Sunday, December 28, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430

Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untok Sepanjang Zaman

Pada tanggal 29hb Disember kita akan menyambut tahun baru Hijrah iaitu 1 Muharram 1430. Tak ramai yang tahu akan kedatangan tahun baru Islam ini. Kalau tahu pun ia disedari kerana terdapat cuti umum untuk hari tersebut. Terlalu sedikit persiapan dibuat bagi menyambut kehadiran hari sulung di bulan Muharram itu. Rata-rata kebanyakan umat Islam lebih teruja untuk menyambut 1 Januari yg juga akan tiba tak beberapa hari lagi berbanding 1 Muharram.

Sepatutnya kita sebagai umat Islam patut tahu dan memperingati hari-hari kebesaran kita dan tidak terpengaruh dan terbawa-bawa oleh ideologi sekular yang dibawa oleh orang lain. Kita perlu peka akan kelebihan-kelebihan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di bulan-bulan Hijrah supaya kita dapat mengambil peluang bagi meningkatkan ketakwaan kita terhadap Allah SWT dan serta mencari keredaanNya.

Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Muharram adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Muharram mengingatkan kita kepada hijrah Rasullullah S.A.W ke kota Madinah dalam mencari kuasa ke arah merubah tamadun dan peradaban dunia yang dinodai oleh kesyirikan dan kesesatan kerana kuasa pemerintahan pada masa itu berada dalam genggaman tangan mereka yang tidak layak untuk menjalankan amanah Allah. Kini hijrah sebagaimana Rasulullah S.A.W itu tidak akan berlaku lagi tetapi penghijrahan dari alam kesesatan sekular ciptaan manusia akan terus berlaku sehinggalah tertegaknya kembali khilafah Islam yang telah lama diruntuhkan.

Hijrah untuk kita juga berkaitan dengan sikap dan amalan diri kita sendiri yang mana adakah kita sudah mampu merubah diri dari peralihan masa ini atau pun memang kita terus berpuas hati dengan segala apa yang ada tanpa niat dan usaha ke arah melakukan reformasi pada diri sendiri ke arah yang lebih baik dari hari semalam. Tidak runsingkah kita apabila memikirkan bahawa dengan berlalunya 1429H dan tibanya tahun 1430H ini maka dengan sendiri bertambahnya umur kita? Tidak risaukah kita jika umur kita bertambah seiring dengan bergandanya dosa kita; dan pahala kita pula terus berada di takuk lama?

Semoga kedatangan tahun baru hijrah ini kita mampu menyambutnya dengan pelbagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan juga mampu merubah diri ke arah yang lebih baik. Banyakkanlah bertaubat kepada Allah di atas segala dosa yang lalu, lebih-lebih lagi apabila mengingatkan bagaimana Rasulullah S.A.W sendiri yang telah terjamin akan masuk syurga dan juga terhindar daripada sebarang dosa sentiasa bertaubat kepada Allah sedangkan kita yang tidak lepas daripada terpalit dengan kotoran-kotoran dosa terus hidup dengan gelumang dosa itu tanpa bertaubat kepada Allah. Adakah kita merasakan tidak ada masa untuk bertaubat sedangkan masa untuk membuat maksiat begitu banyak atau pun merasakan dosa yang dilakukan itu kecil sangat dan tidak payah bertaubat? Ingatlah kita bahawa dosa yang kecil turut akan ditayangkan oleh Allah di padang Mahsyar nanti dan ia turut menjadi saham ke arah menjerumuskan kita ke lembah neraka yang panas membakar.
.
Oleh itu, gunakanlah segala peluang yang ada dengan berdoa, bertaubat, mengerjakan solat sunat taubat, beristighfar, berpuasa sunat dan sebagainya. Terdapat beberapa hadis yang menggalakkan kita agar berpuasa pada bulan Muharram kerana pada bulan ini ada kelebihannya yang tersendiri. Semoga hadis ini mampu membangkit semangat dan mampu menyuntik motivasi diri ke arah yang terbaik. Rasulullah s.a.w menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basyry rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

Diriwayatkan oleh imam Muslim,Abu Daud, Tarmizi, Nasai'e dan Ibnu Majah – Daripada Nukman bin Saad daripada Ali telah berkata "Telah bertanya kepadanya seorang lelaki maka katanya apakah bulan yg engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?.Maka jawabnya : Aku tidak pernah mendengar seseorang bertanya mengenai perkara ini melainkan seorang lelaki yang aku telah dengar bagaimana dia bertanya kepada Rasululullah S.A.W sedangkan aku duduk di sampingnya. Maka katanya : Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Jawab nabi S.A.W yang bermaksud : Sekiranya engkau berpuasa selepas bulan Ramadhan maka berpuasalah bulan Muharram maka sesungguhnya ia merupakan bulan Allah padanya hari Allah telah mengampunkan dosa padanya atas kaum dan akan mengampun padanya atas kaum." - Hadis Hasan Gharib diriwayatkan oleh imam Tarmizi .Hadis ini menerangkan kelebihan bulan Allah dan Dia telah mengampunkan dosa hamba Nya yang lalu & akan mengampunkan dosa mereka yang masih hidup yg bertaubat kepadaNya.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin