Sunday, August 16, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck










Tajuk Novel : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Karya : Prof. Hamka
Penerbit : Pustaka Dini
Terbitan : 2008 (Edisi Terkini)
Halaman : 286 mukasurat
Harga : rm16.00


HAMKA lahir pada 17 Februari 1908 di Meninjau, Sumatera Barat dan meninggal dunia pada 24 Julai 1981 di Jakarta. Nama sebenar Hamka ialah Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah. Beliau merupakan salah seorang tokoh pendakwah yang disegani di rantau Nusantara, juga seorang yang bijak dan mahir dalam bidang kesusasteraan, penulisan kreatif dan prolifik, seorang pujangga dan ahli falsafah Islam.

"...Di dalam usia 31 tahun (1938), masa darah muda masih cepat alirannya dalam diri, dan khayal serta sentimen masih memenuhi jiwa, pada waktu itulah 'ilham' Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini mula kususun dan dimuat berturut-turut dalam majalah yang kupimpin.

Setelah itu ia diterbitkan menjadi buku... Belum berapa lama tersiar, ia pun habis. Ramai pemuda berkata : "Seakan-akan tuan menceritakan nasibku sendiri." Ada pula yang berkata : " Barangkali tuan sendiri yang tuan ceritakan..."

........................................................................

Suatu ketika dulu agak sukar untuk mendapatkan karya-karya penulis yang disegani ini. Kalau bernasib baik kita boleh mendapatkannya di toko-toko buku lama saja ataupun di perpustakaan. Kini mungkin kerana atas permintaan ramai maka buku-buku karya penulis ini diterbitkan dan diedarkan semula. Saya pun tentu takkan melepaskan peluang untuk mendapatkan karya-karya hebat beliau. Sekiranya anda juga ingin mendapatkan karya-karya beliau anda bolehlah memesannya di laman web Ujana Ilmu atau pun @Kedaibuku.com.

Novel yang sangat indah ini mengisahkan seorang pemuda yatim piatu yang baik budi pekerti, Zainuddin, melalui rintangan kehidupan yang agak sukar. Zainuddin dipulaukan oleh sanak saudaranya sendiri hanya disebabkan kerana ayahnya berketurunan Minangkabau telah berkahwin dengan ibunya yang berketurunan Makassar. Sememangnya orang Minangkabau menitik beratkan asal keturunan sebelah ibu. Oleh sebab itu Zainuddin dipinggirkan.

Cinta Zainuddin terhadap seorang gadis dari dusun Batipuh yang bernama Haryati mekar bersemi. Namun mustahil untuk mereka bersatu kerana perbezaan darjat dan keturunan yang begitu ketara di antara mereka. Dek kerana cemuhan penduduk di situ, Zainuddin terpaksa membawa diri menetap di Padang Panjang. Namun cinta mereka tetap terjalin dengan kiriman-kiriman surat cinta. Sesekali mereka akan berjumpa pabila Haryati berkunjung ke rumah kawannya Katijah di Pasir Panjang.

Tanpa disedari Aziz menyukai Haryati lalu meluahkan perasaan terpendam melalui Katijah dengan harapan agar Haryati sudi menerimanya. Katijah pula telah mengumpan Haryati dengan bercerita yang indah-indah dan kesenangan hidup sekiranya dapat berkahwin dengan orang kaya. Haryati di dalam dilema. Di antara Zainuddin dan Aziz, sangatlah jauh beza baginya. Apalah sangat yang dipandang pada Zainuddin yang diketahuinya tidak berharta dan tidak mempunyai asal keturunan yang jelas. Dek kerana telah termakan umpan pujukan Katijah dan tidak mahu hidup di dalam kesusahan lalu Haryati membuat keputusan untuk memilih Aziz. Walaupun dia menyintai Zainuddin tetapi cinta itu terpaksa dibuangnya jauh-jauh.

Di dalam waktu yang sama Zainuddin telah mewarisi harta kekayaan peninggalan Mak Base yang telah meninggal dunia. Setelah menjadi kaya raya Zainuddin merasa berkeyakinan untuk masuk meminang Haryati. Tetapi tidak disebut barang sedikitpun tentang dirinya yang sudah menjadi kaya raya itu. Hasilnya Haryati telah menolak lamaran Zainuddin. Dengan alasan Aziz telah terlebih dahulu masuk meminangnya. Alangkah kecewanya hati Zainuddin pabila mengetahui bahawa Haryati sebenarnya menolak cintanya hanya disebabkan harta. Maka bersatulah Haryati dan Aziz di atas kekecewaan Zainuddin.

Kerana perasaan kecewa yang teramat sangat, Zainuddin jatuh sakit. Jiwanya hancur dek kerana cinta yang tidak kesampaian. Hanya Muluk seorang saja yang setia menemaninya dan tidak putus-putus memberi semangat supaya Zainuddin bangkit kembali. Setelah berpindah ke Jakarta Zainuddin memulakan hidup baru. Menjadi seorang penulis terkenal dengan menggunakan nama pena "Z".

Sementara itu kehidupan berumahtangga Haryati dan Aziz tidaklah seindah yang diimpikan. Rupa-rupanya Aziz tidak mempunyai pekerjaan dan mereka lama kelamaan hidup melarat. Atas alasan ingin lari dari kemelaratan dan untuk mencari kerja yang bagus, mereka telah berpindah pula ke Surabaya. Namun Aziz tetap juga dengan sifatnya yang suka pulang lewat malam dan tidak mempunyai pekerjaan. Akhirnya mereka juga hidup melarat di Surabaya. Tidak disangka-sangka mereka dipertemukan dengan Zainuddin semasa menyaksikan satu pementasan di Gedung Kelab. Dan yang paling memeranjatkan mereka ialah pengarang cerita pementasan tersebut adalah Zainuddin.

Setelah mengetahui bahawa Zainuddin sudah menjadi orang yang terkenal Aziz dengan tidak segan silu menghulurkan salam persahabatan dan meminta maaf di atas kesalahan yang lalu. Zainuddin yang sejak dulu baik budi pekertinya, menerima salam itu dengan senang hati tambahan pula ini bermakna dia dapat bertemu dengan Haryati semula. Pada Aziz ianya adalah satu peluang keemasan. Orang yang baik seperti Zainuddin harus dipergunakan sepenuhnya peluang yang ada. Bahkan Aziz tergamak meminjam wang dari Zainuddin semata-mata untuk memenuhi keperluan nafsunya. Yang paling teruk lagi setelah diusir dari rumah sewanya, Aziz dengan muka tak malunya datang untuk menumpang di rumah Zainuddin. Zainuddin menerima mereka suami isteri dengan hati terbuka.

Setelah ditimpa sakit, Aziz mula memikirkan tentang kebaikan Zainuddin. Timbul penyesalan di hatinya kerana telah menunjukkan sikap buruk terhadap Zainuddin. Tanpa pengetahuan sesiapa Aziz membawa diri keluar dari rumah itu dengan alasan untuk mencari pekerjaan dan meninggalkan Haryati kepada Zainuddin. Dengan harapan agar Zainuddin sudi menerima Haryati kembali. Namun adalah sukar untuk Zainuddin menerima semula cinta Haryati dek kerana di dalam hatinya masih terselit rasa dendam dan amarah dengan sikap Haryati yang tega menolak dirinya semata-mata kerana harta dan kedudukan.

Haryati merasa kecewa lalu meninggalkan Surabaya untuk bertolak pulang ke kampung halamannya dengan menaiki kapal yang diberi nama Van Der Wijck. Di saat Zainuddin yakin bahawa di dalam hatinya sebenarnya masih ada cinta dan dia ingin menyusul Haryati, dia terbaca berita mengejut di dalam suratkhabar yang mengatakan bahawa sebuah kapal Van Der Wijck telah tenggelam. Zainuddin segera menaiki teksi menuju ke Lamongan untuk menemui Haryati di mana mangsa-mangsa kapal tenggelam dirawat.

Kiranya pertemuan Zainuddin dengan Haryati kali ini adalah pertemuan di antara sepasang kekasih untuk yang terakhir kali. Haryati menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah dapat menatap wajah Zainuddin. Kiranya Zainuddin meratapi pemergian Haryati buat kedua kalinya. Namun kali ini ianya meragut nyawa Zainuddin juga akhirnya. Zainuddin disemadikan di Surabaya di sisi kubur Haryati.

Related Posts :



1 comment:

Blog Widget by LinkWithin