Tuesday, January 6, 2009

Kaulah Satu









Tajuk Novel : Kaulah Satu
Karya : Fatin Nilam Sari
Terbitan : Kaki Novel

Jatuh cinta hanyalah satu pandangan sesaat...
Pandangan yang memukau,
menggetar seribu rasa.

Novel-novel karya Fatin Nilam Sari Ahmad memang selalu mendapat tempat tersendiri di hati saya sebagai pembaca. Dari novel Kesturi, Megalomania 1 & 2 yang diterbitkan oleh Creative Enterprise sehinggalah ke beberapa buah novel lagi yang diterbitkan oleh penerbit buku yang lain akan saya kumpul sebagai koleksi peribadi.

Buah tangan Fatin Nilam kali ini menceritakan kisah gadis 17 tahun, Anisa Camylia, baru selesai menduduki SPM telah dihantar ke Pulau Pinang untuk tinggal bersama ayah dan ibu tirinya. Dalam perjalanan ke Pulau Pinang Anisa Camylia berkenalan dengan seorang jejaka yang dipanggil Jay.

Misi Anisa Camylia ke Pulau Pinang ialah untuk memboikot ibu tirinya, Norma, yang telah merampas ayahnya dari mamanya, Hanna. Layanan yang diberikan terhadap Norma adalah terlalu dingin dan kasar menunjukkan tanda protes. Harapannya semoga rumahtangga baru ayahnya berkecai dan kembali semula kepada mama.

Namun semakin lama Anisa Camylia tinggal bersama ayah dan ibu tirinya, dia mulai mengenali dan mengetahui satu perkara tentang ayahnya. Ayah yang hobinya mengumpul wanita-wanita cantik dalam hidupnya silih berganti. Timbul rasa kasihan terhadap auntie Norma di dalam hati. Sekiranya ayahnya dibiarkan hanyut di dalam dunia cinta, pasti auntie Norma yang akan merasa apa yang telah dirasai oleh mamanya dulu.

Di dalam kemelut itu tidak disangka-sangka auntie Norma rupanya sedang mengandung. Bertambah-tambah lagi rasa kasihan pada auntie Norma, Anisa Camylia cuba mempertahankan rumahtangga kedua ayahnya dengan menemui Maria, si kekasih baru. Ternyata si ayah telah betul-betul mabuk cinta dengan kekasih barunya sehingga nekad meninggalkan rumah untuk sebuah perpisahan sementara. Meninggalkan isteri yang tidak diketahuinya sedang mengandungkan benih cinta kasih mereka.

Sekembali ke Kuala Lumpur, Anisa Camylia dikejutkan pula dengan mamanya, Hanna yang menjalin hubungan uncle Zackry dan merancang untuk mendirikan rumahtangga. Hubungan mereka dua beranak terus menjadi renggang apabila Hanna asyik menumpukan perhatian hanya kepada kerja dan uncle Zackry dan tidak menghiraukan Anisa Camylia. Mujurlah ada Jay untuk menghiburkan hatinya di kala sunyi. Dan semakin hari perhubungan mereka semakin erat. Merajuk dengan mamanya, Anisa Camylia kembali merantau semula ke rumah ibu tirinya di Pulau Pinang setelah mendapat result SPM yang begitu cemerlang.

Setelah diketahui isteri keduanya mengandung anak lelaki hati Halim berbunga riang menimbulkan rasa tidak senang dan cemburu di hati Maria. Niat di hati Maria untuk memiliki Halim hanya untuk dirinya seorang saja dan tidak dikongsi dengan orang lain menghadapi kegagalan bila Halim kembali kepada Norma semula. Ditambah lagi selepas membuat pemeriksaan doktor, dia dikhuatirkan tidak boleh mengandung.

Anisa Camylia diterima masuk ke universiti di utara bermakna dia akan meninggalkan mamanya untuk jangka waktu yang lama. Hanna mula menyedari yang dia telah tersilap menjalin hubungan dengan seorang yang goyah pegangan agamanya setelah menemui rantai salib di atas meja tulis Zackry. Mahu atau tidak dia terpaksa membatalkan niat untuk hidup bersama Zackry walaupun hatinya benar-benar cinta. Apakah Zackry juga sungguh-sungguh menyintainya dan sanggup berkorban untuknya?

Hilang punca dan pegangan Maria merancang untuk melakukan sesuatu yang di luar dugaan. Maria meletakkan semua kesalahan pada Anisa Camylia. Anisa Camylia sebagai punca semua kegagalan ini terjadi. Lalu apakah Anisa Camylia harus dikorbankan demi untuk membayar sebuah kekecewaan? Atau dirinya sendiri yang menjadi korban?
..................................................................................

Cerita yang sarat dengan makna sebuah kasih sayang. Kasih sayang dua insan, kasih sayang kekeluargaan dan kasih sayang sesama insan. Penulis tidak pernah lupa untuk menyelitkan beberapa pengajaran serta sebab dan akibat daripada setiap tindak tanduk yang dilakukan.

Walaupun sarat, namun penulis bijak menggunakan bahasa yang santai dan relaks tetapi menarik membuatkan pembaca tidak dibebani dengan permasaalahan yang dianggap serius ini.





Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin