Monday, October 19, 2009

Aku Cinta Dia














Tajuk Novel : Aku Cinta Dia
Karya : Sharifah Abu Salem
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2009
Halaman : 499 mukasurat
Harga : rm19.90


Di kala pembaca disogokkan dengan begitu banyak trend novel-novel cinta Islami penulis ini juga tidak ketinggalan menerapkan nilai-nilai yang sama. Namun karya Sharifah Abu Salem memang membawa gaya penceritaan yang berlainan dan tersendiri. Penceritaan yang membuatkan pembaca digamit keinsafan dan kesedaran tentang betapa bahayanya pergaulan bebas terutamanya di kalangan gadis-gadis remaja belasan tahun.

Penulis membawa kita menyusuri kehidupan di Pusat Perlindungan Wadi Saffiyyah di mana penghuninya adalah gadis-gadis yang mengalami masalah sosial yang serius. Di kalangan mereka terdiri dari yang terlibat dengan dadah, pil khayal dan juga kehamilan akibat dari hubungan luar nikah. Di Wadi Saffiyyah gadis-gadis malang ini dididik supaya kembali mengenal Allah, menunjukkan jalan yang sebenar-benarnya yang harus diikuti dan seterusnya bertaubat di atas segala kesalahan yang telah dilakukan. Walaupun pada mulanya mereka terpaksa menghadapi 'pemberontakan' dari gadis-gadis bermasalah ini namun berkat kesabaran dan kasih sayang yang disemaikan oleh Ummi Saffiyyah dan Walid Mukhriz gadis-gadis ini dapat dipulihkan dan dijinakkan juga akhirnya.

Salah seorang di antara gadis-gadis ini adalah Nur Dania anak seorang hartawan. Gaya kehidupan bebas yang diamalkan oleh Dania menyebabkan dirinya mengandung anak luar nikah. Kerana tidak sanggup malu Datuk Sufian bertegas untuk menggugurkan kandungan Dania. Namun Datin Kay tidak sanggup bersubahat dengan si suami lalu melarikan Dania ke Wadi Saffiyyah.

Di Wadi Saffiyyah Dania menjalani hidup yang seratus peratus berbeza dari kehidupannya yang lalu. Pada mulanya saya menyangka Dania pasti akan menunjukkan sikap keras kepala dan memberontak habis-habisan. Rupa-rupanya penulis menggarap karakter Dania sebagai seorang gadis lembut yang keliru di dalam mencari diri. Kesedihan Dania yang sedang berbadan dua ditambah lagi kerana ditinggal sendirian oleh si ibu mendapat perhatian Ummi dan Ustaz Iqbal. Entah kenapa bagi mereka berdua, Nur Dania seperti seorang yang sangat istimewa. Malah bukan mereka berdua saja, Walid Mukhriz juga terasa bahawa kehadiran Nur Dania membuatkan hidup mereka bertambah ceria dan bersemangat. Kenapa agaknya ye?

Niat di hati Walid Mukhriz untuk menjodohkan ustaz Iqbal dengan Ustazah Umairah juga terpadam dengan sendiri dengan kehadiran Nur Dania. Apatah lagi bila melihat Ustaz Iqbal juga menyenangi Nur Dania. Hasrat di hati Ustaz Iqbal, dia ingin menceriakan jiwa Dania yang sedang walang. Namun sebaliknya Dania terkilan dengan perlakuan Ustaz Iqbal. Sangkanya Ustaz Iqbal hanya bersimpati dengan nasibnya yang sedang berbadan dua. Sehinggalah di suatu hari Ustaz Iqbal menghadiahkan mp3 untuk Dania.

Perlakuan Ustaz Iqbal dan Ummi Saffiyyah yang melayan Dania dengan agak istimewa membuahkan api cemburu di dalam diri Shira juga Ustazah Umairah. Di antara mereka berdua, Shira memang lebih berhati busuk. Datang niat jahat di hati Shira untuk mengenakan Dania dengan menyebarkan cerita-cerita liar. Ustaz Iqbal dan Ustazah Umairah sengaja dikatakan sudah bernikah dengan tujuan supaya Dania menjauhi Ustaz Iqbal. Tidak cukup dengan itu bermacam-macam cerita mengadu domba disebarkan oleh Shira yang bisa memanaskan penduduk Wadi Saffiyyah. Tidak berjaya dengan cerita panas, perangkap pula dipasang untuk memalukan Dania dan Ustaz Iqbal. Huhhh.. jahat sungguh! Di sini saya puji penulis kerana telah menunjukkan karakter Ummi dan Walid yang benar-benar mulia (sepertimana yang saya selalu inginkan). Mereka tidak mudah melatah dan cepat percaya terhadap setiap masalah yang timbul. Mereka menyiasat dan mengkaji terlebih dahulu sehingga ke pokok pangkal asalnya. Selalunya kalau kita baca atau menonton di dalam kebanyakan cerita, masalah sebegini akan membuatkan umi dan walid percaya kepada fitnah yang dilemparkan. Sudahnya hero dan heroin akan ditangkap dan dituduh berkhalwat lalu dihukum sewenang-wenangnya. Seronoknya saya bila hal sebegitu tidak terjadi di dalam cerita ini.

Datuk Sufian pula memang berkehendakkan supaya Dania menggugurkan kandungannya. Tindakan Datin Kay melarikan Dania ke Wadi Saffiyyah amat menyemarakkan kemarahannya. Setelah Datin Kay dizalimi sehingga kepalanya hampir parah berdarah Datuk Sufian bergegas mencari Dania pula.

Di saat cinta mula berputik di antara Dania dan Ustaz Iqbal, Qabil pulang ke Wadi Saffiyyah setelah beberapa kali dipaksa oleh Walid. Namun pertemuan dengan Dania membuatkan dirinya diragut perasaan bersalah yang menggunung. Kenapa ye? Dapatkah cinta Dania dan Ustaz Iqbal bersatu? Di akhir cerita seribu harapan dan doa dipanjatkan oleh umi, walid serta penghuni Wadi Saffiyyah mengiringi pemergian Dania kembali ke dunia luar bagi meneruskan penghidupan. Namun pemergian Dania hanya ditemani oleh Qayyum. Tiada wajah Ustaz Iqbal melambai ke arah mereka.

................................................................................


DANIA, gadis kota yang liar, mengandung anak luar nikah. Akibat nya, papanya, Datuk Safuan mendesak agar kandungan itu digugurkan. Namun, kerana tidak mahu menanggung dosa, mamanya, Datin Kay terpaksa melarikannya ke Pusat Perlindungan Wadi Saffiyyah, tempat perlindungan gadis-gadis bermasalah sosial.

Sepanjang tinggal di Wadi Saffiyyah, Dania sentiasa bermunajat kepada ALLAH. Walaupun dosa yang ditanggung selama ini tidak mampu mengembalikan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu, dia pasrah. Baginya dia harus meneruskan kehidupan sehingga anaknya lahir.

Dalam diam, dia terpaut pada sifat-sifat mulia Ustaz Iqbal salah seorang tenaga pengajar di Wadi Saffiyyah. Namun, bila difikirkan, mana mungkin dirinya yang kotor jatuh hati pada insan semulia Iqbal? Sehinggalah suatu hari, dia menerima hadiah pemain MP3 dan al-Quran kecil daripada lelaki itu.

Apakah maknanya ini? Adakah Iqbal juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya? Iqbal pernah menyatakan kepadanya bahawa dia harus mencintai ALLAH dan Rasul-NYA terlebih dahulu sebelum dia mencintai sesama manusia. Dania bimbang dengan kenyataan ini. Takut dia bertepuk sebelah tangan.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin