Saturday, March 21, 2009

Bulan Dan Mentari














Tajuk Novel : Bulan Dan Matahari
Karya : Zaharah Nawawi
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Terbitan : 2007
Halaman : 462 mukasurat

Bulan dan mentari bagaikan irama dan lagu; sentiasa bersama menyinari bumi. Bulan dan mentari saling memerlukan; ia saling memberi dan menerima sinarnya. Andai dipisahkan, gelap-gelita seluruh alam. Namun, bulan dan mentari tidak akan bersatu kerana ia beredar pada paksinya sendiri yang tidak akan menemui titik pertemuan.

Demikian lumrah alam. Juliana dan Roma, umpama bulan dan mentari. Julianalah si mentari yang datang menyinari kehidupan Roma. Mereka saling mengasihi dan mencintai, tetapi hanya gelora rasa yang menjadi saksi. Juliana dan Roma menjadi lambang kejayaan bangsa Melayu. Mereka adalah segelintir manusia profesional yang berjaya membina empayar pembuatan kereta. Akan tetapi mereka manusia egois yang tidak mahu menyerah pada hakikat cinta, lalu, kejayaan mereka dilukai oleh suatu percintaan yang tidak pernah terucap. Irama dan lagu, bulan dan mentari, Juliana dan Roma; semuanya seiring sejalan tetapi tidak pernah bersatu."
...................................................................................................................................
Sinopsis di belakang amat membuatkan saya teruja untuk memilikinya. Dua orang insan Melayu yang berjaya dalam empayar pembuatan kereta. Detik hati saya mungkin dua orang insan inilah yang dikatakan Bulan dan Mentari. Saling lengkap melengkapi dan akhirnya berjaya mencapai cita-cita dalam hidup mereka.

Cerita bermula sewaktu Juliana yang berumur sepuluh tahun dua bulan selalu mengikut ayahnya menjual ikan di pasar borong selayang. Walaupun dalam usia yang tersangat muda tetapi akal dan kecerdikannya menelaah erti hidup mengalahkan tahap pemikiran pelajar universiti.

Di pasar borong itulah Juliana berjumpa dengan Roma seorang budak yang selalu hadir untuk memungut ikan-ikan yang busuk sebagai santapan ibu dan adik-adiknya saban malam. Juliana jatuh kasihan dengan keperitan hidup yang Roma alami. Pada mulanya Juliana hanya menyediakan sekilogram ikan untuk Roma setiap malam sebagai sedekah. Lama kelamaan ayah Juliana berkenan untuk mengambil Roma sebagai anak angkatnya pula.

Semasa melanjutkan pelajaran ke Universiti Otago, Juliana dan Roma bagaikan belangkas. Ke mana saja mesti berdua. Di antara Roma dan Juliana, Roma lebih mengambil berat tentang Juliana. Sesekali saya merasa seolah-olah Roma adalah budak suruhan kepada Juliana. Sanggup membasuh pakaian Juliana, sanggup menyediakan sarapan untuk Juliana, sanggup memikul buku dan fail untuk Juliana dan macam-macam lagilah yang menggambarkan Roma ni sebagai khaddam. Jangka saya mungkin juga Roma merasa terhutang budi kepada keluarga Juliana kerana sanggup menyara hidupnya hingga sampai ke universiti selama ini dan sanggup pula menjenguk ibu serta adik-adiknya. Maka Roma tidak keberatan untuk melakukan semua itu. Namun di sebalik semua itu rupa-rupanya ada satu insiden yang menimpa Juliana membuatkan Roma dirundung rasa bersalah.

Ketampanan rupa paras dan karisma yang ada pada Roma membuatkan teman sebilik Juliana berlumba-lumba untuk mendekati Roma. Farhana, Kalkauthar dan Kasma berlumba-lumba untuk mendapat perhatian dari Roma membuatkan Roma pening. Sudahnya rakan sebilik Roma yang cuba memasang pancing untuk gadis bertiga itu mula memusuhi Roma. Situasi yang tidak menyenangkan itu memaksa sepasang Roma dan Juli ini berpindah rumah.

Sebenarnya di dalam diri Roma hanya wujud Juliana sebagai lambang cinta suci. Tetapi kenakalan Farhana dan tindak tanduk lembutnya telah memukau hati Roma untuk melayan karenah gadis itu. Tambah pula Farhana bijak melafazkan kata-kata sayang terhadap Roma manakal Juliana hanya membisu tiada kata. Membuatkan hati Roma terkadang keliru.

Novel ini mempunyai jalan cerita yang menarik. Gayanya bersahaja dan tidak terlalu jiwang membuat saya menghayatinya dari awal hingga akhir cerita. Tata bahasa yang kemas dan teratur. Kalau pada sesetengah novel bila tiba babak yang membosankan saya mudah sangat untuk melangkau pembacaan ke mukasurat seterusnya. Tetapi tidak untuk novel ini. Sudah sepatutnyalah novel ini memenangi hadiah Sayembara Pengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.

Related Posts :



2 comments:

  1. salam,

    Wah, kagum saya dibuatnya. Begitu cepat akak membaca. Apa rahsianya? :)

    ReplyDelete
  2. waalaikum slm,

    aduhai cik welma.. kebanyakan novel yang akak paparkan di sini bukannya akak baca dalam masa terdekat ni. kecuali novel-novel keluaran terbaru.

    contohnya novel ini, akak dah baca 6 bulan lepas. oleh kerana ceritanya menarik akak rase elok kalau buat paparan di sini.

    tak buat keje lain la akak kalau dapat habiskan banyak novel dalam masa dua tiga hari.. hehehehe..

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin