Thursday, August 13, 2009

Wo Ai Ni Allah












Tajuk Novel : Wo Ai Ni Allah
Karya : Vanny Chrisma W.
Penerbit : PTS Litera
Terbitan : 2009
Halaman : 292 mukasurat
Harga : rm16.50


Bagaimana rasanya hidup dalam kehampaan jiwa, rohani dan social? Pada saat kita sedang mencari Tuhan, pada saat itu juga terasa Tuhan meninggalkan kita sendiri, sendiri dalam masyarakat yang memandang sepi.

Itu kisah yang diperjuangkan dalam novel ini, kisah seorang gadis Cina ateis, yang tidak tahu ke mana hala hidupnya. Namun pada saat kecelaruan itu dia mengerti bahawa kecelaruan itu bukan datang begitu sahaja, pasti ada yang menciptanya, dan pasti ada sebabnya. Dalam mencari punca kecelaruan itu, akhirnya dia bertemu apa itu Tuhan.

Wo Ai Ni, Allah…aku cinta Allah…tutur gadis itu pada saat dia mengerti siapa Tuhannya.

...................................................

Melihat tajuknya saja saya sudah merasa betapa beratnya mesej yang ingin disampaikan dalam novel ini. Teragak-agak juga untuk membelinya tempoh hari. Namun tajuk novel ini dan gambar latarbelakang kulitnya yang merah dan cantik menarik-narik naluri untuk membacanya. Novel yang membuatkan kita menginsafi diri kita lantaran masih lagi kurang mengenal Yang Maha Pencipta walaupun kita lahir sebagai hambaNya. Berapa keratlah umat manusia yang mensyukuri bahawa mereka lahir dalam Islam, menghayati ajarannya, menyerah diri sebenar-benarnya kepada Yang Maha Esa dan bermunajat padaNya dengan harapan kita akan selalu dekat denganNya. Rata-rata manusia di akhir zaman sekarang kebanyakannya pada zahir saja bergelar muslim. Namun hakikatnya tidak pernah sedikitpun peduli untuk mengenali Allah apatah lagi bila amalan kehidupan dan batas tata susila adalah lebih condong kepada kekufuran. Na'uzubillah! Saya jadi malu dan takut sendiri sekiranya saya juga tergolong dalam golongan yang malang itu.

Tan Tio dan keluarganya adalah golongan yang tidak percaya tuhan itu wujud. Namun pendiriannya berubah setelah berkali-kali dia bermimpi sesuatu yang aneh. Merata-rata Tan Tio mencari dalil wujudnya tuhan. Bertanyakan pada Ustaz Ibnu, pada seorang sami Buddha dan pada Fransiscus namun semua jawapan tidak memuaskan hatinya.

Setelah Tan Tio mati dibunuh misi pencarian tuhan diteruskan pula oleh Amei Chan, anaknya. Bagi Amei, dia terlalu merindui ayahnya dan percaya bahawa hanya dengan menemui tuhan sajalah dia dapat dipertemukan dengan ayahnya semula. Tingkah laku Amei yang tidak karuan itu telah menimbulkan kemarahan ibunya. Kerana malu dikatakan anaknya gila ibunya telah membuang Amei di tepi jalan sebuah kota besar. Nasib Amei baik. Dia dipertemukan dengan seorang doktor psikiatri bernama Hussain.

Di dalam tidur di dalam jaga Amei tidak pernah putus mempersoalkan wujudnya tuhan dan mendambakan agar dipertemukan dengan tuhan. Sesekali dia akan menyanyikan lagu Maju Tak Gentar. Hanya Hussain sajalah yang sanggup untuk merawat jiwa Amei agar pulih kembali. Berhari-hari Amei dirawat Hussain. Lama kelamaan ianya telah menimbulkan salah faham pula oleh tunang Hussain, Safiyah. Kerana tidak mahu pergaduhan di antara Safiyah dan Hussain berterusan Amei terpaksa mengalah lalu pergi meninggalkan Hussain.

Di jalanan Amei dipertemukan dengan Ustaz Gufron di sebuah masjid. Soalan yang sama ditanyakan kepada ustaz itu lalu ustaz itu menjawab, "Kenalilah dirimu agar dapat kamu mengenal Tuhan."

Mei Hwa merasa tersangat menyesal kerana membuang Amei. Hari demi hari rindu pada anak itu mencengkam diri lalu Mei Hwa berkeputusan untuk mencari anaknya semula. Namun A Liong telah terlebih dahulu menangkap Amei untuk dijadikan pelacur kerana dendam lamanya terhadap Tan Toi yang telah mengahwini kekasihnya, Mei Hwa. Namun setelah mengetahui bahawa Amei sebenarnya adalah anaknya, A Liong semakin berang lalu ingin membunuh saja Amei.

Saat pergelutan dengan kematian Amei saya merasa begitu sebak dan payah sekali. Hati saya diragut kehibaan pabila berkali-kali Amei menyebut Allah, Allah, Allah, di saat A Liong mempersendakan Tuhannya sebelum A Liong menjatuhkan kerusi yang menampung Amei lalu membuatkan lehernya terjerut. Ternyata Amei dengan sebulat hati telah menyerahkan dirinya kepada Allah Yang Maha Esa. Akhirnya Amei sudah dipertemukan dengan Tuhan yang dicari-carinya selama ini.

Related Posts :



3 comments:

  1. where can i buy this book?
    look interesting =)

    ReplyDelete
  2. boleh beli online di sini http://www.e-kedai.net/

    ReplyDelete
  3. Mana nak dapat novel ni ye?sebab saya pernah baca dulu..tapi novelnya dah hilang..

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin