Thursday, August 6, 2009

Hanya Dia Tahu









Tajuk Novel : Hanya Dia Tahu
Karya : Aleya Aneesa
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2009
Halaman : 502 mukasurat
Harga : rm19.900


Ariana melihat Nasuhah sangat sepadan dengan abangnya, Zean Luthfi seorang pengurus muda. Sebagai seorang adik yang nakal, dia asyik mengusik abangnya tentang Nasuhah hingga menimbulkan kemarahan Zaen. Tanpa pengetahuan adiknya, Zean telah menghubungi Nasuhah dan menghamburkan kata-kata yang nista.

Takdir telah mempertemukan mereka di dalam sebuah majlis. Sejak itu, Zaen sudah terkena panahan asmara. Dia cuba untuk mendekati Nasuhah, namun gadis itu sudah tawar hati. Zean nekad akan terus memburu cinta Nasuhah walaupun sejauh mana dia melarikan diri.

Pertemuan semula Nasuhah dan Rezuan rakan sekampus bagaikan jalan pintas baginya untuk menyelesaikan masalah yang melanda. Namun, huluran kasih Rezuan tiba-tiba saja membuatkan hatinya berbolak-balik.

Walau bagaimana payah pun, Nasuhah mesti berani membuat keputusan yang bakal ditanggung sepanjang hayatnya. Menolak cinta orang sukakannya ataupun menerima saja lamaran kawan lama yang tidak pernah wujud di hatinya.

..........................................................................

Kasih Ariana kepada sahabatnya Nasuhah begitu mendalam sehingga dia berhasrat ingin menjodohkan Nasuhah dengan abangnya, Zaen. Nasuhah digambarkan sebagai seorang gadis yang sempurna. Sudahlah cantik, baik budi pekerti berhati tulus lagi. Terlalu payah untuk menemukan gadis yang seperti Nasuhah di zaman serba materialistik ini. Namun Zaen tidak bersetuju dengan hasrat Ariana. Lalu tanpa bertemu dengan Nasuhah terlebih dahulu dia telah membuat panggilan dan memberitahu Nasuhah supaya tidak mengharapkan apa-apa jalinan hubungan di antara mereka. Hati Nasuhah terguris dengan kata-kata Zaen seolah-olah menganggap dirinya sebagai perempuan gatal yang mahukan Zaen.

Buat baik dibalas, baik. Buat jahat, itulah jua balasannya. Setelah melukakan hati Nasuhah, Zaen akhirnya secara tidak sengaja telah dipertemukan juga dengan Nasuhah di dalam satu majlis. Bak kata orang bagai cinta pandang pertama, hati Zaen terus dicuri Nasuhah saat terpandangkan si wajah ayu itu. Mulai saat itu diri Zaen tak keruan. Selalu terbayang-bayangkan Nasuhah, selalu teringat-ingatkan Nasuhah. Penyakit angaukan Nasuhah terus menyerang Zaen bertalu-talu. Namun usahanya untuk mendekati Nasuhah tidak menjadi kerana bagi Nasuhah, dia serik dengan kata-kata hinaan Zaen melalui panggilan telefon tempoh hari yang tak mungkin dilupakannya. Walaupun Nasuhah cuba untuk menjauhi Zaen tetapi Zaen tetap mengatur sepuluh langkah ke depan untuk mendekatinya.

Ikatan persahabatan yang erat antara Ariana dan Nasuhah teruji jua dengan kehadiran Redzuan. Ariana sangat menaruh hati terhadap Redzuan. Namun Redzuan sebenarnya rapat dengan Ariana hanya untuk mendekati Nasuhah. Kehadiran Redzuan sedikit sebanyak menjadi senjata kepada Nasuhah untuk menyakitkan hati Zaen. Entah kenapa saya merasa sedikit keliru dengan watak Nasuhah yang digambarkan pada awalnya seorang gadis yang baik dan berhati mulia tetapi terlalu payah untuk memaafkan Zaen. Benci sungguh Nasuhah kepada Zaen. Pujuk rayu dan kata-kata sayang Zaen dibalas dengan hamburan kata-kata yang menyakitkan. Atau..... mungkin Nasuhah sengaja menolak Zaen kerana dia tidak menyedari bahawa hatinya juga telah diisi oleh cinta Zaen.

Kerana terlalu bencikan Zaen atau mungkin terlalu ingin menepis cinta yang hadir di dalam dirinya terhadap Zaen, Nasuhah nekad untuk menerima lamaran Redzuan. Namun sudah ditakdirkan tiada jodoh antara Redzuan dan Nasuhah. Pabila mengetahui bahawa perkahwinan yang akan dibinanya adalah atas kehancuran hati seorang sahabat yang bernama Ariana, Nasuhah tidak tergamak untuk meneruskannya. Tanpa diketahui oleh Zaen perkahwinan Ariana-Redzuan dibatalkan.

Zaen yang patah hati berkali-kali terhadap Nasuhah masih juga tidak dapat melupakan cinta sejatinya terhadap gadis itu. Enam bulan berlalu, Zaen hadir juga di depan Nasuhah. Akan terjalinkah ikatan cinta mereka akhirnya?

Saya merasa kurang senang membaca jalan cerita cinta Zaen-Nasuhah yang merendahkan maruah seorang wanita. Bagi saya sekiranya Zaen betul-betul cintakan Nasuhah dan bersikap gentleman tidak sepatutnya Zaen mempermainkan maruah Nasuhah di depan ibu-ibunya dengan mengatakan bahawa Nasuhah telah tidur dengannya. Walau bagaimanapun kepada peminat Aleya Aneesa, ianya tetap sebuah novel cinta yang menghiburkan.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin