Friday, October 23, 2009

Bintang-Bintang Ke Syurga











Tajuk Novel : Bintang Bintang Ke Syurga
Karya : Xarine
Penerbit : Jemari Seni
Terbitan : 2009
Halaman : 452 mukasurat
Harga : rm19.00



Ini satu lagi novel bertrendkan kisah cinta Islami karya anak tempatan. Tetapi pengisian di dalamnya bagi saya agak sarat dengan gaya bahasa yang klasik tetapi syahdu dan melankolik. Tak kurang juga ia padat dengan ilmu dan pengisian buat renungan pembaca. Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan novel ini demi untuk menghayati setiap jalan cerita. Selalunya cerita yang berjalan bahasa sebegini pasti akan membuatkan pembaca mudah bosan namun tidak bagi saya. Ianya tetap menarik kerana mesej yang ingin disampaikan penulis begitu ketara dan unik sekali. Mengisahkan pencarian cinta seorang lelaki yang mengharapkan redha Ilahi. Pencarian cinta yang bukan saja cinta antara dua jiwa, tetapi juga cinta pada Ilahi juga cinta antara sesama manusia.

Imran seorang pemuda lepasan USM yang hidup dalam serba kepayahan. Hidup yang penuh dugaan dan cabaran yang memeritkan membuatkan Imran menghargai setiap kesempatan yang datang. Pemuda yang berjiwa murni ini menetapkan setia cintanya hanya pada seorang gadis bernama Aishah. Sebelas tahun bercinta dan mereka merancang untuk mengharungi masa depan bersama kelak. Manusia bisa merancang namun semuanya telah ditetapkan oleh Ilahi. Jodohnya dengan Aishah tidak kesampaian bila Aishah terpaksa menerima pinangan jejaka lain di saat Imran sibuk dengan tugas pembelajarannya. Hancur luluh hati Imran menerima perkhabaran perit ini. Perasaan belas dan sedih menyelinap di dalam hati saya pabila membaca bait-bait sms yang dihantar Imran tidak dibalas Aishah. Nanar juga Imran ditinggal Aishah pada mulanya. Namun Imran redha dan kembali bermunajat kepada Yang Satu. Semangat diri yang hampir hancur kembali dibina untuk mengharungi hidup seterusnya.

Dalam mencari pekerjaan untuk menyara hidup keluarga Imran disapa kepayahan. Banyak sungguh dugaan untuk Imran sehingga saya sendiri dapat merasai keperitannya. Walaupun payah namun sikap semulajadi Imran yang baik hati dan suka membantu memang disenangi oleh semua orang. Nak dijadikan cerita Imran berkawan dengan Suzila anak Dato' Husin, siswi tersohor di kampus pengajian. Walaupun ayahnya inginkan Nazira sebagai pengganti Aisyah, namun entah mengapa di hati Imran tertulis nama Suzila. Sedar akan jurang yang besar terbina di antara mereka berdua apatah lagi pabila Suzila memberi perkhabaran yang hampir sama semasa dia bersama Aisyah dulu, Imran cuba untuk bertenang dan kembali berserah kepada Yang Satu. Namun sikap tenang Imran amat menyeksakan jiwa Suzila. Lalu apa yang harus dilakukan?

..................................................................................

Urusan ini perutusan cinta.
Seperti sabda Rasulullah, Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Islam itu cinta.
Cinta itu fitrah terpateri dalam hati. Hanya cinta dalam hati yang akan menyatukan kita dan semua manusia. Sepertimana alam kehidupan yang satu ini ditampung oleh bongkah-bongkah alam yang sedang bercinta; roh cinta yang mutlak terpateri pada hukum qadar-Nya. Setiap detik pasir-pasir dan burung-burung itu mengucapkan ‘cinta’ ke hadrat Tuhan mereka.

Maka aku berusaha mencintai semua, dan mengikat hati pada simpulan iman kepada qada dan qadar Allah.

Imran lulusan kejuruteraan, anak miskin yang tidak punya apa-apa kecuali kecintaannya pada Allah. Lalu wajarkah dia ada hati kepada si dia yang punya segala-galanya? Atau orang miskin hanya layak untuk dijodohkan dengan orang yang tidak punya apa-apa juga? Kalau begitu, apa pula maknanya sekufu?



Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin