Tuesday, October 13, 2009

Kembara Atiq Wazif : Satu Anugerah
















Tajuk Novel : Kembara Atiq Wazif : Satu Anugerah
Karya : Hasan Suyut
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Terbitan : 2008
Halaman : 263 mukasurat
Harga : rm24.50

Ini satu lagi buku tentang suka duka perjalanan hidup seorang kanak-kanak istimewa bersama keluarga tercinta. Adik Atiq Wazif disahkan doktor mengidap cerebral palsy dan autisma. Perjalanan hidup semenjak dari dalam kandungan si ibu, sehinggalah kepada kelahiran lalu terus kepada meniti hidup sehari-hari yang serba mencabar digarap oleh ayah beliau sendiri dengan terperinci dan menyentuh hati.

Si ayah seorang ahli koperat yang berjaya, sentiasa sibuk dengan kerja sehingga kekurangan masa untuk dihabiskan bersama keluarga. Manakala si ibu pula seorang pendidik cemerlang. Berita kelahiran anak istimewa Atiq Wazif tidak membuatkan mereka cepat melatah namun disambut dengan penuh kesyukuran. Mereka menganggap bahawa ianya satu anugerah dari Allah.

Membesarkan Atiq Wazif bukanlah perkara mudah namun dua insan yang bergelar ibu dan ayah ini penuh sabar, pasrah dan redha terhadap apa yang ditakdirkan oleh Ilahi. Mereka melakukan sedaya yang terbaik tanpa mengeluh untuk Atiq Wazif sehingga sanggup merantau ke pelusuk dunia mencari penawar untuk menyembuhkan Atiq Wazif. Kalau tidak pun sekurang-kurangnya untuk menjadikan Atiq Wazif lebih baik.

Bagi saya adik Atiq Wazif lebih beruntung dari adik Sofiah sepertimana di dalam buku Di Dalam Kehadiran Sofiah kerana dilahirkan di dalam lingkungan keluarga yang agak berada juga. Bagi keluarga Atiq Wazif, wang bukanlah menjadi masalah utama mereka. Jauh beza berbanding dengan keluarga Sofiah yang terpaksa bermotosikal sahaja hanya untuk menjalani rawatan di hospital kerajaan sahaja.

Membaca buku ini hati saya menjadi sedikit lapang pabila kanak-kanak istimewa ini dilahirkan di dalam lingkungan keluarga yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap anak mereka. Paling lega lagi bila keluarga mereka adalah orang yang berada sepertimana keluarga Atiq Wazif. Ini kerana kanak-kanak seperti ini memerlukan pembiayaan yang agak besar untuk kos rawatan di samping limpahan perhatian dan kasih sayang yang tidak kunjung padam. Buku ini umpama sebagai harapan dan semangat kepada ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak sepertimana Atiq Wazif supaya terus berusaha dan berjuang demi untuk anak tersayang.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin