Tajuk Novel : Suzanna
Karya : Abu Azzaki
Penerbit : IBook Publications
Terbitan : 2007
Halaman : 670 mukasurat
Harga : rm23.00
Tergaman aku mendengar kata-kata daripadanya. Terasa seperti jantungku berhenti berdenyut. Mukaku pucat lesi seperti orang menghidap penyakit kuning. Sungguh biadap budak kampung ini menyuruh aku meninggalkan agama yang aku anuti serti sanjungi dan mengambil agamanya yang selama ini aku musuhi. Agama yang mengembalikan manusia ke zaman unta. Kata-katanya sungguh tidak sopan dan tidak menghormati perasaan aku. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku sumbat mulutnya yang celupar dengan penumbukku biar bisu. Aku merenung tajam ke arah mukanya sambil menahan perasaan marah. Aku khuatir kalau aku tidak dapat mengawal diri, buruk akibatnya. dia sedar perubahanku. Walau bagaimanapun wajahnya kelihatan tenang bersahaja, tanpa menunjukkan rasa bersalah...
......................................................................................................................................
Pada mulanya saya menyangka novel ini adalah sebuah novel cinta seorang gadis yang bernama Suzana yang biasa-biasa saja. Saya juga tidak membaca sinopsis di belakang buku kerana saya juga yakin ianya sama dengan novel-novel cinta yang lain. Setelah mula membaca baru saya perasan bahawa cerita di dalam novel ini berlainan dari novel yang lain. Mesej yang ingin disampaikan adalah cukup menarik sekali.
Suzana adalah nama Islam kepada Suzan Lee Geik Choo. Cerita ini adalah perjalanan hidup Suzan, gadis china yang hidup di dalam serba kemewahan. Anak bongsu yang manja kepada seorang taukeh balak terkenal, Datuk Lee dan Datin Mary. Melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya bukanlah kerana Suzan kurang berkelulusan untuk diterima masuk ke universiti ternama di luar negara tetapi kerana dia terlalu manja dan tidak boleh berenggang dengan mama dan papanya. Sudahlah dilimpahi kemewahan harta, Suzan juga seorang yang sempurna rupa parasnya dan digilai oleh semua pemuda yang memandang. Di UM, Suzan lebih dikenali sebagai Marylin Monroe kerana rupa parasnya yang jelita bak artis lagenda itu. Mempunyai seorang teman lelaki bernama Liew.
Insiden kecurian duit telah menemukan Suzan dengan seorang jejaka Melayu, Razali Daud yang hanya dipanggil Li saja. Li juga penuntut UM berasal dari keluarga miskin dan tak setanding dengan Suzan. Li juga bekerja part time untuk membantu ibu di kampung menyara adik-adik yang masih bersekolah.
Walaupun berasal dari keluarga miskin tetapi Li adalah seorang yang berjiwa besar, petah berbahas dan seorang yang tidak mudah mengalah dengan dugaan hidup. Semua yang ada pada Li membuatkan hati Suzan tertarik untuk mendekati dan ingin tahu. Ada saja masa terluang mereka akan berdebat dan berbincang bersama di perpustakaan. Tajuk perbincangan mereka adalah selalu mengenai pegangan agama masing-masing. Suzan menghuraikan tentang agama Kristiannya manakala Li menjelaskan tentang agama Islamnya.
Di sini saya dapat melihat penulis begitu kreatif di dalam idea yang disampaikan. Mesej-mesej yang cuba dihuraikan melalui hujah-hujah Li di dalam cerita ini adalah sangat bernas dan berbentuk dakwah Islamiah. Persoalan yang ditimbulkan di dalam novel ini adalah persoalan yang selalu dibahas oleh kebanyakan penganut agama lain tentang Islam. Contohnya, Islam yang kuno, Islam yang menyekat kebebasan wanita berpakaian, Islam yang membenarkan lelaki berkahwin empat dan Islam yang membenarkan hukuman potong tangan kepada pencuri. Persoalan-persoalan yang saya rasa bukan saja dibahas oleh penganut agama lain tetapi juga di kalangan penganut agama Islam sendiri.
Dengan menggunakan bahasa yang mudah dan bersahaja penulis menyerapkan kebenaran supaya pembaca dapat berfikir bahawa Islam adalah suatu agama yang mudah dan cukup sempurna untuk dianuti. Islam itu sendiri adalah suatu agama yang lengkap segala-galanya. Dan mempunyai semua jawapan untuk semua persoalan.
Perbahasan dan perbincangan tentang agama membuatkan hati Suzan berkecamuk. Suzan keliru apakah agama yang dianutinya sekarang ini adalah agama yang sebenar-benarnya. Suzan mula berminat untuk membaca tentang sejarah Nabi Muhammad dan salahsilah asal perjuangan baginda. Semua buku-buku yang menghuraikan tentang tata cara hidup Islam, aqidah Islam, wanita di dalam Islam membuatkan hati Suzan merasa kagum dan teruja. Suzan mula tidak yakin dengan agama Kristian yang dianutinya. Hari-hari perbincangan di antara Suzan dan Li pada mulanya berdasarkan pandangan mencari kebenaran telah berlarutan menjadi perbincangan secara ilmiah yang serius.
Pegangan agama Suzan tergugah akhirnya. Pada mulanya Suzan memilih untuk bebas dari sebarang agama. Tetapi hatinya tidak dapat lari dari membenarkan Islam sebagai agama yang dicintainya kini. Keinginan untuk menganut agama Islam dikhabarkan kepada Li di bilik perbincangan yang menjadi tempat selalu mereka jumpa. Terharu di hati saya membaca saat-saat Suzan yang sanggup patah hati ditinggalkan oleh kekasih semata-mata kerana ingin memeluk Islam. Di bilik perbincangan itu Suzan akhirnya mengucap dua kalimah syahadat yang diajarkan oleh Li dan bersaksikan Li. Syukur Alhamdulillah... Saya yang membaca cerita ini juga turut mengucap syukur dan hampir berlinangan airmata. Ternyata Islam Suzan adalah tulen dan kerana Allah, bukan kerana orang lain.
Bermulalah perjalanan hidup baru bagi Suzan @ Suzana sebagai seorang muslimah yang sudah tentunya bermacam dugaan dan cabaran yang menanti. Dibuang oleh keluarga kerana memeluk agama Islam dan berhasrat pula untuk berkahwin dengan Li. Sebenarnya bibit-bibit cinta yang tumbuh antara Suzana dan Li memang simbolik. Ianya bukan cinta seperti pasangan kekasih yang lain. Bak kata pepatah dari mata jatuh ke hati. Cinta Suzana-Li adalah sepenuhnya berpandukan iman. Setiap rasa yang tumbuh di dalam hati, mereka akan bermunajat dan memohon petunjuk dari Ilahi. Setelah lahir keyakinan di dalam hati bahawa ini semua kehendak Ilahi barulah mereka menyatakan hasrat masing-masing untuk bersama. Sungguh kagum membaca kisah cinta mereka berdua.
Buku ini adalah suatu pendekatan yang menarik untuk mendakwahkan pembaca. Di samping kisah cinta Suzan-Liew dan Suzana-Li secara tak langsung pembaca dapat menghayati pengertian tentang agama dan hidup dalam beragama dengan lebih mendalam. Li adalah contoh terbaik bagi seorang muslim yang sejati. Saya kagum dengan sifatnya yang tidak suka bercakap bohong. Rata-rata di dalam dunia sekarang ini terlalu banyak dihidangkan kebohongan. Sehinggakan kita merasa satu kebohongan itu adalah perkara biasa-biasa saja seolah-olah tidak mendatangkan dosa. Dengan wujudnya karakter Li yang sebegini membuatkan saya lebih merasa pentingnya untuk kita bercakap benar dan tidak sekali-kali berbohong.
Monday, April 6, 2009
Suzana - Abu Azzaki
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
dah lama cari buku ni... sesiapa yang ada buku ni saya ingin membelinya... sila call 0147408482
ReplyDeletedah lama cari buku ni... sesiapa yang ada buku ni saya ingin membelinya... sila call 0147408482
ReplyDeleteInsyaAllah kalau ade lagi di toko buku di sini saya akan hubungi anda.
ReplyDelete