Saturday, May 23, 2009

Catatan Hati Nik Nur Madihah











Tajuk Buku : Catatan Hati Nik Nur Madihah
Karya : Nik Nur Madihah
Ummu Hani Abu Hassan
Penerbit : Hijjaz Record Publishing
Terbitan : 2009
Halaman : 126 mukasurat
Harga : rm25.90

Si ayah bergelut dengan gelombang.
Si ibu bergelumang dengan perit harian.
Lantas si anak menyemat tekad untuk terus berjuang melepaskan mereka dari kesengsaraan.

Kesempitan hidup yang menyesakkan nafas tidak pernah sekalipun mematahkan semangatnya untuk berjaya. Malah itulah tangkal dan azimat yang menjadi bekalan untuknya mengatur langkah, mencari permata yang tak ternilai harganya – ILMU! Menyalin semula sebuah kamus dengan tulisan tangan sendiri kerana tak punya wang untuk membelinya. Sering berpuasa menahan lapar dan dahaga demi untuk menjimatkan belanja. Menahan keinginan hati untuk memiliki barang-barang sendiri. Bukan senang mencapai bintang. Namun, tiada yang mustahil dalam kehidupan. Kepada Allah dia menyandarkan harapan. Agar diberi kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan cabaran hidup. Semoga diberi kesempatan untuk membalas keringat dan jasa ayah bonda.

Tekad si anak bukan mainan kerana di hujungnya adalah permulaan kepada sebuah KEJAYAAN!
...........................................................................................................

Buku ini sepatutnya menjadi inspirasi bagi setiap orang yang bergelar pelajar. Opss.. bukan saja kepada pelajar tetapi kepada setiap ibubapa yang mempunyai anak. Diceritakan kisah hidup Nik Nur Madihah semasa beliau mencapai keputusan cemerlang di dalam UPSR sehinggalah selepas kejayaan besarnya di dalam SPM yang baru lalu. Kejayaan yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia tentunya.

Menitis airmata saya membaca kesulitan hidup yang ditempuhi Nik Nur Madihah, seorang gadis pingitan di sebuah perkampungan nelayan yang serba kekurangan. Siapa sangka gadis pingitan yang nampak biasa ini adalah sebenarnya sebutir permata yang indah berkilauan. Ayah dan ibu Nik Nur Madihah yang bersemangat kental tidak pernah mengeluh malah melarang anak-anaknya menangisi nasib yang tersurat. Sebaliknya mereka mengajar anak-anak supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Kata-kata hikmah yang selalu si ayah berikan ialah walaupun mereka miskin, mereka tidak sampai melarat, masih boleh mencicip makanan berbanding dengan orang lain yang ada juga tidak mempunyai tempat tinggal langsung.... jadi mereka harus bersyukur!


Cara didikan yang penuh keIslaman begitu mengkagumkan saya. Sedari kecil lagi beliau dilatih untuk mengamalkan solat dhuha, berpuasa sunat dan bangun malam mengerjakan tahjud. (Saya berkira-kira sendiri pernahkah saya menyuruh anak-anak saya bangun malam menunaikan solat sunat tahjud....). Yelah, berapa banyak ibu bapa yang bersikap begini terhadap anak-anak. Rata-rata ibubapa mengambil pendekatan dengan menggalakkan anak-anak mereka supaya menghadiri seberapa banyak kelas tuisyen yang termampu, menyertai seminar motivasi cara menjawab soalan peperiksaan di samping menelaah pelajaran di rumah. Ada juga sesetengah ibubapa yang sampai terpaksa menunda kelas agama dan mengaji Quran anak-anaknya hingga selepas peperiksaan untuk mengisi masa tersebut dengan mengulangkaji pelajaran. Dengan tujuan lebih banyak masa digunakan untuk menelaah seseorang pelajar itu akan lebih berjaya. Bukan saya kata pendekatan itu tidaklah baik tetapi kita sebagai umat Islam masih ada satu lagi senjata untuk meraih kejayaan hidup (juga akhirat tentunya) iaitu selalu berdoa, berserah dan bertawakkal kepada Yang Maha Kuasa. Selari dengan Surah Ali Imran ayat 159 juga ada menyebut dan membawa maksud bahawa Allah amat mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Satu lagi rahsia kejayaan yang diceritakan oleh Nik Nur Madihah ialah mentaati kedua ibubapa. Wahh... tentunya perkara ini tidak pernah terlintas di fikiran anak-anak kita sekarang. Bagaimana ketaatan kepada ibubapa boleh membantu kita berjaya dalam hidup. Sentiasa taat kepada ibubapa dan mendoakan kesejahteraan kedua-duanya. Jangan menyakiti hati kedua-duanya dan sentiasa mengalah walaupun ada kalanya terdapat perbezaan pendapat. Orang-orang begini selalunya dirahmati Allah.

Di saat meraih kejayaan cemerlang 19A1 dan 1A2 di dalam SPM, Nik Nur Madihah sekeluarga didatangi oleh berbagai pihak yang ingin mengucapkan tahniah mahupun melihat sendiri siapakah sebenarnya 'permata berkilauan' itu. Sumbangan yang diberikan juga tak kurang hebatnya. Malah ada yang menaja sekeluarga ini menunaikan umrah dan mendirikan rumah baru untuk mereka. Di saat nikmat yang melimpah ruah ditaburkan kepada mereka, seharusnya mereka bergembira tetapi sebaliknya di dalam gembira mereka kerisauan. Ya.. kerisauan seandainya nanti mereka akan jatuh sombong dengan nikmat yang diberikan. Mulia sungguh hati Encik Kamal sekeluarga. Di saat menikmati kegembiraan hidup mereka masih beringat untuk tidak alpa. Inilah satu contoh keluarga muslim yang terbaik. Di dalam suka mahupun duka sentiasa mengingati Yang Maha Mengetahui. Semua perkara yang terjadi dan bakal terjadi diserahkan kepada Allah SNW. Semoga adik Nik Nur Madihah akan terus berjaya dan dirahmati Allah senantiasa.



Related Posts :



4 comments:

  1. masih adakah naskah ini untuk saya beli ?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.. assif..Ana nak tanya... masih ada lagikah naskah ini dan d manakah dijual lg... :)

    ReplyDelete
  3. Di mana sy boleh dptkan buku ini ye?

    ReplyDelete
  4. Di mana sy boleh dptkan buku ini ye?

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin