Saturday, December 13, 2008

Rahsia Agenda Alam Hitam II : Vamprha


"Apakah itu yang anda cari?" Sheikh Ali Sharmani bertanya kepada Massurya Syah.

"Aku mencari hanya diriku." jawab Massurya Syah membuatkan pengetua madarasah itu terangguk-angguk perlahan.

Karya Zehann Ur Rakhie kali ini bermula dari kesinambungan Massurya Syah yang meneruskan perjalanan ke England untuk mencari beberapa helai lembaran dari kitab hitam yang hilang. Perjalanan pulang dengan menumpang kapal Blue Spirit melalui Sungai Thames telah menemukan sekali lagi Juan Kilaninta dengan Massurya Syah. Dari situ Juan Kilaninta mengetahui bahawa Massurya Syah adalah musuh utama. Di dalam novel ini lalu diceritakan kehebatan Juan Kilaninta sebagai Jeneral tertinggi Alam Hitam yang ditakuti berjumpa dengan Pendeta (pengasas Alam Hitam) di sebuah kastil (castle) tersembunyi bersama ahli penguasa Alam Hitam yang lain yang dipanggil Vamprha. Juan Kilaninta diberi kepercayaan untuk menghapuskan datuknya sendiri Mahadiwa Rakshasha penguasa Alam Hitam di benua Sindhu dan mengambil alih jajahan takluknya.

Pengembaraan Massurya Syah dengan kapal Blue Spirit ke St Helena telah melalui
berbagai rintangan dan kejadian pelik. Namun yang membuat hati saya tersentuh ialah di saat Massurya Syah menunaikan ibadah solat di pulau terpencil Pulau Ascension dengan begitu khusyuk sekali. Seolah-olah saya juga dapat merasa kelazatan solat yang khusyuk yang dikerjakan itu.

Setelah sampai di St Helena, Massurya Syah berjumpa pula dengan Tegoh Kisumanari lalu menolong lelaki itu membebaskan saudara-saudaranya yang ditawan oleh Marquis de Bullwinkle untuk dijadikan hamba abdi. Rupa-rupanya Marquis de Bullwinkle ini adalah salah seorang kuncu Alam Hitam yang boleh berupa sebagai serigala jadian. Pertempuran pun berlaku dan seperti yang sudah-sudah, Massurya Syah tetap tenang dan dengan mudah saja musuhnya ditumbangkan.

Di kalangan hamba abdi yang berjaya diselamatkan, adalah seorang India tua yang bernama Rappu Lal mengucapkan terima kasih dan terhutang nyawa pada Massurya Syah. Rappu Lal mendakwa mengetahui beberapa perkara yang terdapat di dalam kitab hitam dan boleh membantu Massurya Syah mencari tempat-tempat tersebut.

Sampai di Bombay, Massurya Syah dan Rappu Lal mencari seorang alim bernama Sheikh Ali Sharmani Al-Waliddin. Di madrasah, Sheikh alim itu telah memberikan Massurya Syah sebuah bungkusan yang diamanatkan oleh arwah gurunya terdahulu. Di permukaan bungkusan tersebut tertera bait-bait tersebut;


'Wahai saudaraku, ketahuilah pemegang rahsia ketujuh itu tertakluk kepada prilaku, apabila kuasa dan ilmu itu menyatu, hanya Iman menjadi penentu, antara Dia dan aku, antara Khalik dan dewa palsu. Empunya diri mengenali akan urusannya akan yang hak pulang ke asal, bagai roh kembali ke sang Penciptanya.'

Perjalanan Massurya Syah teruskan dan kali ini dengan ditemani oleh Ibrahim dan Rappu Lal. Di dalam perjalanan itu Massurya Syah telah menyelamatkan seorang anak raja benama Rajhi Khan dari menjadi mangsa serangan serigala jadian. Massurya Syah bersepakat pula untuk menolong anak raja tersebut menyelamatkan rakyat-rakyat terutama kekasih anak raja tersebut yang telah diculik oleh kuncu-kuncu Mavendhra Sharma untuk dijadikan 'hamba'.

Tiba di Khanapur Massurya Syah dibawa bertemu dengan permaisuri Indrani Bashirshah yang pula menceritakan satu rahsia tersembunyi. Massurya Syah bersetuju menolong Indrani merungkaikan rahsia tersebut lalu terus bertolak ke Ajmer bagi mengkaji peta gamb
arajah kertas papirus di dalam bungkusan yang diberi oleh Sheikh Ali Sharmani. Di sana Ahmed Newar telah menunjukkan kepada Massurya Syah sebuah kitab usang dahulu kala yang mencerita dan menerangkan tentang peperangan daiwa sehingga terhumban ke dalam Alam Hitam.

Perjalanan ke Srinagar untuk sampai ke Gua Seribu Bintang dan Istana Bayangan Kalbu telah menemukan Massurya Syah dengan Mahaseetha, Ratu Sangular, anak kepada Mahadiwa, penguasa Alam Hitam di bumi Sindhu.

Ini adalah petikan dari novel tatkala Mahaseetha sedang mengamati Massurya Syah:

Merenung ke dalam matanya, Mahaseetha dapat merasakan penderitaannya sejak dari kelahiran. Perjalanannya yang aneh dan tersisih. Terdapat kesucian yang tak dimengertikan menetap di makam jiwanya. Tenaga dan kuasanya sangat seimbang dan murni. Kegagahannya terserlah dari fikiran yang terang. Untuk pertama kali, Mahaseetha telah jatuh cinta!

Tujuh bab terakhir adalah kemuncak kepada cerita ini. Membuatkan saya membacanya dengan laju sekali. Kesilapan dan kegelojohan Juan Kilaninta ingin membunuh datu
knya Mahadiwa mengundang padah untuk dirinya sendiri. Malah Mahadiwa telah terdahulu mengetahui akan kedatangan Juan Kilaninta ke istana candinya telah bersiap sedia dengan tipu helah. Disangkakan Mahadiwa telah mati, Juan Kilaninta beralih untuk menentang Massurya Syah pula sebaik saja Massurya Syah sampai. Setelah mengetahui akan Mahadiwa yang masih hidup maka di sinilah pertempuran paling hebat berlaku di antara Juan dan Massurya. Juan Kilaninta melakukan penjelmaan harimau jadian dan kemudian bertukar pula kepada kelawar jadian (vamprha). Begitu juga dengan Massurya Syah.

Setelah kekalahan Juan Kilaninta di tangan Massurya Syah, Mahadiwa telah memberitahu kepada Massurya akan perihal Maha Phra Sangkhawat atau The Dark Doyen. Dia adalah penguasa yang paling berkuasa di dalam Alam Hitam Eropah yang harus dicari Massurya Syah di kota London.

Melalui Baron Lestarde, Massurya telah dapat menjumpai kastil tempat The Dark Doyen bersembunyi. Massurya Syah dibantu oleh Mahaseetha yang tiba lebih awal bagi menuntut bela di atas kematian ayahnya Mahadiwa. Kedatangan mereka telah diketahui dan ditunggu oleh The Dark Doyen di suatu kawasan yang tersembunyi. Pertempuran hebat juga berlaku di sini di mana Massurya Syah sekali lagi telah bertukar menjadi harimau jadian untuk berlawan dengan serigala jadian, kuncu-kuncu The Dark Doyen. Di kala itu Mahaseetha pula telah menunda serangan The Dark Doyen ke atas Massurya Syah dengan menggunakan kuasanya sebagai Ratu Sangular. Namun Mahaseetha tidak dapat bertahan lama.

Setelah dapat membunuh The Dark Doyen dan segala-galanya berakhir Massurya Syah telah kembali ke Lubuk Gua di Tanah Melayu.

..........................................................................................................

Hmmm... Apa lagi yang boleh dikatakan tentang novel ini.. suatu perjalanan yang jauh.

Novel ini adalah kesinambungan dari Novel RAAH Kelahiran Mufrad. Membaca novel ini adalah seperti membaca novel seram inggeris Anne Rice tetapi di dalam bahasa Melayu dan heronya pun orang Melayu. Malah saya merase ianya lebih hebat dari karya Anne Rice (ini pendapat peribadi saya). Bila sudah mula membaca, payah untuk saya meletakkan buku ini. Dan semasa tidak membaca, saya akan terbawa-bawa untuk berfikir dan tidak sabar untuk ingin mengetahui kisah selanjutnya.

Berlatar belakangkan pengembaraan ala-ala Clash Of The Titans dan The 7th Voyage of Sinbad, penuh dengan muslihat dan teka-teki, dengan alunan bahasa yang membuatkan pembaca turut sama tenggelam di alam penceritaan dan memikir apakah jawaban pada setiap persoalan.

Satu hal.... seperti Mahaseetha, saya juga pasti akan jatuh cinta kepada Massurya Syah yang mempunyai perwatakan yang gagah perkasa tetapi pendiam dan pemikir serta alim. Malah saya merasa sedikit cemburu apabila penulis menggarapkan watak Leela yang menyimpan perasaan terhadap Massurya Syah lalu cuba menarik perhatiannya.

Pendapat saya jalan cerita akan jadi lebih menarik kalau penulis membuat sedikit lakaran atau gambarajah tentang peta papirus, vamprha, candi dan kastil yang diceritakan di dalam novel ini supaya pembaca mendapat gambaran yang lebih jelas.

Apa-apa pun syabas dan tahniah diucapkan kepada penulis kerana sekali lagi berjaya menghasilkan sebuah karya yang berlainan dan sangat menarik.

Kepada yang berminat untuk memiliki novel mantap ini, anda boleh membuat pesanan terus di website Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd.


Related Posts :



8 comments:

  1. Terima kasih atas ulasan Qunia yang menarik ini. Saya akan sambungkan komen ini di blog kami dan blog Qunia akan saya sambungkan juga di blog kami. Terima kasih. Jgn lupa beli novel Piala Kehidupan yang menampilkan kelainan.

    ReplyDelete
  2. Sama-sama Khar kerana sudi menjenguk blog ini. Semua ulasan untuk novel-novel di dalam blog ini adalah pendapat peribada sahaja dan tidak mewakili mana-mana pihak.

    InsyaAllah saya akan dapatkan novel Piala Kehidupan di hari ke depan nanti.

    ReplyDelete
  3. Hi qunia...great job u did dgn mensinopsiskan RAAH-II..saya pun tak bleh nak bg ringkasan camtu bestnyer...

    err..kita mmg sependapat yg citer ni best lg dr Anne Rice kan? giler masa baca ni, rasa baca masterpiece, kan? the 3 years of waiting and hoping is totally worth it...

    rasa thrill je, mcm nak tau what next...

    nice...

    stellaSakuragi of Cari>forum>buku dan kesusasteraan>horror novels

    ReplyDelete
  4. Hi stella..
    terimakasih for droping by to my blog..
    ye, betul. sebuah masterpiece yang hebat. bonus lagi sbb ianya di dalam bahasa melayu dan heronya pun orang melayu kita.
    semoga akan ada lagi karya-karya melayu lain yang sehebat ini.

    p/s:Stella, u dah brape kali khatam this book? hehehe..

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum..
    begitu terperinci ulasan Qunia.
    Saya adalah salah seorang peminat novelis gelap Zehann Ur Rakhie.Masih menantikan RAAH III yang masih tertangguh penerbitannya.Sungguh watak Masurya Syah memberi kesan.begitu mistik dan gelap perjalanan novel ini.Malah tidak diselitkan banyak cerita cintan cintun. RAAH the best!

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum..
    begitu terperinci ulasan Qunia.
    Saya adalah salah seorang peminat novelis gelap Zehann Ur Rakhie.Masih menantikan RAAH III yang masih tertangguh penerbitannya.Sungguh watak Masurya Syah memberi kesan.begitu mistik dan gelap perjalanan novel ini.Malah tidak diselitkan banyak cerita cintan cintun. RAAH the best!

    ReplyDelete
  7. kat mana bole dapat novel nie,saya cari banyak tempat tapi takde
    novel yg first saya ade

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sy tau pertanyaan ni dah lama tapi untuk makluman, Zehann Nur Rakhie baru terbitkan kembali novel ni pada tahun 2021 termasuk siri terakhir (no 3), boleh ke facebook Ranggua Publish

      Delete

Blog Widget by LinkWithin