Sunday, July 26, 2009

Puisi Merindu Buku

Kesibukan dan keletihan dengan tugas harian menjadikan saya begitu rindu pada buku-buku yang selama ini menjadi teman paling rapat bagi saya. Teringat saya pada sebuah puisi nukilan Sasterawan Negara. Puisi tersebut pernah dideklamasikan oleh putera saya di Minggu Membaca sekolahnya. Puisi ini jugalah yang telah membuka minda putera saya untuk menjadikan buku sebagai teman di setiap masa. Sekarang ini ke mana saja dia pergi di tangannya mesti akan dibawa sebuah buku untuk tatapan sekiranya ada masa terluang. Dan... baru saya perasan dua tiga hari yang lepas, di belakang mukasurat buku-buku yang dibacanya, dia akan menulis rangkap terakhir puisi ini.

Merindu Buku
Inilah denai jejak seni ke hati
Puncak fikir yang indah sekali.
Tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu;
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fikir yang sakti
nyaman dan manisnya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang kaya budi
melalui tapisan hikmah berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah.
Kita merindu buku dan ghairah membaca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

dipetik dari buku puisi Rindu Ibu - A Samad Said.





Related Posts :



1 comment:

Blog Widget by LinkWithin