Tuesday, January 6, 2009

Hari Asyura


Besok tanggal 7hb Januari bersamaan dengan 10 Muharram kita akan menyambut hari Asyura. Asyura ini berasal dari bahasa Arab iaitu asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari ke sepuluh di dalam kalander Islam iaitu 10 Muharram. Menjelang hari Asyura kita patut mengenang dan mengetahui betapa banyak peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada hari tersebut di dalam menegakkan agama Islam.

Di antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku ialah:

1. Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.
2. Allah jadikan bulan,bintang,matahari dan cakrawala.
3. Allah jadikan Arasy,Loh Mahfuz,Kalam dan Malaikat.
3. Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam.
4. Allah menjadikan Siti Hawa.
5. Allah menjadikan Syurga.
6. Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga.
7. Taubat Nabi Adam diterima Allah.
8. Nabi Noh diselamatkan oleh Allah keluar dari bahtera setelah bumi tenggelam selama enam bulan.
9. Nabi Ibrahim dilahirkan dan 10 Muharram juga Baginda diselamatkan Allah daripada pembakaran Raja Zamrud.
10. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
11. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
12. Pengelihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah.
13. Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
14. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam.
15. Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun.
16. Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut.
17. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah Kerajaan yang besar.
18. Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan.

Ada juga amalan-amalan sunat yang boleh kita lakukan di hari Asyura ini. Di antaranya ialah :

1. Melapangkan masa / belanja anak , suami atau isteri
fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

3. Menziarahi para Ulamak dan mempelajari sesuatu daripada mereka.
fadhilat - Allah mengurniakan pahala seperti orang Muhajirin dan Ansar.

4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.

6. Bersedekah
fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat
fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu
lafaz niat : 'Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala'

9. Bercelak
fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu.

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti.

11. Sembahyang sunat empat rakaat satu salam pada waktu Asar
fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
lafaz niat : 'Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala'
Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.

12. Membaca 'hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru'
fadhilat - Tidak mati pada tahun ini .

13. Menjamu orang berbuka puasa dan memberi minum
fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

14. Puasa
Niat - 'Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala'
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin