Sunday, January 11, 2009

Mulanya Satu Cinta











Tajuk Novel : Mulanya Satu Cinta
Karya : Rose Harissa
Penerbit : Alaf 21

Eddy Ezli dan Khairina berkahwin di luar negara ketika mereka masih bergelar pelajar. Malangnya, ketika anak mereka Afizan berusia dua bulan, Khairina berlaku curang kerana desakan hidup di rantau orang.

Akibat mengejar cinta lain, Khairina meminta cerai dan hak penjagaan anak diserahkan kepada Ezli. Kerana dikecewakan, Ezli menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran wanita di dalam hidupnya.

Namun, permulaan yang tidak diduga telah menemukan Ezli dengan Iryanie yang diupah untuk mengasuh Afizan. Ibu Ezli terpaut dengan layanan mesra yang ditunjukkan oleh gadis itu.

Hubungan Iryanie dan Afizan semakin rapat sehingga anak itu selesa memanggilnya 'mama'. Akhirnya, Ezli patuh pada fitrah manusia bahawa dia amat memerlukan ibu untuk anaknya dan teman buat dirinya. Cinta dan rindunya mula berputik terhadap Iryanie.

Namun, kemunculan semula Khairina untuk merampas Afizan telah membuatkan Ezli hidup dalam kebimbangan. Pelbagai cara digunakan oleh wanita itu dalam mendapatkan kembali anak itu daripada Ezli.

Konflik dan krisis bagai tak berkesudahan sehingga terbawa ke kamar mahkamah. Namun, dapatkah mereka menerima keputusan pengadilan yang akan melukakan salah satu hati?
.................................................................................................................................

Saya yang baru selesai membaca buku epal hijau karya penulis ini, tertanya-tanya samada novel ini novel lama atau novel baru. Buat rujukan di website Alaf 21 takde pula memaparkan iklan untuk novel ini. Bila membuka website penulis barulah saya ternampak perihal novel ini. Rupa-rupanya ia baru diterbitkan.

Kalau dalam novel Setulus Hati karya Rozita Abd Wahab terbitan Alaf 21 mengisahkan Zulaikha yang serik bercinta lagi kerana kecurangan suami Zamri. Di dalam cerita ini Ezli pula yang serik bercinta kerana kecurangan isteri tersayang. Macam berpakat je penulis dua orang ni ye...

Membaca novel ini sebenarnya membuat saya tersenyum sendiri. Jalan bahasa novel ini hampir sama ketika membaca coretan-coretan penulis di blognya sendiri. Jadi kalau kita enjoy membaca coretan penulis di blognya, kita juga pasti akan terhibur membaca novel ini. Untuk diri saya, saya rasa saya lebih menyukai novel epal hijau. Apa-apa pun novel ini masih mempunyai kekuatannya sendiri. Penuh dengan humor dan kelakar. Membuatkan kita ketawa berdekah-dekah tak ingat orang keliling.

Watak Ezli yang agak 'brutal' semasa pertama kali berjumpa dengan Iryanie dalam insiden kemalangan kereta menyentak hati saya. Bahasa pertuturan juga hanya menggunakan kau dan aku sebagai sebagai gantinama. Wahh... memang rugged habis lelaki Ezli ni. Walaupun rugged tetapi tetap anak mak yang manja.

Berbeza dengan Iryanie yang perwatakannya lembut dan manis serta berhati tulus. Iryanie seorang penuntut di UITM memerlukan kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan kuliahnya apabila terpaksa mengulang satu semester. Kerana sukakan budak-budak, Iryanie mengambil keputusan untuk berkerja sambilan sebagai 'nanny'. Kehadiran Iryanie sebagai pengasuh Alfizan pada mulanya tidak disenangi Ezli. Kata-kata kasar sengaja dilemparkan kepada Iryanie namun Iryanie mampu bersabar dan bertenang.

Yang bestnya adegan-adegan kelakar yang mampu membuatkan kita ketawa mewarnai cerita ini bila mak Ezli, Faridah, kembali ke kampung meninggalkan mereka bertiga. Ezli yang selama ini keperluan hariannya diatur oleh Faridah terpaksa melakukan semuanya sendiri dan ianya begitu menyukarkan Ezli. Nak tak nak dia terpaksa bergantung pula pada Iryanie. Walaupun begitu Ezli masih tegar dengan sikap bongkak dan marah-marahnya itu membuatkan Iryanie geram.

Insiden demam membuatkan sikap marah Ezli kendur juga. Ezli mula mahu berbual dan bertanya latar belakang Iryanie walaupun masih menggunakan gantinama aku dan kau. Tanpa disedari terselit satu rasa kelainan di hati masing-masing. Walaupun masing-masing masih kontrol macho. Pergaduhan-pergaduhan kecil mula menjadi bunga-bunga cinta untuk menuntut perhatian antara satu sama lain. Saya tercuit hati dengan adegan tempek menempek mesej di pintu peti sejuk ala-ala drama Korea Full House.

Di pertengahan cerita watak Khairina, bekas isteri Ezli muncul untuk menuntut hak penjagaan Alfizan. Penulis berjaya membuatkan pembaca turut merasa perit dan sakit hati yang ditanggung oleh Ezli apatah lagi dengan tingkah laku Khairina yang tidak bersopan dan mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mempermainkan Ezli dengan menculik Alfizan. Pertelingkahan mereka berlarutan hingga ke mahkamah.

Bait-bait kiasan bahasa yang berbunyi kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Saya ingatkan cinta Ezli-Iryanie berakhir hingga ke jinjang, rupanya banyak lagi kejutan yang bakal terjadi. Percintaan mereka terduga juga akhirnya bila mana Iryanie dipaksa ayahnya berkahwin dengan Zamri, watak antagonis kedua selepas Khairina. Hati seorang Ezli yang gagah dan macho berkecai jua untuk kali kedua. Kekecewaan yang terlalu dialaminya sehingga terbabit dalam kemalangan.

Kisah perit rumahtangga Iryanie-Zamri digarap dengan begitu cepat namun lancar sekali oleh penulis. Setelah menonton vcd aksi kurang sopan antara Zamri dan Suhaina tahulah Iryanie bahawa Zamri bukanlah seorang lelaki yang baik. Rupa-rupanya Zamri memang mempunyai hubungan sulit dengan kakak tirinya Suhaina.

Akan terjalinkah semula cinta Iryanie-Ezli yang sememangnya tidak pernah layu?
Syabas untuk penulis kerana berjaya membuatkan pembaca merasa sangat terhibur membaca novel ini dari awal hingga akhir.








Related Posts :



1 comment:

Blog Widget by LinkWithin