Saturday, February 13, 2010

Ranting Cinta Si Plato










Tajuk Novel : Ranting Cinta Si Plato
Karya : Norhayati Ibrahim
Penerbit : NB Kara
Terbitan : 2010
Halaman : 717 mukasurat
Harga : rm25.90


Karya NB sejak kebelakangan ini agak tebal-tebal belaka. Seperti biasa bila membaca cerita dari NB saya akan membayangkan watak heroin yang pasti saaaamaaaaaaa semuanya. Kali ini pun sama. Seorang yang berfikiran terbuka, tak mudah melatah dan penyabar. Cuma situasinya saja yang berbeza. Dan satu lagi, kalau pasal watak jahat, terang-terang NB akan bercakap pasal keburukannya saja. Bercerita pun pasal keburukan saja. Samalah juga dalam cerita ini. Watak Rosni, Liza dan Alfian akan digarap dengan jelas supaya pembaca dapat menggambarkan perangai tak baik mereka. Kasihan sungguh.

Pertemuan Doktor Muaz dengan Sofea membibitkan suatu perasaan yang berlainan di jiwa Muaz. Namun dirahsiakan saja memandangkan mereka baru saja berkenalan. Dapat berkongsi cerita tentang karenah pesakit dan makan tengahari bersama Sofea amat membuatkan Muaz terhibur. Apatah lagi sudah berbelas tahun hidup merantau di negara asing membuatkan Muaz semakin teringatkan tanahair dan adiknya Dian. Perhubungan mesra Muaz-Sofea menimbulkan rasa cemburu di hati Rosni yang menyangka Muaz adalah kekasihnya.

Setelah pulang ke Malaysia, Alfian menuntut janji Sofea untuk berkahwin. Penyatuan dua jiwa ini seakan tiada keserasian. Selalu saja bertengkar. Ada saja kata-kata Sofea yang menyakitkan hati Alfian. Ada juga luahan rasa Alfian yang menimbulkan rasa tidak senang di hati Sofea. Kerana cinta punya pasal Sofea berkahwin juga dengan Alfian. Sepanjang perkahwinan pun mereka sering bertengkar dan bersyak wasangka. Tambahan pula Alfian selalu saja tidak ada di rumah. Kerja sebagai jurutera menuntutnya untuk selalu saja bekerja di luar daerah. Meninggalkan Sofea keseorangan. Yang menjadi kemusykilannya pada hari minggu pun Alfian terpaksa bekerja? Ada udang di sebalik batu ke? Semuanya kemusykilan terbongkar apabila Alfian terlibat dalam kemalangan dan menemui ajal.

Cerita Muaz pula, dia pulang ke Malaysia untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang abang terhadap adiknya yang satu, Dian. Walaupun masih belajar Dian sudah pandai bermain cinta dengan Kyrel yang akhirnya menjadi suaminya. Setelah Dian berumahtangga, Mak Uda selalu saja menyuruh Muaz pula berkahwin. Tapi dengan siapa? Muaz tidak ada pilihan hati yang tepat untuk mendirikan rumahtangga. Kasihan Muaz. Asal bertemu wanita saja, pasti wanita itu kaki kontrol, kuat cemburu dan membosankan. Semua wanita yang ditemuinya tidak memenuhi ciri-ciri yang yang menjadi idaman hati. Kecuali.... Sofea. Di mana dia nak cari wanita itu di atas mukabumi ini?

Sedih, pilu, rasa kehilangan, seperti langit ini sudah gelap gelita tiada dahan untuk bergantung, tidur bagaikan jaga, jaga bagaikan mimpi.. mungkin itu yang dirasai Sofea setelah kehilangan Alfian. Meratapi kehilangan Alfian adalah kerja Sofea sehari-hari. Setiap petang mengunjungi pusara arwah. Sofea menyedari adanya pusara lain yang baru dihuni tidak berjauhan darinya. Tidak jauh dari situ juga Muaz mensedekahkan ayat-ayat suci di pusara adiknya. Sesekali memandang ke arah Sofea, Muaz seperti mengenali wanita itu. Setelah lebih kurang lima tahun barulah Tuhan mempertemukan mereka berdua tetapi di situasi yang seperti ini? Di saat masing-masing dilanda kesedihan kerana kehilangan orang tersayang. Mungkin akhirnya si Plato telah menjumpai ranting cinta yang ditinggalkan di hutan tempoh hari.

.............................................................................................

Sukar menerima hakikat si suami pergi tak kembali. Hati Sofea galau dan ganar. Separuh nyawanya terasa melayang. Bagi dia, Alfian, si suami terlalu muda untuk mati. Namun cerita yang terbongkar selepas kematian Alfian, membuat hatinya luka parah.

Dalam melayan duka lara, Muaz muncul seperti kilatan cahaya. Lelaki yang bertahun dahulu pernah menaruh hati padanya. Lelaki yang sering berdoa, akan berjumpa semula ranting cinta yang tertinggal di belakang.

Tidak mudah hati Sofea akan berubah, tidak mudah cinta akan beralih arah. Tetapi Sofea sedar cerita kelam yang ditinggalkan Alfian harus dipadam.. Dia harus bangkit, berdiri semula dan melupuskan segala ingatan pada yang menyakitkan.






Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin