Tajuk Novel : Bidadari Paderi
Karya : Saiful A. Imam
Penerbit : PTS Litera
Terbitan : 2009
Jauhari, lahir dalam masyarakat Minangkabau yang kuat memegang adat sewaktu berkembangnya gerakan Ulama dalam tempoh masa 1800-1830an.
Sebagai ketua gerakan Ulama yang bermimpi membangun masa depannya, dia bernikah dengan Nilam, seorang guru mengaji yang dikaguminya. Namun, mimpi itu menjadi mimpi ngeri kerana satu kumpulan jahat yang menyebabkannya diusir keluar dari kampung.
Sewaktu merantau di Bukit Tinggi, dia menghadapi masalah besar. Jauhari didapati terlibat dengan pengedaran ganja. Dia tertangkap oleh pasukan Paderi dan dijatuhkan hukuman gantung.
..........................................................................................................
Kisah seorang pemuda bernama Jauhari yang menjalani hidup penuh ujian. Menjadi guru mengaji dan juga ulama Paderi di Nagari Pauah. Jauhar si yatim piatu ini, hidup bersama nenek dan datuknya yang miskin. Mereka menyara hidup dengan mencari kayu bakar dan mengerjakan sebidang sawah yang luasnya hanya sekangkang kera.
Jauhar jatuh hati kepada Nilam yang juga seorang guru mengaji di surau yang sama tempat Jauhar mengajar. Walaupun rasa cinta mereka tumbuh dengan mendalam tetapi mereka masih lagi dibatasi dengan ajaran-ajaran agama yang dipegang teguh. Perbezaan status dan darjat di antara Jauhar dan Nilam adalah ibarat enggang dan pipit. Nilam adalah anak saudara kepada guru tempat dia mengajar sedangkan Jauhar yatim piatu. Namun ianya tidaklah menjadi penghalang bagi cinta mereka.
Suratan nasib Jauhar yang selalu ditimpa malang telah membuatkan cinta mereka terpisah.
Ramai pemuda di kampung itu yang menaruh dengki terhadap Jauhar kerana menjadi anak emas kepada Imam Mudo, bapak saudara Nilam. Ditambah pula Jauhar telah berjaya mendapat persetujuan Imam Mudo agar dia dikahwinkan dengan Nilam.
Dugaan yang paling hebat dialaminya ialah pabila dia dituduh cuba mengedarkan ganja dan ditangkap kerana membawa ganja kering di pelana kudanya ketika menuju ke Payakumbuh. Niatnya yang baik mahu membantu Manjo yang bermasalah dan keluarganya itu daripada ancaman Pendekar Hitam akhirnya memerangkap dirinya sendiri. Hukumannya itu membawa Jauhar ke tali gantung. Imam Mudo yang telah mempercayai sepenuhnya berita ini telah membatalkan perkahwinan mereka.
Namun di saat akhir leher Jauhar disarungkan ke tali gantung, Manjo telah membongkar rahsia yang telah menjadikan Jauhar sebagai pembawa ganja. Jauhar terselamat dari hukuman. Selepas itu Jauhar yang sedari dulunya memang ulama Paderi telah bergabung dengan pasukan Paderi Di Kamang yang diketuai oleh Tuanku Nan Renceh untuk memerangi tentera Belanda. Cinta Jauhar bersemi buat kali kedua terhadap Rafiah, anak imam Sinaro dan akirnya mereka menikah sementara Nilam telah ditunangkan dengan Salim.
Sekali lagi Jauhar ditimpa musibah apabila mertua dan isterinya terkorban di dalam peperangan menentang Belanda di Tanjung Alam. Di waktu yang sama Nilam pula telah kehilangan tunangnya akibat termakan makanan yang telah diracun oleh Johan yang sedari dulu ingin memiliki Nilam. Jauhar akhirnya menikah dengan Nilam.
Dendam Johan menjadi-jadi terhadap Jauhar. Dia bertindak menjadi tali barut Belanda untuk memerangi Jauhar dan Paderi Sungai Tangah dan membuka jalan kepada Belanda. Hasan, anak sulung Jauhar dan Nilam telah terkorban di dalam satu perangkap yang dipasang oleh Johan untuk Jauhar. Nilam yang diamuk rasa marah telah bertindak untuk bertemu dengan Johan untuk mendapatkan penjelasan. Nilam akhirnya terkorban.
Novel ini banyak menghuraikan erti sebuah perjuangan. Keperibadian Jauhar sebagai seorang pahlawan sangat elok dijadikan contoh untuk muda mudi zaman ini supaya menjadi lebih tabah dan kuat serta berpegang kepada ajaran agama. Di samping mempunyai akhlak yang baik dan berpendidikan agama yang tinggi, Jauhar juga dikagumi kerana selalu tenang dalam menghadapi situasi yang genting.
Isu yang diketengahkan dalam novel ini bukan saja tentang keteguhan cinta antara Jauhar dan Nilam tetapi juga tentang perbezaan fahaman di antara penduduk kampung di situ. Kehidupan yang berpuak-puak, saling dengki dan iri hati menjadikan mereka berpecah belah. Tidak habis di situ mereka juga sanggup bertindak di luar batasan demi untuk memastikan bahawa mereka adalah puak yang paling dihormati di kampung itu. Keadaan sebegini sangat memberi keuntungan kepada pihak musuh untuk menyusup masuk menakluki daerah mereka.
Senario sebegini bukan saja wujud pada zaman dahulu. Tetapi sampai sekarang kita masih lagi dapat melihat ianya wujud di kalangan kita sendiri. Sanggup berbalah hanya kerana fahaman politik yang berbeza walaupun hakikatnya kita seagama. Masing-masing mahu menegakkan kebenaran yang mereka bawa walaupun kebenaran sebenarnya telah lama dibawa oleh junjungan besar nabi kita Muhammad SAW.
Saturday, March 14, 2009
Bidadari Paderi
Tag
novel,
PTS,
Saiful A. Imam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
wah. cepatnya membaca. Agak rumit juga isu-isu buku ni ya.
ReplyDeletesebenarnya buku ini yang berversi indonesia telah dihadiahkan oleh kawan saya yang berasal dari seberang di hari lahir saya tahun lepas. Tapi saya amat sukar memahaminya kerana bahasa indonesia yang digunakan terlalu kompleks.
ReplyDeletenasib baik ada versi alih bahasa ini.