Tajuk Novel : Dalam Kehangatan Dakapan Senja
Karya : Manaf Hamzah
Penerbit : Pustaka Nasional
Terbitan : 2009
Halaman : 786 mukasurat
Harga : 50.00
Dilema seorang gadis…
Perkahwinannya dengan pemuda pilihan sendiri terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir oleh tunangnya. Bagaimanapun, dapat juga Amelia Harun meneruskan perkahwinannya itu. Tapi dengan pemuda lain. Seorang pemuda yang begitu merahsiakan latarbelakangnya yang sebenar…
Dilema seorang wanita…
Meskipun sudah menjadi isteri kepada Karim Iskandar yang misteri, namun Amelia ingin juga dimiliki oleh pemuda lain. Seorang pemuda yang gagah dan berwibawa. Tapi tidak sebangsa dan seagama. Bahkan bekas tunangnya mahu kembali kepadanya. Lantaran membuat Amelia dilanda perasaan berbelah-bahagi ....
Dilema dalam rahsia…
Kehidupan Amelia menjadi tidak menentu, dek dia berhadapan dengan rahsia dan misteri orang-orang sekelilingnya yang dikenali dan disayangi. Tentang watak sebenar arwah ayahnya? Tentang apa yang terkandung dalam diari yang arwah telah tinggalkan. Justeru membuat keluarganya dalam bahaya. Tentang latar belakang suaminya yang beliau begitu rahsiakan? Sesungguhnya, apabila semua jawapan terhurai, Cukup menggegarkan jiwa raga Amelia...
..................................................................................
Dalam Kehangatan Dakapan Senja adalah novel terbaru dari penulis Manaf Hamzah. Di dalam novel ini penulis masih mengekalkan cerita bercorak cinta dan misteri dendam dan pembunuhan. Tentang gaya bahasa, sepertimana novel penulis yang sudah-sudah ternyata agak berlainan sedikit dari gaya penulisan dari Malaysia. Cuma yang agak tidak menyenangkan saya ialah terdapat lebih banyak adegan intim yang digambarkan di dalam cerita ini. Saya harap di novel yang akan datang penulis dapat mengurangkan adegan sebegitu kerana pendapat saya ianya tidak perlu untuk sebuah novel Melayu. Walaupun begitu, novel ini masih kekal menarik dari segi penyusunan watak, cerita, misteri dan persoalan yang ingin dirungkaikan.
Amelia Harun seorang gadis cantik digilai oleh dua orang lelaki sekali gus pabila dia akan dinikahkan dengan tunangnya Zamri. Seorang lelaki tampan dan gagah berbangsa China, Kenneth Chng dan Karim Iskandar, lelaki misteri yang tempang dan berjambang serta berparut di dahi. Perkenalan dengan Kenneth yang dimulai dengan pertengkaran di dalam kapalterbang membuatkan Amelia rimas. Sikap saling ego dan tidak mahu mengalah berlanjutan apabila Amelia dengan tidak sengaja terpaksa bekerja sementara sebagai amah di rumah Kenneth. Kenneth yang sememangnya seorang yang tampan dan berbadan sasa.. (selalu sangat disebut di dalam novel ini) merasa tercabar pabila Amelia tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda tertawan dengan ketampanannya sepertimana gadis-gadis lain yang pernah ditemuinya.
Selang dua minggu lagi hari pernikahan Amelia-Zamri akan berlangsung Zamri tiba-tiba menarik diri gara-gara terpikat pada perempuan lain. Di saat hati merasa sedih lagi terkejut dengan tindakan Zamri, kehadiran Karim Iskandar menawarkan diri untuk menjadi pengantin lelaki mengharukan Amelia. Walaupun belum berputik cinta untuk bakal suami namun dia berazam agar suatu hari nanti dia akan dapat juga menyintai Karim sepertimana seharusnya.
Belum pun jauh Amelia-Karim melayari hidup berumahtangga, Amelia sudah diduga hati dan cintanya terhadap si suami. Semasa berbulan madu lagi Kenneth datang mengganggu diri dan hati Amelia membuatkan Amelia keliru. Di dalam hati ada sesuatu yang terdetik untuk Kenneth. Seboleh-bolehnya Amelia cuba menafikan pada diri sendiri lantaran dirinya yang sudah pun menjadi isteri orang. Apatah lagi Kenneth adalah berbangsa dan beragama lain. Semakin dinafikan semakin kuat pula runtunan rasa di dalam hatinya untuk Kenneth.
Di dalam kekeliruan menangani masalah hati, Amelia tiba-tiba diculik oleh Lanang yang berhasrat untuk membalas dendam. Dendam Lanang adalah berpunca dari arwah ayah Amelia yang telah belot kepadanya dan Hadi dengan melarikan wang rompakan mereka lima tahun yang lalu. Ayah Amelia, Harun jugalah yang menyebabkan Lanang terpaksa merengkok di dalam penjara. Oleh kerana Harun sudah lama meninggal Lanang berhasrat untuk membalas dendam ke atas warisnya pula. Baginya tidak boleh tidak, dendam harus berbalas.
Bermula di saat inilah semua rahsia demi rahsia dapat dirungkai. Rahsia di sebalik kematian Harun, diari yang ditinggalkannya, status ayah tirinya dan yang paling mengejutkannya ialah siapakah lelaki misteri yang telah dikahwininya selama ini.
Sunday, June 7, 2009
Dalam Kehangatan Dakapan Senja
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment