Sunday, April 12, 2009

Penjual Keropok


"Assalamualaikum."

"Assalamualaikum."
Petang itu aku didatangi seorang budak lelaki penjual keropok. Aku yang baru selesai memanaskan masakan makan tengahari tadi bergegas menjengok ke luar seraya membalas salam yang sudah entah ke berapa kali dihulurkan.

"Kak, saya jual keropok. Beli lah, kak. Hanya ada 3 bungkus lagi ni. Saya nak habiskan keropok ni petang ni jugak. Tolonglah beli, kak," panjang lebar budak itu berkata. Bukan nada mendesak tetapi lebih kepada merayu supaya aku membeli keropok yang dijualnya.

Aku memandang saja budak lelaki itu. Tubuhnya agak tinggi dan kurus. Mungkin umurnya dalam lingkungan tigabelas hingga enam belas tahun. Berbaju dan seluar lusuh. Di wajahnya terpalit kepenatan yang bukan sedikit. Mungkin kerana terpaksa berpanas berjalan menjual keropok dari rumah ke rumah. Dari pelat pertuturannya aku tahu budak itu bukan orang sini.

"Kamu dari mana?" aku bertanya inginkan kepastian.

"Saya dari Nara (Narathiwat), kak. Sekarang ni cuti sekolah jadi saya cari duit sikit jual keropok untuk bayar yuran sekolah."

"Mak kamu?"

"Mak kat rumah jaga adik."

"Berapa orang adik kamu?"

"Lima orang, kak."

"Bapak?" tanya aku lagi macam mata-mata gelap.

"Bapak sakit lumpuh kena langgar motosikal."

Aku tersentak mendengar jawapan budak itu. Terdiam aku seketika sambil mataku tak lepas memerhatikan budak lelaki itu. Umur yang sebegini muda sudah digalas dengan satu tanggungjawab yang berat menyara hidup keluarga. Sepatutnya umur sebegini diulit dengan buku-buku pelajaran dan waktu riadhahnya turun bermain bola di padang. Kasihan sungguh.

"kak, tolonglah beli keropok ni, kak. Saya takut nanti tokeh marah saya jual keropok ni tak habis. Tolonglah, kak." rayu budak itu lagi padaku meminta simpati. Sambil merayu kulihat dia menekan-nekan perutnya. Datang rasa simpati menerjah di hatiku. Aku masuk ke dalam mengambil beg duit untuk membayar harga keropok. Walaupun sebenarnya anak-anakku tidak suka makan keropok tetapi niatku hanyalah ingin menolong budak lelaki itu supaya dia dapat cepat pulang.

Di luar budak itu sudah duduk mencangkung sambil sesekali menekan-nekan perutnya. Aku mendekati budak itu lalu menghulurkan sejumlah wang harga keropok. Dia membalas dengan memberikanku tiga bungkus keropok. Dia mengucapkan terima kasih lalu ingin berlalu dari situ. Tangan kirinya masih lagi memegang perutnya yang sakit.

"Nanti dulu!" aku menahan budak itu dari pergi. Entah kenapa aku merasa sayu dan kasihan melihat keadaannya. Budak itu berpaling kehairanan.

"Kamu sudah makan?" aku tak tahu dari mana keyakinan untuk bertanya itu datang. Budak lelaki itu lambat-lamat menggeleng kepala. Perasaan kehairanan masih lagi terpamir di wajahnya.

"Nanti." setelah memberi isyarat tangan supaya budak itu tunggu maka dengan cepat aku masuk semula ke dalam rumah menuju ke dapur. Aku mengambil sepinggan nasi dengan lauk ikan masak lemak bersama segelas air masak. Cepat-cepat pula aku kembali menuju ke luar rumah mendapatkan budak tadi.

"Mari. Makan dulu sebelum pulang." aku meletakkan nasi dan air di atas meja di anjung rumah sambil menggamit kepada budak itu. Dia kelihatan terkejut dan teragak-agak.

"Marilah," aku meyakinkannya setelah melihat budak itu masih lagi tercegat berdiri tidak bergerak. Perlahan-lahan budak itu mendekatiku lalu duduk mengadap hidangan.

"Makanlah," aku bersuara lagi apabila melihat dia memandangku mencari keyakinan. Setelah membaca sepotong doa dia mengecap rezeki yang berada di hadapannya dengan perlahan. Aku hanya memerhatikan saja budak itu makan dengan perasaan yang bercampur baur. Aku tak tahu kenapa aku lakukan itu semua. Tiba-tiba saja perasaan kasihan itu datang dan dengan tak semena-mena aku merasa ingin membantu meringankan bebannya walaupun hanya sedikit dan bersifat sementara.

Makanan yang dihidang sudah licin di pinggan. Setelah membasuh tangan di pili yang terletak di halaman rumah budak itu mendekatiku. Dengan tersekat-sekat dia mengucapkan terimakasih kepadaku. Kulihat airmatanya bergenang memandangku. Aku hanya sekadar menghulurkan senyuman dan mengiringi budak itu berlalu pergi dengan pandangan mata. Rasa syukur kupanjatkan di dalam hati.

Ya Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, hari ini aku telah dapat memberikan sedikit dari nikmat kesenangan yang telah Engkau berikan kepadaku ini kepada seorang insan yang memerlukan.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin