Wednesday, January 27, 2010

Pergilah Lara










Tajuk Novel : Pergilah Lara
Karya : Nor Erny Othman
Penerbit : Sykt Fajar
Terbitan : 2002
Halaman : 448 mukasurat
Harga : rm19.90


Membaca lagi karya penulis ini buat kesekian kali. Tersenyum lagi buat ke beberapa kali. Ternyata karya penulis ini ada sentuhan yang tersendiri. Novel ini adalah karya pertama beliau yang diterbitkan selain dari Takagi Sayang, Belaian Jiwa dan Bila Cinta Itu Jadi Milikku. Selain itu ada juga novel hasil nukilan bersama Ahadiat Akashah iaitu Malam Ini Kita Semua Menangis. Setelah itu penulis ini terus senyap dan tiada khabar berita. Setelah beberapa kali saya menyelusuri alam maya mencari bahan bacaan saya terjumpa blog milik penulis ini. Oh rupa-rupanya penulis sedang berada jauh di perantauan. Anda boleh mengikuti cetusan rasa penulis ini melalui blog beliau di sini. Sepertinya penulis sedang merajuk tentang sesuatu.

Cerita ini cerita air mata Adilah. Dugaan hidup yang melanda diri Adilah bukanlah sedikit. Setiap hari harus berhadapan dengan tingkah laku ganas si ayah yang suka memukul dan menendang anak-anaknya. Pantang salah sedikit akan hinggaplah sepak terajang si ayah ke badan anak-anak. Di sekolah pula Adilah tidak habis-habis difitnah oleh rakan-rakan lantaran mereka cemburukan persahabatannya dengan Shaharom. Sudahnya Adilah digantung sekolah kerana dituduh melayangkan surat cinta kepada Shaharom. Kerana Shaharom, Adilah difitnah. Kepada Shaharom jua tempat Adilah mengumpul semangat meneruskan cita-cita. Kepada Shaharom jua tempat dia menangis semahu-mahunya meratapi nasib diri yang malang.

Meneruskan pelajaran di sekolah baru Adilah terpisah dari Shaharom sementelah Shaharom juga melanjutkan pelajaran di UIA. Peluang ini diguna sepenuhnya oleh Suraya untuk menjauhkan mereka berdua. Semua surat-surat Shaharom yang dititipkan padanya untuk diberikan kepada Adilah tidak sekali-kali disampaikan oleh Suraya. Amanah menjadi khianat. Dengan harapan Shaharom akan beralih pandang kepadanya.


Di sekolah baru Adilah bertemu pula dengan Andry, anak orang kaya Encik Aris. Sepertinya ketiadaan Shaharom diganti pula dengan Andry sebagai pemberi semangat kepada Adilah. Mengetahui akan kesulitan hidup yang dialami Adilah, Encik Aris menawarkan kerja sebagai pengurus restoran kepada emak Adilah. Namun si ayah yang panas baran selalunya tidak berbaik sangka dengan pertolongan yang diberi. Adilah dipersalahkan lagi. Paling malang lagi, nasib Adilah tidak pernah dibela oleh si emak. Emak yang terlalu mengharapkan syurga di bawah telapak kaki si suami yang tidak pernah menjalankan tanggungjawabnya. Adilah nekad untuk membela nasib adik-adik walaupun si emak tidak menyokongnya. Sewaktu Maisarah hendak dinikahkan oleh ayahnya dengan seorang duda, Adilah melarikan Maisarah ke Melaka dengan pertolongan Shaharom. Sudahnya badan Adilah lah yang menjadi mangsa sepak terajang si ayah.

Keluh kesah menjadi seorang Adilah. Bilakah bahagia akan menjelma untuk Adilah? Bilakah awan gelap ini akan berarak pergi? Bilakah lara yang menyelubungi diri Adilah akan sirna jua? Bilakah ayah Adilah akan menginsafi diri? Bilakah pula si emak akan menyedari bahawa si suami bukanlah kiblat untuk mencapai syurga? Belum sampai setengah buku perasaan saya sudah terperosok pilu dengan kisah Adilah. Sekali gus kagum dengan semangat Adilah untuk berjuang demi masa depan sendiri dan adik-adik yang amat memerlukan. Sebuah buku yang saya ulang-ulang baca sudah berbelas kali dengan tujuan untuk mencari semangat diri agar sekuat Adilah.

Related Posts :



2 comments:

  1. novel ni best.. mcm mana nk contact you.. beminat nk own novel ni.. boleh PM saya kt FB gojesnye_daknie@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. mana nak dapat novel ni ek?

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin