Tuesday, December 30, 2008

Panggil Aku Dahlia










Tajuk Novel : Panggil Aku Dahlia
Karya : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni
Terbitan : 2008

Siapa yang tak kenal dengan penulis novel tersohor ini. Novel bertajuk Tanah Andriana karya Noor Suraya memang benar-benar membuka minda saya untuk menghayati setiap karya dari penulis ini. Di pesta buku tahun lepas sempat juga bersalaman, bergambar dan berbicara dengan penulis ini yang sememangnya senang dengan panggilan Kak Su saja. Orangnya lemah lembut, peramah dan mesra sekali. Harap-harap di pesta buku 2009 nanti akan dapat bergambar lagi.

Sememangnya karya Kak Su tidak mengecewakan. Novel latest terbitan Jemari Seni yang ditunggu-tunggu oleh semua peminat Kak Su pasti menjadi pengubat rindu. Dalam novel ini Kak Su berjaya membuat pembaca menyusuri perjalanan hidup seorang gadis yang penuh dengan suka duka, cabaran dan dugaan dengan bait-bait kata yang indah sehingga pembaca tenggelam di dalam emosi yang bercampur baur hingga ke akhir penceritaan.

Saya kira penulisan Kak Su kali ini penuh dengan kasih dan jiwa khas untuk dipersembahkan kepada semua peminatnya yang tersayang. Dan saya juga turut menjadi salah seorang dari peminat itu.

Menceritakan kisah seorang gadis yang bernama Dahlia yang tidak suka sama sekali dipanggil Daisy. Dahlia yang degil, Dahlia yang tegas, Dahlia yang keras kepala, Dahlia yang ganas dan lasak di waktu kecilnya telah dihantar ke Australia untuk tinggal bersama Auntie Taharah. Setelah dewasa dan bergelar seorang akeologi Dahlia dipanggil balik oleh ayahnya bagi membantu menguruskan ladang Teh Timor. Kematian ibunya yang berketurunan Filipina menjadi misteri membuat pembaca tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.

Tibanya di tanah tinggi Cameron Dahlia bertemu pula dengan musuh zaman anak-anak sekolah dulu iaitu Wadi Hanan. Imbasan memori perkelahian antara Dahlia dan Wadi Hanan walaupun brutal namun berjaya membuatkan saya tersengih, tertawa seorang diri.... malah bila tiba bab cacing berudu tu terasa seperti nak termuntah!

Hero untuk novel kali ini Kak Su menggarapkan seorang Wadi Hanan yang rapuh dan lupa kepada Penciptanya. Terlihat parut yang masih melekat di dahi Dahlia membuatkan dirinya tidak karuan. Dia pernah berkata bahawa sekiranya tidak ada seorang lelaki pun yang sudi mengahwini Dahlia gara-gara parut di dahi itu, maka dirinyalah yang akan menjadi pengantin lelaki itu. Tidak susah untuk jatuh cinta pada Dahlia rupanya. Seolah-olah perasaan itu sudah wujud lama dulu.

Kesempatan di saat Dahlia kecewa kerana terjualnya Teh Timor ke tangan Teh Sutra membuka peluang Wadi Hanan untuk menghulurkan lamaran untuk Dahlia dan Teh Timor sebagai maharnya. Di sini terserlah kelakian Wadi Hanan untuk tidak mahu melihat Dahlia menangis lagi walaupun agenda tersembunyi orang tua Wadi adalah untuk membolot semua harta milik keluarga Dahlia. Panik, keliru dan romantis semuanya bercampur baur di saat ini.

Namun tamparan hebat untuk Wadi Hanan adalah apabila mengetahui rahsia besar keluarganya yang telah membuatkan keluarga Dahlia dipalit nista. Dia rela berundur diri kerana malu. Dahlia yang dewasa telah lebih matang dan pemaaf. Dan Dahlia juga mempunyai sebuah kasih sayang untuk Wadi di hatinya.

..................................................................................

“Ayah diserang strok, Dahlia! Ayah tiba-tiba jadi teringat padamu. Kamu tu cekal macam Opah Orkid!” puji ayah tiba-tiba.


Padahal dulu, bukankah aku telah disuruh pergi? Bukankah selepas peristiwa menyayat hati itu, aku bagaikan sudah menjadi anak perempuan orang lain, ayah?


Itulah asalnya kenapa Dahlia, pembantu kurator di Muzium Orang Asli Canberra pulang ke Malaysia. Dahlia sang archaeologist yang tidak tahu apa-apa tentang kebun teh, dan tidak ingin ambil tahu apa-apa tentang teh itu terpaksa berdepan dengan Teh Timor yang sudah menambun masalahnya!


Keadaan kian kusut pabila dia bertemu semula dengan si licik Wadi. Musuh tradisinya itu sanggup buat apa sahaja untuk merampas kebun Teh Timor demi memperluas ladang Teh Sutra miliknya.


Lalu apa pula muslihat Wadi? Tatkala tiba-tiba sahaja dia sanggup menyerahkan ladang teh miliknya sebagai mahar? Perlukah Dahlia menerima dia, demi mendapatkan kembali tanah milik datuk ayahnya?


Novel kelapan NOOR SURAYA mengajak anda membantu Putri Dahlia Megat Qais menguruskan Syarikat Teh Timor di Tanah Rata. Silalah nasihati dia, yakinilah dia bahawa tawaran Wadi Hannan itu cumalah satu pesona, dan usahlah terpesona!

Related Posts :



1 comment:

  1. Cik Tuan Rumah,

    Terima kasih untuk resensi yang manis :)

    - Kak Su -

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin