Saturday, June 27, 2009

Dalam Kehadiran Sofiah









Tajuk Novel : Dalam Kehadiran Sofiah
Karya : Saripah Bakar
Penerbit : PTS Fortuna
Terbitan : 2007
Halaman : 346 mukasurat
Harga : rm24.90

Jika Kau tiba-tiba menyarung kasutku
Terlantar tanpa daya atau terkurung
Dalam ruang sesempit duniaku...

Setiap insan berpotensi menjadi seperti kami
Hanya dengan cubaan dan anugerahNya jua
Sedang tidak mungkin kami kembali berdiri
Dan hari kami yang jauh tersingkir
Mencari sudut-sudut asing...

Bukankah anda lebih mudah mengerti
Hati kami yang sekecil hama ini?
............................................................................................

Sebenarnya saya pantang kalau berjumpa dengan buku cerita tentang kehidupan anak istimewa pasti menarik minat saya untuk membacanya. Salah satu sebab ialah supaya saya merasa lega dan bersyukur kerana bukan saya seorang saja yang mempunyai anak istimewa. Dan bukan juga hati saya seorang saja yang lara dalam membesarkan anak yang seumpama ini. Masih ada orang lain yang lebih 'bertuah' dan lebih perih mengharungi hidup demi untuk cahaya mata tercinta.

Novel ini adalah sebuah cerita sebenar yang digarap oleh penulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis membesarkan seorang anak istimewa. Suhana adalah salah seorang ibu yang menghadapi kesukaran dalam mengharungi detik-detik melahirkan anak pertama. Oleh kerana masalah kewangan yang mencengkam Suhana hanya mampu melahirkan anak di hospital kerajaan sahaja. Bila sebut saja hospital kerajaan, entah kenapa saya ngilu dan berasa gerun. Sudah banyak cerita yang tidak elok yang saya atau mungkin juga anda pernah dengar tentang layanan yang diberikan terhadap ibu-ibu yang bersalin.

Para ibu yang melahirkan anak sebenarnya diibaratkan sebagai menyabung nyawa mereka sendiri untuk orang lain. Malah hadis riwayat al-Hassan bin Safwan, Tabrani dan Ibnu As-Sahin dan Salamah menjelaskan lagi kelebihan yang diperoleh wanita yang mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anaknya. Allah memberikan pahala kepadanya sebagaimana pahala orang berjihad fisabilillah. Apabila ia berasa sakit untuk melahirkan anaknya, maka ia mendapat pahala yang banyak sekali sehingga manusia tidak mengerti berapa banyaknya pahala itu. Apabila telah lahir lalu disusui anak, bagi ibu itu setiap teguk dari susunya, Allah memberi dia pahala satu kebaikan. Apabila si ibu semalaman tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberi pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

Melahirkan anak pertama sudah semestinya memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari para doktor dan jururawat tetapi sebaliknya Suhana diherdik, disindir dan dibiarkan menanggung kesakitan berseorangan oleh doktor yang bertugas di situ. Disuruh meneran untuk mengeluarkan anak sesuka hati saja lalu akhirnya Suhana keletihan. Mujurlah ada seorang jururawat yang prihatin membantu dan menunjuk ajar Suhana. Akhirnya anak pertama Suhana lahir jua dan diberi nama Sofiah.

Walaupun Sofiah kelihatan seperti bayi normal (sepatutnya Sofiah dilahirkan normal) tetapi disebabkan komplikasi semasa melahirkan menyebabkan Sofiah mengalami masalah yang dipanggil Celebrar Palsy. Ulang alik turun naik ke hospital untuk membuat pemeriksaan ke atas Sofiah selama beberapa bulan masih tidak mendapat jawapan. Penat lelah dan masa yang dihabiskan semasa menunggu nombor giliran di hospital usah dikira. Peluh keringat dalam perjalanan pergi dan balik ke hospital dengan motosikal usah dihitung. Namun Sofiah masih seperti itu juga. Tiada perubahan... dan tiada jawapan.

Mungkin juga Suhana tidak berpengalaman untuk mengesan penyakit yang dihidapi oleh anaknya Sofiah. Sehinggalah di suatu ketika Sofiah mengidap demam panas yang kritikal. Setelah badan Sofiah sudah kejang dan mulut berbuih barulah Suhana membawa Sofiah ke hospital. Hal yang sama dulunya berlaku kepada diri saya. Saya tidak dapat mengagak anak istimewa saya alahan susu formula yang diberikan kepadanya sehinggalah dia mengalami muntah dan cirit birit yang teruk sehingga terpaksa dibawa ke hospital kerana dihedrasi. Betullah kata pepatah. Sesungguhnya pengalaman adalah guru yang paling berkesan.

Menjaga anak istimewa adalah seperti menatang minyak yang penuh. Semasa bayi senang dihinggapi pelbagai penyakit sekiranya tidak dipantau. Bila meningkat usia lain pula halnya. Pandangan dari orang sekeliling juga seringkali menyakitkan hati. Bagi sesetengah orang, insan istimewa begini adalah beban dan dipandang hina. Di pusat penjagaan kanak-kanak Sofiah dipinggirkan kerana tidak mampu berdikari. Dirinya dibiarkan berada di dalam buaian dalam masa yang terlalu lama dengan lampin yang lencun kerana lama tidak ditukar. Bayangkanlah hati ibu mana yang tidak sayu melihat anak yang dikasihi diperlakukan seperti itu. Tidak cukup dengan itu Sofiah juga dizalimi oleh penjaga di situ. Bukti lebam-lebam di celah peha dan lengan yang dibawa balik oleh Sofiah amat menghangatkan hati ibu bapanya.

Apabila dibawa berjalan dan bersiar-siar pula Sofiah diejek oleh mereka yang bergelar manusia normal. Hal sebegini memang berlaku juga ke atas permata hati saya. Semasa bermain-main dengan anak jiran sebelah di suatu hari saya terdengar anak-anak jiran bersorak memanggil anak saya "budak cacat, budak cacat,". Anak saya yang tidak tahu apa-apa hanya tersenyum dan ketawa. Berlinangan airmata tidak dapat saya tahankan.

Saya kira Suhana dan Azman adalah ibu bapa yang mengambil berat tentang masa depan Sofiah pabila mereka menghantar Sofiah ke PDK. Ya, itulah satu langkah yang tepat dalam mengajar Sofiah berdikari. Tapi saya kira nasib Sofiah agak baik berbanding dengan anak saya. Semasa di PDK Jalan Bintang dulu, saya tidak tahu di mana silapnya pabila guru-guru di sana lebih mementingkan akademik berbanding perkembangan sahsiah diri. Bayangkan murid-murid yang istimewa ini dipaksa menghafal a b c dan 1 2 3 secara intensif. Sekiranya tidak dapat menghafal mereka akan dipukul. Saya juga pernah diherdik oleh guru di situ kerana anak saya lambat datang ke sekolah serta tidak mahu membuat kerja sekolah. Sudahnya anak saya tidak mahu langsung ke sekolah. Hampir setahun lamanya anak saya tidak bersekolah. Setelah berpindah ke Semenanjung barulah anak saya seronok semula untuk bersekolah. Ternyata PDK di Semenanjung dan Jalan Bintang amat berbeza sekali pendekatannya. Lega rasanya bila melihat anak saya dapat berkawan dan berinteraksi dengan baik bersama rakan-rakan.

Buku ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan pembaca bahawa wujudnya insan istimewa sebegini di kalangan kita dan tidak seharusnya kita beranggapan serong terhadap mereka. Sebaliknya kita sebagai 'insan sempurna' yang dijadikan Allah untuk membantu mereka menjalani hidup sehari-hari dengan aman dan selesa. Tidak ada manusia yang mahu dirinya dilahirkan cacat. Namun ketahuilah oleh kita semua bahawa insan yang kita anggap cacat ini sebenarnya lebih mulia dari kita. Kerana mereka adalah ahli syurga yang tidak berdosa, tidak pernah akan membuat dosa. Datang mereka dari syurga dan kembali mereka juga pasti akan terbuka kesemua pintu syurga.

Related Posts :



1 comment:

  1. Salam,

    secara tak sengaja, terjumpa blog ini. Membaca kembali catatan-catatan Dalam Kehadiran Sofiah, umpama menghiris kembali luka-luka lama kami. Bertuahnya saya kerana ada insan lain yang senasib dapat berkongsi sesuatu dari novel ini. Itulah yang diharapkan, dapat berkongsi rasa hati, pengalaman dan secara tidak langsung mendidik masyarakat di luar sana agar menyedari kewujudan insan-insan istimewa ini.

    Terima kasih daun keladi...

    Saripah Bakar

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin