Saturday, January 30, 2010

Fadhilat & Amalan Membaca Surah-Surah Pilihan











Tajuk Buku : Fadhilat & Amalan
Membaca Surah-Surah Pilihan
Penulis : Syeikh Mohammad Umar
Penterjemah : Hj Abdul Rahman Mohd Adil
Penerbit : Pustaka Azhar
Terbitan : 2009
Halaman : 319 mukasurat
Harga : rm15.00


Setiap manusia mengharapkan ketenteraman hati dan kebahagiaan hidup. Persoalannya, ketika kehidupan semakin rumit dan beban masalah bertambah berat harapan tersebut semakin sulit dicapai. Tenteram dan bahagiakah kehidupan kita sekiranya sentiasa dihimpit kekurangan rezeki, perniagaan yang gagal, dimusuhi jiran atau masyarakat, dengki khianat kawan, anak yang degil, suami/isteri yang liar, kesihatan diri dan keluarga yang buruk, selalu diganggu sihir atau makhluk halus dan pelbagai kesukaran hidup lagi?..

Sebahagian manusia zahirnya dikurniakan Allah harta melimpah, disanjung masyarakat dan kelihatan hebat. Namun hatinya tetap tidak tenang. Sehebat manapun, kita tetap perlukan bantuan Yang Maha Berkuasa. FirmanNya “maka ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkari nikmatKu” (Surah Al-Baqarah 2:152).

Pendekata, mengingati Allah adalah petanda kepada bertakhtanya iman di sudut hati dan bebasnya seseorang muslimin daripada dibelenggu sifat nifaq dan fasik yang tercela. Konsep mengingati Allah pula mengandungi pengertian yang luas. Membaca Al Quran dan menghayati isi kandungannya juga adalah salah satu daripadanya yang menjadi tradisi orang-orang soleh dan bertaqwa kepada Allah. Dengan membaca Al Quran kita akan menjalin hubungan jiwa yang erat dengan Allah pada setiap waktu. Malah membaca Al Quran juga akan menjadikan kita lebih cergas dan bersemangat waja di samping dapat mencapai ketenangan jiwa yang abadi.

Orang-orang yang mengingati Allah memperolehi jaminan perlindungan dari Allah daripada sebarang gangguan dan godaan musuh utama manusia iaitu syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk menjerumuskan manusia ke lembah durjana. Ianya disebut di dalam Surah al-A'raf, ayat 201 yang bermaksud: Bahawasanya orang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan oleh syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah (berzikir), maka dengan itu mereka nampak (jalan benar).

Buku ini menghimpunkan kepada anda ayat-ayat Al-Quran terpilih untuk bacaan berserta fadhilat mengamalkannya. Antaranya adalah bagi menghindari dan mengatasi masalah serta gangguan kehidupan seperti dinyatakan diatas. Malah dengan membaca al-Quran menjadikan kita sentiasa cergas, sihat dan bersemangat melaksanakan perintah illahi dan menjauhi segala laranganNya. Perlu diinsafi, golongan salafussoleh terdahulu, membaca al-Quran dijadikan amalan lazim mereka sebagai perhubungan jiwa secara langsung dengan Allah dan semestinya terjalin erat pada setiap ketika.

Anda pula, cukupkah sekadar hanya mengatakan al-Quran panduan hidup, tetapi cuma meletakkannya sebagai hiasan rumah, tanpa dibaca, difahami, diamal dan dilaksanakan perintah serta larangan didalamnya?...






Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin