Tuesday, April 14, 2009

Episod Cinta Luka - Fateen Najwa










Tajuk Novel : Episod Cinta Luka
Karya : Fateen Najwa
Penerbit : Fajar Pakeer Sdn Bhd
Terbitan : 2008
Halaman : 566 mukasurat
Harga : rm20.90

Kala cinta Zuraidah pada Syed Faiez mekar mewangi, Idora meminta sebuah pengorbanan. Biar berat, pengorbanan ini harus Zuraidah relakan jua demi meraih kasih ibu. Rohaya yang hamil tanpa suami dinikahkan dengan Syed Faiez untuk menutup malu. Lalu bermulalah pelarian Zuraidah membawa rajuk hati, kecewa, hampa... sendiri mencari bahagia yang tak kunjung tiba.

Apakah cinta Syed Faeiz masih milik Zuraidah setelah lelaki itu mengetahui dirinya masih dirindui? Sanggupkah Syed Faeiz meninggalkan anak dan isteri demi cintanya pada Zuraidah yang masih bersisa?
.......................................................................................................
Saya baru mengetahui Fateen Najwa adalah nama pena lain yang digunakan oleh penulis Fatinilam Sari Ahmad. Ada dua buah novel yang diterbitkan di bawah penerbitan Fajar Pakeer. Episod Cinta Luka dan Cinta Tak Berdusta. Khabarnya Megalomania III juga bakal diterbitkan di bawah penerbitan CESB tapi belum diketahui bila. Sekiranya merasa tak sabar untuk menunggu kesinambungan dari novel Megalomania, peminat-peminat semua bolehlah membacanya di website Novel Fatinilam Sari Ahmad.

Seperti novelnya yang sudah-sudah penulis menghidangkan sebuah perjalanan hidup dan kisah suka duka seorang gadis. Kisah cinta dua insan biasa yang tidak terlalu kaya dan juga tidak terlalu miskin melarat disulami dengan penyakit jiwa masyarakat yang dihidapi. Sememangnya saya terlalu lelah pabila membaca kisah cinta yang menggambarkan seorang gadis yang cantik bak bidadari tidak dapat dijentik lagi dengan seorang putera raja yang kaya raya tinggi melangit. Ditambah pula dengan nama yang bombastik dan seakan tidak berpijak di bumi nyata. Aduh.. penat sungguh.

Zuraidah, anak yang malang dibenci oleh semua anggota keluarga kerana dikatakan menjadi punca ayahnya berkahwin lain. Setiap kali memandang Zuraidah hati Idora merasa sakit terkenang nasib dimadukan. Zuraidah dipinggirkan. Sejak berkenalan dengan Syed Faeiz kesunyian hati Zuraidah selama ini terisi. Cinta pertama Zuraidah terhadap Syed Faeiz bersemi utuh di dalam hatinya.

Setiap percintaan semestinya dilanda dugaan. Tetapi dugaan percintaan Zuraidah-Syed Faeiz terlalu hebat. Syed Fairoz meninggal di dalam satu kemalangan jalanraya meninggalkan tunangnya, Rohaya, keseorangan menanggung malu kerana mengandung anak luar nikah. Idora memaksa Zuraidah menyuruh Syed Faeiz menikahi Rohaya supaya keluarganya terselamat dari aib. Dengan berat Syed Faeiz akhirnya bersetuju bertanggungjawab terhadap Rohaya memandangkan semua ini adalah angkara adiknya sendiri. Di sini saya tidak dapat merasa keberatan hati Syed Faeiz untuk setuju berkahwin dengan Rohaya kerana garapannya terlalu singkat.

Zuraidah membawa diri ke kota dengan hati yang kecewa. Hidup keseorangan dan sekepian di dalam suasana kota yang serba mencabar. Datuk Hakim cuba memancing kasih Zuraidah dalam diam. Zuraidah tidak berniat untuk jatuh cinta dengan kekasih Marissa tetapi lebih kepada ingin menumpang kasih untuk merawat hati yang kesepian. Setelah Marissa meninggal perhubungan Zuraidah dan Datuk Hakim menjadi lebih terbuka sehingga akhirnya Datuk Hakim melamar Zuraidah.

Pertemuan singkat selama empat hari dengan Chairel adalah kesilapan besar dalam hidup Zuraidah. Tanpa usul periksa dan demi untuk menjauhkan diri dari Datuk Hakim Zuraidah mengahwini Chairel. Zuraidah tidak mengetahui Chairel hanyalah seorang budak suruhan dan mempunyai agenda lain di sebalik perkahwinan mereka. Hidup Zuraidah ditimpa bencana lagi bila dia dipecat dari kerja dan kereta serta wang simpanannya habis dikikis Chairel.

Kembali keseorangan Zuraidah mengambil jalan singkat dengan menjual maruah diri kepada lelaki-lelaki yang menagih kasih dan dahagakan kemanjaan seorang perempuan. Hidup Zuraidah tersesat sudah. Dalam kesesatan rupanya masih ada insan yang ikhlas untuk bersimpati. Di saat Zuraidah ditimpa kemalangan Doktor Hisham telah menyelamatkannya dan membawanya pulang ke rumah. Bonda Halimah adalah seorang yang berhati bersih. Membantu merawat diri dan jiwa Zuraidah supaya kembali ke jalan yang benar.

Di awal novel ini terlalu banyak kesalahan ejaan yang mengganggu pembacaan saya. Nasib baiklah jalan ceritanya yang lancar tidak membuatkan saya lelah untuk menatapnya hingga ke akhir mukasurat.


Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin