarangan. Ia memunggah kandungan dan pengertian alam ghaib yang akan sama- sama kita lalui lambat launnya. Bagi mereka yang sudah pergi, mereka sudah dan sedang berada sebahagiannya di alam itu. Sekarang, soalnya masih adakah pilihan kita untuk tidak cuba memahaminya sedangkan kita memang perlu ke sana – sememangnya akan ke situ? Dalam gugur hari yang beralih minggu ke minggu, masih adakah khilaf bahawa kita sedang mendekati satu tarikh kematian yang tidak pernah berganjak? Sebaliknya, kita pula yang semakin mendekat !
......................................................................................................................
Lanjutan dari buku Bertemu Janji Allah 1 menghuraikan semua kebenaran tentang janji Allah terhadap makhluknya iaitu hari kiamat. Di hari itu nanti semua manusia akan diadili seadil-adilnya. Menjelaskan tentang bentuk jenis perbuatan manusia yang dilakukan semasa hidup dan apakah jenis pembalasan di hari sesudah mati. Daripada seorang individu tunggal, terus kepada seorang yang mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, persatuan, syarikat dan terus lagi kepada seorang pemimpin negara. Bahkan para nabi dan rasul pun tidak akan terkecuali dari menjalani pengadilan pada hari yang kalut ini.
Diceritakan di dalam buku ini hari yang penuh huru hara sehingga nabi sendiri menjadi kelu tidak dapat menjawab pertanyaan Allah sehingga mereka memulangkan kembali setiap pertanyaan itu dengan berkata, "Engkaulah yang Maha Mengetahui setiap yang ghaib." Subhanallah! Seandainya nabi sendiri menjadi kelu apatah lagi kita insan yang serba berdosa ini.
Setiap perbuatan yang dikerjakan akan ada saksinya walau sebesar zarah sekalipun. Di dunia akhir zaman ini terlalu banyak wujudnya saksi-saksi bohong dari pelbagai pihak untuk tujuan melepaskan diri dari hukuman manusia sewaktu di dunia. Tetapi di akhirat saksi yang datang bukan hanya berbentuk manusia tetapi segala yang ada dan wujud semasa perbuatan dilakukan termasuklah anggota tubuh badan mereka sendiri sehinggalah ke sebutir pasir sebesar kuman. Orang-orang kafir merasa keluh kesah akan cuba berbohong pada hari ini untuk menarik perhatian Allah agar mereka ditukarkan menjadi tanah supaya terlepas dari segala seksaan yang bakal diterima. Namun tipu daya mereka semua adalah sia-sia. Mereka tetap akan menerima seksaan yang maha dahsyat di atas segala perbuatan mereka.
Setelah selesai disoal siasat, untuk menegakkan lebih keadilan Allah mewujudkan pula proses penimbangan amal iaitu mizan. Alat timbangan mizan ini adalah terlalu sensitif, sehingga dapat mengesan amal kebaikan seseorang walau sehalus debu berterbangan. Amal kebaikan yang membawa timbangan yang berat di akhirat ialah amal yang dilakukan secara ikhlas kerana Allah semata-mata dan tidak menolak ayat-ayat Allah. Sebab itu golongan kafir dan yang tidak percaya kepada Allah, walaupun amal kebaikan yang dilakukan adalah banyak tetapi tidak akan diperhitungkan oleh Allah. Ianya akan menjadi sia-sia sahaja.
Penghuraian tentang hari dahsyat yang tanpa berselindung ini menyelitkan satu perasaan insaf dan gerun di dalam diri. Ianya dapat membasuh hati kita yang selama ini lalai dari mengingati mati dan hari kiamat.
Yakinlah hari itu pasti datang dan kita semua pasti akan melaluinya. Kita semua akan menjalani pengadilannya. Cuma yang membezakan di antara kita semua adalah bentuk amalan yang masing-masing kerjakan. Adakah ianya memberi keuntungan kepada kita ataupun membawa kerugian dan kecelakaan. Allah memberi sepenuh kebebasan kepada kita untuk memilih jalan manakah yang terbaik untuk kita. Kerana janji Allah itu benar belaka.
Friday, March 13, 2009
Bertemu Janji Allah 2
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment