Friday, May 1, 2009

Rindu Yusuf Cinta Zulaika












Tajuk Novel : Rindu Yusuf Cinta Zulaika
Karya : Siti Rozilah
Penerbit : Fajar Pakeer
Terbitan : 2009
Halaman : 577 mukasurat
Harga : rm 21.90

Dia diijabkabulkan dalam usia yang masih terlalu muda. Namun ianya bukanlah satu penyesalan, kerana dia menyimpan cinta mendalam terhadap Yusuf Hakimi. Status seorang isteri baginya adalah status yang sewajarnya dihormati. Dia nekad untuk menjadi isteri solehah, yang dijanjikan Allah menapak ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya.

Tapi kewujudan Intan Juliana dalam rumah tangga mereka bagaikan api dalam sekam, membakar dalam diam. Kenapa suaminya perlu memilih seorang perempuan sebagai teman baiknya? Kenapa?

Rasa rendah diri kerana belum mampu melahirkan bayi comel dalam rumah tangga semakin menekan perasaan. Dan, kehadiran Johan yang memintanya agar membenarkan suaminya berpoligami menghakis sabarnya selaku isteri, yang goyah statusnya. Hidupnya terumbang-ambing. Bahagianya sirna. Lalu bagaimanakah cara untuk dikembalikan semula bahagia itu dalam hidupnya?

Benarkah Yusuf pasangannya Zulaika?
...............................................................................................................

Zulaika, gadis kampung, yatim piatu menjadi pilihan Yusuff Hakimi yang kaya, kacak dan digilai gadis-gadis. Namun perkahwinan mereka menjadi masalah kepada Puan Kalsom yang tidak menyukai Zulaika. Selalu mencari salah Zulaika supaya anak lelaki menyedari yang Zulaika bukanlah gandingan yang sepadan.

Rumahtangga mereka bergolak pabila Fatimah meminta Zulaika dan Yusuf membantu Fatin Adiba mencari kerja di kota besar. Yusuf tidak menyukai kehadiran Fatin di dalam keluarga mereka terpaksa menurut semata-mata menjaga hati isteri tercinta. Namun kesabaran ada hadnya. Fatin dihalau dari rumah mereka setelah berbuat perkara tidak senonoh dengan anak majikannya sendiri yang memalukan Yusuf. Tindakan Yusuf membuatkan Zulaika marah dan mereka bertengkar.

Diberhentikan kerja Fatin menumpang di rumah Suzana dan mengikutnya bekerja sebagai pelayan di kelab dangdut. Setelah rayuan memohon agar Yusuf membantunya mencari Fatin tidak diendahkan Zulaika meminta bantuan Fauzan pula.... Yang saya merasa peliknya setelah Fatin membuat onar dengan anaknya mahu pula Fauzan mengahwini Fatin demi menyelamatkannya dari lembah hina. Begitu senang untuk seseorang itu berkahwin dengan seorang gadis yang pernah membuat onar dengan anak sendiri. Dan Fatin pula yang dulunya boleh digelar sebagai jalang dan sangat membenci Zulaika dengan tiba-tiba telah berubah menjadi baik dan tidak memusuhi Zulaika.

Rumahtangga mereka diuji pula dengan kehadiran Intan Juliana yang sememangnya rapat dengan Yusuf membuahkan rasa cemburu di hati Zulaika. Benar Intan Juliana ada menaruh hati pada Yusuf tetapi Yusuf hanya cintakan Zulaika seorang. Intan Juliana hanyalah sebagai kawan rapatnya saja.

Setelah mengalami kejadian pahit yang tidak diingini Intan Juliana disahkan mengandung. Intan Juliana amat memerlukan Yusuf sebagai pemberi semangat. Hancur luluh hati Zulaika pabila Datuk Johan datang memohon belas kasihannya supaya membenarkan Yusuf mengahwini Intan Juliana. Dan apa yang lebih memeranjatkan lagi pabila mengetahui Zack adalah orang yang merogol Intan Juliana selama ini. Mahukah Zulaika melepaskan Yusuf mengahwini Intan Juliana? Mahukah Yusuf menghancurkan hati Zulaika dan menerima Intan Juliana walaupun di hatinya hanya ada Zulaika?

Novel ini sarat dengan kisah rumahtangga Zulaika - Yusuf. Namun saya merasa cerita ini hanya mendatar saja dan tidak ada klimaks. Ada beberapa persoalan yang membuat saya tertanya-tanya kenapa jadi begitu, kenapa jadi begini. Dan saya tidak temui jawapannya. Seolah-olah ianya sengaja dilakarkan berliku-liku supaya pembaca tidak dapat mengagak apa yang akan berlaku seterusnya.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin