Tuesday, June 23, 2009

Bidadari Cinta

Tajuk Novel : Bidadari Cinta
Karya : Samsiah Mohd Nor
Penerbit : S.A. Production Sdn. Bhd.
Terbitan : 2009
Halaman : 508 mukasurat
Harga : rm19.90

Pertama kali melihat Aju di pinggir kafetaria Desa permai, pintu hati Ray berdegup kencang. Kebijaksanaan si gadis mempertahankan diri dari gangguan pelajar senior menarik hati Ray. di dalam feri menuju ke kampus USM, keduanya ditemukan. Dari situ semuanya bermula dgn indah. Namun penyatuan dua hati itu amat sukar sekali.

Aju
Kau seperti rama-rama yg indah berterbangan
kau seperti pelangi yg gemilang
Aku tahu apa mahu hatimu sabarlah sayang.

Ray
sukarnya membaca hatimu seperti sukarnya aku mentafsir warna laut yg kononnya biru.

Aju
Aku tak pernah curiga tentang putihnya warna awan...yg seputih hatimu

Ray
Kebisuanmu melemaskan aku... aku sudah sampai di persimpangan.

Apakah kesudahan perkasihan Ray dan Aju?
Apa salahnya dan di mana silapnya sehingga banyak benar rintangan yg melintang antara mereka?

Bidadari Cinta
mengungkapkan sebuah perkasihan yg tulus, erti persahabatan dan erti pengorbanan.
........................................................................................................

Wah.. sudah lama saya menantikan karya terbaru dari penulis tersohor ini. Bila nampak saja novel terbarunye terpamir di toko buku tempoh hari seperti magnet saja tangan saya terus mencapai senaskah untuk dimiliki. Pulang saja ke rumah malam itu saya berhasrat untuk memulakan pembacaan. Niat di hati hanya untuk mengetahui serba sedikit kisah di dalam novel ini. Namun saya tersilap perhitungan. Pembacaan saya terbawa terus ke pagi.

Kisah yang dibawa kali ini adalah berkisar tentang kehidupan suka-duka yang ditempuhi oleh siswa siswi di USM. Heronya adalah Ray seorang jejaka kacak menjadi perhatian ramai berasal dari Kedah. Ibunya di kampung berhasrat untuk menjodohkan Ray dengan anak Pak Longnya, Suhana, demi untuk menunaikan hajat orang yang telah tiada. Ray yang tidak tergamak untuk membantah merasa rimas dengan kehendak si ibu. Pada si angah lah tempat dia mengadu dan berbicara.

Berlainan pula latar belakang kehidupan si Aju, heroin yang cantik manis, anak bongsu kepada seorang yang berpangkat Tan Sri. Menjalani hidup yang serba mewah tidak menjanjikan kebahagiaan dan kepuasan bagi Aju. Dia sering terkilan pabila setiap kejayaan yang dicapainya pasti akan dikaitkan dengan ayahnya. Walaupun dia berusaha bersungguh-sungguh namun tetap jugak orang mengata kejayaan itu adalah kerana pengaruh si ayah. Sudahnya Aju fobia untuk mendedahkan identiti dirinya. Setelah diterima masuk ke USM dia bertekad untuk menyembunyikan siapa dirinya.

Cinta pandang pertama Aju dan Ray memang banyak dugaannya. Al maklumlah kedua-duanya ada peminat tersendiri. Dan kedua-duanya tak pernah bercinta jadi tak ada pengalaman dalam bercinta. Masing-masing memendam perasaan. Sudahnya masing-masing hampir saja menggigit jari pabila kekasih hati nyaris-nyaris disambar orang lain.

Persahabatan dengan Waheeda, Nana, Erma dan Mashitah juga mengajar Aju siapakah sebenarnya yang layak digelar kawan dan sahabat. Sifat Aju yang selalu ikhlas membuatkan Waheeda selalu mengambil kesempatan atas dasar persahabatan. Watak Waheeda seorang yang psyko dan suka mengongkong Aju juga agak menggerunkan. Dalam diam-diam Waheeda sebenarnya ada menyimpan hasrat untuk merenggangkan hubungan Aju-Ray dan membolot Ray untuk dirinya sendiri. Kira jenis kawan yang tikam belakanglah ni. Ada juga ye perempuan Melayu semacam ini. Erma dan Mashitah pula terang-terangan sanggup bermusuh dengan Aju walaupun dulunya mereka pernah berkawan. Semuanya kerana gara-gara berebutkan Ray. Hanya Nana sajalah yang mengerti tentang diri Aju. Namun masih juga Aju menyayangi kawan-kawannya terutama Waheeda.

Lama perhubungan cinta kampus mereka terjalin, menjelang tamat pengajian Aju menuntut sebuah kepastian dari Ray. Ray serba salah memikirkan antara kemahuan Aju dan hasrat ibunya. Lama masa yang diambil oleh Ray untuk menyelesaikan masalah di kampung sehingga Aju beranggapan Ray sudah tidak perlukan dirinya lagi. Walaupun Ray sudah lama tidak menghubungi Aju namun cinta Aju pada Ray tetap utuh jauh di sudut hati. Hasrat Zahim untuk mengikat tali pertunangan diterima Aju dengan hati yang pasrah.

Dugaan buat Aju datang lagi. Setelah sekian lama membisu tiada khabar berita, akhirnya Ray menghubungi Aju dan menyatakan hasrat untuk mengikat tali pertunangan. Aduhai... Kesian Aju. Yang mana harus dipilih? Antara cinta dan pengorbanan? Yang mana harus dikorbankan? Dan yang paling tidak disangka-sangka kemudiannya Aju dan Zahim terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan Zahim lumpuh sementara. Bagaimanakah kesudahan cerita ini? Akan bersatu semulakah cinta Aju dan Ray setelah sekian lama menempuhi segala ranjau dan onak berduri?

Walaupun ceritanya simple tetapi olahan yang kemas dan menarik membuatkan saya terpaku menatap novel ini. Ada kalanya saya tersenyum sendiri membaca kutukan Angah pada Ray yang agak dungu dan lembap dalam mengambil tindakan. Ada kalanya juga saya geram dengan sikap Waheeda yang seperti ular berbisa. Diberi makan dan sangkar yang elok tapi masih mahu mematuk tuannya juga. Di akhir-akhir cerita saya agak keliru pabila karakter Erma yang dulunya memusuhi Aju tiba-tiba menjadi baik. Garapan karakter Erma di ketika ini seolah-olah sama dengan karakter Nana di awal cerita yang selalu menolong Aju walaupun tutur kata dari mulutnya agak pedas. Namun 'happy ending' tetap memuaskan hati saya. Gambaran untuk setiap babak juga amat jelas. Seolah-olah saya sedang menyaksikan sebuah drama menarik di tv pula. Namun kesilapan dalam pengeditan sesekali mengganggu tumpuan penghayatan. Apa-apa pun syabas untuk penulis Samsiah Mohd. Nor kerana berjaya menghasilkan satu lagi karya menarik untuk peminat novel cinta.


Related Posts :



1 comment:

Blog Widget by LinkWithin