Wednesday, May 13, 2009

Di Bawah Lindungan Kaabah








Tajuk Novel : Di Bawah Lindungan Kaabah
Karya : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)
Penerbit : Pustaka Dini
Terbitan : 2006 (Cetakan Ketiga)
Halaman : 86 mukasurat
Harga : rm6.90

HAMKA lahir pada 17 Februari 1908 di Meninjau, Sumatera Barat dan meninggal dunia pada 24 Julai 1981 di Jakarta. Nama sebenar Hamka ialah Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah. Beliau merupakan salah seorang tokoh pendakwah yang disegani di rantau Nusantara, juga seorang yang bijak dan mahir dalam bidang kesusasteraan, penulisan kreatif dan prolifik, seorang pujangga dan ahli falsafah Islam.

"...Baru sekarang adinda beroleh berita di mana Abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggal yang empunya pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri, agaknya adinda telah bersalah besar, sehingga Kakanda pergi dengan tak memberi tahu lebih dahulu.

Hanya kepada surat Abang itu, surat yang hanya sekali itu dinda terima selama hidup, adinda tumpahkan air mata, kerana hanya menumpahkan air mata itulah kepandaian yang paling perhabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meskipun ia telah lapuk dalam lipatan dan telah layu kerana kerap dibaca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya.

Sekarang Abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari, entah besok petang, gerak Allah siapa tahu. Besarlah pengharapan bertemu..."
..............................................................................................................
Buat kesekian kalinya saya kembali membaca buku ini. Walaupun nipis saja tetapi sangat meninggalkan kesan yang mendalam di lubuk hati. Prof Dr. Hamka memang sangat mahir dalam mengolah watak dan perkembangan plot demi plot yang menarik.

Seorang anak muda bernama Hamid membantu ibunya menjaja kuih untuk menyara hidup. Keikhlasan hati dan sifat murni yang ada padanya memikat hati Haji Jaafar seorang hartawan lalu menjadikannya anak angkat. Haji Jaafar mempunyai seorang anak gadis bernama Zainab. Zainab dan Hamid disekolahkan bersama dan menjalani hidup bersama-sama. Tetapi apabila sampai saat akil baligh Zainab dan Hamid, Zainab diberhentikan sekolah. Zainab hanya duduk di rumah dan menunggu orang datang melamar. Sementara Hamid melanjutkan pelajaran agama ke peringkat yang lebih tinggi. Di ketika ini hubungan Zainab-Hamid bukan lagi sebagai kawan atau adik beradik kerana perasaan cinta dan sayang telah berputik di hati masing-masing.

Suatu hari Hamid dikejutkan dengan berita kematian Haji Jaafar. Hamid yang ketika itu berada di Padang Panjang terus bergegas pulang. Di saat mata bertentang mata antara Hamid dan Zainab terpercik api cinta di antara kedua-dua pasangan ini. Namun perasaan indah itu cuba dipendam sebaik mungkin.

Perasaan cinta itu diketahui oleh ibu Hamid. Ibu Hamid selalu berpesan supaya tidak menaruh harapan kepada Zainab kerana perbezaan darjat dan keturunan. Ibunya lebih menyuruh Hamid supaya mengenang jasa arwah haji Jaafar yang telah bersusah payah menyekolahkannya sehingga menjadi seorang ilmuwan.

Suatu hari ibu Zainab menjemput Hamid ke rumah bagi membincang tentang peminangan ke atas Zainab. Ibu Zainab meminta supaya Hamid memujuk Zainab agar menerima peminangan yang datang padanya. Hancur luluh hati Hamid. Disangkanya Zainab tidak mencintainya lalu Hamid berkeputusan untuk merantau jauh ke Arab Saudi membawa hati yang lara. Tanpa disedari Zainab juga menanggung sengsara kerana pemergian Hamid yang tidak pasti bila akan kembali. Cinta Zainab untuk Hamid tetap kukuh bersemadi di hati pabila dia terus menolak lamaran demi lamaran yang datang untuknya.

Hamid yang berkelana di tanah Arab menemui seorang pemuda yang juga berasal dari tanah airnya iaitu Saleh. Hubungan mereka yang semakin hari semakin rapat memaksa Saleh bertanya kepada Hamid apa yang membuat Hamid dirundung pilu dan merantau diri ke tanah Arab. Alangkah terkejutnya Saleh pabila mengetahui bahawa Hamid sengsara akibat cintanya terhadap Zainab yang disangkanya tidak menyintainya. Perkhabaran dari Saleh bahawa Zainab sebenarnya menyintai Hamid amat menggembirakan Hamid. Barulah dia tahu yang selama ini dia tidak bertepuk sebelah tangan.

Namun khabar yang paling merobek hatinya lagi pabila mengetahui bahawa Zainab sudah pun meninggal dunia menderita akibat cintanya yang mendalam terhadap Hamid. Dan Zainab juga selama ini tidak pernah menerima lamaran dari sesiapa pun demi menunggu huluran tangan dari Hamid.

Sekali lagi dunia Hamid terasa gelap. Terasa tidak tertanggung lagi sengsara hatinya kini pabila mengenangkan kekasih yang telah pergi. Lalu setelah berdoa di hadapan kaabah Hamid pun meninggal dunia.

Untuk anda yang berminat membaca enovel ini boleh klik di sini.


Related Posts :



4 comments:

  1. Salam.

    Pertama kali saya menjejak ke sini, lantaran ternampak karya penulis yang saya cintai - Hamka.

    Sememangnya karya-karya Hamka terasa amat dekat di hati apabila diuliti. Kesedihan yang digambarkan penulis terasa seolah diri sendiri yang mengalami. Kalau saudari sukakan buku yang ini, cubalah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pula. Lagi laju rembasan air mata.

    ReplyDelete
  2. Waalaikum slm, bunnybaby..

    Ya, novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pun tak kurang jugak hebatnya untuk kita mengalirkan airmata.

    Terimakasih kerana mengunjungi laman ini.

    ReplyDelete
  3. salam. di mana saya boleh membeli novel ini ?

    ReplyDelete
  4. as salam,

    saudara/i boleh membelinya di pesta buku antarabangsa yang bakal berlangsung di PWTC Kuala Lumpur sekiranya tinggal berdekatan.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin