Saturday, April 18, 2009

Hafalan Solat Delisa










Tajuk Novel : Hafalan Solat Delisa
Karya : Tere Liye
Penerbit : PTS Litera
Terbitan : 2009
Halaman : 280 mukasurat
Harga : rm19.00

Delisa anak perempuan bermata hijau, bening, dan umurnya baru mencecah lima tahun. Dia hidup dalam keluarga yang sentiasa membuatnya tersenyum ceria. Dalam suasana keluarganya yang sebegitu, dia cuba menghafal bacaan dalam solat dengan bantuan ibu dan kakaknya.

Namun Tuhan lebih tahu apa yang lebih baik untuk hambaNya. Tsunami datang melumatkan senyuman pada wajah Delisa. Tsunami mengambil segala-galanya, keluarga juga kaki kecilnya. Yang tersisa, hanya dia dan ayahnya, dan dalam keadaan sebegitu, apakah Delisa mampu tersenyum seperti dahulu dan menyudahkan hafalannya?
.......................................................................................................................
Nyatanya novel ini adalah kisah tentang seorang kanak-kanak tetapi ianya mampu membuatkan kita menangis terharu mengenangkan keikhlasan yang tulus hati Delisa. Sebuah novel yang amat berkesan di hati.

Ceritanya ringkas saja. Seorang anak kecil bernama Delisa yang cuba menghafal bacaan-bacaan solat untuk mendirikan solat pertamanya. Di saat dia membaca doa iftitah yang pertama, khusyuknya Delisa mengerjakan solatnya sehingga dia tidak mengambil kira bencana besar tsunami yang berlaku di sekelilingnya. Dia tidak menghiraukan hiruk pikuk orang berteriak "Gempar! Gempar!" Niatnya hanya satu. Mengerjakan solat pertamanya hanya kerana Allah. Saat itu dia hanya mengingati Allah.


Bumi mula bergoyang sedikit dilanda air deras, bumbung bergegar, serpihan runtuh dan hampir mengenai kepala Delisa. Masih Delisa tidak peduli dan tetap mengerjakan solatnya. Di saat air deras menyentap tubuh kecil Delisa, hati kanak-kanak kecil itu masih tetap bertumpu ke arah solat yang dikerjakannya. MasyaAllah!sungguh terharu saya dengan keikhlasan dan kekusyukan Delisa mengerjakan solat. Saya bertanya di dalam diri. Adakah solat yang saya kerjakan selama ini sekhusyuk itu?......Tubuh Delisa dihentam air yang deras semahu-mahunya. Sikunya patah. Sebelah kakinya remuk. Giginya patah dan mukanya penuh garis luka. Cikgu Nur berusaha menyelamatkan Delisa dari kelemasan dengan mengikatnya di sebatang papan supaya ianya dapat terapung di permukaan. Namun papan itu hanya muat untuk Delisa seorang saja. Cikgu Nur terpaksa berpaut di papan itu saja. Lama kelamaan tenaganya hampir hilang untuk bertahan. Masa untuknya pergi sudah tiba. Dengan rela Cikgu Nur melepaskan Delisa bersama papan itu pergi. Sebelum itu Cikgu Nur berbisik kepada Delisa yang pengsan, " Kau harus menyelesaikan hafalan itu, sayang. Kamu harus menyelesaikannya,".... hampir saja berlinangan airmata saya di kala membaca detik-detik ini.

Setelah dua minggu tsunami melanda Abi menemui Delisa dalam keadaan parah. Lebih parah bencana itu telah meragut nyawa Kak Fatimah, Kak Aisyah, Kak Zahra dan ibunya tersayang dari hidup Delisa. Delisa dirawat di sebuah kapal induk bersama-sama dengan korban tsunami yang lain.

Hidup harus diteruskan walau sepayah mana dugaan menimpa. Abi dan Delisa kembali ke kampung halaman dan mendirikan sebuah penghidupan yang sederhana. Delisa kembali menghafal semula bacaan solat yang tertangguh. Memang payah untuk menghafalnya kembali setelah melalui peristiwa yang pahit di dalam hidupnya.

Sehinggalah di suatu hari Abang Ubai telah mengajak Delisa bersama kawan-kawan yang lain ke sebuah padang di lereng bukit untuk solat asar berjemaah bersama. Usai salam terakhir solat dihulurkan Delisa menangis teresak-esak perlahan.... saya kira saya pun terasa ingin menangis bersama Delisa di saat ini.... Delisa merasakan solatnya kali adalah cukup sempurna. Itulah solat pertamanya dengan bacaan yang lengkap tanpa tergagap-gagap dan aturan yang sempurna. Di saat itu Delisa terkenangkan ibu yang telah tiada. Delisa merindui ibunya.



Related Posts :



3 comments:

  1. Salam,

    Antara novel terbaik yang saya pernah baca. Cukup menyentuh hati. Saya ada dua edisi untuk buku ini, Malaysia dan Indonesia. Cubalah baca, Moga Bunda di Sayang Allah dan Bidadari Syurga. Juga karya Tere Liye.

    ReplyDelete
  2. waalaikum salam, Cik Welma.

    Wahh.. samapi dua edisi Cik Welma ada ye.
    Saya juga telah membaca Moga Bunda Di Sayangi Allah. Juga tak kurang hebatnya. Sememangnya penulis Tere Liye sangat mahir menyentuh hati pembaca dengan suara hatinya.
    InsyaAllah saya akan cuba dapatkan Bidadari Syurga pula. Terimakasih di atas saranan Cik Welma.

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Bagus tulisan sdr.

    Teruskan menulis dan berkongsi buku dan ilmu di blog.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin