Thursday, December 11, 2008

Rahsia Agenda Alam Hitam : Kelahiran Mufrad


Sudah lima kali saya membaca novel ini. Ternyata ianya tidak menjemukan. Kali ini dengan kelahiran novel Rahsia Agenda Alam Hitam II : Vamprha, sambungan dari novel ini, saya mengulang baca novel ini. Tujuannya adalah untuk ambik feel bila membaca novel kesinambungannya kelak.

Melihat tajuk novel ini saya tertanya-tanya apa itu kelahiran Mufrad di dalam Rahsia Agenda Alam Hitam. Rupa-rupanya novel ini berkisar kepada bagaimana lahirnya benih tunggal keturunan Alam Hitam yang kelak bakal menentang semua keturunannya.

Ianya bermula dari kisah sorang raja berasal dari kerajaan Langkasuka yg bernama Raja Ong Maha Perita Deria atau bergelar Raja Bersiung yang terpaksa lari menyelamatkan diri dari rakyat jelata yang bangkit menentang baginda. Pelariannya sampai ke Pattani sehingga berkeluarga dan melahirkan seorang anak. Namun dia terpaksa meneruskan pelarian lagi kerana rombongan Gajah Putih mara memburunya. Pelariannya dibantu oleh si syaitan pendita lalu telah mengangkatnya sebagai Raja Alam Hitam yang mempunyai kuasa mistik dan berupaya menjelmakan diri sebagai harimau jadian. Bertitik tolak dari situ mengembaralah dia dengan tujuan untuk meluaskan pengaruh dan keturunan sehingga ke seluruh pelusuk dunia.

Beberapa ratus tahun kemudian muncul pula Mas Gurana, salah seorang dari keturunan Raja Alam Hitam ingin mengembangkan sayap keturunannya di Semenanjung Emas lalu mengembara hingga ke sebuah kampung yang bernama Lubuk Gua. Di situ beliau telah jatuh hati kepada Sari, puteri tunggal penghulu Lubuk Gua lalu memasang rancangan untuk memperolehi Sari. Namun rancangannya dihalang oleh Sheikh Ibrahim dan Kiai Jamal, para alim ulamak yang mengetahui akan kehadiran kuncu-kuncu dan puak Alam Hitam yang telah mengacau kampung mereka. Namum Sari berjaya juga ditawan oleh Mas Gurana dan dijadikan miliknya sehingga mengandung. Tak lama, Kiai Jamal dan Sheikh Ibrahim berjaya juga mengeluarkan Sari dari tawanan Mas Gurana setelah melalui pertarungan yang hebat yang mengorbankan satu jiwa.

Sari disisih dari keluarga dan orang-orang kampung kerana dikatakan mengandungkan 'anak puaka' lalu menumpang hidup dengan Sheikh Ibrahim. Kemudian lahirlah juga 'cahayamata yang dinanti' dan diberi nama Sulaiman Syah tetapi kemudiannya ditukarkan kepada Massurya Syah. Di sinilah bermulanya titik tolak kelahiran Mufrad. Massurya Syah dididik dan diajar dengan ilmu agama dengan seberapa sempurna oleh Sheikh Ibrahim walaupun menerima hinaan dan cacian dari orang kampung.

Setelah Sheikh Ibrahim meninggal Masssurya Syah mengembara mencari dirinya yang sebenar berpandukan kitab-kitab yang ditinggalkan Sheikh Ibrahim. Sehinggalah di suatu hari Massurya Syah berlawan dengan beberapa penyamun yang hendak merogol seorang gadis. Di dalam serangan itu yang bersenjatakan keris, pancutan darah dari luka pada dada salah seorang penyamun telah masuk ke dalam mulut Massurya Syah. Dengan tiba-tiba badan Massurya Syah telah bertukar menjadi separuh harimau lalu menerkam ke arah penyamun-penyamun itu. Itulah pertama kali Massurya Syah bertukar rupa menjadi harimau jadian.

Dari situ berpandukan kitab-kitab peninggalan Sheikh Ibrahim, Massurya Syah mulai belajar dan mengetahui siapa dirinya yang sebenarnya. Pengembaraan diteruskan lagi dengan mencari Kiai Jamal di sebuah perkampungan di dalam negeri Perak. Kiayi Jamal telah memperturunkan segala ilmu jiwa, kuasa-kuasa akli dan rahsia hati berpandukan sepenuhnya kepada kitab Al Quran. Selesai perguruannya, Kiai Jamal memberitahu bahawa Massurya Syah adalah satu-satunya keturunan Alam Hitam yang menyimpang jauh dari belenggu Alam Hitam. Kiai Jamal menghadiahkan Massurya Syah sebuah tongkat dan sebuah kitab hitam dan disuruh berlayar pula mencari Laksamana untuk mempelajari ilmu persilatan.

Setelah itu pengembaraan diteruskan lagi dengan memburu dan membunuh semua keturunan Alam Hitam yang selama ini membuat onar dan kekalutan di atas muka bumi. Pemburuannya telah menemukan Massurya Syah dengan Juan Kilaninta, keturunan Alam Hitam Mas Gurana yang berasal dari benua Eropah. Pengembaraan seterusnya ialah ke tanah England untuk mencari cebisan lembaran bagi melengkapkan kitab hitam yang diberi oleh Kiai Jamal.

....................................................................................................................................................................

Pertama sekali sekalung tahniah kepada penulis, saudara Zehann Ur Rakhie, kerana berjaya menghasilkan sebuah karya yang begitu menarik dan bermutu.

Novel ini amat berbeda dari novel-novel lain yang ada di pasaran sekarang ini. Kalau anda mencari kelainan dan berminat kepada genre seram, buku ini adalah pilihan yang tepat. Ianya berlatarbelakangkan zaman Melayu sebelum pendudukan Portugis, padat dengan adegan seram seperti binatang jadian, kerasukan dan pontianak.

Di samping itu novel ini diselitkan juga puisi syair gurindam yang selalu didendangkan oleh orang-orang Melayu zaman dahulu kala. Lenggokan bahasanya membuatkan pembaca terbuai dan seolah-olah masuk ke alam penceritaan tersebut.
Novel ini juga penuh dengan berbagai elemen termasuk islamik, mistik, misteri, sedih, kelakar mahupun pengorbanan yang digarap dengan kemas dan tidak keterlaluan.

Di akhir kisah ini terselit kekaguman di hati saya terhadap Massurya Syah yang telah mengharungi berbagai rintangan dan dugaan namun masih tetap kukuh pendirian dan imannya. Tak mustahil kalau saya akan membaca novel ini buat kesekian kali lagi.

Apa yang menjadi kemusykilan ialah amat susah untuk mendapatkan buku ini di toko-toko buku terkenal tanahair. Bila saya bertanyakan jurujual, mereka menjawab bahawa buku ini susah untuk dijual. Betulkah begitu?

Kepada sesiapa yang berminat untuk memiliki novel ini sila lawati blog di bawah:
Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd.



Related Posts :



3 comments:

  1. cite ni mmg tebaeeekkkkkk...aku ade dah buku die..
    dua2..tp ape kate ko bace dari Ramlee Awang Murshid lak..syokk wooo

    ReplyDelete
  2. Dkat mana bleh dpat kan buku ni ye???

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin