Monday, May 18, 2009

Hujan Rindu








Tajuk Novel : Hujan Rindu
Karya : Anita Aruszi
Penerbit : Fajar Pakeer
Terbitan : 2009
Halaman : 797 mukasurat
Harga : rm25.90

Kerana kasih dan sayang seorang anak kepada ibunya, Anum Dahlia yang dilahirkan dan dibesarkan di luar negara sanggup menjejaki keluarga ibunya di Malaysia sehingga dia sanggup mengenepikan kepentingannya sendiri. Sanggup meredah beribu-ribu kilometer untuk menunaikan harapan dan impian ibunya yang sedang terlantar koma.

Anum Dahlia, seorang cucu yang mendambakan kasih sayang daripada datuk dan neneknya yang selama ini tidak pernah ditemuinya. Sebuah kisah tentang cinta yang hilang di bumi kelahiran, tapi ditemui pula cinta seorang lelaki milik Yuzer Taufik, di sebuah negara asing.

Tegas dalam keputusan dan berani menjejak kisah silam ibunya di sebuah negara yang tak pernah dijejakinya selama ini, Anum Dahlia menyamar sebagai seorang pelajar yang mahu membuat kajian tentang seni silat Melayu, membuatkan dia bertemu Tok Anjang, datuknya.
..............................................................................................................
Satu lagi karya Anita Aruszi yang pasti tidak mengecewakan peminatnya. Bagi saya garapan cerita dan watak dalam novel ini tidak kurang hebatnya lebih kurang sama dengan Rembulan Berdarah. Cumanya jalan cerita kali ini lebih tertumpu kepada kekeluargaan dan kasih sayang.

Anum Dahlia walaupun dilahirkan dan menetap di Amerika tetapi mendapat didikan dan ajaran orang Islam Melayu dari ibunya. Fasih berbahasa Melayu pula. Ternyata Anum Dahlia adalah seorang anak yang baik sehingga sanggup dia menjejaki datuk dan neneknya di kampung yang asing demi untuk menyatukan kembali hubungan kekeluargaan yang telah putus.

Anum Dahlia menyamar sebagai seorang pelajar dari luar negara datang ke kampung itu untuk membuat kajian tentang Silat Cekak. Di sana Anum Dahlia mengenali ayah dan ibu kepada ibunya, adik beradik, sepupu yang juga bekas tunangan ibunya. Sementara penduduk kampung juga gempar dengan kehadiran Anum Dahlia yang bagi mereka amat mirip kepada Sufiyah, anak perempuan Tok Anjang yang telah melarikan diri di malam perkahwinan berpuluh tahun dahulu. Walaupun beberapa kali ditanya mengenai orang tuanya, Anum Dahlia berkali-kali terpaksa berbohong untuk menafikan bahawa dia adalah anak Sufiyah.

Di kampung itu Anum Dahlia tinggal di rumah Tok Anjang. Pada mulanya agak sukar untuk menyesuaikan diri di rumah datuknya sendiri apatah lagi bila melihatkan Tok Anjang seorang yang tegas dan nampak bengis. Tapi lama kelamaan perhubungan mereka menjadi mesra dan ada perasaan sayang yang hadir di dalam hati Nek Jah dan Tok Anjang terhadap Anum Dahlia. Suatu pembohongan tetap pembohongan dan tidak akan selamanya dapat ditutup. Suatu hari semasa mengemas di bilik Anum Dahlia Nek Jah telah terjumpa foto-foto Sufiyah di lipatan dairi milik Anum Dahlia. Sangkaan dan gerak hatinya selama ini yang menyatakan Anum Dahlia adalah cucunya hampir menjadi kenyataan.

Anum Dahlia juga menjadi perhatian Yuzer, anak kepada bekas tunangan ibunya. Perkenalan yang tak disengajakan semasa bertembung di lapangan terbang rupanya bersambung ke kampung halaman dan gelanggang silat Tok Anjang. Haa... di sinilah bermulanya kisah percintaan di antara mereka. Penulis mengekalkan style percintaan main tarik tali seperti karyanya yang sudah-sudah membuatkan saya merasa ianya agak stereotype. Watak hero masih lagi penuh ego dan kontrol macho di depan wanita, suka mendera heroin sementara heroin pula seorang yang pasrah bila didera hero. Saya terbayang watak Nashriq dan Duha Maisarah di dalam novel Rembulan Berdarah. Ternyata ada persamaan. Saya harap kalau boleh di lain karya penulis dapat mengubah jalan cerita percintaan ini supaya ianya membawa kelainan yang tersendiri dan menjadi lebih menarik.

Apa-apa pun saya ucapkan syabas kepada penulis kerana karyanya yang menarik dan semakin mendapat perhatian ramai.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin