Friday, January 9, 2009

Chinta - Norhayati Berahim








Tajuk Novel : Chinta
Karya : Norhayati Berahim
Terbitan : NBKara Sdn Bhd

Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita. Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai satu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita.Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya... hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya.
...............................................................................

Boleh dikatakan hampir semua novel karya Norhayati Berahim berada di dalam koleksi saya. Dari terbitan Creative Enterprise, Alaf 21, Diwangsa, Media hinggalah ke terbitan NBKara.

Membaca cerita ini saya menggambarkan semua watak wanita-wanita yang hadir di dalam novel-novel NB yang lain. Perwatakan yang semuanya hampir sama. Seorang wanita cekal yang dapat menghadapi dan menerima semua takdir dengan hati yang terbuka tanpa mengeluh dan rasa kecewa. Masih dapat pula berketawa dan meriangkan hati orang lain walaupun diri dilanda sedih dan sengsara.

Chinta didendami oleh ayah angkatnya yang juga abang kepada ibunya kerana masa lampau. Dirinya tersisih dan selalu disalahkan. Jerkahan, hinaan dan makian menjadi makanan Chinta bila berhadapan dengan si ayah. Hak Chinta diabaikan sehingga tanah miliknya tergadai untuk anak lain yang lebih disayangi si ayah. Di sebalik sengsara dan kepayahan akibat onar si ayah Chinta yang berhati waja masih mampu berusaha sendiri mengejar cita-cita.

Mendapat kerja di sebuah kilang membuat makanan, Chinta dipertemukan dengan Raja Akid jejaka yang mempunyai rahsia hidup pahit tersendiri. Raja Akid yang telah menetapkan pendirian diri untuk tidak mempercayai wanita kalah dengan permainan hati sendiri apabila bunga-bunga kasih terhadap Chinta tumbuh di dalam jiwanya tanpa sedar. Akid dan Chinta.. masing-masing mempunyai suatu persoalan dan permasalahan yang rumit, bertemu dan akhirnya jatuh cinta.

Di samping kisah cinta Akid-Chinta cerita ini juga penuh dengan erti kasih sayang kekeluargaan dan membuat kita terfikir betapa pentingnya ikatan kasih antara adik beradik. Persoalan berat yang ditimbulkan namun berjaya digarap oleh penulis dengan dicampur dengan elemen humor dan kelakar supaya pembaca tidak merasa berat membacanya. Elemen romantik namun bersahaja juga berjaya mencuit hati pembaca membuatkan cerita ini lebih menarik.

Watak-watak jahat dan kejam seperti Pak Cik Kamal, Rodin Dan Raja Farah membuatkan kita turut merasa geram dan sakit hati sendiri. Hampir tumpah airmata saya bila membaca tendangan demi tendangan Pak Cik Kamal hinggap di badan Chinta yang lemah hanya kerana gara-gara Chinta ingin melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama.

Syabas diucapkan untuk penulis kerana berjaya menerbitkan sebuah lagi karya bermutu. Hanya terselit rasa tidak puas apabila melihatkan printing novel ini yang samar-samar agak menyulitkan pembacaan. Seolah-olah kekurangan dakwat.








Related Posts :



2 comments:

  1. Salam kenal. :)
    Byknya novel.
    Bleh pinjam kaa?? ;)

    ReplyDelete
  2. waalaikum slm..
    novel tu ade la skit2 utk koleksi dan puaskan hati sendiri sj.
    suka sgt singgah blog eryza. byk perkara dpt dipelajari.
    trimakasih byk2.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin