Monday, February 22, 2010

Cinta Kepala Batu











Tajuk Novel : Cinta Kepala Batu
Karya : Ayu Emelda
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2010
Halaman : 467 mukasurat
Harga : rm19.90


Anehnya tajuk novel ini. Tapi gambar kulit depan novel menunjukkan sekuntum bunga. Saya mengagak mungkin si heroin dalam cerita ni seorang yang keras kepala atau tidak mendengar kata.

Syaira atau Aira dipertanggungjawabkan untuk menjaga dua orang anak yatim, Nicky dan Nadia, setelah Selina dan Imran meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan. Punyalah kepala batu si Syaira ni dia selalu saja dengan kedegilannya tak dapat menerima kematian kakak dan abang iparnya itu. Asyik menangis dua puluh empat jam kesedihan kononnya melebihi anak-anak arwah pulak. Kelakar juga si Syaira ni. Bila mengetahui amanat penjagaan kedua anak-anak arwah jatuh ke tangannya, Syaira mula melatah pula. Katanya dia tidak tahu macam mana untuk menjaga dua orang anak sedangkan dia belum berumahtangga dalam usia yang masih muda iaitu 26 tahun. 26 tahun muda ke? Aduhai. Tergelak saya membacanya. Tapi hendak tak hendak Syaira kena juga memikul tanggungjawab itu.

Cabaran menjaga anak yatim yang baru kematian ibubapa memang payah juga bila ianya bersabit dengan emosi anak-anak. Nicky, anak yang baru meningkat remaja memberi cabaran agak hebat kepada Syaira. Antara Nicky dan Syaira, masing-masing memang mempunyai perangai yang sama. Iaitu keras kepala. Nicky mula tunjuk perangai bila Syaira selalu bertegas dengan setiap keputusan yang dibuatnya. Tegas dan keras. Syaira pula memang tidak dapat membaca maksud di sebalik tunjuk perasaan Nicky yang sebenarnya inginkan perhatian dan perlindungan dari orang yang dipercayai. Bagi Nicky, dia sudah hilang orang yang memberi perlindungan kepadanya selama ini dan untuk itu dia harus melindungi dirinya sendiri. Kerana itulah dia memberontak. Nasib baik ada Adam, adik Imran yang memahami hati Nicky.


Melihatkan konflik yang berterusan antara Nicky dan Syaira, timbul di hati Adam untuk ikut campur tangan dalam hal penyaraan anak-anak arwah abangnya itu. Niat Adam suatu hari nanti dia akan sama-sama memikul tanggungjawab membesarkan mereka bersama Adleena, tunangnya. Namun Adleena keberatan dan tidak menyukainya. Malah bila Adam membawa anak-anak itu semasa keluar bersama pun Adleena sudah menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Yelah, siapa yang mahu menjadi ibu segera di dalam usia yang muda.

Walaupun bertunangan dengan Adleena, tetapi sebenarnya Adam masih menyimpan perasaan halusnya untuk Syaira. Sejak dulu lagi dia memang sukakan Syaira tetapi kerana satu kesilapan dan ditambah dengan kepala batu si Syaira terus-terusan menolaknya maka perasaan itu harus berkubur begitu saja. Kini setelah sama-sama memikul tanggungjawab menjaga Nicky dan Nadia, perasaan itu kembali bercambah. Bagaimana harus dia mengikat Syaira untuk terus bersamanya hingga ke akhir hayat? Cuma satu alasan kukuh yang boleh menyelamatkan cintanya untuk si gadis kepala batu itu iaitu Nicky dan Nadia.

Kerana alasan Nicky dan Nadia perlukan sebuah keluarga yang sempurna, maka Syaira menerima lamaran Adam. Tapi kenapa susah sangat untuk Syaira menerima cinta Adam. Kenapalah keras sangat hati Syaira sehingga menolak kehadiran kasih tulus Adam untuknya. Ataupun Syaira memerlukan satu tamparan hebat supaya dia menyedari akan hakikat yang sebenarnya bahawa dia sudah pun menjadi isteri Adam. Aduh, Syaira. Tak elok sangat kalau perempuan terlalu bersikap negatif dan berkepala batu.

...........................................................................................................

PERTEMUAN Syaira dan Adam bermula dengan salah faham. Akibatnya, Adam memendam gelora rasa dan Syaira pula menyimpul benci di dada. Mereka berbicara, tetapi dengan bahasa tidak sekata dan pandangan berlainan cara.

Hidup Syaira mula huru-hara dengan berita kematian Imran dan Selina. Dia rebah buat seketika, namun atas rasa tanggungjawab, dia bangkit memikul amanat. Nasib anak-anak saudaranya perlu dibela. Namun, semuanya jadi sukar apabila Adam sering mencampuri urusannya.

Tak percaya CINTA! Begitulah pendirian Syaira. Hatinya sekeras batu. Baginya, cinta sekadar mainan jiwa yang tidak membawa sebarang makna. Impiannya... cukuplah bertemu bahagia andai jodoh tiba. Lantaran itu, lamaran Adam diterima dengan reda.

Namun, hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian. Ketulusan dan kejujurannya selalu dipertikaikan. Pengorbanan nya sering dibayar dengan hinaan. Dia kian lemah dilanda badai dan gelora.





Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin