Tuesday, July 28, 2009

Kasih Nan Agung








Tajuk Novel : Kasih Nan Agung
Karya : Sri Rahayu Mohd Yusop
Penerbit : Utusan Publications And Distributors
Terbitan : 2009
Halaman : 172 mukasurat
Harga : rm19.00


Hadiah Sastera Kumpulan Utusan melangsungkan kesinambungan iltizam memasyarakatkan sastera dan memartabatkan kedudukannya di peta tamadun bangsa. Menerusi hadiah ini, Kumpulan Utusan memberi rangsangan untuk menyuburkan pertumbuhan pengarang generasi baharu dan memupuk istiqamah pengarang mapan dalam menghasilkan karya yang segar, maju berseni dan tinggi mutunya.

Kalau moyangmu mawas, datukmu beruk,
siapakah itu Adam dan Hawa?

Mahukah kau dikatai benda
kerana yang ghaib didakwa tiada, dan
kata "Tuhan" dituduh kosong makna?

Hendaknya kau andai wujudmu ditarafkan setara barang
umpama sepasang baju atau sebatang pokok
atau sebuah komputer atau sebutir bom
atau seketul daging, semata-mata?

Fitrah manusiawimu tentu dapat menimbang
di balik otak ada akal, di balik jasad ada jiwa
dan di hujung hidup ada fana.

Tidakkah kasihan,
otak nan cerdik sampai merumuskan
jurai leluhurmu berevolusi daripada salasilah kera!

............................................................

Novel yang sangat menarik ini bukanlah novel cinta yang mendayu-dayu. Ianya sebuah novel yang meransang minda setiap pembaca untuk berfikir dari manakah asal usul kejadian kita yang sebenarnya. Semestinya bukan dari keturunan sejenis spesis binatang yang dipanggil kera!.. atau yang seangkatan dengannya.

Jaka Sulaiman tidak dapat menerima penghinaan tentang fahaman agamanya di dalam satu simposium para ilmuan yang pro evolusi Darwin. Memang memualkan bila masyarakat yang serba serbi canggih dengan teknologi terkini telah meletakkan taraf manusia serendah jirim. Anggapan mereka semua yang hidup akan ada tarikh luputnya. Kewujudan roh dan Maha Pencipta tidak dapat diterima atas alasan tidak dapat dipandang oleh mata kasar lalu bentuk jirimnya tidak terdapat. Keadaan menjadi kecoh pabila sessi pembentangan oleh Maximillian yang menyimpulkan manusia dan mawas adalah dari spesis yang sama. Ditambah lagi dengan pembentangan seterusnya oleh Richard Le Frost yang membawa tajuk 'Tamatnya Riwayat Sang Pencipta' membuatkan Jaka Sulaiman panas lalu bangun untuk berdebat. Namun akhirnya Jaka Sulaiman dipaksa keluar dewan. Kejadian panas di dalam dewan itu sempat dirakam oleh Wazir lalu dimuat naik ke dalam internet untuk tatapan umum.

Maximillian yang marah dengan Jaka Sulaiman telah mengusahakan agar Jaka Sulaiman juga disingkir dari kampus pengajiannya. Nasib masih menyebelahi Jaka pabila setelah berunding dengan Prof Chris Ackerley dia hanya digantung selama dua minggu sahaja.

Di kampung halaman, Kampung Buluh Rapat didatangi oleh Yazed, ahli poleoantropologi bebas yang bertujuan ingin memburu orang mawas. Sememangnya kampung itu telah kecoh dengan penemuan satu lembaga yang menyerupai mawas berkeliaran di dalam kawasan hutan berhampiran. Mungkin ala-ala big foot agaknya. Kehadiran Yazed untuk membuat kajian di kampungnya tidak disenangi oleh Awang Safar, ayah Jaka Sulaiman. Sementalah lagi bila mengetahui bahawa Yazed cuba membuktikan teori Darwin adalah benar. Jaka dipanggil pulang ke tanahair untuk menangani isu ini di samping untuk menjelaskan kepada ibunya kenapa dia digantung kelas. Di waktu yang sama Maximillian juga telah berlepas ke Kampung Buluh Rapat untuk menemui anak perempuannya, Evangeline.

Evangeline, pelajar USM, hadir di kampung Buluh Rapat adalah untuk menjalankan projek mengajar teknik CPR kepada penduduk kampung di situ. Siapa sangka di tanah tempat tumpah darahnya Jaka akan bertemu lagi dengan Maximillian. Mengetahui saja keberadaan Maximillian dan Yazed di kampungnya untuk menjejak orang mawas Jaka bertindak untuk menghalang mereka. Pergelutan berlaku apabila Jaka Sulaiman cuba melepaskan orang mawas yang ditangkap oleh Maximillian dari karung. Dalam keadaan hutan yang gelap dan hampir tidak nampak, Maximillian telah melepaskan tembakan mengenai Jaka. Setelah menyedari Jaka ditembak dan dia mungkin dituduh membunuh, Maximillian kaget dan kaku. Evangeline bertindak melepaskan orang mawas dari karung tersebut. Bila saja ikatan karung dibuka sepantas kilat orang mawas itu melompat dan melarikan diri ke dalam hutan tebal dan gelap. Baik Jaka, Evangeline mahupun Maximillian, tiada siapa yang dapat melihat dengan pasti rupa dan wajah orang mawas itu.


Related Posts :



2 comments:

  1. Salam Saudara/ Saudari,

    Terima kasih kerana sudi membaca KNA. Saya gembira yang anda menyukai cerita ini.

    Sri Rahayu Mohd Yusop

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam Cik Sri Rahayu,

    Teruskan berkarya demi untuk tatapan anak bangsa kita.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin