Monday, July 20, 2009

Aku, Dia & Coklat









Tajuk Novel : Aku, Dia Dan Coklat
Karya : Lily Haslina Nasir
Penerbit : PTS Litera Utama
Terbitan : 2009
Halaman : 309 mukasurat
Harga : rm16.00

Kata Puteri Rania, coklat itu menggerunkan! Nasihat Khadijah, kalau mahu badan cantik jangan makan coklat. Tapi bagi Zaza, bukanlah coklat itu lambang cinta! Coklat itu ubat untuk awet muda.

Sang jejaka idaman, si Fariz hadir di kolej menjadi jejaka pujaan ramai. Zaza jatuh cinta! Sanggupkah Zaza makan hany dua sudu nasi dan mengunyah tomato atau epal setiap hari semata-mata untuk Fariz? Bukankah selama ini Zaza makan coklat hingga lima kali sendawa!

Hati Zaza mahukan coklat! Tapi jiwanya mahu memiliki Fariz. Maliz dan Asyikin, racun dalam hidup Zaza, tiba-tiba merancang sesuatu. Siapa menang dalam pertarungan merebut perhatian Fariz? Apa terjadi apabila Zaza terbaca komen dan catatan di blog ibu Fariz, Puan Faridah?

Antara coklat dan Fariz, yang mana raja di hati Zaza?
............................................................................................................

Saya hairan melihat puteri saya terkekeh ketawa pabila setiap kali menatap buku ini. Apalah sangat yang menggelikan hati tu. Dan satu lagi perkara yang memang aneh ialah puteri saya membaca novel itu sambil mengunyah coklat! Tidak pernah-pernah dibuatnya tabiat sebegini. Bila saya memandang penuh kehairanan dia akan tersengih sambil berkata, "coklat ni sedap, ma!" Hairan sungguh. Setelah puteri saya khatam membaca barulah saya pun turut sama membelek novel ini.

Novel ini mengisahkan tentang Zaza seorang penggemar coklat yang kritikal. Akibat terlebih makan coklat berat badannya membesar dan selalu menjadi ejekan teman-teman sekuliahnya. Maliz, Asyikin dan beberapa pelajar lelaki yang lain entah kenapa sejak dari dulu lagi membenci Zaza terus mengejeknya dan menjadikan Zaza sebagai bahan lawak jenaka. Untuk itu Zaza rela tidak menjamah nasi selama seminggu kononnya untuk menguruskan badan tetapi tidak sanggup pula berpisah dengan coklatnya walaupun seminit. Pendekata coklat adalah oksigen bagi Zaza. Ke mana dia pergi coklat pasti berada di dalam poket seluarnya mahupun di dalam mulutnya. Bila kawan-kawan komplen tentang berat badannya yang semakin bertambah pandai pula dia mengatur hujah mengatakan coklat adalah untuk kesihatan. Info di internet menjadi sasaran back-up hujah-hujahnya kepada Puteri Rania, Khadijah dan Insyirah membuatkan mereka hanya dapat menggelengkan kepala.

Sehinggalah si jejaka tampan Fariz muncul di Kolej Persediaan Pendidikan mereka, Zaza seolah-olah telah jatuh hati padanya. Mulalah Zaza mencari idea untuk menawan hati Fariz dan bertanya teman-teman baiknya tentang cara memikat hati lelaki. Puteri Rania memberi cadangan bahawa langkah pertama untuk memenangi hati lelaki adalah dengan menguruskan badan. Kuruskan badan lagi! Berat hati Zaza untuk meninggalkan coklatnya semata-mata untuk seorang jejaka. Tetapi dek kerana insiden kerusi patah di restoren dan terlanggar deretan buku di sebuah kedai buku membuatkan Zaza menjadi takut dengan berat badannya yang semakin bertambah. Lucu betul. Namun di sebalik rancangannya untuk menawan hati Fariz, Asyikin dan Maliz juga mengatur rancangan sendiri untuk mengenakan Zaza. Jahat betul mereka!

Garapan penulis yang bersahaja dan santai memang membuatkan pembaca dapat menghayati watak Zaza yang lucu dan naif sepenuhnya. Namun ada kalanya saya merasa Zaza dan teman-temannya ini adalah budak-budak sekolah belasan tahun dan bukannya penuntut kolej yang berusia dua puluh tahun. Mungkin kerana perangai Zaza yang digambarkan sebagai seorang yang tulus ikhlas dalam berbicara dan mudah dipersendakan kawan-kawan. Banyak adegan lucu yang mencuit hati serta info berkenaan dengan coklat yang boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada semua remaja dan penggemar coklat. Dengan jalan cerita yang tidak berat tetapi penuh nasihat memanglah novel ini sesuai sangat dibaca oleh kalangan remaja. Bahkan saya yang sudah menjadi ibu kepada seorang awal remaja juga merasa terhibur. Khabarnya penulis akan menulis cerita susulan pula untuk rakan-rakan serumah Zaza iaitu Puteri Rania, Khadijah dan Insyirah. Bila agaknya ia boleh dibaca ye. Tentu sangat menarik.


Related Posts :



3 comments:

  1. Macam menarik. Saya pun jadi tertarik nak baca ;) Terima kasih atas ulasan ini :)

    ReplyDelete
  2. Sama-sama, AdH. Selamat membaca.

    ReplyDelete
  3. tterima kasih ats ulasan di ats

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin